Jumaat, 8 Februari 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Transformasi meningkatkan kualiti pengajian tinggi


Oleh :  Alimuddin Mohd. Dom

"INSTITUSI pengajian tinggi (IPT) tidak seharusnya hanya berfokus ke arah melahirkan modal insan dan memenuhi aspirasi nasionalisme sahaja tetapi hendaklah lebih daripada itu iaitu untuk melonjakkan kebolehsaingan negara di peringkat global."

Demikian antara petikan ucapan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Majlis Amanah Tahun Baharu 2013 di PICC, Putrajaya pada 29 Januari lalu.

Amanat yang diucapkan hampir satu jam 30 minit itu merangkumi lapan agenda dan 44 penyataan dasar menggambarkan usaha keras Kementerian Pengajian Tinggi untuk melonjakkan kualiti IPT.

Sudah tentu ia selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan negara ke arah negara maju yang berpendapatan tinggi.

Keutuhan dan kecemerlangan IPT sama ada institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) atau institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) sangat signifikan dalam menentukan kebolehupayaan dan daya saing negara. Peruntukan besar sebanyak RM13.7 bilion dalam Bajet 2013 membuktikan kerajaan memberi perhatian serius terhadap keupayaan sektor pengajian tinggi.

Terdapat sekurang-kurangnya tiga mesej utama yang ditekankan oleh Menteri Pengajian Tinggi dalam amanatnya itu. Pertama, menyeru semua IPT melaksanakan transformasi dengan mengkaji semula program pengajian dan aktivitinya serta membuat penambahbaikan supaya selaras dengan hasrat Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diterajui oleh Perdana Menteri.

Kedua, sebagai institusi menara gading peranannya hendaklah turut terarah memberi perkhidmatan kepada komuniti. Perlu disediakan program untuk warganya turun ke gelanggang melaksanakan aktiviti bersama rakyat.

Setiap IPT digalakkan menubuhkan ‘‘Pusat Transformasi Komuniti’’ yang berorientasikan strategi lautan biru. Diyakini bahawa IPT mampu bertindak sebagai jentera yang boleh menggerakkan usaha ke arah meningkatkan keupayaan serta kemajuan komuniti dan masyarakat.

Ketiga, IPT hendaklah memberi penekanan kepada usaha melahirkan graduan berkemahiran dan berdaya saing bagi memenuhi pasaran pekerjaan. Program pengajian perlu diselaraskan dengan keperluan bidang industri. Wajar sekali IPT berganding bahu dengan pihak industri agar graduan yang dihasilkan berupaya mengisi tenaga kerja terutama bagi keperluan negara menjelang tahun 2020.

Sesungguhnya landskap pengajian tinggi amat dinamik kerana berhubung kait dengan keutuhan ekonomi dan sosio budaya negara. Kepesatan perkembangan ilmu pengetahuan di IPT menjadi pemangkin kepada kreativiti dan inovasi. Impaknya akan terhasil melalui peningkatan kapasiti negara terutama dalam persaingan di peringkat global.

Bagi menjayakan matlamat tersebut semua warga IPT disaran membuat anjakan paradigma dan melakukan transformasi ke arah yang dihasratkan oleh kepimpinan negara. Kedua-duanya merupakan sinergi yang akan bertindak untuk menjana pembangunan negara secara seimbang dan holistik.

Di peringkat kementerian tindakan awal telah diambil dengan menilai semula dan membuat cadangan baru ke atas Pelan Strategik Pengajian Tinggi 2007. Dijangkakan Pelan Strategik baru akan dilaksanakan pada tahun 2014.

Sementara itu semakan semula terhadap peraturan dan garis panduan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 akan dilaksanakan melalui pembentukan jawatan kuasa khas dipengerusikan oleh Naib Canselor Taylor’s University, Prof. Datuk Dr. Hassan Said.

Negara memerlukan ramai warganya yang berkemahiran bagi mengisi keperluan tenaga kerja. Oleh itu IPT perlu menyediakan lebih banyak program pengajian yang berasaskan bidang sains teknikal dan teknologi. Disarankan juga penyediaan program dan aktiviti berbentuk komersial dan keusahawanan.

Gabungan kedua-dua bidang itu akan memberi nilai tambah kepada kebolehpasaran siswa bagi memasuki pasaran pekerjaan apabila bergraduat nanti.

Kini hampir keseluruhan IPT memberi keutamaan kepada bidang penyelidikan. Ada antaranya memberi fokus kepada bidang kritikal seperti nanoteknolgi, bioteknologi, automotif, pengkomputeran dan kejuruteraan.

IPT hendaklah mewujudkan kolaborasi dan kerjasama dengan pihak industri melalui pendekatan menang-menang kerana ia boleh memberi manfaat kepada kedua belah pihak.

Peningkatan bilangan siswa di peringkat pasca siswazah perlu diberi perhatian. Kini terdapat 79,633 siswa di IPTA dan kira-kira 20,000 siswa di IPTS yang sedang mengikuti pengajian peringkat master dan Ph.D. IPT perlu mempunyai perancangan jangka panjang untuk melipatgandakan bilangan tersebut kerana negara memerlukan lebih ramai warganya yang mempunyai tahap pendidikan akademik yang tinggi.

Isu kebolehpasaran graduan sering mendapat perhatian masyarakat. Melahirkan graduan yang serba boleh dan bersifat holistik hendaklah menjadi keutamaan IPT. Gerak kerja luar dewan kuliah dan bilik tutorial melalui aktiviti kokurikulum mesti digalakkan. Pemberian jam kredit bagi aktiviti tertentu boleh menarik minat siswa mengambil bahagian secara aktif.

Nampaknya program 1M4U dan aktiviti Yayasan Sukarelawan Siswa telah mendapat kerjasama dan penyertaan ramai daripada mereka.

Pencapaian Malaysia memungut pingat emas terbanyak dan sekali gus menjadi juara dalam Temasya Sukan Antara Universiti-Universiti ASEAN di Vietnam baru-baru ini perlu mendapat penghargaan daripada semua pihak. Ini bermakna kita tidak ketandusan bakat-bakat sukan yang boleh diketengahkan.

Jika diberi peluang mereka boleh mewakili negara dalam acara sukan di peringkat antarabangsa di masa akan datang.

Bagi mengekalkan kualiti IPTS pihak Kementerian akan melaksanakan moratorium atau pembekuan permohonan penubuhan IPTS selama dua tahun yang akan bermula pada 1 Februari lalu.

Langkah ini perlu kerana hingga kini terdapat 37 universiti swasta, 20 kolej universiti swasta, 7 kampus cawangan universiti luar negara dan 414 kolej swasta di seluruh negara.

Jumlah IPTS tersebut dijangka telah mencukupi bagi menampung keperluan pengajian tinggi sama ada daripada dalam atau luar negara.

Akhirnya dalam Majlis Amanat Tahun Baru 2013, Mohamed Khaled menyarankan bahawa: "Kualiti adalah jantung kepada IPT. Oleh itu anjakan paradigma dan transformasi perlu dilakukan terhadap sistem tadbir urus, program pengajian dan keupayaan pensyarah ke arah yang lebih berdaya maju.’’

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan