Sabtu, 19 Januari 2013

ISU KENEGARAAN : Literasi politik didik penyokong beradab


Oleh :  Dr Mansor Mohd Noor
 
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008, Barisan Nasional (BN) kehilangan dua pertiga majoriti di Parlimen. Hal yang sama berlaku pada peringkat Dewan Undangan Negeri yang mana BN kalah di beberapa negeri.

Perubahan jumlah undi yang dimenangi parti bertanding tidak pernah menjejaskan pembentukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Ini perlu diperakui sebagai aset politik termahal dalam amalan demokrasi di Malaysia. Perbezaan pandangan dan pertikaman lidah diselesaikan melalui pilihan raya. Kita berharap kaedah keganasan sebagai satu jalan keluar tidak pernah menjadi pilihan pengundi pelbagai etnik di negara ini.

Namun begitu perkembangan budaya politik mutakhir ini kelihatan tidak begitu sihat. Beberapa pemimpin politik dan segelintir penyokong parti bertindak liar seperti memijak gambar pemimpin negara dan menghasut pendemonstrasi jalanan untuk bertindak ganas dan melanggar undang-undang. Hal ini perlu dikaji berteraskan ilmu dan kefahaman literasi politik yang mendalam.

Kepemimpinan negara, tanpa mengira parti politik dan ideologi, perlu sedar dan mendidik amalan berpolitik dalam kerangka demokrasi kepada penyokong masing-masing. Dalam suasana pengundi sedemikian rupa, negara bukan saja tidak stabil tetapi dipenuhi pertentangan politik dan demonstrasi jalanan berpanjangan hingga kestabilan politik, sosial dan kemajuan negara terkorban.

Kepemimpinan politik perlu mendidik rakyat dan penyokong mereka dengan ilmu mengenai literasi politik supaya mereka memahami erti demokrasi, institusi politik, keadilan dan toleransi. Ini akan melahirkan rakyat yang peka dengan nilai utama kemanusiaan mengenai kebebasan, hak dan keadilan.

Literasi politik itu bukan hanya semata-mata undi dimenangi dalam pilihan raya. Memenangi pilihan raya adalah permulaan untuk memahami pelaksanaan politik yang menetapkan konsep kerajaan, parti pemerintah, federalisme, kuasa Persekutuan dan kuasa Undang-undang Tubuh Negeri, kuasa eksekutif, birokrasi dan kehakiman dalam mereka menggubal dasar awam demi memakmurkan dan mensejahterakan rakyat jelata.

Perlu kenali parti politik

Oleh itu, sebelum mengundi, pengundi perlu mengenali parti politik dan calon yang akan bertanding serta dasar awam alternatif mereka, ideologi perjuangan mereka, manifesto parti dan rekod prestasi perkhidmatan parti dan calon mereka.

Rakyat pada hari ini didapati lebih rencam berbanding sebelum 1990-an yang mana perkongsian norma bersama yang merentas kumpulan etnik dan agama melahirkan pengundi yang peka dengan prestasi kerajaan, parti dan kepemimpinan politik yang boleh menjamin maruah, masa depan dan negara mereka. Mereka mahu berdialog dan berkomunikasi dengan kepemimpinan politik.

Justeru, kebebasan bersuara, kebebasan berkumpulan dan berpersatuan perlu diarusperdanakan. Menerusi kaedah penulisan, ceramah dan perbahasan politik, bukan saja literasi politik rakyat akan terbina tetapi juga memberi input untuk bakal pemimpin negara dengar dan dijadikan asas penggubalan dasar awam yang dekat di hati rakyat nanti.

Syor pendaftaran secara automatik

Suara golongan muda ini yang mahu pendaftaran secara automatik selepas mencapai umur 21 tahun dan penggunaan biometrik yang lebih terjamin dan canggih berbanding penggunaan dakwat penanda kuku yang menjadi amalan negara dunia ketiga perlu dipertimbang SPR.

Budaya mempolitikkan dasar awam dan pelaksanaan pembangunan di negara ini juga perlu dikurangkan dengan menetapkan tarikh pilihan raya umum tiga bulan sebelum tamat penggal pemerintahan sesuatu kerajaan dipilih pengundi seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat.

Dalam tempoh tiga bulan itu kerajaan sementara dibentuk untuk mengurus perjalanan negara yang bebas daripada mana-mana pengaruh parti politik sedia ada. Semasa pemerintahan kerajaan sementara hingga ke hari pengundian, SPR perlu tegas terhadap setiap parti politik dan calon yang akan bertanding untuk mematuhi Akta dan Peraturan SPR, terutama amalan rasuah politik dan penyalahgunaan kuasa sumber serta jentera kerajaan.

Golongan muda ini juga diperhatikan telah bersama golongan kelas menengah yang merentas kumpulan etnik membabitkan diri mereka melalui dunia siber dan NGO untuk memastikan perjalanan demokrasi berjalan dengan baik dan adil.

Peningkatan mendadak golongan muda mendaftar sebagai pengundi, terutama di Selangor tidak perlu disalahertikan dan dipolitikkan kerana ia menjadi bukti kepada kesungguhan golongan ini untuk memastikan maruah dan masa depan mereka terjamin. Ini sekali gus adalah kejayaan SPR yang bertungkus lumus melalui pelbagai cara berkempen di merata tempat untuk mendekati pengundi ini supaya mendaftarkan diri mereka.

Pemilikan ilmu dan kemahiran literasi politik dalam kalangan pengundi pasti akan membantu pengundi untuk membuat keputusan politik yang tepat demi memastikan kelangsungan hidup dan masa depan negara terjamin.

Sesungguhnya literasi politik membolehkan pemimpin dan parti politik serta rakyat menjadi lebih rasional, objektif dan turut memainkan peranan dalam pembinaan budaya demokrasi dan proses pilihan raya di Malaysia yang sihat dan aman.

Penulis ialah Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Majlis Profesor Negara

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen