Khamis, 27 Disember 2012

ISU PENDIDIKAN : Guru tempatan mampu ajar Bahasa Inggeris


Oleh : Rejal Arbee
 
Mutu pendidik dari India dipertikai

Kerajaan baru-baru ini menyatakan hasratnya untuk mendapatkan guru dari India untuk mengajar Bahasa Inggeris di sekolah negara ini.

Persoalan yang timbul kenapa dari India? Apakah bahasa Inggeris dan pertuturan Inggeris guru dari India itu baik sangat hingga perlu kita berfikir untuk menggunakan khidmat mereka mengajar anak kita belajar dan bertutur bahasa Inggeris?

Difahamkan mereka masih menggunakan kaedah pengajaran tahun 60-an yang berfokus kepada pembelajaran ‘rote learning’ iaitu belajar secara menghafal. Inikah yang kita kehendaki? Pada hal kaedah itu sudah ketinggalan zaman.

Selain itu, pertuturan Inggeris kebanyakan daripada rakyat negara itu bukan saja tidak seperti dikehendaki tetapi boleh mengelirukan dengan telor pertuturan yang tentunya kita tidak mahu anak kita mengikutinya.

Apakah pihak berkuasa mahukan anak kita bertutur bahasa Inggeris dengan telor India? Malah pertuturan ‘Manglish’ oleh sesetengah rakyat negara ini adalah lebih baik daripada pertuturan mereka itu. Jadi bagaimana agaknya cadangan itu boleh dibuat?

Sebelum ini kita juga pernah menimbulkan kemungkinan membawa masuk guru dari Australia untuk mengajar bahasa itu.

Umum mengetahui bagaimana orang Australia berucap bahasa mereka dengan sebutan yang amat mengelirukan. Misalnya ‘today’ dipertuturkan sebagai ‘to die’.

Alangkah kelirunya murid kita nanti menerima pengajaran bahasa Inggeris dengan pertuturan yang carca marba sedemikian iaitu ada yang di pengaruhi guru dari India dan ada pula dari Australia dengan pertuturan Inggeris yang unik bagi kedua negara itu.

Persoalan juga timbul apakah pertubuhan guru kita sudah dibawa berbincang mengenai cadangan terkini itu?

Kenapa agaknya timbul pelbagai cadangan demikian ini? Apakah kita betul-betul ketandusan guru untuk mengajar bahasa Inggeris? Kalau betul berkurangan apakah yang telah diusahakan untuk meningkatkan jumlah mereka yang berkebolehan untuk mengajar bahasa itu dengan baik?

Apa sebenarnya yang melanda Kementerian Pelajaran hingga timbul pelbagai cadangan ini?

Wujud ‘red tape’

Sesetengah kalangan guru mengatakan negara tidak menghadapi masalah kekurangan guru Bahasa Inggeris kiranya murid-murid sekolah hanya dikehendaki dapat menghadapi peperiksaan kebangsaan.

Ada yang menyalahkan wujudnya ‘red tape’ di Jabatan Pelajaran yang membawa kepada kekurangan guru Bahasa Inggeris di sesetengah sekolah tertentu saja bukannya secara menyeluruh.

Kekurangan sebenarnya ialah terhadap guru yang fasih bertutur bahasa itu dan guru yang mempunyai kebolehan berkomunikasi dengan baik. Dikatakan juga bahawa walaupun ramai guru telah diberi latihan mengajar Bahasa Inggeris tetapi malangnya ramai antara mereka tidak berusaha untuk bertutur dalam bahasa Inggeris dalam kalangan mereka sendiri.

Perli penutur bahasa Inggeris

Malah mesyuarat antara guru yang mengajar Bahasa Inggeris pun dikatakan dilangsungkan dalam bahasa Melayu. Tentunya penggunaan bahasa Melayu ada tempatnya seperti juga penggunaan bahasa Inggeris.

Dikatakan ada pula guru yang suka memperli guru yang berusaha bertutur bahasa Inggeris dalam kalangan mereka yang mengajar bahasa itu. Inilah masalahnya kerana  ada antara kita yang suka merendah-rendahkan orang lain tanpa mahu mengakui kelemahan sendiri, di samping tidak pula suka melihat orang lebih baik daripada  diri sendiri.

Kini Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik media sebagai berkata, kementeriannya akan mengkaji dahulu apakah guru dari India itu perlu diambil dan ia tidak akan dilaksanakan dengan tergesa-gesa.

Inilah yang sepatutnya supaya apa-apa keputusan adalah yang terbaik demi kepentingan negara dan kehendak murid-murid sekolah kita.

Dalam pada itu sepucuk surat  di dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris mendakwa ramai guru yang berkelayakan mengajar bahasa Inggeris tetapi tidak pula diambil untuk mengajar hanya kononnya kerana tidak mempunyai cukup pengalaman.

Kalau mereka ini tidak diambil untuk mengajar bagaimana mereka mahu memperoleh pengalaman? Selain itu ada juga graduan yang berkebolehan mengajar bahasa Inggeris tidak juga diambil, malah ada dalam kalangan mereka ini berterusan menganggur. Kenapa pula perkara demikian boleh berlaku?

Persoalan juga timbul apa sebenarnya yang kita mahu dengan anak-anak lepasan sekolah kita? Sekiranya murid-murid itu dikehendaki boleh memaham, menulis dan khususnya bertutur bahasa Inggeris dengan baik tentunya bukanlah diajar oleh guru dari India.

Kalaupun benar kita mengalami kekurangan guru mahir untuk mengajar bahasa Inggeris, apakah guru bahasa Inggeris  yang sudah bersara tidak boleh diambil kembali sebagai guru kontrak?

Penulis ialah Felo Kanan di UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen