Sabtu, 6 April 2013

ISU PENDIDIKAN : Bayaran Insentif Tawaran Baru (BITB) lonjak prestasi sekolah


Oleh : Azida Shaharuddin
 
Kuala Lumpur : Inisiatif Program Tawaran Baru yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran sejak 2010 terbukti berhasil melonjakkan kecemerlangan sekolah.

Sejak dilancarkan pada 2010, inisiatif berkenaan menyaksikan 129 sekolah rendah seluruh negara berjaya menerima Bayaran Insentif Tawaran Baru (BITB) tiga kali berturut-turut, 75 (dua kali) dan 173 (sekali).

Apabila menerima BITB, bermakna sekolah berkenaan diiktiraf meningkat kedudukannya ke peringkat lebih baik.

Menerusi program itu, pengetua dan guru besar sekolah terbabit lebih komited dan bertindak sebagai pemberi motivasi kepada guru dan seluruh anggota pentadbiran sekolah untuk bekerja dalam satu pasukan memastikan pencapaian akademik, kokurikulum dan elemen pembelajaran lain mencapai tahap terbaik.

Impak positif

“Ini akan memberikan impak positif kepada ‘kemenjadian’ pelajar,” kata Timbalan Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Kementerian Pelajaran, Norhayati Alias.

Tawaran Baru adalah inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan sebagai strategi meningkatkan kedudukan atau ranking sesebuah sekolah dengan semua pelajar atau muridnya lulus peperiksaan, selain mengenal pasti sekolah layak diiktiraf Sekolah Berprestasi (SBT) dan sekolah kluster.

Ada 7,743 sekolah rendah, 2,340 sekolah menengah dan 28 sekolah pendidikan khas di seluruh negara pada masa ini.

Bagi mencapai matlamat itu, pengetua dan guru besar akan diberikan ganjaran yang dikenali BITB, sekiranya sekolah mencapai tahap Melepasi Sasaran (ET) selepas dinilai jemaah nazir.

Pada peringkat permulaan, pencapaian mereka diukur mengikut Gred Purata Sekolah (GPS) berdasarkan keputusan peperiksaan awam dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) meliputi standard kualiti pendidikan negara termasuk akademik, kokurikulum dan elemen lain.

Skor komposit

Kombinasi GPS dan SKPM seterusnya membentuk Skor Komposit yang menentukan ranking sekolah, yang mana kedudukan sekolah paling tinggi akan dinilai dari aspek ET (sekolah mempamerkan prestasi tinggi) dan melakukan Lonjakan Perdana.

Menerusi BITB, pengetua dan guru besar cemerlang layak menerima sijil anugerah Tawaran Baru dan ganjaran wang RM7,500 berdasarkan merit dan dibuka kepada peluang untuk dinaikkan pangkat atau dihantar berkursus ke luar negara.

“Bukan setakat itu, ganjaran turut diberikan kepada guru dan staf sokongan apabila lima peratus daripada keseluruhan jumlah guru sekolah mendapat RM1,800 dan selebihnya diberikan RM900, manakala staf sokongan RM500,” katanya.

Beliau berkata menerusi Tawaran Baru, sekolah yang lemah dapat ditingkatkan apabila diminta menjalani program pembangunan prestasi dikendalikan Institut Aminuddin Baki berdasarkan keperluan masing-masing.

Pada masa sama, program ini membolehkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mengetahui ranking guru dan sekolah, untuk seterusnya memperbaiki ‘lompang’ yang ada termasuk menjalankan program bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pemantauan berkala.

“Kesannya, keputusan peperiksaan calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meningkat selepas pengetua dan guru besar dan guru memainkan peranan serta menjalankan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan pencapaian sekolah.

“Menerusi Tawaran Baru, perbelanjaan di sekolah diurus dengan lebih cekap dan berkesan malah memberi tumpuan penuh kepada murid yang lemah,” katanya.

Beliau berkata insentif ini diberikan kepada semua sekolah termasuk jenis kebangsaan, vokasional, teknik dan pendidikan khas bantuan kerajaan.

“Daripada Tawaran Baru, kita boleh melahirkan sekolah yang berpotensi untuk menjadi SBT dan sekolah kluster.

“Sekolah pendidikan khas yang dikenal pasti lemah sebelum ini juga berjaya memperbaiki ‘lompang’ dan memenuhi penilaian serta syarat, seperti yang  terbaru tahun ini, Sekolah Rendah Pendidikan Khas Miri sekali gus menerima BITB,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan