PHUKET: Kementerian
Pelajaran kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan, kata Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.
Beliau, yang juga Menteri Pendidikan berkata, perubahan
nama kementerian itu diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu lepas setelah
pakar bahasa sependapat istilah pendidikan lebih tepat berbanding pelajaran.
“Pakar bahasa berpendapat istilah
pendidikan lebih tepat dan sebab itu Perdana Menteri bersetuju dan saya juga
telah beritahu pegawai supaya menerimanya sebagai nama baru, malah nama
kementerian pendidikan juga pernah digunakan sebelum ini,” katanya kepada
wartawan Malaysia di sini.
Beliau berkata, proses
penggabungan dua kementerian - Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian
Tinggi - yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan telah bermula sejurus
kabinet diumumkan dan yakin tidak akan menghadapi kesukaran kerana kedua-duanya
mencakupi proses pembelajaran dan pengajaran yang berasal daripada satu
kementerian sebelum dipisahkan.
Muhyiddin berkata, penggabungan
itu tidak menyebabkan pertindihan antara sekolah rendah, menengah dan
universiti kerana masing-masing mempunyai pelan pembangunan sendiri kecuali
aspek kepimpinan yang diletakkan di bawah satu kementerian dengan mempunyai dua
menteri dan dua timbalan menteri.
“Saya telah mengemukakan cadangan
bagaimana struktur baru itu hendak dibentuk dan Ketua Setiausaha Negara telah
mengambil maklum dan berbincang dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam di mana
minggu depan akan ada perbincangan lanjut dan Insya-Allah pelantikan jawatan
yang sepatutnya dibuat akan dilakukan,” katanya dan menambah dalam bahasa
Inggeris kementerian itu kekal dengan panggilan 'Ministry of Education'.
Beliau berkata, walaupun
digabungkan beliau membayangkan tidak akan berlaku perubahan terhadap dasar
yang digunakan sebelum ini sebaliknya penyatuan itu menghasilkan penjimatan
dari segi guna tenaga dan kepakaran kakitangan.
Muhyiddin berkata sebagai contoh,
koordinasi dua kementerian membawa kebaikan kepada sektor pendidikan kerana
kepakaran tenaga pengajar di universiti seperti pensyarah bahasa Inggeris boleh
digunakan untuk membantu meningkatkan kemahiran bahasa itu di sekolah rendah
dan menengah kebangsaan.
Dalam perkembangan berkaitan
beliau berkata, cadangan supaya bahasa Mandarin dan Tamil kembali diajar di
Sekolah Kebangsaan akan dikaji secara mendalam kerana pelaksanaannya akan
melibatkan perubahan kepada dasar tertentu.
Muhyiddin berkata, proses
pengajaran kedua-dua bahasa itu pernah dilaksanakan sebelum ini tetapi tidak
mencapai matlamat seperti apa yang dimahukan berikutan jumlah pelajar yang
tidak begitu ramai.
“Itu sebenarnya bukan baru tetapi
setelah ada pihak yang mencadangkan sebegitu, maka saya perlu meneliti kerana
kita hendak melaksanakannya secara
bersungguh-sungguh dan mahu orang bukan
Melayu melihat Sekolah Kebangsaan ialah ‘sekolah kebangsaan’, bukannya sekolah
Melayu dan menawarkan pelbagai bahasa selain bahasa Malaysia.
“Persoalan besar yang mencabar
kementerian ialah kalau ia hendak dilaksanakan kita perlu sediakan sejumlah
guru mahir yang ramai kerana kita memiliki lebih 7,000 sekolah rendah dan 3,000
sekolah menengah...jadi sebelum kita membuat keputusan yang melibatkan dasar
kita perlu kaji dengan sebaik-baiknya,” katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan