Sabtu, 24 November 2012

ISU KESIHATAN : Peratusan kanak-kanak alami obesiti meningkat


Seri Iskandar : Peningkatan masalah obesiti di kalangan kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun menunjukkan peratusan membimbangkan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Sufaat Tumin, berkata Kajian Keutamaan Nutrisi di Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) mendapati kadar kegemukan kanak-kanak meningkat daripada 6.6 peratus kepada 13.6 peratus.

Kajian juga menunjukkan 25 daripada 100 pelajar di negara ini dikhuatiri akan mengalami masalah kegemukan pada 2020.

Ia berdasarkan trend peningkatan satu peratus kes obesiti pelajar setiap tahun, katanya berucap pada majlis perasmian pembukaan seminar sukan anjuran Bahagian Sukan, Kementerian Pelajaran Malaysia di Universiti Teknologi PETRONAS di sini, semalam.

Sufaat berkata, kajian pada 2009 menunjukkan 10 peratus atau 1,150 daripada 11,500 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun mengalami masalah kegemukan, manakala enam peratus (690 kanak-kanak) mengalami obesiti.

Satu kajian lain di Kuala Lumpur membabitkan 5,995 kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun pula mendapati murid lelaki mengalami peratusan berat paling tinggi iaitu 9.7 peratus berbanding 7.1 peratus murid perempuan.

Kajian itu juga mendapati sekurang-kurangnya 10 daripada 40 murid di dalam satu kelas mengalami masalah kegemukan, tidak aktif dan berisiko berpenyakit, katanya.

Beliau berkata, langkah Kementerian Pelajaran melaksanakan program sukan dan kegiatan kokurikulum adalah alternatif bagi menangani masalah kegemukan dan obesiti murid.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian juga memperkenalkan biasiswa sukan kepada pelajar cemerlang dalam bidang sukan, sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Ia sebagai menghargai jasa dan pengorbanan atlit sekolah yang berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang sukan masing-masing, katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan