Jumaat, 19 Oktober 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Aktiviti sukarela tingkat nilai sosial, integriti graduan


Oleh : Khaled Nordin
 
Jana kemahiran, kualiti mahasiswa

Setiap tahun dianggar hampir 180,000 graduan berkelulusan sarjana muda dan diploma menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi dalam negara. Secara tradisinya, semua graduan ini akan diraikan pada satu majlis bersejarah iaitu konvokesyen. Kejayaan menamatkan pengajian tidak bermakna berakhirnya segala usaha keras dan kegigihan dalam kehidupan graduan. Ini kerana majlis konvokesyen bukanlah satu acara yang diraikan semata-mata, tetapi peristiwa yang akan membawa mereka ke satu lagi fasa dalam kehidupan sebenar yang lebih mencabar.

Aktiviti sukarela membantu mahasiswa dalam pembentukan pemikiran positif, kematangan mental dan emosi dan pembangunan personaliti dan kemahiran yang amat berguna kepada mereka"

Ketika belajar di kampus, mereka dianggap sebagai golongan elit yang berada dalam kelompok tersendiri dan golongan cerdik pandai menguasai ilmu dan kemahiran, kini mereka perlu bersama-sama menjadi sebahagian daripada masyarakat di luar.

Membuat pilihan tepat

Di sinilah pentingnya graduan membuat refleksi diri dengan melihat persekitaran dan akhirnya membuat pilihan tepat untuk meneruskan fasa baru dalam kehidupan mereka. Apa yang pasti, fasa baru ini adalah satu bentuk pengembaraan yang akan menambah pengalaman mereka sehingga menjadi modal insan yang benar-benar menyumbang kepada pembangunan, kemajuan dan transformasi negara.

Jika kita perhatikan, ada sebahagian graduan yang memilih untuk bekerja dan makan gaji. Ada juga yang mahu menyambung pengajian pada peringkat yang lebih tinggi dan tidak kurang juga yang bekerja sendiri, menjadi usahawan yang mencipta pekerjaan untuk orang lain.

Persoalannya, apakah masa depan graduan kita sebenarnya? Walau apapun tugas dan peranan yang mereka pilih, cabaran utama mereka ialah bagaimana dengan kekuatan ilmu, nilai dan kemahiran yang diperoleh sepanjang pengajian, dapat dimanfaatkan bukan saja untuk kepentingan diri, tetapi jauh lebih penting demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Jika ketika di kampus, tanggungjawab mereka hanya menumpukan pengajian untuk mendapatkan keputusan cemerlang, kini sudah tiba masanya bagi mereka ‘memulangkan’ semula kepada masyarakat dan negara atas apa yang mereka peroleh selama ini.

Inilah cabaran sebenar seorang graduan. Kehidupan baru mereka bukan semata-mata soal pekerjaan serta berkisar ringgit dan sen, tetapi sumbangan berkualiti sebagai warga Malaysia yang mempunyai tanggungjawab besar kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

Selain memenuhi tuntutan peribadi, graduan kita mempunyai peranan penting untuk memakmurkan kesejahteraan masyarakat kita dan ini termasuk kesanggupan melakukan aktiviti sukarela yang ditanam dengan nilai kesukarelawanan sejak di kampus lagi.

Bentuk pemikiran positif

Tidak dinafikan, aktiviti sukarela membantu mahasiswa dalam pembentukan pemikiran positif, kematangan mental dan emosi dan pembangunan personaliti dan kemahiran yang amat berguna kepada mahasiswa. Melalui kerja sukarela, proses pembelajaran akan dapat ditransformasikan secara terus kepada pelajar melalui nilai murni dan pembangunan diri yang positif.

Lebih penting, melalui kerja sukarela, mahasiswa akan dapat meningkatkan keyakinan diri mereka sendiri, merasakan diri lebih berguna, lebih menghargai, merasa lebih produktif dan dapat meningkatkan kemahiran insaniah.

Selain itu, kesukarelawanan juga penting dalam proses sosialisasi apabila setiap mahasiswa yang terbabit akan mengenali antara satu dengan yang lain dan mendekatkan mereka dengan masyarakat setempat. Pendek kata melalui kesukarelawanan, proses sosialisasi boleh dibentuk dengan mudah. Tidak dinafikan, kesukalerawanan adalah aktiviti yang boleh menjadi pilihan kepada graduan untuk menyumbang melampaui kepentingan diri mereka.

Bagi merancakkan lagi aktiviti sukarela di kalangan belia termasuk graduan, pelbagai inisiatif dan insentif baru telah diperkenalkan. Baru-baru ini, kerajaan mengambil langkah menubuhkan satu entiti kesukarelawan yang dikenali sebagai 1Malaysia For Youth (1M4U).

Istimewanya melalui 1M4U, semua pihak boleh mencurah khidmat bakti kepada masyarakat tanpa perlu berdaftar atau menjadi ahli kepada sebarang pertubuhan, persatuan, kelab atau mana-mana badan beruniform. Kita percaya, dalam kesibukan mengejar cita-cita, ia tidak menghalang mereka prihatin kepada nasib dan juga masa depan orang lain melalui aktiviti sukarela.

Soalnya, membabitkan diri dalam aktiviti sukarela akan memberi nilai tambah kepada graduan kita menjadi warga negara berjiwa besar, memimpin masyarakat dan memikirkan soal ummah. Tiada untungnya negara yang mempunyai jumlah generasi muda yang ramai, tetapi sekadar mengira untung nasib diri sendiri. Bukankah slogan rakyat didahulukan itu juga perlu diajukan kepada graduan, bukan saja kerajaan.

Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan