Isnin, 8 April 2013

ISU SOSIAL : Jangan salahkan orang lain


BARU-BARU ini satu program motivasi untuk para pekerja telah dijalankan. Kebanyakan yang datang ditanggung oleh majikan masing-masing kecuali beberapa orang sahaja yang hadir dengan perbelanjaan sendiri. Menariknya, ketika ditanya tentang masalah di tempat kerja mereka, pelbagai jawapan yang diterima. Ada yang stres kerana merasakan bos menganaktirikan mereka. Ada yang berkata rakan sekerja kaki ponteng hingga mereka terpaksa melakukan lebih banyak kerja dan memikul tugas orang lain. Ada yang berkata organisasi tempat mereka bekerja tidak menghargai pekerja dan pelbagai lagi luahan hati mereka.

Semua luahan itu mempunyai persamaan yang ketara iaitu menyalahkan orang lain dan tidak diri sendiri. Apabila kita mahukan sesuatu dan mengharapkan pihak lain yang berubah maka berkemungkinan perubahan itu tidak akan berlaku, atau kalau berlaku sekali pun, lambat. Hasilnya kita kecewa, tertekan dan hampa. Inilah situasi yang dapat dilihat setiap hari dan di mana-mana sahaja sama ada dalam pekerjaan, pelajaran, perniagaan, pengurusan, kepimpinan dan sebagainya. Kita lihat di luar diri dan tidak melihat ke dalam diri.

Dengan melihat masalah berada di luar diri, maka kita tidak mencari ruang untuk melakukan perubahan. Kita selesa dengan diri sendiri dan akhirnya tiada peningkatan atau kemajuan dalam hidup. Sebaliknya jika kita ambil tanggung jawab dan menyalahkan diri sendiri maka kita terbuka kepada perubahan.

Allah berfirman dalam al-Quran yang mafhumnya:

"Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosamu."(QS. As Syura, 42 : 30)

Perhubungan

Sikap suka menyalahkan orang lain ini berlarutan dalam semua aspek kehidupan termasuk perhubungan. Misalnya, kita menyalahkan jiran yang tidak memahami kita, sedangkan yang sebenarnya kita yang tidak terlebih dahulu memahami mereka. Kita tidak mewujudkan hubungan yang akrab agar mereka ada rasa segan dan hormat pada kita. Kita menyalahkan anak sebab mendapat markah yang rendah dalam peperiksaan, sedangkan mungkin kita yang kurang memberikan perhatian terhadap pelajaran dan persekolahannya selama ini.

Nampaknya, walaupun kita sudah mencapai pelbagai kemajuan dalam hidup, namun lagu Bangau Oh Bangau masih lagi menjadi budaya hidup yang berakar umbi dalam fikiran tanpa disedari. Dalam lagu ini, masing-masing menyalahkan orang lain atas masalah yang menimpanya.

Kini sudah tiba masanya untuk kita sedar bahawa dalam hidup ini orang lain tidak boleh menjadikan kita berjaya selagi kita tidak mempraktikkan apa yang disebut sebagai akauntabiliti iaitu bertanggung jawab atas apa yang berlaku serta menerima apa juga kesan daripadanya. Oleh itu, mulai hari ini apabila berlaku sahaja sesuatu perkara yang kita tidak suka, atau hajat kita tidak kesampaian, maka nilai dan carilah kesalahan diri sendiri dan fikirkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk memperbaiki diri lalu bertindak dengan cara atau pendekatan yang berbeza. Barulah hasilnya juga nanti berbeza.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen