KUALA LUMPUR : Malaysia
adalah negara ke-12 paling berdaya saing bagi menjalankan perniagaan, demikian
menurut laporan "Menjalankan Perniagaan" Bank Dunia Edisi 2013.
Kedudukan itu meletakkan Malaysia
mengatasi negara-negara seperti Sweden (ke-13), Taiwan (ke-16), Jerman (ke-20),
Jepun (ke-24) dan Switzerland (ke-28).
Kedudukan terkini Malaysia itu merupakan peningkatan yang
memberangsangkan dari tempat ke-18 sebelumnya dan pada kedudukan ke-23 pada
2010 dan ini menunjukkan haluan daya saing yang meningkat sejak empat tahun
yang lalu.
Laporan itu menyatakan
peningkatan enam anak tangga di tempat ke-12 pada tahun ini merupakan lonjakan
paling tinggi dalam kedudukan daya saing Malaysia.
Laporan itu mengkaji 185 faktor tarikan
ekonomi merentasi kriteria daya saing seperti kemudahan memulakan perniagaan,
kelulusan mendapatkan lesen, kecekapan pentadbiran cukai dan kemudahan
menjalankan perdagangan rentas sempadan.
Katanya, Malaysia memperbaiki
kedudukan daya saingnya dalam lima bidang menjalankan perniagaan, iaitu
Kemudahan Bekalan Elektrik (dari tempat ke-59 ke tempat ke-28); Pendaftaran
Hartanah (dari tempat ke-59 ke tempat ke-33); Pembayaran Cukai (dari tempat
ke-41 ke tempat ke-15); Perdagangan Rentas Sempadan (dari tempat ke-29 ke
tempat ke-11) dan Urusan Permit Pembinaan (dari tempat ke-113 ke tempat ke-96).
- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan