Rabu, 10 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Masalah Pertukaran Guru Perlu Beri Keutamaan Kepada Guru Lama


KUALA LUMPUR : Penubuhan jawatankuasa khas bagi mengenal pasti mekanisme terbaik untuk menangani masalah pertukaran guru diharap dapat memberi keutamaan kepada guru-guru yang lama berkhidmat selain memberi keadilan sama rata.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata permohonan pertukaran guru akan menjadi sukar sekiranya Kementerian Pendidikan mengisi penempatan bagi guru-guru yang baru sahaja menamatkan pengajian sebelum penempatan itu diisi oleh guru yang memohon pertukaran.

"Sekiranya kementerian mengisi dulu guru-guru yang baru keluar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) ataupun universiti, ia akan jadi masalah kerana guru-guru yang hendak ditukarkan tidak dapat masuk.

"Jadi saya sarankan guru-guru baharu ini hendaklah ditempatkan selepas pertukaran dibuat kepada guru-guru yang sudah lama memohon," katanya.

Pada Isnin lepas, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata kementerian memandang serius isu berkenaan dan cuba menyelesaikannya dengan cara terbaik memandangkan permohonan pertukaran guru-guru mencecah sehingga 16,000 setahun sedangkan kekosongan hanya setakat 2,000 hinga 3,000 tempat.

Mohamed Sabri berkata jawatankuasa itu juga harus berfungsi dengan memberi keadilan bukan sahaja kepada mereka yang terlibat dalam agensi keselamatan seperti polis atau tentera tetapi juga dalam kalangan guru sesama guru yang turut sukar mendapatkan pertukaran.

"Ada guru yang ingin mengikut suami, tetapi mereka yang berkahwin dengan pegawai penting seperti polis dan tentera berpeluang untuk mengikut suami masing-masing kerana mereka perlu keluar dari kuaters, tetapi masalahnya di mana mereka akan ditempatkan," katanya.

Beliau juga menyarankan agar jawatankuasa itu turut dianggotai oleh persatuan dan kesatuan guru kerana mereka ini lebih memahami masalah yang dihadapi golongan guru.

Beliau berkata masalah pertukaran guru semakin kritikal dan dilihat sukar menemui jalan penyelesaian kerana kekosongan yang terhad di kebanyakan sekolah di negeri-negeri.

"Kami dapati banyak sekolah sudah penuh gurunya, kalau kita tinjau masalah di Semenanjung, permohonan pertukaran kritikal dan sukar diluluskan, tetapi di Sabah dan Sarawak mungkin ada ruang khususnya di kawasan pedalaman," katanya.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pula yang mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa itu berkata diharapkan mekanisme yang akan digunakan oleh jawatankuasa itu dapat menarik nafas lega golongan guru yang sekian lama memohon untuk ditukarkan tetapi sehingga kini belum diluluskan.

"Kami mahu guru rasa selesa, gembira dalam kehidupan supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik, terpulang kepada jawatankuasa untuk tentukan mekanisme yang akan diguna pakai," katanya.


Alimuddin yang juga bekas ketua pengarah pelajaran berkata isu pertukaran merupakan suatu yang rumit kerana ia berdasarkan kepada dua keperluan iaitu keperluan sekolah untuk mendapatkan guru dan keperluan dari segi kekeluargaan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan