Khamis, 6 Disember 2012

ISU BAHASA : Pengarang Malaysia disenarai pendek bagi hadiah kesusateraan berprestij


MELBOURNE - Pengarang Malaysia, Tan Twan Eng ialah antara 15 penulis yang disenarai pendek bagi hadiah kesusasteraan paling berprestij Asia.

Senarai penuh Hadiah Kesusasteraan Lelaki Asia yang menawarkan wang tunai US$30,000, dan dipilih daripada 108 karya yang diterbitkan di sembilan negara Asia, dikemukakan kepada sebuah panel pengadil diketuai oleh pengkritik kesusasteraan dan wartawan Maya Jaggi, turut menampilkan tiga penulis yang menghasilkan novel sulung serta seorang pemenang hadiah Nobel.

"Kepelbagaian jalan cerita yang dimasukkan dalam senarai penuh kami memukau pembaca untuk mengikuti landskap kisah yang indah dan ada juga yang menjerihkan," kata Jaggi dalam satu kenyataan.

"Daripada glasier di utara Pakistan kepada padang pasir yang menyeksakan di Saudi; daripada resort mewah tepi pantai di Istanbul hinggalah kepada sarang candu di Bombay - lantas melangkau jauh ke Montreal serta Mexico."

'The Garden of Evening Mists' nukilan Tan berkisar tentang seorang siswazah muda dalam bidang undang-undang yang menjumpai satu-satunya taman Jepun di Malaya dan pemilik serta penciptanya yang begitu berahsia.

'Silent House', karya awal penulis Turki dan pemenang Hadiah Nobel 2006 dalam Kesusasteraan, Orhan Pamuk, turut tersenarai selepas diterbitkan dalam bahasa Inggeris buat julung kali.

Turki dan Iran antara 35 negara yang disenaraikan untuk memenangi hadiah itu, yang kini mencari penaja baharu setelah Man Group yang berpusat di London menamatkan pembiayaan bagi hadiah Asia selepas 2012.

Tujuh buah buku diterjemahkan, termasuk 'Northern Girls' oleh penulis China Sheng Keyi, tentang remaja 16 tahun yang meninggalkan kampung halamannya di Hunan untuk mencari masa depan yang lebih cerah di Shenzhen.

Karya lain termasuk dua buah buku yang disenarai pendek bagi Hadiah Fiksyen Man Booker 2012, yang dimenangi oleh pengarang Britain Hilary Mantel dengan nukilannya 'Bring up the Bodies' pada Oktober.

Buku 'Narcopolis' yang dihasilkan oleh Jeet Thayil, mengenai eksplorasi penagihan candu selama tiga dekad, turut disenarai pendek bagi Hadiah Fiksyen Man Booker 2012 dan beliau seorang daripada tiga pengarang India yang tersenarai dalam Hadiah Asia itu.

'Goat Days' oleh Benyamin yang mengisahkan nasib seorang ekspatriat di Teluk yang terpaksa menjalani hidup seperti hamba dengan mengembala kambing di tengah-tengah padang pasir Saudi yang menyeksakan.

'Another Country' oleh Anjali Joseph, pula menceritakan mengenai perjalanan seorang wanita berusia 20-an di Paris, London dan Bombay pada permulaan alaf baharu.

Senarai pendek yang mengandungi enam judul akan diumumkan awal Januari sebelum pemenangnya diisytiharkan pada Mac ini. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan