Oleh : Amadi Abdul
Manan
Proses bentuk kematangan pelajar IPT
Pengalaman terbabit dengan kempen Majlis Perwakilan Pelajar (kini Majlis
Perwakilan Mahasiswa) sekitar tahun 90-an amat manis jika dikenang kembali.
Pada masa itu Universiti Sains Malaysia (USM) antara yang terawal
memperkenalkan pengundian berkomputer. Banyak ragam yang kadangkala agak
melucukan. Ada yang memasukkan kad matrik lalu tersangkut di dalam slot cakera
liut. Mungkin kerana salah faham arahan memasukkan nombor matrik dengan memasukkan
kad matrik. Pengalaman yang agak mahal pada penulis ialah membentuk
pemuafakatan pelajar. Pelajar USM yang rata-ratanya hampir sama ramai antara
pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera memerlukan hikmah kesabaran dan sedikit
kesenian. Perbincangan hingga larut malam mengenai manifesto dan pendekatan
kempen juga peralatan kempen seperti poster dan kertas edaran merupakan
pengalaman yang amat berharga.
Ada tiga perkara yang perlu diberi perhatian jika kita ingin benar-benar
mahukan pendidikan demokrasi ini berjalan dengan lancar dan berkesan”
Walaupun ketika itu kami terikat dengan Akta Universiti dan Kolej
Universiti (AUKU) yang melarang pelajar membentuk pakatan atau ‘parti politik’,
ia tidak menghalang kami untuk bertindak secara kreatif untuk melepasi halangan
berkenaan.
Selepas memperoleh kemenangan, proses melantik ‘Presiden’ dan Kabinetnya
juga amat mencabar. Selepas itu bermulalah ‘YB’ kampus ini berkhidmat bagi
memenuhi hasrat pengundi dan menunaikan janji yang sudah diungkapkan ketika
berkempen.
Penulis sendiri tidak pernah bertanding kerana terbabit dengan persatuan
pelajar pada peringkat kebangsaan yang menuntut masa yang lebih banyak. Namun,
selepas ‘YB’ ini dilantik, wujud keperluan untuk mereka berbincang mengenai isu
yang berkaitan dengan mereka pada peringkat kebangsaan.
Seingat penulis ketika itu, pemimpin mahasiswa terpanggil untuk menyuarakan
pandangan mengenai isu pengkorporatan IPTA dan isu memanggil pulang pelajar
Malaysia di luar negara ketika negara dilanda kemelesetan ekonomi pada 1998. Di
situlah penyelarasan dilakukan, daripada pelajar, oleh pelajar dan untuk
pelajar.
Proses Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah sesuatu yang penting bagi negara
kita kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen sejak kita
mencapai kemerdekaan. PRK adalah satu proses pendidikan demokrasi yang mesti
dilaksana dengan penuh rasa bertanggungjawab.
Ada tiga perkara yang perlu diberi perhatian jika kita ingin benar-benar
mahukan pendidikan demokrasi ini berjalan dengan lancar dan berkesan.
Pertama ialah tanggungjawab pengundi. Mungkin di kampus proses pendaftaran
pengundi tidak diperlukan kerana selagi bergelar pelajar sepenuh masa, mereka
layak untuk mengundi. Tambahan pula kini pelbagai sistem sudah pun wujud bagi
memastikan tiada pelajar yang ketinggalan nama sebagai pengundi.
Namun perkara yang paling penting adalah mahasiswa berasakan peri penting
dan nilai pengundian. Walaupun mereka hanya mewakili satu undi, ia amat
bermakna untuk menentukan kepemimpinan mahasiswa negara. Mereka perlu
menunaikan kewajipan untuk mengundi. Pengundi perlu membuat pilihan dengan
betul dengan menggunakan segala ilmu yang dipelajari. Mereka adalah golongan
yang terpelajar yang boleh membuat keputusan sendiri berdasarkan ilmu dan fakta
serta dapat lari daripada sebarang sentimen kelompok yang sempit.
Perkara kedua ialah penghayatan semangat demokrasi. Demokrasi adalah satu
sistem yang memenangkan majoriti. Demokrasi membenarkan kepelbagaian pandangan
dan pemikiran. Justeru, menghormati pandangan adalah sesuatu yang dituntut
dalam kita melaksanakan demokrasi. Jangan ada yang sampai bergaduh atau
bertindak di luar batasan yang memalukan kelompok mahasiswa.
Ia juga sebagai satu proses penghayatan budaya ilmu. Tradisi budaya ilmu
yang amat menghormati kepelbagaian pandangan perlu diterjemahkan dengan betul
oleh semua mahasiswa di kampus hari ini. Mahasiswa perlu berbahas dan berdebat
dengan matang dan rasional bagi mengemukakan gagasan kepemimpinan yang hendak
dilaksanakan.
Yang ketiga ialah penerimaan kemenangan. Jika segala proses PRK telah
berjalan dengan penuh jujur, telus dan bertanggungjawab, maka segala keputusan
yang keluar perlu dihormati. Ia satu adab bagi seorang yang terpelajar untuk
menghormati proses dan keputusan yang dibuat oleh pengundi.
Jangan timbul sabotaj atau perbuatan khianat yang menurunkan darjat
mahasiswa. Ia perbuatan yang sia-sia dan tidak menguntungkan sesiapa. Begitu
juga dengan pengundi perlu untuk menghormati pemimpin yang telah dipilih dan
memberikan kerjasama.
Pengendali PRK iaitu Bahagian Hal Ehwal Pelajar setiap IPT perlu
melaksanakan tanggungjawab pendidikan demokrasi ini dengan adil dan saksama
bagi memastikan tahap kepercayaan mahasiswa terpelihara.
Penulis ialah Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan