Rabu, 20 Mac 2013

ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI : Pengukuhan Keselamatan ICT Jabatan Kerajaan Dalam Mencegah Penggodaman


Oleh : MUHAMMAD IQBAL IKHWANDI MAT ZIN

‘Maklumat di hujung jari’ adalah frasa yang diguna pakai untuk menggambarkan fenomena masa ini.

Kita tidak dapat lari daripada mengaitkan frasa ini dengan alam siber atau lebih spesifik lagi Internet.

Bagi merealisasikan objektif ‘maklumat di hujung jari’ ini, maklumat-maklumat yang dahulunya disimpan secara konvensional kini telah berubah wajah, apabila atas nama ‘peredaran zaman’ maklumat-maklumat pada masa ini banyak di simpan secara ‘atas talian’ ataupun online.

Fenomena ini turut disokong oleh dasar-dasar kerajaan melalui kementerian, jabatan mahupun agensi-agensi kerajaan.

Dalam konteks ini, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) adalah pemangkin kepada perkara ini dengan menerajui polisi Kerajaan Tanpa Kertas.

Intipati bagi polisi Kerajaan Tanpa Kertas ini adalah pewujudan sistem pengurusan dokumen secara digital serta urusan antara agensi kerajaan seperti surat/memo, jemputan, pekeliling dan minit mesyuarat dijalankan secara atas talian.

Perkara ini adalah satu usaha murni sejajar dengan salah satu bidang di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) iaitu Komunikasi Kandungan dan Infrastuktur (CCI).

Berbekalkan semangat ‘kaizen’ ataupun penambahbaikan berterusan, polisi Kerajaan Tanpa Kertas yang dijuarai oleh MAMPU ini wajar dilihat dari perspektif keselamatan maklumat.

Insiden penggodaman terhadap dua sistem atas talian milik Jabatan Penerangan Malaysia iaitu sistem e-Press dan e-Akhbar pada 18 Februari 2013 wajar dijadikan iktibar oleh semua pihak.

Ini bukan kali pertama kes laman web rasmi jabatan kerajaan digodam oleh individu dan golongan yang tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, terdapat beberapa lagi laman web jabatan kerajaan lain yang turut menjadi mangsa kerakusan penggodam untuk mencapai kepuasan peribadi mereka.

Saranan yang wajar diberikan bagi membendung dan mencegah perkara ini daripada terus berlaku pada masa hadapan ialah dengan mempertingkatkan tahap keselamatan Komunikasi Maklumat dan Teknologi (ICT) dalam setiap jabatan kerajaan.

Peruntukan tahunan tambahan wajar diberikan kepada setiap jabatan khusus untuk mempertingkatkan tahap keselamatan ICT oleh para pemegang taruh (stakeholder).

Peruntukan tambahan ini antara lain tujuannya boleh digunakan untuk memperkukuhkan sistem ‘firewall’ di setiap jabatan bagi mencegah sebarang pencerobohan dan penggodaman daripada terus berlaku.

Soal keselamatan ICT tidak harus sama sekali dipandang ‘enteng’ kerana terdapat antara maklumat-maklumat yang dimuatnaik, disimpan dan disalurkan melalui atas talian adalah melibatkan maklumat-maklumat terperingkat iaitu sama ada 'Rahsia Besar', 'Rahsia', 'Sulit' dan 'Terhad'.

Oleh yang sedemikian jabatan-jabatan kerajaan seperti Ketua Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Malaysia (CGSO), MAMPU, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan lain-lain yang berkaitan boleh duduk semeja dalam mencari satu titik persetujuan dalam perkara ini.

Hasil muafakat bersama pastinya mampu mencapai satu jalan penyelesaian yang tuntas demi menjaga kestabilan dan keselamatan negara.

Selain daripada impak terhadap maklumat-maklumat terperingkat dan keselamatan negara, penggodaman berterusan ke atas laman-laman web rasmi jabatan kerajaan juga memberi imej yang negatif kepada Kerajaan sendiri.

Oleh yang sedemikian, persetujuan untuk memperuntukkan peruntukan tambahan khusus bagi mempertingkatkan keselamatan ICT jabatan-jabatan kerajaan adalah dilihat sebagai satu langkah yang amat wajar dan proaktif, bak kata pepatah ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.

Di Malaysia, aktiviti penggodaman adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Jenayah Komputer 1997.

Perkara ini juga harus diambil perhatian oleh rakyat Malaysia agar tidak ada yang menjadi suspek tanpa disedari kerana tidak peka terhadap peruntukkan undang-undang yang sedia ada akibat terlalu ghairah mengejar kepuasan peribadi.

Psikologi para penggodam juga boleh difahami iaitu majoriti daripada mereka menggodam dengan tujuan ‘suka-suka’ selain daripada menguji tahap kemahiran masing-masing.

Namun, perkara ini tidak akan melepaskan mereka daripada tindakan penguatkuasaan yang akan diambil  atas salah laku mereka itu.

* Penulis ialah bekas PTD.

Sumber :  http : //www.mstar.com.my/

1 ulasan:

  1. Terima kasih Cikgu Taufiq kerana menyiarkan artikel saya.. :)

    BalasPadam