Jumaat, 11 Januari 2013

ISU KENEGARAAN : Merealisasi budaya politik bermaruah manfaatkan rakyat


Oleh : Akhbar Satar
 
Tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) belum diketahui. Tempoh Parlimen sekarang akan berakhir 28 April ini. Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, mempunyai masa kurang daripada empat bulan untuk memilih calon yang bersih dan berintegriti, itu pun jika Parlimen tidak dibubarkan lebih awal.

Sehubungan itu, Transparency International-Malaysia (TI-M) turut serta memastikan calon yang akan bertanding mempunyai integriti yang tinggi. TI-M sudah mengambil inisiatif melancarkan Ikrar Integriti Pilihan Raya. Ikrar ini terbuka kepada semua calon yang bertanding dalam PRU-13 dan yang berminat untuk mengisytiharkan komitmen mereka bagi membangunkan sebuah negara yang bebas rasuah.

Ikrar ini juga menekankan nilai dan akhlak baik yang perlu ditunjukkan calon dalam menunaikan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat. Penulis berasakan inisiatif ini adalah satu langkah yang baik bagi meningkatkan integriti politik. Ia menetapkan kepada calon supaya menolak amalan rasuah dan politik wang semasa kempen pilihan raya dan selepas berjaya mewakili sesuatu kawasan.

Kandungan ikrar itu adalah seperti berikut:
  • Memastikan bahawa dana awam, sumber awam dan kemudahan awam tidak digunakan untuk tujuan berkempen.
  • Mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturan yang berkaitan, termasuklah pematuhan terhadap had belanja pilihan raya dan larangan terhadap perbuatan rasuah.
  • Memastikan apa juga tindakan dan keputusan mereka adalah demi kepentingan awam dan bukan untuk kepentingan peribadi. Mereka juga perlu mengamalkan prinsip ketelusan dan keterbukaan melalui pendedahan penuh dan kebebasan capaian maklumat kepada pihak awam.
Kontrak sosial calon

Ikrar ini adalah satu kontrak sosial kepada calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. Ia juga perisytiharan terbuka dan sukarela serta akauntabiliti antara calon dan pihak awam. Adalah menjadi tanggungjawab setiap calon untuk menunjukkan tahap integriti dan etika yang sewajarnya dan menepati janji sebagai mana yang diharapkan pengundi.

Selepas ikrar ditandatangani oleh seseorang ahli politik, beliau bolehlah dinilai dan dipantau masyarakat, terutama pengundi. Adalah menjadi tanggungjawab rakyat sebagai pengundi untuk memastikan bahawa calon dipilih akan mematuhi piawaian yang terkandung dalam ikrar itu.

Rakyat harus bijaksana dalam menilai prestasi kerja, keikhlasan berkhidmat dan keseriusan calon yang bertanding dalam mengangkat taraf kehidupan rakyat dan kemajuan negara tanpa melupakan aspek akhlak.

Walaupun tidak dikuatkuasakan oleh mana-mana badan atau undang-undang, penandatangan ikrar itu perlu membuka akaun rangkaian media sosial, iaitu sama ada Facebook atau Twitter untuk membenarkan komunikasi langsung dengan pengundi yang akan memantau dan memberi maklum balas ke atas tindak tanduk mereka.

Tak ramai berminat

TI-M  melancarkan laman timalaysia-electionpledge.org.my dan menerbitkan butiran mengenai penandatanganan ikrar terbabit, termasuk borang calon yang perlu diisi bakal calon. Dalam borang terbabit, calon perlu menyatakan alasan peribadi mereka menandatangani ikrar itu.

Sebagai EXCO TI-M, penulis mendapati tidak ramai yang berminat kecuali beberapa individu, termasuk Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Khairy Jamaluddin dan Nurul Izzah Anwar. Turut menandatangani ikrar itu ialah sembilan ahli STAR dan seorang lagi ahli PKR, DAP dan PSM.

Saifuddin menganggap integriti adalah faktor utama menentukan keperibadian ahli politik dan menganggap ikrar itu adalah komitmennya kepada rakyat. Beliau berasakan integriti politik terdiri daripada dua perkara utama iaitu membanteras politik wang, rasuah dan salah guna kuasa serta menegakkan nilai budaya politik yang sihat seperti idealisme, politik ilmu, politik bijaksana dan politik bakti.

Anjakan budaya, pemikiran

Bagaimanapun, pengundi akan lebih percaya jika mereka yang dipilih sebagai pemimpin, mematuhi undang-undang yang mereka sendiri gubal dan luluskan serta menghormati institusi pengawasan yang mereka tubuhkan.

Rakyat memerlukan kepemimpinan politik yang berintegriti tinggi dan tidak terbabit dalam kegiatan tidak beretika. Sehubungan itu, nilai murni seperti amanah, tidak terbabit rasuah, jujur, telus, ikhlas dan mengamalkan tadbir urus yang baik perlu ada pada diri pemimpin. Justeru, sudah tiba masanya untuk kita melakukan anjakan budaya dan pemikiran ke arah merealisasikan budaya politik baru lebih bermaruah dan berintegriti.

Ahli politik bukan saja perlu bersih daripada sebarang imej tidak baik tetapi juga kelihatan bersih. Kebarangkalian dilihat sebagai tidak bersih adalah besar jika calon enggan menandatangani ikrar itu. Bagi penulis, masih belum terlambat untuk mereka melakukan yang betul. Berani kerana benar takut kerana salah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen