Oleh : Fauziah Arof
BUKAN satu perkara luar biasa di
negara ini apabila wanita berpendidikan tinggi, sudah mendapat pekerjaan yang baik,
alih-alih terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepenuhnya menjaga
anak-anak di rumah.
Dan bukan juga satu saranan yang
baharu kita dengar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
baru-baru ini, mengharapkan lebih 1,000 syarikat swasta akan mendirikan taska
di premis masing-masing dalam masa terdekat bagi menggalakkan golongan wanita
yang bergelar ibu menyertai pasaran kerja.
Keciciran kaum wanita
berpendidikan tinggi ini daripada pasaran pekerjaan sememangnya amat dirasai.
Betapa tidak, kerajaan telah
berbelanja besar untuk pendidikan sehingga 68 peratus pelajar di universiti
ialah wanita, tapi hanya 48 peratus sahaja wanita dalam pasaran kerja dan ini
sudah tentunya memberikan kerugian besar kepada negara.
Kajian oleh Lembaga Penduduk dan
Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati masalah penjagaan anak-anak
adalah punca utama wanita di negara ini menamatkan kerjaya mereka lebih awal.
Ini berlaku terutamanya dalam kalangan
wanita berusia lingkungan 35 hingga 39 tahun iaitu sebanyak 71 peratus yang
mana di peringkat umur sebegini adalah kemuncak kerjaya bagi wanita dan pada
masa sama anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu.
Kemudahan taska ini bukan sahaja
akan membuka ruang kepada wanita yang berpendidikan tinggi untuk terus
berkerjaya, malah wanita yang berpendidikan rendah dan sederhana turut menerima
manfaatnya.
Dalam mengharungi kos sara hidup
yang tinggi terutamanya di bandar-bandar, golongan isteri tidak kira tahap mana
pendidikannya turut membantu suami yang berpendapatan rendah atau gaji sekadar
cukup makan untuk mencari rezeki dan membina ekonomi keluarga yang lebih kukuh.
Jadi, sudah tentunya, soal
penjagaan anak merupakan satu isu yang cukup besar, bukan isu remeh-temeh yang
sering diperlekehkan oleh majikan apabila pekerjanya memberi alasan datang
lewat kerana terpaksa menguruskan hal-hal anak.
Hendak membawa anak ke pejabat pada waktu-waktu genting
kerana pengasuh ada hal kecemasan, tentunya menimbulkan rasa tidak selesa diri
sendiri, anak dan juga pekerja-pekerja sekeliling, yang akan menjeling-jeling
sekiranya anak tersebut menangis atau nakal.
Untuk mencari pembantu rumah,
lebih-lebih lagi dengan macam-macam ragam pembantu rumah asing dan macam-macam
hal, demand dan proses yang perlu dilalui untuk mengambil mereka bekerja, akan
memberi satu lagi tekanan lain pula.
Dalam pada itu, kes penderaan,
kecederaan dan kematian bayi dan kanak-kanak di pusat penjagaan dan jiran yang
diberikan tanggungjawab untuk menjaga anak-anak turut amat merisaukan ibu bapa
untuk melepaskan anak mereka dalam penjagaan orang lain ketika bekerja.
Sehubungan itu, kemudahan taska
di tempat kerja terutamanya di sektor-sektor swasta banyak membantu dalam
menangani masalah ini.
Dengan insentif yang diberikan
oleh kerajaan seperti geran RM10,000 dan pelbagai potongan cukai menerusi
peruntukan Bajet 2013 yang selari dengan pelan pembangunan awal kanak-kanak
jika kemudahan ini diwujudkan di syarikat-syarikat swasta, sepatutnya tiada
kekangan yang besar untuk menyediakannya.
Jika syarikat-syarikat besar
terutamanya boleh dan mampu berbelanja sakan untuk projek tanggungjawab sosial
korporatnya (CSR) setiap tahun, membantu masyarakat susah di luar sana, mengapa
tidak memperuntukkan kos tertentu untuk membina kemudahan taska untuk kebajikan
pekerja-pekerjanya sendiri.
Jika boleh membina ruang untuk beriadah untuk pekerja-pekerjanya, ruang kafe yang besar dan ada pula syarikat besar yang boleh meletakkan pusat rawatan kecemasan di premisnya, mengapa tidak boleh membina ruang untuk taska.
Kemudahan ini secara tidak
langsung, akan menyebabkan pekerja-pekerja berasa tenang untuk bekerja kerana tidak perlu terkejar-kejar menghantar dan mengambil anak di pusat penjagaan.
Dalam pada itu, mereka boleh
meluangkan masa dengan anak-anak yang berada di depan mata pada waktu rehat dan
mungkin juga akan mengurangkan masa kepada pekerja-pekerja yang gemar
berkunjung ke pusat-pusat beli belah pada waktu makan tengah hari terutamanya
pada waktu rehat yang panjang, iaitu hari Jumaat.
Jadi masa akan lebih terurus,
mereka akan ada masa yang berkualiti untuk anak-anak, dan pada masa yang sama
mereka akan lebih fokus pada kerja.
Jika majikan bimbang, pejabat
akan `beroperasi seperti pusat jagaan anak-anak
pula, peraturan-peraturan tertentu boleh dibuat bagi memastikan kemudahan itu
tidak sama sekali menganggu perjalanan dan urusan kerja.
Pun begitu, dalam menyediakan
pusat taska di tempat kerja, soal keselamatan, tenaga penjaga, kemahiran, dan
kepakaran perlu diberi penekanan, agar tidak diadakan sekadar tangkap muat.
Ini penting, agar taska di
pejabat-pejabat ini tidak membawa masalah sama yang sering berlaku di pusat
penjagaan kanak-kanak lain atau pengasuh yang beroperasi di rumah yang akhirnya
memberikan tekanan yang serupa kepada ibu yang bekerja.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan