Oleh : Akhbar Satar
Apakah masyarakat tahu bahawa
perbuatan memberi rasuah adalah satu jenayah. Kesalahan pemberi adalah sama
dengan penerima dan jika disabitkan, seseorang itu berhadapan hukuman berat
termasuk penjara dan denda. Rupa-rupanya ada juga antara kita tidak mengetahui
bahawa memberi rasuah itu suatu kesalahan jenayah.
Ada juga pandangan segelintir
masyarakat bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengambil
tindakan ke atas penerima rasuah saja. Selama ini, masyarakat awam seolah-olah
melupakan pihak yang memberi rasuah juga sama jijiknya di sisi undang-undang
dan moral. Seperti kata pepatah ‘bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi’.
Jika tiada pemberi, tiadalah penerimanya. Penulis ingin mengingatkan bahawa
Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 jelas memperuntukkan perbuatan
memberi suapan rasuah adalah kesalahan serius. Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009
menetapkan perbuatan memberi atau menawarkan rasuah sama beratnya dengan
kesalahan menerima rasuah.
Mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM
2009, memberi atau menawarkan rasuah adalah kesalahan yang boleh dihukum sama
berat dengan kesalahan Seksyen 17(a) iaitu menerima rasuah, iaitu penjara
maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan jika suapan
dapat dinilai atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.
SPRM juga sudah melancarkan
kempen membanteras rasuah yang turut memberi tumpuan kepada pemberi sogokan
berbanding fokus utama kepada penerima sebelum ini yang kebanyakannya
membabitkan penjawat awam.
Kita perlu ingat bahawa
penerimaan hadiah boleh bertukar menjadi rasuah jika dalam proses pemberian
berkenaan ada unsur ‘niat jahat’ untuk mendapatkan sesuatu balasan daripada
penerima sebagai pelaburan untuk mendapat sesuatu pada masa akan datang.
Sesuatu pemberian atau penerimaan
yang mempunyai ciri ‘niat jahat’ boleh dikesan dan dinilai dalam keadaan yang
luar biasa dan tidak munasabah. Pemberi perlu ingat bahawa perbuatan memberi
ini amat berbahaya kerana penerima boleh menyimpan bukti yang mencukupi untuk
digunakan pada masa depan. Penerima jika berasa terancam juga akan menggunakan
maklumat sedia ada untuk membuat laporan kepada SPRM serta-merta. Apabila
sesuatu membabitkan wang ringgit, ‘kawan’ yang pernah tidur sebantal pun tidak
dipedulikan.
Dari sudut agama pula, perbuatan
mereka ini dimurkai Allah SWT dan dilarang keras oleh Nabi Muhammad SAW.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pemberi dan penerima rasuah
kedua-duanya akan masuk neraka.”
Penulis juga ingin mengingatkan
bahawa kita perlu berbalik kepada soal moral dan integriti. Jika ditahan kerana
melakukan kesalahan, kita perlu bersedia untuk membayar kompaun atau pergi ke
mahkamah, jangan beri rasuah. Cuba elak daripada melakukan kesalahan supaya
kita tidak terjebak dalam amalan yang tidak baik ini.
Pada pihak penjawat awam, kempen
kesedaran berhubung kewajipan melaporkan apa juga sogokan mengikut Seksyen
25(1) Akta SPRM 2009 akan ditekankan dalam kempen menerusi media massa. Seksyen
ini menghendaki setiap cubaan sogokan wajib dilaporkan kepada SPRM atau polis
serta-merta.
Namun begitu, kajian ahli
kriminologi menjelaskan bahawa rasuah adalah jenayah tertua dunia sebaris
dengan pelacuran. Daripada sepuluh kes rasuah yang berlaku hanya satu saja
dilaporkan. Kedua-dua pihak sama ada pemberi atau penerima mendapat faedah
daripada kesalahan jenayah ini. Kedua-dua pihak bersetuju dan berpuas hati
dengan syarat yang ditetapkan bersama.
Balasan Allah SWT kepada mereka
yang menerima dan makan rasuah terlalu berat. Balasannya, kadang-kadang Allah
tunjukkan di atas dunia lagi, kehilangan harta benda dan harta penerimaan hasil
dari rasuah itu dihabiskan oleh anak dalam sekelip mata. Ada kalanya pula,
Allah menangguhkan balasannya itu hingga Hari Akhirat kelak, tunggulah!
Kecenderungan rasuah berpunca
daripada ceteknya pengetahuan agama, kurangnya iman dan takwa, naluri tamak,
desakan kebendaan dan untuk memuaskan nafsu semata-mata. Ibnu Khaldun dalam
karya agungnya bertajuk Muqaddimah mengaitkan rasuah dengan persoalan moral dan
keinginan untuk mengecap kemewahan hidup berlebihan mendorong mereka yang
mempunyai kuasa untuk terjebak dalam amalan rasuah.
Antara kesan buruk gejala rasuah
ia menimbulkan masalah seperti kemerosotan ekonomi, ketidakadilan, pengabaian
kepentingan masyarakat dan hukuman yang menanti adalah berat dan akhirnya boleh
meruntuhkan sesebuah negara.
Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti
HELP
Sumber : http : //www.bharan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan