Rabu, 27 Februari 2013

ISU KEIBUBAPAAN : Anak mewarisi sikap ibu bapa

Elakkan pertengkaran di hadapan anak
Oleh  : Norlaila Hamima Jamaluddin

Kemahiran keibubapaan memang sangat penting dalam membentuk keluarga bahagia dan memperoleh anak yang mendengar kata. Sana sini orang memberikan panduan keibubapaan yang baik, malah ada beratus buku membincangkan perkara ini dengan terperinci.

Namun, ramai ibu bapa terlepas pandang sikap mereka sendiri yang boleh memberi kesan buruk pada perkembangan psikologi dan perlakuan anak. Ramai juga ibu bapa yang berasakan mereka ‘terlepas’ untuk menikmati saat anak membesar kerana kesibukan kerja dan perkara ini hanya disedari apabila anak meningkat remaja serta menunjukkan perlakuan yang memeningkan kepala.

Sebenarnya tanpa sedar, anak banyak ‘mewarisi’ sikap kita terutama perlakuan yang buruk. Sebelum ia terjadi, marilah kita sama-sama menilai semula sikap yang boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan anak seperti:

i. Memberi gelaran tidak baik kepada seseorang

Anak sekarang bijak dan mereka boleh mengesan apabila mendengar sesuatu yang tidak sepatutnya diucapkan. Jika anda ada tabiat ini, berusahalah menghentikannya supaya anda tidak menjadi teladan buruk kepada anak.. Memberi gelaran sama ada kepada guru, ahli keluarga, jiran atau orang yang melewati di depan rumah anda adalah satu tabiat yang sangat hodoh.

Oleh sebab kanak-kanak masih belum pandai membezakan antara baik dan buruk, dikhuatiri dia melakukannya ketika berada di khalayak ramai.

Pada masa sama, elakkan juga memberi gelaran kurang manis kepada anak seperti ‘hitam’ (kerana kulitnya gelap) atau ‘cik mok’ (disebabkan badannya montel) seperti yang kerap dilakukan kebanyakan ibu bapa. Jangan beri anak gelaran negatif seperti penipu, bodoh, lembab, degil, lembik atau pembelot. Walaupun ada kalanya ia bertujuan untuk mengusik, ia memberi kesan buruk kepada psikologi anak.

Panggilan seperti ini akan mengikis keyakinan diri mereka dan perkara ini boleh berlanjutan sehingga dewasa. Mereka akan membesar sebagai individu yang kurang yakin dan mempunyai tanggapan negatif pada diri sendiri. Panggilan negatif yang diulang berkali-kali lama-kelamaan akan meresap dalam fikiran anak dan dia percaya dirinya memang mempunyai sifat seperti nama gelaran itu.

Kita boleh mengubah panggilan negatif ini kepada positif. Contohnya jika memang kulitnya agak gelap berbanding anak lain, panggillah dia ‘si hitam manis’, namun lebih baik jika perkataan yang menggambarkan warna kulitnya dipadamkan terus. Ciri fizikal seperti warna kulit dan bentuk badan hanyalah sifat luaran, apa yang penting ialah budi pekertinya. Jika si anak gemuk, ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab untuk membantu menguruskan berat anak demi kesihatan dan keyakinan dirinya.

ii. Bercakap dengan nada suara yang tinggi atau suka menengking

Sedarkah kita tabiat yang buruk itu lebih mudah dan cepat ditiru berbanding nilai murni? Anak akan menganggap bercakap dengan nada tinggi itu satu perkara normal dan melakukan perkara yang sama tidak kira di mana dia berada.

iii. Tidak memberikan perhatian kepada anak

Tidak mengendahkan anak secara fizikal atau emosi boleh memberi kesan negatif kepada anak anda. Tidak mengendahkan anak adalah antara penganiayaan yang paling biasa berlaku. Tidak memberi perhatian kepada keperluan anak membabitkan makanan, tempat tinggal, pendidikan, penjagaan kesihatan dan keselamatan akhirnya akan membuatkan anak berasa dipinggirkan dan rendah diri. Ia boleh meninggalkan parut psikologi yang berpanjangan.

iv. Mendera anak secara fizikal dan lisan

Tanpa disedari kita melakukan penderaan lisan kepada anak-anak dengan mengherdik, mencemuh, memaki-hamun atau memanggilnya dengan nama yang memalukan. Kita tidak sedar kerosakan psikologi yang berlaku dalam fikiran anak kita. Akibatnya anak akan hilang keyakinan dan sentiasa berasa rendah diri.

Memang tidak salah kita menghukum anak jika dia melakukan kesalahan, tetapi biarlah hukuman yang berpatutan, sesuai dengan jenis kesalahan dan umurnya. Ada banyak cara tidak menyakitkan boleh kita gunakan untuk menghukum anak supaya dia sedar. Kanak-kanak memerlukan sentuhan fizikal daripada ibu bapa seperti pelukan, ciuman dan tanda penghargaan yang lain.

Jika anda marah menjerit-jerit, memanggilnya dengan nama gelaran, kerap mengatakan dia bodoh, tidak berguna, tidak bagus dan seumpamanya, lama-kelamaan anak akan percaya dia memang dilahirkan begitu. Setiap orang dicipta dengan kelebihan tersendiri. Carilah dan pupuk kelebihan itu supaya ia boleh menjadi ‘ejen’ untuk meningkatkan keyakinan dan jati diri anak.

v. Pilih kasih

Kata orang tua-tua dulu, setandan pisang bukan semuanya sama baik. Sama juga dengan anak kita, masing-masing mempunyai karakter, kelebihan dan kekurangan masing-masing. Di sesetengah negara contohnya China dan India, budaya pilih kasih ini memang sangat ketara yang mana anak lelaki disayangi dan dihargai. Anak perempuan pula bukan saja kurang diberikan peluang pendidikan, bahkan mereka perlu bekerja untuk membantu keluarga menghantar anak lelaki ke sekolah.

Ada banyak faktor yang boleh menyebabkan berlakunya sikap pilih kasih, antaranya ialah pencapaian pelajaran, kerjaya, rupa paras dan peribadi anak itu sendiri. Malah rasa benci atau dendam kepada pasangan juga boleh menyebabkan seseorang bersikap pilih kasih pada anak.

Sikap pilih kasih akan mencetuskan suasana kurang sihat dan membuatkan anak berasa kecil hati, tidak disayangi dan ada kemungkinan besar ia merapuhkan hubungan kekeluargaan akibat timbulnya rasa tidak puas hati. Ada sesetengah ibu bapa tidak sedar mereka bersikap pilih kasih tetapi ia amat jelas di mata anak-anak. Jika ada antara anak merungut mengatakan kita pilih kasih atau tidak adil, ambil berat rungutan mereka. Nilai semula tindakan kita dan berusahalah untuk memberi layanan sama rata kepada anak.

vi. Menggalakkan anak berkelakuan tidak elok dengan tidak menetapkan disiplin

Ramai ibu bapa tidak berbuat apa-apa apabila anak menunjukkan perlakuan tidak elok dan lebih malang mereka marah apabila ada orang menegur tindakan si anak. Sebelum kita hendak menegur anak, perhatikan dulu tingkah laku kita.

Kebarangkalian untuk anak mewarisi perwatakan kita amat tinggi kerana setiap hari dia melihat tingkah laku anda yang sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran dan perlakuannya. Jika kita bercakap kasar, tentulah teguran supaya anak bercakap sopan tidak akan meninggalkan kesan di hatinya.

Selain itu, jika berlaku perselisihan faham antara anda dan isteri, paling penting elakkan bertengkar di depan anak. Simpanlah sikit rasa malu pada anak-anak, jangan tunjukkan sikap buruk anda berdua di depan mereka.

Pertengkaran tidak akan membawa kebaikan pada mana-mana pihak termasuk anak-anak. Tempias negatifnya turut terkena pada anak kerana anak yang kerap menyaksikan ibu bapa bertengkar akan berasa tertekan, sedih dan mungkin menganggap merekalah punca berlakunya keadaan berkenaan.

vii. Terlalu sibuk sehingga tiada masa melayan anak

Ini juga antara tanda gaya keibubapaan yang buruk. Memang diakui ibu bapa kini sibuk bekerja bagi memberikan kehidupan yang lebih baik kepada anak. Bagaimanapun, perkara terpenting dalam perkembangan anak adalah kita ibu bapa bukan wang ringgit atau gajet elektronik yang mahal. Kesibukan sehingga tiada masa untuk diluangkan bersama anak bermakna kita mengabaikan anak sendiri.

Luangkan masa untuk berbual, mengambil tahu apa yang berlaku pada anak ketika di sekolah, siapa kawan-kawannya, meneliti dan membantu dia menyiapkan tugasan sekolah serta terbabit dalam aktivitinya adalah antara cara untuk mendekati hati si kecil.

Jika duduk menemaninya, tetapi kita sibuk melayan laman sosial atau telefon bimbit, pun tiada gunanya. Keasyikan kita melayan laman sosial atau telefon bimbit memberi gambaran tidak baik kepada anak kerana ia menunjukkan teman di laman sosial itu lebih penting berbanding dirinya yang ada di sisi kita.

viii. Tidak rajin melayan pertanyaan anak

Ketika anak mula belajar bercakap, kita sibuk memperkenalkannya dengan banyak perkataan namun apabila dia sudah petah, kita pula malas hendak melayan pertanyaannya. Lebih buruk jika pertanyaannya kita jawab dengan satu atau dua patah perkataan saja seperti ‘Entah’, ‘Ibu tidak tahu’, ‘Jangan bisinglah’ atau ayat lain yang membantutkan sikap ingin tahunya.

Jangan kecewa atau marah apabila anak remaja memberikan jawapan yang pendek juga seperti ‘baik’, ‘okay’, ‘tidak tahu’, ‘biasa saja’ apabila kita bertanya perjalanan harinya. Mereka belajar daripada kita. Kita yang mengajarnya untuk menjawab begitu. Jika kita tidak tahu jawapan kepada pertanyaannya, kita boleh kata ‘Ibu tidak tahu, nanti ibu cari jawapannya’ dan tunaikan janji ini secepat mungkin.

ix. Mengamalkan corak pemerintahan kuku besi

Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak dan berasakan kita berhak membuat semua keputusan. Walaupun kita lebih dulu makan garam, tidak semestinya semua keputusan yang kita ambil itu betul. Ketahuilah anak juga mempunyai minat, cita rasa dan pendapat sendiri sesuai dengan zamannya. Dengar pendapat anak dan beri cadangan untuk mendapat keputusan yang lebih baik. Dengan cara ini anak akan berasa dirinya penting dan dihargai.

x. Memanjakan anak dengan wang atau barangan berjenama

Anak yang dimanjakan dengan wang dan barang berjenama akan bersikap individualistik dan materialistik (mementingkan kebendaan). Ia akhirnya boleh membuahkan sikap suka menunjuk-nunjuk dan kurang prihatin kepada kawan yang kurang berkemampuan. Sikap ini perlu dibendung lebih-lebih lagi jika dia anak tunggal.

Pupuk sikap pemurah dengan menggalakkan dia bersedekah sejak kecil. Jadikan bersedekah itu amalan keluarga supaya sikap yang baik ini akan terus subur dalam jiwa anak. Jika kita sendiri kedekut, tidak mustahil anak juga akan bersikap kedekut.

Ketahuilah, bersedekah tidak menjadikan kita miskin atau susah sebaliknya ia akan membuatkan rezeki kita lebih berkat dan bertambah. Pada masa sama, kita dapat menggembirakan orang lain.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan