Selasa, 25 Jun 2013

ISU ALAM SEKITAR : Semangat ASEAN selesai masalah jerebu


Oleh : ABDUL RAZAK IDRIS

HATI mana tidak menjadi panas apabila diarah membawa anak pulang dari Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) yang merupakan pusat tertutup disebabkan masalah jerebu. Hajat hati hendak marah sahaja pihak yang bertanggungjawab ke atas taska tersebut, namun itu semua bukan kehendak mereka.

Soalnya sampai bila kegiatan pembakaran terbuka di negara jiran memberi implikasi kepada kehidupan seharian masyarakat negara ini. Bukan mudah untuk mengatur kembali jadual antara suami dan isteri apabila masalah sebegini terjadi.

Negara Indonesia, Malaysia dan Singapura sebagai anggota ASEAN yang paling terkesan dengan masalah ini perlu menyelesaikan masalah ini dengan semangat serantau dan ibarat cubit paha kiri paha kanan terasa. Terang sekali semuanya berpunca dari kegiatan pembakaran terbuka hutan secara besar-besaran hutan di Indonesia.

Kebakaran hutan di Wilayah Riau, Sumatera Tengah merupakan kes terbaru melibatkan jerebu teruk sehingga Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa negeri mencapai bacaan 507 di Muar, Johor dan Bukit Rambai, Melaka mencatat bacaan 443.

Beberapa tahun lalu kes yang sama berlaku hingga menyebabkan sekolah ditutup. Keadaan ini merugikan pelajar-pelajar yang terpaksa bercuti akibat masalah yang dilihat seakan sudah menjadi bahana bermusim.

Kaedah pembenihan awan untuk mencipta hujan hanya suatu mekanisme untuk mengurangkan jerebu dan memadam kebakaran. Namun ia suatu tindakan jangka pendek semata-mata, kerana apabila kebakaran terpadam, jerebu akan kembali bertebaran di udara sehingga merentasi sempadan negara asal.

Dalam keadaan yang membawa pengisytiharan darurat di Muar, Johor akibat jerebu, sesuatu perlu dilakukan di antara kerajaan dan kerajaan. Semua pihak perlu mencari penyelesaian mengatasi masalah jerebu dengan berkongsi pendekatan bagaimana sesebuah kerajaan mengatasi masalah jerebu akibat kebakaran.

Menuding jari dengan mengatakan ia berpunca dari syarikat dari negara lain yang membuat kebakaran hanya tindakan pelarian (escapism) yang menonjolkan sifat lepas tangan.

Pokoknya jerebu menyebabkan pesakit asthma menjadi lebih kronik, dan mungkin akan menyebabkan katil di hospital penuh dengan pesakit sedemikian.

Sepatutnya undang-undang alam sekitar di negara Indonesia diperkasakan sebagaimana yang dilakukan di Malaysia. Jabatan Alam Sekitar (JAS) baru-baru ini mengisytiharkan seluruh negeri Selangor, Melaka dan Johor sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Halimah Hassan berkata, larangan mengikut Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001 itu, berkuat kuasa sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Bagaimanapun, katanya, larangan berkenaan tidak melibatkan pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar. Pihak yang disabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mungkin tindakan sebegini boleh dikenakan oleh Kerajaan Republik Indonesia terhadap kaki bakar hutan secara terbuka tidak kira ia syarikat dari Malaysia atau dari negara mana sekalipun.

Jika boleh sistem pembersihan hutan secara sistematik yang diterima pakai oleh anggota ASEAN perlu dijadikan rujukan.

Kita tidak mahu apabila jerebu semakin tebal menyebabkan kapal terbang dan kapal di laut bertembung di udara dan di laut hingga ratusan nyawa terkorban baru ada pihak diplomat mula menuding jari dan saling bertukar komen negatif yang menyebabkan hubungan antara negara menjadi dingin di sebalik kebakaran hutan yang menggila.

Justeru, selesaikan masalah jerebu dengan semangat ASEAN yang sejati kerana tiada gunanya mempunyai wadah tetapi tidak berfungsi dengan sewajarnya.

Jangan dibiar masalah yang boleh menyebabkan kerosakan, kerugian dan kematian ini dibiar berlarutan. Sikap salah-menyalahkan, bertukar pandangan yang bersifat tidak membina perlu dielakkan oleh negara-negara terlibat.

Mungkin hari ini, Indonesia dilanda kebakaran hutan di wilayahnya dan esok lusa mungkin kita mengalami masalah sama.

Bersikap empati dengan masalah yang melanda negara lain. Yang penting peliharalah semangat ASEAN. Jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar, cari jalan untuk menghapuskan nyamuk. Itulah caranya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen