Oleh : Akhbar Satar
Strategi atasi masalah ketelusan perlu dicari
Beberapa hari selepas peristiwa 11 September 2001 di World Trade Center,
seorang anggota bomba New York menemui sebuah bekas habuk rokok yang mempunyai
logo sebuah syarikat di bawah runtuhan bangunan. Beliau terus mengembalikannya
kepada tuan punya. Ia mendapat liputan meluas di Amerika Syarikat.
Di Los Angeles, seorang pemandu teksi, Adam Woldemarim diberikan ganjaran
sebanyak AS$2,000 (RM6,148) oleh pemilik wang tunai berjumlah AS$221,510
(RM680,927) selepas wang yang disimpan di dalam sebuah beg komputer riba
tertinggal di dalam teksinya.
Sementara di Thailand, seorang pemandu teksi memulangkan 8.2 kilogram
perhiasan emas bernilai AS$410,000 (RM1.2 juta) kepada pemiliknya selepas
tertinggal di dalam teksinya. Pemilik wang memberikan pemandu teksi itu emas
bernilai AS$6,400 (RM19,200) sebagai ganjaran. Semua insiden ini membabitkan
integriti seseorang yang patut dicontohi dan diamalkan.
Penulis cuba mencari maklumat seperti ini di Malaysia malangnya, tiada dan
kalau adapun hanya membabitkan nilai yang kecil.
Jika kita merujuk kamus dwibahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), integriti
bermaksud kejujuran, ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan. Integriti
dipengaruhi oleh faktor sekeliling dan adalah garis panduan, penanda aras,
titik rujukan atau matlamat yang digunakan untuk membuat keputusan yang
bergantung kepada ketepatan dan kejujuran. Oleh yang demikian, penghayatan
integriti juga adalah sejajar tuntutan Islam yang mengajar umatnya supaya
menghayati akhlak mulia seperti diperjuangkan oleh junjungan besar Nabi
Muhammad SAW.
Isu integriti bukan hanya rasuah
Perlu kita ingat, isu integriti bukan hanya berfokus kepada isu rasuah,
malah ia adalah konsep yang lebih besar. Amalan budaya kerja menuntut integriti
merangkumi ketepatan waktu, kerahsiaan dan penyampaian maklumat, memberi
perkhidmatan, perhubungan dengan ketua jabatan, rakan sekerja dan sebagainya.
Jika diteliti lebih mendalam, kita dapati seseorang yang terbabit dalam
rasuah, penipuan atau jenayah, biasanya bermula daripada perbuatan tidak
berintegriti dalam isu kecil. Orang yang tidak berintegriti membolehkan mereka
terjerumus dalam kes lebih besar seperti rasuah, pecah amanah, menipu atau
menggelapkan wang syarikat.
Bayangkan seseorang pekerja yang menunjukkan mereka berkerja keras di depan
bosnya, tetapi apabila bos tiada, akan menghilang atau tidak berada di tempat
masing-masing. Ada dalam kalangan bos pula yang menyalahgunakan masa untuk
membuat kerja peribadi. Kepemimpinan sepatutnya melalui teladan.
Setiap pekerja haruslah bergerak di atas landasan yang betul sebagai
prasyarat bagi menjayakan budaya kerja cemerlang, mempunyai komitmen, memiliki
kesedaran kualiti, bersedia menerima perubahan dan tiada batasan masa untuk
cemerlang. Kerja yang hendak dilaksanakan perlu dilakukan dengan sepenuh hati
atas mengikut kehendak organisasi dan mengetepikan kepentingan lain khususnya
kepentingan peribadi.
Di luar negara, tempat letak kereta orang kurang upaya (OKU) digunakan oleh
orang yang berhak saja dan perkara ini jarang berlaku di negara kita. Seseorang
boleh membeli akhbar yang disediakan di tempat awam dengan memasukkan wang ke
dalam peti yang disediakan dan mereka hanya mengambil senaskhah surat khabar.
Ramai yang tak berintegriti
Penulis berpendapat cara ini masih tidak boleh dilaksanakan di sini kerana
kemungkinan pembeli mengambil lebih daripada satu naskhah adalah besar. Sebagai
contoh surat khabar yang diedarkan secara percuma, masih ada orang yang
mengambil lebih daripada satu naskhah, padahal mereka perlu senaskhah saja
untuk dibaca. Perkara ini berlaku kerana mereka tidak berintegriti.
Justeru, penulis berharap pemberian baucar RM250 kepada pelajar kolej untuk
membeli buku, tidak disalahgunakan dengan membeli barangan lain dan mengambil
resit palsu daripada kedai tertentu. Integriti tidak hanya perlu dimiliki oleh
penerima baucar, tetapi juga oleh pemilik kedai buku. Begitu juga dengan
pemberian RM200 kepada remaja yang tidak bekerja, pemantauan sebaik baiknya
perlu dilakukan agar ia tidak disalahgunakan untuk membeli barangan yang tidak
berfaedah atau disalahgunakan oleh penagih dadah.
Cari kaedah terbaik
Pihak berwajib perlu mencari strategi bagi mengatasi masalah integriti.
Sekadar memberi ceramah, penulis rasa ia kurang berkesan dan tidak lagi relevan
pada masa kini. Kaedah terbaik dan sesuai perlu dicari untuk menerapkan nilai
murni terutama kepada generasi Y yang mempunyai fikiran yang berbeza dengan
generasi sebelumnya, memandangkan golongan inilah yang akan menjadi peneraju
negara pada masa akan datang.
Bagaimanapun, kita perlu ingat sebaik mana pun sistem yang diwujudkan, jika
orang yang melaksanakan sistem itu tidak berintegriti, sistem tidak akan dapat
berfungsi dengan baik.
Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah &
Kriminologi Universiti HELP
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan