Jumaat, 14 September 2012

ISU PENDIDIKAN : Profesion perguruan setaraf kerjaya profesional


11 Anjakan Strategi Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

KUALA LUMPUR - Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Selasa lepas, dilihat sebagai suatu anjakan positif bagi meningkatkan taraf pendidikan negara ke tahap global.

Menggariskan 11 elemen yang perlu dijadikan kayu ukur bagi menyumbang kepada penambahbaikan sistem pendidikan yang ada di Malaysia, pelan pendidikan itu antaranya turut menyasarkan perguruan dijadikan sebagai profesion pilihan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata dengan menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan ia mampu meletakkan kerjaya tersebut pada tahap profesional.

"Sebelum ini terdapat segelintir masyarakat yang berpendapat bahawa profesion guru adalah kerjaya yang mudah untuk digalas, namun dengan anjakan sebagai profesion pilihan, masyarakat akan sedar bahawa bukan semua orang layak bergelar guru dan dianugerahkan ciri-ciri seorang pendidik.

"Menjadi seorang guru pada hakikatnya memerlukan nilai-nilai murni yang tinggi, personaliti khusus, kepakaran dan kemahiran dalam bidang mengajar serta kebolehan sampingan yang menjadi nilai tambah kepada seseorang guru," katanya kepada Bernama.

Dr Junaidi percaya pendekatan yang diambil Kementerian Pelajaran bagi mengangkat martabat profesion perguruan secara langsung mampu melahirkan lebih ramai golongan guru yang bukan sahaja boleh mengajar di sekolah  kerajaan tetapi juga di sekolah swasta dan antarabangsa.

Katanya peluang bergelar usahawan juga terbuka kepada guru apabila mereka mampu membuka pusat tuisyen sendiri serta berupaya memberi bimbingan tambahan kepada pelajar.

"Fokus kementerian untuk meningkatkan kualiti guru bukan sahaja memberi manfaat kepada negara, malahan mampu menyumbang kepada keperluan negara-negara membangun lain yang turut memerlukan tenaga pengajar  profesional.

"Individu yang mahu bergelar seorang guru perlu sedar bahawa menggalas tugas sebagai pendidik bukan sekadar memenuhi keperluan ekonomi, malahan lebih daripada itu ia memikul amanah besar dalam melahirkan modal insan berkualiti untuk negara," katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berkata matlamat kementerian menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan dalam masyarakat merupakan usaha murni yang membantu terhadap pembangunan negara.

Katanya melalui pelbagai insentif yang disediakan kerajaan bagi profesion tersebut, masyarakat perlu merebut peluang untuk berkhidmat dalam profesion perguruan.

"Guru yang ada pada hari ini merupakan calon terbaik yang dipilih bagi menggalas tugas mengajar anak bangsa... mereka juga bukan sahaja dinilai dari sudut akademik semata-mata, malah meliputi aspek kepimpinan, pengurusan dan juga sahsiah peribadi.

"Objektif kerajaan untuk melahirkan generasi berkualiti pada masa akan datang akan lebih mudah direalisasikan dengan peranan dan bantuan yang dipikul guru," katanya.

Pengetua Pusat Tuisyen Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) Suhaimi Rashid berkata tanggapan masyarakat yang memandang rendah terhadap kerjaya guru perlu dihakis sekiranya mahu ia dijadikan sebagai profesion pilihan.

Katanya profesion guru sewajarnya dianggap setaraf dengan kerjaya profesional lain kerana guru merupakan subjek utama yang menjadi pemangkin terhadap kemajuan pendidikan bangsa dan negara.

"Pandangan rendah segelintir masyarakat terhadap kerjaya guru membuatkan ramai yang kurang yakin untuk mencebur diri dalam bidang perguruan. Kita jangan lupa bahawa guru sememangnya terlatih, lengkap sebagai profesional untuk mendidik pelajar," katanya.

Suhaimi berkata guru cemerlang dan mempunyai kebolehan, kemahiran serta kualiti sebagai pendidik  secara langsung berupaya memacu negara ke suatu tahap yang lebih baik berdasarkan ilmu pengetahuan yang dimiliki.

Guru bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan Pulau Pemanggil, Mersing, Johor, Muhamad Fizri Jamal berkata dengan menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan ia dapat membuka mata masyarakat terhadap profesion itu serta  menarik minat mereka menceburi bidang perguruan.

"Dewasa ini,  kita tahu bahawa orang ramai berebut-rebut untuk menjadi guru tetapi kebanyakannya bukanlah sebagai pilihan utama. Tindakan mereka juga didorong oleh beberapa faktor seperti pengangguran, desakan keluarga dan lain-lain, bukannya atas minat dan kesedaran diri sendiri.   

"Jika seorang guru mempunyai minat dan disiplin yang tinggi terhadap kerjaya, mereka akan bekerja lebih tekun dan bertanggungjawab, apatah lagi dengan dipandang tinggi oleh masyarakat, akan lebih bersemangat," katanya.    

Selain itu beliau berkata mengangkat profesion tersebut ke tahap yang lebih tinggi boleh memupuk rasa bangga dalam diri seseorang guru terhadap kerjaya mereka. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan