Ahad, 19 Mei 2013

ISU BAHASA : Perkemaskan Subjek Sastera Melayu

Keratan akhbar Mingguan Malaysia mengenai kedudukan subjek Kesusasteraan Melayu yang terpinggir 

Oleh : Hasan Baseri Budiman

SAYA sudah membaca tulisan Lim Swee Tin (Mingguan Malaysia 12 Februari 2013) dan Md Ishak Ab Rahman (Mingguan Malaysia 24 Mac 2013) yang cukup menyentuh perasaan. Saya cukup faham akan nasib subjek Kesusasteraan Melayu yang sampai bila-bila pun akan terus dipandang dengan sebelah mata kerana ada yang menganggap subjek ini hanya untuk orang suka berimaginasi dan membuang waktu semata-mata.

Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana tidak diberitahu sebenarnya subjek kesusasteraan merupakan cara yang ampuh untuk meningkatkan kecerdasan pelajar. Mereka tidak tahu bahawa karya sastera yang pada dasarnya membicarakan pelbagai nilai hidup dan kehidupan yang berkaitan langsung dengan pembentukan karakter manusia, turut berperanan mengembangkan bahasa, mengembangkan kognitif, psikomotorik, di samping turut mengembangkan sama keperibadian dan peribadi sosial pelajar.

Memanglah ada usaha pihak tertentu yang cuba berjuang untuk menjadikan Kesusasteraan Melayu sebagai subjek teras di sekolah supaya semua orang termasuk pelajar dan ibu bapa dapat melihat kebenaran matlamat ini. Cuma kita sedih perjuangan yang memakan masa puluhan tahun itu hanya tinggal perjuangan semata-mata. Tiada pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Pelajaran yang sudi membantunya kerana sehingga tahun 2012 hanya ada 617 buah sekolah sahaja yang menawarkan subjek itu kepada pelajar tingkatan 4 dan 5, berbanding 2,340 bilangan sekolah menengah yang ada di seluruh negara tahun ini.

Alangkah baiknya dalam keadaan manusia Melayu khasnya, yang masih mempunyai hati, yang merasa perlunya menanamkan sifat kemanusiaan kepada anak-anak, bertindak sebelum terlambat, supaya generasi akan datang tidak menjadi 'manusia robot' yang hanya lahir dengan ada otak tapi tidak ada perasaan, turut sama berjuang menghidupkan subjek sastera ini di sekolah.

Dan tentunya akan menjadi lebih baik  lagi kalau subjek ini sudah boleh bermula daripada peringkat sekolah rendah . Kalau hal ini berlaku bermakna kita sudah boleh melibatkan sekurang-kurangnya 5,906 Sekolah Kebangsaan di seluruh negara dengan bilangan murid Melayunya melebihi dua juta orang. Bayangkanlah, jika dua juta murid Melayu sudah didedahkan dengan kehebatan sastera sejak mereka di bangku sekolah rendah lagi.

Kita percaya hal ini  akan berjaya membantu memberikan pendidikan jiwa dan pembangun moral yang betul kepada mereka untuk berhadapan dengan hari dewasa mereka nanti. Alangkah ruginya kita kalau membiarkan anak-anak kita terus menjadi manusia yang buta hatinya kerana bencinya kita kepada subjek kesusasteraan kita sendiri ini.

Kita tidak boleh pastikan kenapa benci sangat masyarakat kepada subjek ini? Mungkin kerana tidak komersial atau tiada nilai dan tidak memberi pulangan apa-apa kepada pelajar. Atau salah orang sastera sendiri yang sering terlupa, bahawa isi kandungan sastera di sekolah sudah lama tidak diperkemaskan kembali, terutama daripada sudut isi kandungan pembelajarannya, sehingga menjadi subjek yang hambar dan tidak menarik. Pada hal sastera itu sentiasa segar dan hidup. Tetapi kalau subjek sastera itu tidak dapat berorientasikan kepada pengalaman bersastera  pelajar dan sebaliknya terlalu menekan kepada pengembangan teori-teori sastera yang mengelirukan semata-mata, rasanya sampai bila-bila pun subjek sastera di sekolah akan menjadi hambar dan tidak menarik.

Kita takut, sementelahan di dalam pagar sekolah ini yang masih belum banyak buku sastera yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar, sehingga menjadikan minat mereka untuk menggauli kesusasteraan masih pada tahap yang cukup minimum, tiba-tiba keinginan mereka terhadap Kesusasteraan Melayu menjadi bertambah tenggelam pula dengan beberapa gangguan yang dibina sendiri oleh para sasterawan.

Selama ini pun kita bukan sahaja terpaksa bersaing dengan kehadiran Internet, permainan dalam talian, face book, blog dan sebagainya ke dalam kehidupan pelajar, yang sudah pun menjadi penyebab sastera diketepikan di sekolah, tetapi kita juga turut bersaingan dengan sikap kita sendiri dalam meyakinkan pelajar terhadap nilai sebenar yang ada di dalam Kesusasteraan Melayu itu. Orang sastera tidak berbuat apa-apa apabila melihat selonggok genre ditimbun-timbunkan dalam beberapa buku untuk dipaksa pelajar membacanya. Kalau tidak percaya tengoklah senarai teks baru subjek Kesusasteraan Melayu (elektif) tingkatan 4 dan 5 yang digunakan mulai tahun 2010 yang sehingga ke saat ini masih menjadi rungutan para guru sastera yang berhempas pulas untuk mentelaahnya.

Ketahuilah, pelajar yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu ini bukannya pelajar pilihan, kerana hampir kesemua sekolah yang menawarkan subjek ini cuma memilih pelajar-pelajar kelas hujungan sahaja yang memang tercorot prestasi akademiknya. Jangan hairan kalau setiap tahun pelajar yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu bukan sahaja bilangannya merosot, tetapi keputusannya juga tidak memberangsangkan.

Misalnya, bilangan calon SPM yang mengambil subjek ini pada tahun 2011 hanya 27,171 orang, turun sebanyak 11.23 peratus berbanding 30,222 orang pada 2010. Sebenarnya angka penurunan ini sudah pun disedari sejak sepuluh tahun dulu lagi, tetapi tiada tindakan diambil untuk meningkatkan bilangan yang mengambil subjek Kesusasteraan Melayu ini di sekolah. Malah tidak pernah pun ada rasa terkejut yang teramat walaupun kita sedar, pada tahun 2000 dan 2003 telah menjadi tahun paling drastik dalam memperlihatkan penurunan yang paling besar, iaitu sebanyak 17.5 peratus dan 15.3 peratus.

Jika keadaan yang sama berlaku dalam masa lima hingga 10 tahun yang akan datang, bermakna kita mungkin hanya akan melihat cuma 10 peratus sahaja bilangan pelajar yang akan mempelajari subjek Kesusasteraan Melayu. Hal ini tentu sahaja akan merugikan semua orang yang berhajat mahu melihat keseluruhan rakyat Malaysia hidup berdasarkan prinsip kesopanan dan kesusilaan melalui pancaran nilai yang dibawa oleh subjek ini.

Kita mungkin sahaja tidak boleh membuat apa-apa tuduhan melulu terhadap senario ini, tetapi berkemungkinan juga disebabkan rasa takut melihat bilangan genre sastera yang terlalu banyak untuk dibaca, maka bilangan pelajar yang mahu mengambil subjek ini juga mungkin akan turut berkurangan saban tahun. Yang peliknya, subjek Kesusasteraan Tamil dan Kesusasteraan Cina yang ditawarkan kepada pelajar-pelajarnya tidak pula sebanyak itu bilangan genre yang harus mereka kaji dalam tempoh pengajian yang sama, selama dua tahun.

Barangkali, inilah kesilapan besar kita, yang terlalu ghairah dan berebut memperagakan hasil sastera kita, sehingga kita terlepas pandang, bahawa kitalah yang telah menjadi penyebab Kesusasteraan Melayu semakin marginal eksistensinya dalam kalangan pelajar. Kita terlupa, isi kandungan pengkajian sastera yang terlalu banyak dilonggokkan di dalam kelas, kadang kala dilihat tidak relevan untuk dipelajari dalam tempoh waktu 105 minit dalam seminggu. Hal ini tentunya bukan sahaja menekan pelajar tetapi turut sama menekan guru-guru yang mengajar subjek ini untuk menghabiskan silibus  Kesusasteraan Melayu itu dengan cara yang terburu-buru. Hasilnya, kedua-dua kelompok ini terus sahaja menjadi mangsa keadaan yang disengajakan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

1 ulasan: