Rabu, 16 Januari 2013

ISU SOSIAL : TLDM tidak guna wang awam bayar ah long


Oleh : LAKSAMANA TAN SRI ABDUL AZIZ JAAFAR

Saya ingin menjawab kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) SM Mohamed Idris dalam ruangan Forum akhbar Utusan Malaysia 15 Januari 2013 di halaman 12 yang mendakwa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan 'wang awam' untuk menyelesaikan hutang ah long yang diambil anggotanya.

Kenyataan tersebut adalah tidak benar dan beliau telah menyalah tafsir laporan akhbar yang mendedahkan TLDM berjaya menyelesaikan sebanyak RM139,000 hutang ceti haram atau ah long yang melibatkan 102 anggota yang dikeluarkan baru-baru ini.

Tindakan SM Mohamed menyelar tanpa usul periksa dan bersifat spekulatif boleh menimbulkan persepsi buruk masyarakat terhadap perkhidmatan TLDM.

Kita sedia maklum bahawa setiap individu dalam sesebuah organisasi pasti tidak lari daripada masalah hutang. Menyedari hakikat ini, TLDM telah mengambil pendekatan yang proaktif untuk menangani masalah hutang ah long yang membelenggu warganya.

Masalah ini sekiranya tidak dibendung boleh menjejaskan fokus warga yang bermasalah dalam melaksanakan kerja seharian dan tanggungjawab yang digalas.

Pendekatan yang diambil TLDM merupakan satu daripada amalan 'best practices' TLDM iaitu memberi bantuan kepada anggota yang bermasalah. Bantuan ini berbentuk pembiayaan pendahuluan yang ditampung oleh Tabung Kebajikan TLDM.

Tabung ini bukan merupakan dana awam dan tidak melibatkan sebarang sumbangan daripada kerajaan. Ia ditubuhkan khusus untuk menyelesaikan masalah kebajikan serta memberi bantuan kepada warga TLDM yang memerlukannya.

Tabung ini telah digunakan untuk mendahulukan bayaran bagi menyelesaikan hutang warga dengan bantuan pihak ketiga pada kadar yang jauh lebih rendah berbanding sekiranya bantuan tidak diberikan.

Jumlah sebenar warga TLDM yang terlibat dengan masalah pinjaman tidak berlesen ini ialah seramai 176 orang. Hasil siasatan terperinci yang dilakukan oleh Tim Pengurusan TLDM, didapati bahawa seramai 74 warga yang terlibat telah membayar lebih daripada jumlah yang sepatutnya dibayar.

Mereka ini telah ditindas oleh ah long yang memberi pinjaman sehingga terpaksa membayar jumlah yang terlampau. Penindasan ini dipandang serius oleh perkhidmatan TLDM.

Hasil rundingan yang dijalankan, individu terbabit tidak perlu menjelaskan baki hutang mereka.

Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh TLDM sebelum ini, seramai 102 warga yang dinyatakan didapati perlu diselesaikan hutang mereka. Jumlah hutang termasuk faedah yang dikenakan oleh ah long ke atas mereka ialah RM370,000. Hasil rundingan lanjut pihak ah long bersetuju agar mereka ini hanya membayar baki sejumlah RM139,000.

Walau bagaimanapun, warga yang terlibat dalam hutang ini masih tertakluk kepada arahan yang telah ditetapkan di mana potongan gaji tetap dilakukan pada setiap bulan dalam jangka masa yang singkat dan tidak membebankan individu terbabit untuk membayar balik kepada Tabung Kebajikan TLDM.

Langkah yang diambil oleh pihak TLDM dalam menangani masalah kewangan ini seharusnya tidak dijadikan isu dan sebaliknya pihak CAP perlu menyokong usaha dan pendekatan ini.

Jika dilihat dari sudut positif, pendekatan yang diambil TLDM ini bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah kewangan anggota malah dapat melepaskan warga yang terlibat daripada menjadi mangsa penindasan ah long.

Secara tidak langsung penyelesaian ini turut akan dapat meningkatkan moral dan prestasi kerja mereka.

Melalui penyelesaian tersebut, masalah sosial di kalangan warga TLDM yang melibatkan keruntuhan disiplin, melakukan kerja part-time, tidak hadir tanpa cuti serta masalah rumah tangga dapat diatasi.

Tindakan TLDM ini sebenarnya merupakan langkah yang terbaik dalam membantu warganya yang terlibat dalam kes hutang.

Bebanan hutang menyebabkan seseorang individu yang terlibat tidak fokus kepada tanggungjawab sehingga membawa kesan buruk kepada organisasi. Oleh itu, TLDM sentiasa berusaha membantu menangani sebarang permasalahan yang dihadapi demi kesejahteraan dan kebajikan warganya.

TLDM telah belajar melalui kes ini dalam menyediakan mekanisme dan sistem bantuan khidmat nasihat bagi mencegah peminjaman daripada pihak ah long.

Melalui penyelesaian ini, TLDM dapat membendung kes hutang terlampau dan secara langsung akan mendapat memotivasikan warga TLDM dalam pengurusan kewangan agar perkara ini tidak berulang.

Dalam kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi yang terlibat iaitu Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang membantu serta pihak yang memberikan kerjasama dalam menangani isu ini.

Penulis ialah Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan