Jumaat, 22 Mac 2013

ISU PENDIDIKAN : Fokus pelajaran rahsia pelajar terbaik dapat 11A+

Ayisy Amirul Afti menerima ciuman ibunya, Norkamawati Kamal selepas memperoleh 
keputusan cemerlang SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pahang, Muadzam Shah.

ROMPIN 21 Mac - Doa dan menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas termasuk menyiapkan semua tugasan diberikan guru dengan sempurna menjadi rahsia Ayisy Amirul Afti Bakhtiar Afendy mendapat keputusan cemerlang 11A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Keputusan yang dicapai Ayisy Amirul Afti, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Pahang, Muadzam Shah itu membolehkannya bukan sahaja menjadi pelajar terbaik sekolah itu, malah terbaik seluruh negeri Pahang.

"Saya sangat gembira kerana usaha saya selama ini membuahkan hasil apabila mendapat A+ dalam semua subjek, terima kasih kepada guru-guru yang banyak memberi bimbingan serta petua yang berguna.

"Guru-guru di sini berusaha keras untuk memberi ilmu yang secukupnya kepada kami malah mereka sentiasa memastikan kami dapat menguasai segala yang diajar,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di SMKA Pahang, Muadzam Shah di sini hari ini.

Menurutnya, paling penting ialah mengetahui cara memanfaatkan masa di dalam kelas bagi memperoleh seberapa banyak ilmu dan jangan malu bertanya jika tidak faham.

Ayisy Amirul Afti yang juga merupakan pengawas pusat sumber sekolah berkata, selain memberi tumpuan sepenuhnya di dalam kelas, dia juga mengikuti kelas tambahan melalui Yayasan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (YGPMS).

"Saya selepas ini akan melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan berharap sangat akan dapat ke Ireland, Scotland ataupun Mesir," katanya yang juga salah seorang imam di sekolah tersebut.

Sementara itu, bapa Ayisy Amirul Afti, Bakhtiar Afendy Mat Noor, 40, berkata, kejayaan anak sulungnya itu adalah berkat hasil usahanya selama ini.

"Saya sebagai bapa hanya pastikan anak saya mendapat pendidikan bukan sahaja dari segi akademik malah keagamaan," katanya yang merupakan kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi di Kuantan.

Beliau dalam pada itu berharap, anaknya akan mendapat penajaan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen