Isnin, 28 Januari 2013

ISU GLOBAL : 2012 tahun paling panas?




Saintis Nasa memaklumkan rekod suhu 2012 didakwa mengukuhkan lagi corak pemanasan global.

Ia juga dicatatkan sebagai antara 10 tahun paling panas pernah direkodkan dan melebihi purata jangka panjang untuk tempoh lebih tiga dekad.

Rekod suhu yang dikumpulkan secara berasingan oleh Nasa dan Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) mendapati permukaan suhu global meningkat kira-kira -17 darjah Celsius sejak tahun 1880.

Selain itu, rekod Nasa juga menunjukkan 2012 menjadi tahun kesembilan paling panas.

Pengarah NOAA, Tom Karl berkata, peningkatan suhu itu adalah disebabkan pembebasan gas karbon dioksida (CO2).

‘Bumi semakin hilang keseimbangan dan kami menjangkakan untuk beberapa dekad lagi suhu akan menjadi lebih panas,” katanya.

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki supaya manusia merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” Ayat 41, Surah Ar-Rum

10 kesan akibat pemanasan global pada masa depan

Kawasan Great Barrier Reef mungkin akan musnah dalam tempoh 20 tahun. Ia akan menjadi ekosistem pertama dunia yang pupus jika paras karbon dioksida meningkat  antara tahun 2030 dan 2060.

Hutan hujan Amazon akan bertukar menjadi padang pasir jika kawasan hutan hujan tropika terbesar itu musnah akibat daripada pemanasan global. Kira-kira 30 hingga 60 peratus kawasan hutan yang menjadi habitat jutaan spesies flora dan fauna itu kini terancam.

Gurun Sahara mungkin ditumbuhi rumput berikutan peningkatan taburan hujan. Ia akan kembali menjadi kawasan sesuai untuk pertanian seperti kira-kira 12,000 tahun lalu.

Taufan akan menjadi lebih dahsyat. Pemanasan global juga boleh menyebabkan taufan kategori 5 dan paras air laut meningkat serta menyebabkan banjir terburuk di kawasan pesisir pantai.

London juga mungkin berisiko tenggelam menjelang tahun 2100 seperti kawasan dataran rendah.Peningkatan mendadak paras air laut meletakkan puluhan bandar termasuk New York turut terancam.


Haiwan mungkin akan mengecil akibat daripada kesan pemanasan global. Kajian saintis mendapati saiz haiwan ternakan di Scotland menjadi lebih kecil akibat cuaca panas.

Kira-kira 2,000 pulau di Indonesia juga akan musnah menjelang 2030, kesan daripada aktiviti perlombongan secara berleluasa. Pada masa ini, Indonesia telah kehilangan 24 daripada 17,500 pulau yang terdapat di negara itu.

Pemanasan global didakwa boleh meningkatkan aktiviti keganasan. Keadaan itu akan menjejaskan kestabilan negara miskin di seluruh dunia. Penduduk mungkin cenderung untuk melarikan diri dan menyebabkan tekanan kepada negara yang menerima kumpulan pelarian tersebut.

Kawasan di pergunungan juga terdedah akibat perubahan suhu. Saintis menjangkakan glasier itu akan mencair sepenuhnya antara tahun 2030 dan 2050.

Maldives juga berisiko untuk tenggelam berikutan dunia kini terancam dengan  hakisan pantai. Keadaan itu akan menyebabkan pulau tersebut menjadi semakin kecil dan ia dijangka tenggelam dalam tempoh seratus tahun.

Garis masa fenomena cuaca melampau 2012

JANUARI

Banjir, tanah runtuh landa tenggara Brazil, menyebabkan 13,000 penduduk terpaksa dipindahkan . Hujan berterusan di kawasan itu turut menjejaskan kira-kira dua juta penduduk.

50 kebakaran hutan dilaporkan di tengah dan selatan Chile. Ribuan orang terpaksa dipindahkan dan turut menyebabkan ratusan rumah musnah serta kerugian mencecah jutaan ringgit.

Cuaca sejuk melampau dan salji tebal berlaku selama tiga minggu di Eropah.

Lebih 650 nyawa terkorban terutamanya di Rusia, Ukraine dan Poland.


FEBRUARI

Benua Amerika Syarikat mengalami suhu panas semasa musim sejuk bermula Disember 2011 hingga Februari 2012.

Suhu direkodkan mencecah -16 darjah Celsius.

Banjir besar di barat daya Queensland dan utara New South Wales menyebabkan ribuan penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka.

10 juta penduduk termasuk lebih sejuta kanak-kanak di Sahel mengalami krisis makanan berikutan kawasan itu dilanda kemarau terburuk.

MAC

Laporan IPCC berhubung Iklim dan Cuaca Melampau yang ditulis oleh 220 pakar dari 62 negara mendapati perubahan iklim telah menyebabkan gelombang haba, suhu meningkat tinggi dan hujan berterusan di kebanyakan rantau sejak 50 tahun lalu.

APRIL

Kawasan di selatan dan barat daya Amerika Syarikat dilanda kemarau luar biasa.

MEI

Banjir menjejaskan lebih 11,000 penduduk Rwanda. Kira-kira 1,000 hektar kawasan pertanian turut ditenggelami banjir. Beberapa infrastruktur seperti sekolah, klinik perubatan dan jalan raya paling terjejas.

Kemarau terburuk yang melanda timur laut Brazil dalam tempoh 50 tahun telah menjejaskan lebih 1,100 bandar. Secara purata, berlaku satu kematian sehari akibat kemarau itu.

JUN

Kemarau dan haba panas telah menyebabkan kebakaran hutan di kawasan seluas 5.5 hektar di Amerika Syarikat. Menjelang akhir Jun, sebanyak 57 hutan di 15 negeri telah musnah terutamanya di Colarado. Lebih 700 rumah dilaporkan telah musnah dalam kebakaran itu.

Hujan lebat di China mengakibatkan kira-kira lima juta penduduk terpaksa dipindahkan. Sebanyak 67 kematian turut dicatatkan.

JULAI

Hujan lebat berterusan selama 16 jam berhampiran Beijing turut meragut 77 nyawa. Kira-kira 700,000 penduduk terpaksa dipindahkan dan 500 penerbangan dibatalkan. Pada akhir Julai, China sekali lagi dilanda hujan lebat yang mengakibatkan 18 orang maut.

OGOS

Kira-kira satu juta penduduk terjejas selepas hujan berterusan selama dua minggu menenggelamkan 50 peratus bandar Manila.

Taufan yang membadai timur China memusnahkan 60,000 rumah dan menyebabkan sekurang-kurangnya 23 terkorban.

Banjir kilat dan kejadian tanah runtuh di Bangladesh meragut 130 nyawa dan menjejaskan kira-kira satu juta penduduk.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) bertindak mengawal virus West Nile yang menjadi wabak terbesar dalam sejarah di Amerika Syarikat(AS).

Menjelang minggu ketiga, sebanyak 1,118 kes pesakit dijangkiti virus itu dilaporkan di 47 negeri di AS. Ia turut menyebabkan 41 kematian.

Taufan Isaac membadai pantai teluk AS, kira-kira tujuh tahun selepas insiden taufan Katrina. Taufan kategori 1 itu turut menyebabkan hujan lebat melanda New Orleans.

SEPTEMBER

Paras ais Laut Artik mencatat rekod terendah sejak tahun 1979. Saintis memberitahu ais Artik mengecil kepada 3.41 kilometer persegi pada tahun lalu.

OKTOBER

Taufan Jelawat turut disenaraikan sebagai taufan terkuat yang membadai Pasifik Barat selepas Bolaven dan Sanba. Ketigatiga taufan itu telah membadai Jepun dan menyebabkan hujan lebat serta banjir di Semenanjung Korea.

Semenanjung Baja dibadai taufan Paul yang turut menyebabkan 1,000 rumah musnah. Banjir dan bekalan elektrik terputus turut menjejaskan 16,000 penduduk.

Selatan Australia mencatatkan purata taburan hujan terendah sejak tahun 1900.

Nigeria dilanda banjir terburuk selepas dua sungai terbesar negara itu, Niger dan Benue melimpah. Banjir yang bermula sejak Julai itu turut menyebabkan 363 maut, 2.2 juta hilang tempat tinggal dan kira-kira lapan juta penduduk terjejas.

NOVEMBER

Kawasan di timur Australia dilanda gelombang haba manakala tenggara dan tengah negara itu pula mengalami musim bunga yang luar biasa akibat fenomena itu.

Hujan lebat luar biasa menyebabkan banjir di seluruh Britain. Ia turut mengakibatkan kerugian sehingga 1.33 bilion pound (RM6.4 bilion).

DISEMBER

Pada 4 Disember, taufan Bopha menjadi ribut tropika terkuat yang membadai kepulauan Mindanao, Filipina. Angka kematian mencecah 902 orang dan lebih 600 hilang.

Sumber : http  : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan