Isnin, 1 Julai 2013

Awang Had Salleh Berjasa Besar Dalam Sektor Pendidikan Negara

Allahyarham Tan Sri Dr Awang Had Salleh

Oleh  : Noor Farhana Ahmad Norain

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Tan Sri Dr Awang Had Salleh yang meninggal dunia Isnin, meninggalkan legasi yang cukup besar dalam bidang pendidikan negara.

Ketokohannya dalam sektor itu terserlah apabila pernah dilantik mengemudi lima universiti selain dianugerah gelaran Doktor Kehormat oleh pelbagai organisasi tempatan dan luar negara.

Beliau pernah menjadi Naib Canselor (hal ehwal pelajar) Universiti Malaya (UM) dari 1975 hingga 1978, Pengarah Universiti Teknologi Mara (1978-1980), Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (1980-1984), Naib Canselor pertama Universiti Utara Malaysia (UUM)(1984-1989) dan Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2000.

Dilahirkan pada 26 Jun 1939 di Balik Pulau, Pulau Pinang, Awang Had mendapat pendidikan rendah di Alor Setar, Kedah, dan pendidikan menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid, sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di UM pada 1962.

Awang Had berkahwin dengan Puan Sri Salmah Abu Bakar dan dikurniakan tujuh cahaya mata, lima lelaki dan dua perempuan.

Pada 1951, beliau memperoleh Sijil Pendidikan daripada Sultan Idris Teachers' Training College (SITC), Tanjong Malim dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Stanford University, California (1969-1972) menerusi Fellowship UM-Asia Foundation dan memperoleh Doktor Falsafah dalam Pendidikan dan Sosiologi.

Sejak 1950-an lagi, Awang Had telah memulakan profesion perguruan dengan menjadi guru pelatih, guru sekolah rendah dan sekolah menengah selain menjadi Pegawai Pendidikan di Maktab Bahasa pada 1964.

Beliau kemudiannya menjadi pensyarah di Fakulti Pendidikan UM pada 1969 hingga 1974, sebelum dilantik menjadi dekan fakulti berkenaan dari April 1974 hingga Mei 1975.

Di samping menjadi Naib Canselor UUM, Awang Had dilantik sebagai Penasihat Khas Kementerian Pendidikan pada 1989 sebelum berhenti dan dilantik menjadi Felo Cemerlang (Distinguished Fellow) ISIS Malaysia pada 1990.

Pada 1997, beliau menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI.

Di sektor swasta, Awang Had pernah menjadi Pengerusi Anakku Corporation Bhd, Presiden Kolej Ikram, Pengerusi Fememo Sdn Bhd dan Ketua Majlis Pentadbiran Institut Teknologi Kreatif Lim Kok Wing.

Selain itu, Allahyarham pernah menjadi Setiausaha Agung Suruhanjaya Unesco Malaysia, Anggota Lembaga Eksekutif Unesco di Paris, Pengerusi Pertubuhan Alkohol Malaysia, Ketua dan Perunding Akademi Filem Pertama Malaysia, Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah Majlis Yayasan Karyawan serta Anggota Lembaga Penasihat Perpustakaan Negara bagi penggal 2004/2006.

Sepanjang hayatnya, Awang Had turut menulis beberapa buku, artikel dan kertas kerja mengenai pendidikan, bahasa dan kebudayaan. Antara buku yang pernah ditulis adalah "Budi", "Warna-Warna Pengalaman Seorang Guru" dan "Antara Dua Dunia".

Sumbangannya dalam bidang pendidikan diiktiraf apabila diangkat sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah pada 1990, Tokoh Pujangga Alumni Suluh Budiman Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 2002 dan menjadi penerima ketiga Anugerah Tokoh Kepimpinan (Leadership) Annual Education Minister's Special Award.

Pada 1986, beliau dikurniakan gelaran Doktor Kehormat dalam undang-undang dari Brock University, Ontario, Canada diikuti Doktor Kehormat Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Profesor Emeritus dari Universiti Utara Malaysia (UUM), kedua-duanya pada 1994.

Pada 1999, beliau dikurniakan gelaran Doktor Kehormat Persuratan dari UM.

Kerajaan Persekutuan turut menganugerahkan Awang Had dengan pingat Johan Mangku Negara pada 1975 dan Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran 'Tan Sri' pada 1982.

Pada Oktober 2011, beliau dirawat di Hospital Selayang berikutan strok.

Tokoh pendidikan terkenal itu menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Putrajaya awal hari ini akibat komplikasi paru-paru.

Sumber :  BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan