Khamis, 7 Mac 2013

ISU BAHASA : Identiti nasional hanya pada bahasa Melayu


 Oleh : Prof Dr Teo Kok Seong

Kenyataan bahawa bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin adalah bahagian penting kepada identiti nasional kita, selain dapat memperkasanya, adalah tidak tepat. Ia dibuat berlandaskan kecekapan sebahagian rakyat Malaysia dalam tiga bahasa ini. Justeru, dengan cepat, kecekapan dalam pelbagai bahasa ini dimaklumkan sebagai sebahagian identiti nasional kita.

Berdasarkan landasan identiti nasionalisme, hanya bahasa pribumi yang boleh dijadikan identiti nasional. Justeru, bahasa Melayu  saja yang layak lagi sah menjadi identiti nasional rakyat dan negara Malaysia.

Tidak dapat dinafikan kebolehan linguistik ini adalah sesuatu yang baik. Namun, ia tidak boleh dikaitkan dengan persoalan identiti nasional, yang tidak boleh dengan sewenang-wenangnya dirumuskan tanpa mengambil kira unsur kepribumian yang juga prasyarat utamanya.

Keadaan linguistik yang memperlihat adanya rakyat Malaysia yang fasih dalam tiga bahasa ini, lebih cocok dikaitkan dengan profil linguistik nasional atau hal-hal seumpama ini. Lagipun, dengan tidak memasukkan bahasa Tamil pada identiti nasional seperti dimaklumkan itu, kaum India yang juga adalah bahagian penting dalam kependudukan Malaysia, pasti akan berasa kecil hati.

Memang benar bahasa Tamil tidak banyak diketahui oleh rakyat jika dibandingkan dengan bahasa Mandarin. Namun, kalaulah istilah identiti nasional itu ingin digunakan dari sudut kebahasaan atas dasar kewujudan kaum tertentu sebagai bahagian penting dalam kerakyatan Malaysia, bukan saja bahasa Tamil perlu ikut dimasukkan. Pelbagai bahasa lain, khususnya yang pribumi seperti bahasa Iban dan Kadazandusun pun perlu disertakan dalam identiti nasional kita.

Setia kepada tanah air

Konsep identiti nasional yang cuba merangsang perasaan kebersamaan dalam kalangan kita yang pelbagai kaum ini, agar memiliki kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanah air, berdasarkan satu bahasa pribumi saja, sebetulnya boleh dibahaskan, lebih-lebih lagi dalam konteks negara yang mempunyai kependudukan yang rencam. Perbahasan ini boleh menjadi sengit apabila gagasan tradisional tentang identiti nasional ingin terus diguna pakai, walhal dunia kini sedang mengalami perubahan pesat akibat proses globalisasi.

Namun, untuk negara kita, faktor kaum Melayu yang juga etnik dominan, baik dari segi sejarah mahupun perkembangan semasa, perlu diambil kira apabila identiti nasional disentuh dari apa-apa sudut juga, sama bahasa, budaya mahupun yang lain-lain. Sehubungan ini, etos kaum Melayu dalam beberapa hal, termasuk bahasa Melayu adalah sebahagian penting dalam Perjanjian Etnik atau Kontrak Sosial sewaktu kita mencapai kemerdekaan, dan kini dalam Perlembagaan Persekutuan.

Etos ini yang juga gagasan tradisional itu perlu terus dipertahan untuk menyatakan identiti nasional kita. Dengan ini, tidak harus timbul persoalan kalau bahasa Mandarin dan lain-lain bukan sebahagian identiti nasional. Apatah lagi bahasa Inggeris yang bukan bahasa etnik mana-mana puak signifikan di Malaysia.

Sesungguhnya, bahasa Melayu selaku bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan, adalah identiti nasional rakyat Malaysia. Ia bahasa pribumi selain bahasa etnik kaum majoriti lagi dominan di negara ini. Justeru, ia bukan saja lambang nasional dan indeks identiti setiap individu dan kelompok dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bahasa bezakan rakyat

Yang lebih penting, bahasa Melayu mempunyai keupayaan membezakan rakyat Malaysia dengan warga dunia lain. Perbezaan inilah yang dikatakan identiti nasional. Dalam hal ini, bahasa Melayu menjadi pemisah antara rakyat Malaysia dengan rakyat Korea misalnya. Ini kerana kita dikaitkan dengan bahasa Melayu, manakala mereka dengan bahasa Korea. Dengan ini, melalui bahasa Melayu, wujudlah politi Malaysia yang tidak sama dengan yang dimiliki orang Korea dan lain-lain, sama ada sebagai bangsa ataupun negara.

Pada masa sama, bahasa Melayu adalah penyatu dalam kalangan rakyat Malaysia. Menerusinya, kita berkongsi ciri dan sifat, selain kepentingan yang sama. Melalui semua ini pula, walaupun kita berasal daripada pelbagai kumpulan etnik, kita sebenarnya disatukan oleh penerimaan dan penggunaan bahasa Melayu yang dikongsi bersama.

Walaupun bahasa Melayu identiti nasional, bahasa lain tidak dihalang penggunaannya. Tetapi untuk nasionalisme kebangsaan, bahasa Melayu perlu ditonjolkan secara tunggal, agar etos Melayu terus unggul di tanah watannya sendiri.

Penulis Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen