Ahad, 25 November 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : 27 dipilih kumpulan pertama Saintis Penyelidikan Terbaik Malaysia


KUALA LUMPUR - Seramai 27 saintis tempatan yang aktif dipilih sebagai kumpulan pertama menerima anugerah Saintis Penyelidikan Terbaik Malaysia (TRSM) 2012.

Presiden Akademi Sains Malaysia Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali berkata mereka dipilih berdasarkan pencapaian dan prestasi cemerlang serta sumbangan terhadap penciptaan kekayaan dan kesejahteraan masyarakat.

"Mereka juga dipilih dari kalangan saintis penyelidikan Malaysia yang masih aktif berdasarkan kriteria pemilihan yang objektif, seimbang dan berstruktur selain mekanisme pemarkahan," katanya pada majlis penganugerahan Felo Akademi Sains Malaysia dan pengumuman TRSM di sini malam tadi.
  
Pada majlis itu, seramai 24 Felo ASM baharu dilantik manakala tiga lagi menerima penghormatan sebagai Felo Kanan yang membawa gelaran 'Tokoh Akademik'.
  
Ahmad Tajuddin berkata ASM mengiktiraf saintis tempatan yang menyumbang secara aktif dalam pelbagai bidang sains termasuk R&D, pembangunan polisi, industri, pendidikan serta perkhidmatan awam.
      
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, kumpulan TRSM ini menandakan permulaan bagi satu pangkalan data tempat kerja saintifik di negara ini yang memenuhi kriteria kecemerlangan R&D seperti ditetapkan akademi tersebut.
  
Abdullah, yang juga Felo Kehormat ASM, berkata beliau berharap pangkalan data TRSM akan membangun sebagai pusat rujukan negara bagi kepakaran saintifik berkaliber tinggi.
  
Beliau berkata, Malaysia sangat memerlukan modal insan dalam bidang saintifik bagi menjayakan pelaburan negara dalam R&D serta inovasi teknologi.
  
"Kita boleh lihat bukti ini di negara seperti Taiwan, Korea Selatan, Jepun dan beberapa negara blok Norway. Terdapat negara yang mencapai kemajuan sehingga dicemburui bukan kerana mereka dibanjiri sumber semula jadi berharga, sebaliknya kerana mereka banyak melabur dalam bakat manusia yang berkualiti.
  
"Malah di Malaysia, kita turut terhutang budi kepada pelaburan awal dalam pendidikan berkualiti namun kita tidak sepatutnya menganggap apa jua modal insan berkualiti yang kita bina akan kekal bersama kita," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan