Isnin, 15 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : Menarik minat, memantapkan pelajaran sejarah di sekolah


 Oleh : DR. AMINUDIN MANSOR

USAHA harus dilakukan untuk memantapkan lagi mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah menengah bagi mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.

Sejarah harus difahami, dihayati dan bukan dihafal atau mengingat fakta. Mempelajari sejarah bangsa dan negara adalah teras kepada pembentukan jati diri dan asas kepada patriotisme serta cintakan negara.

Tinjauan penulis, banyak faktor menyebabkan pelajar di peringkat sekolah menengah tidak berminat mempelajari sejarah. Menurut seorang guru yang berpengalaman mengajar subjek itu selama 25 tahun mengatakan antara faktor itu:-

Pertama, pelajar belajar sejarah menghayati dan memahami jalur sejarah bangsa dan negara. Mereka belajar berkaitan tokoh yang sudah meninggal dunia dan pelajar tidak mengenali mereka.

Kedua, mereka sering bertanya, apabila lepas sekolah apa yang mereka boleh dapat melalui belajar Sejarah? Adakah dapat menjamin menjadi pakar sejarah atau pakar arkeologi berbanding mata pelajaran seperti Sains dan Matematik yang menjanjikan peluang pekerjaan lebih baik.

Ketiga, banyak perkara yang terpaksa di baca dan dihafal sebagai contoh, tingkatan satu ada lapan bab, tingkatan dua, ada 10 bab, tingkatan tiga, ada tujuh bab, tingkatan empat ada 10 bab dan tingkatan lima ada sembilan bab. Jumlah bab ialah 44 bab.

Keempat, semasa di tingkatan satu hingga tiga ada projek atau folio yang dibuat oleh pelajar sedangkan markah tidak dikira dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Sekurang-kurangnya berikan sebanyak 10 markah.

Kelima, tingkatan empat dan lima tiada projek atau folio. Pelajar terpaksa membaca dan menghafal 19 bab sedangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hanya dua soalan yang perlu dijawab oleh pelajar.

Sementara itu, menurut beberapa pelajar mereka tidak minat belajar Sejarah disebabkan beberapa faktor. 
Antaranya adalah sukar untuk mengingat fakta yang banyak dan  fakta yang diajar kurang diminati. Buku teks tidak menarik untuk dibaca menyebabkan sukar untuk diingati.

Antara faktor lain adalah cara pengajaran dan pembelajaran (P&P) guru Sejarah tidak membantu pelajar mengingati fakta. Fakta yang diingati tidak digunakan dalam kehidupan masyarakat. Pelajar merasakan subjek ini bosan dan membuang masa.

Selain itu, kebanyakan pelajar tidak minat belajar Sejarah kerana tidak mengetahui manfaat mempelajarinya. Bahan P&P tidak menarik dan membosankan. Pelajar berasa dipaksa untuk mempelajarinya kerana subjek teras. Mereka juga mengambil masa terlalu lama untuk mempelajarinya.

Beberapa cadangan diberikan antaranya, menggubal semula sukatan pelajaran sejarah sedia ada. Kaedah, teknik dan pendekatan yang lebih sesuai terkini dan mudah difahami oleh pelajar melalui P&P sejarah.

Sebelum subjek Sejarah diajar di tingkatan satu, guru Sejarah mestilah menekankan kepentingan sejarah sebagai ilmu yang dapat memperkukuhkan jati diri, akar bangsa dan semangat patriotisme.

Selain itu, buku teks baharu yang lebih menarik dengan pelbagai gambar, keterangan dan peristiwa penting. Buku teks Sejarah yang berwarna dan menggunakan 'point form" fakta-fakta penting dan bukan dalam bentuk karangan yang membosankan.

Buku-buku sejarah atau novel yang bersifat kreatif seperti menceritakan detik-detik kemerdekaan, para pejuang kemerdekaan patut diterbitkan lebih banyak.

Guru Sejarah diberi kursus untuk teknik pengajaran kerana P&P guru Sejarah kurang berkesan memberikan penghayatan dan pemahaman sejarah tanah air kepada para pelajar. Setiap guru mestilah menggunakan pelbagai kaedah seperti aplikasi teknologi maklumat (IT) dan P&P terkini seperti kaedah multimedia dalam pendidikan yang menggabungkan teks, kesan bunyi, vokal, muzik, filem, animasi, video berserta perisian komputer yang interaktif.

Proses P&P akan menjadi lebih menarik, iaitu interaktif antara guru dan murid, interaktif guru dengan bahan pengajaran, interaktif murid dengan bahan pengajaran dan interaktif murid dengan murid. Sesekali lakukan interaktif tokoh sejarah dengan murid di sekolah.

Subjek Sejarah boleh dimulakan di peringkat sekolah rendah iaitu pada tahun tiga, empat, lima dan enam serta dimasukkan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada masa akan datang.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pelajaran Malaysia, pihak kementerian memang bertegas menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai teras dan wajib dipelajari oleh pelajar secara berterusan bermula dari tingkatan satu hingga lima pada peringkat sekolah menengah.

Kurikulum Sejarah dilaksanakan di sekolah ketika ini digubal dengan memberi penekanan kurikulum Sejarah pada peringkat sekolah menengah rendah. Ia mestilah mempunyai kesinambungannya pada peringkat sekolah menengah atas supaya asas pengetahuan, nilai patriotisme, kemahiran sejarah dan pengalaman yang diperoleh dapat diperkukuh dan diperkembangkan lagi.

Maka, Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) menegaskan kesepaduan unsur pengetahuan, peningkatan daya intelek, pemupukan nilai murni dan perkembangan kemahiran belajar.

Sehubungan itu, kurikulum Sejarah yang sedang dilaksanakan ketika ini, diberikan penekanan berasaskan kesepaduan dan kesinambungan. Di samping pengetahuan sejarah, konsep dan kemahiran asas disiplin sejarah seperti pemikiran sejarah dan unsur patriotisme diperkukuh dalam proses P&P.

Dalam usaha melahirkan generasi yang dapat memenuhi matlamat dan aspirasi negara, pendekatan P&P Sejarah menjurus kepada pemupukan pemikiran sejarah di kalangan pelajar di samping kandungan kurikulum Sejarah. Apa yang paling penting pelajar dapat menghayati dan memahami jalur sejarah bangsa dan negara sebagai asas membina jati diri, ke arah pembinaan negara bangsa dan semangat patriotisme.

PENULIS ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan