Khamis, 4 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Awang Had ikon pendemokrasian sistem pelajaran


Oleh : Mohd Zuber Zain

DUNIA pendidikan, bahasa dan kesusasteraan hari ini kehilangan seorang tokoh yang telah banyak memberi sumbangan dan jasa dalam bidang memartabatkan pendidikan dan bahasa Melayu.

Pemergian Allahyarham Tan Sri Dr. Awang Had Salleh pada pagi 1 Julai 2013 selepas menyambut hari jadi ke-79 pada 24 Jun lalu merupakan satu berita yang menyedihkan kepada kaum keluarga dan sahabat beliau.

Menjadi impian setiap guru pelatih sekolah Melayu untuk masuk ke Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) yang merupakan 'Universiti Guru Melayu' ketika itu.

Setelah menduduki peperiksaan beradu untuk masuk ke SITC beliau mendapat tempat pertama di seluruh Kedah dan diterima masuk sebagai guru pelatih di SITC Tanjong Malim pada tahun 1951.

SITC mendewasakan beliau dalam bidang perguruan dan juga semangat kebangsaan. Salah seorang pensyarah yang meniupkan semangat kebangsaan ialah Cikgu Aminuddin Baki yang baru pulang dari England dengan ijazah sarjana pendidikan.

Tidak lekang daripada  ingatan Awang Had nasihat Cikgu Aminuddin; "jangan biarkan ayam mati di kepok padi, itik mati kehausan di kolam".

Cikgu Aminuddin juga menasihati guru-guru SITC supaya jangan berhenti belajar selepas lulus dari SITC dan belajarlah setinggi mana yang boleh.

Apabila Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditubuhkan pada 1987 dan mengeluar guru ijazah yang pertama pada tahun 1990 beliau dilantik sebagai Pro-Canselor UPSI dan sebagai seorang 'anak kandung', pelantikan ini adalah satu penghormatan yang beliau amat hargai.

Sebenarnya Awang Had tidak pernah lupa asal usulnya sebagai seorang guru Melayu SITC. Ini kerana sejak di Universiti Malaya pada 1974, beliau terlibat secara aktif sebagai Yang Dipertua Persatuan Bekas Pelajar SITC yang dikenali sebagai Persatuan Suluh Budiman (PSB).

Di SITC dewan besar dinamakan Bangunan Suluh Budiman dan semasa di Institut Teknologi Mara (kini UiTM) beliau namakan dewan besar ITM sebagai Dewan Suluh Budiman.

Nama ini asalnya terbit daripada cogan kata peranan guru Melayu sebagai "suluh kampung, matahari bangsa" di mana di bahu guru-guru Melayulah diamanah tugas untuk mencerahkan orang Melayu dari segi pelajaran dan membuka minda yang lebih luas.

Jika Cikgu Aminuddin Baki sebagai pemimpin GPMS terkenal dengan "Gerakan Obor", sebagai pemimpin PSB, Awang Had terkenal dengan Konvensyen Pendidikan (KONPEN) yang menjadi forum dwitahunan golongan pendidik membincang isu-isu pendidikan dari setiap aspek seperti falsafah pendidikan, dasar pelajaran, latihan guru, kurikulum (KBSR dan KBSM), pedagogi dan sebagainya.

Sepanjang hampir 20 tahun sebanyak 12 KONPEN dianjurkan oleh PSB dan uniknya setiap kali ia diadakan di negeri yang berbeza, tujuannya untuk memberi peluang guru-guru SITC/MPSI yang jauh dari Kuala Lumpur untuk menjadi penganjur bersama dan yang paling disukai oleh Awang Had dan AJK PSB ialah dapat bertemu semula kawan-kawan yang sudah lama terpisah.

Semasa kembali semula di SITC yang dinaik taraf sebagai sebuah universiti (UPSI), beliau melihat keperluan golongan pendidik membina sebuah muzium pendidikan kerana mengikut beliau jika kaum guru tidak memulihara khazanah perguruan, lama-kelamaan semua barang lama akan pupus hilang ditelan zaman.

Beliau sendiri penggemar barang antik dan memiliki kereta antik dan menyimpan papan batu yang diguna ketika belajar di sekolah rendah dulu.

Katanya, mengapa kita tidak menyimpan papan hitam, mesin taip, mesin siklostyle, buku-buku teks lama yang diterbit dalam Malay School Series, dan sebagainya?

Atas usaha beliau rumah kediaman Pendita Za'ba yang mengajar di SITC dan menjadi pengarang di Jabatan Karang Mengarang selama 15 tahun (1924 - 1939) dikekalkan, jika tidak ia telah dirobohkan untuk membina padang letak kereta.

Selepas bersara daripada perkhidmatan awam, beliau banyak menulis antaranya rencana mingguan dalam Utusan Malaysia mengenai kisah perjalanan hidup beliau. Rencana ini telah dibukukan dalam satu kompilasi buku yang bertajuk Warna-warna Pengalaman Seorang Guru (1993).

Sajak beliau Merpati Putih, Dari Ramadan ke Ramadan dan Usia Dalam Lipatan Rasa diterbitkan oleh Penerbit UPSI dalam buku Balada Suluh Budiman (2002).

Ketika penulis di Utusan Publications & Distributors (UPND) pada tahun 1995 buat pertama kali diperkenalkan Anugerah Sasterawan Sako di mana johan mengarang novel diberi hadiah RM30,000.

Awang Had dilantik sebagai Pengerusi Panel Juri dan ahli-ahli juri terdiri daripada pensyarah sastera berbilang bangsa dan saya sebagai setiausaha.

Kami semua berkampung di Hyatt Saujana selama hampir seminggu untuk menilai lebih 125 manuskrip yang dihantar dan akhirnya novel Imam karya SN Abdullah Hussain dinobatkan sebagai pemenang pertama.

Pada tahun 2002 ketika SITC - UPSI telah menyambut ulang tahun ke-80 dan pada majlis khas, Awang Had bersama tokoh-tokoh sastera SITC yang lain seperti Profesor A Wahab Ali, Masuri SN, Dr. Ahmad Kamal @ Kemala, Kamaruzaman Abd Kadir @ Dharmawijaya, Datuk Ismail Abas @ Amil Jaya telah dianugerahkan Tokoh Pujangga UPSI. Mereka semua memegang falsafah Guru Melayu yang menyebut dalam pantun;

Buat baik ayohai rakan,                                                                        
Jika ke laut kamu campakkan,
Jika tidak dikenal ikan,
Tuhanmu tahu iakah bukan?

Awang Had ialah seorang ikon yang telah membuktikan pendemokrasian sistem pelajaran di negara kita di mana seorang pelajar sekolah Melayu yang miskin tetapi cerdik dan berbakat boleh berjaya sehingga ke peringkat tinggi sebagai seorang sarjana kedoktoran daripada sebuah universiti terkenal Universiti Stanford.

Sebagaimana juga seorang lagi anak kandung SITC, Tun Ghafar Baba telah membuktikan demokrasi dalam politik di mana seorang guru Melayu SITC yang rendah diri boleh naik sehingga menjadi Timbalan Perdana Menteri. Al-Fatihah untuk mereka berdua dan guru-guru SITC yang telah meninggalkan jasa yang besar kepada kita semua.


PENULIS ialah bekas Pengurus Penerbitan Utusan Publications & Distributors.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen