Jumaat, 28 Disember 2012

ISU BAHASA : Bahasa 'SMS' perlu dibendung


KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan pihak berkenaan memberi perhatian terhadap penggunaan bahasa ringkas yang tidak mengikut kaedah betul kerana bahasa yang popular dalam kalangan generasi muda itu kini menular dalam aktiviti pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penularan hasil perkembangan bidang teknologi maklumat dan komunikasi itu perlu dibendung segera supaya tidak berleluasa seterusnya merosakkan keindahan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Hari ini ejaan-ejaan ringkas yang digunakan dalam mesej pesanan ringkas telah mula dipakai secara agak meluas, termasuk dalam aktiviti pembelajaran dan peperiksaan di institusi-institusi pendidikan.

"Ini adalah satu fenomena yang perlu dipantau dan dibendung dengan segera supaya ia tidak terus berleluasa," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010/2011 di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Awang Sariyan dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata pelaksanaan program pemantauan dan Audit Bahasa Melyau yang dijalankan DBP diharap berupaya mengelak keindahan bahasa kebangsaan itu daripada dirosakkan.

Beliau berkata, selain inisiatif itu, rakyat juga diseru agar dapat memupuk sikap cintakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan menggunakannya secara betul pada setiap masa, sama ada dalam urusan rasmi atau tidak rasmi.

Program audit tersebut adalah inisiatif terbaru DBP di bawah pelan strategik bagi 2011-2015 untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan rakyat tempatan.

Di bawah program itu, DBP akan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan kementerian untuk memastikan bahasa kebangsaan digunakan dengan sebaiknya oleh rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kecenderungan generasi muda yang hanya membaca karya yang bersifat popular juga perlu diberi perhatian dengan mengimbanginya melalui penerbitan karya sastera yang lebih serius.

Beliau berkata khalayak masyarakat harus  menyeimbangkan pembacaan mereka dengan memilih karya sastera yang serius untuk menggarap pemikiran yang lebih kritis dan membina nilai estetika.

"Dalam kerancakan penerbitan novel popular dan mudah, ia juga harus diseimbangkan, dan apa yang ingin saya lihat adalah wujudnya keseimbangan dalam penerbitan karya sastera dan pemilihan bahan bacaan kerana tamadun bangsa berkembang seiring dengan kemajuan budaya dan nilai kemanusiaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berharap Jawatankusa Penilai dan Pemilihan Teks sastera memberi keutamaan kepada karya sastera yang memenangi HSPM untuk digunakan dalam mata pelajaran kesusasteraan, bahasa Melayu dan Komponen Sastera (Komsas) di sekolah.

Beliau berkata, semua karya yang memenangi hadiah itu telah dinilai kualitinya, bukan sahaja daripada nilai sasteranya yang tinggi, malah aspek bahasanya juga amat baik.

Seramai 35 pemenang HSPM daripada tiga kategori yang dipertandingkan meliputi genre buku, eceran serta kanak-kanak dan remaja menerima hadiah wang tunai bernilai lebih RM100,000 pada majlis itu.

Antara pemenang ialah Kamaludin Endot atau nama penanya Pelita Di Dalam Kaca menerusi karya berjudul Baldatun Thoiyyibatun dan S.M Zakir dengan buku Serigala dan Sekuntum Tulip, tokoh sastera Zaen Kasturi, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia Fatimah Busu dan novelis terkenal Allahyarham Azizi Abdullah. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Komen