Selasa, 23 Julai 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kerajaan digesa atasi isu pelajar gagal masuk IPTA


KUALA LUMPUR - Isu kegagalan pelajar cemerlang tempatan memasuki institusi pengajian awam (IPTA) tempatan yang berlaku hampir setiap tahun, perlu diselesaikan kerajaan secara efektif supaya tidak berulang.

Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, penyelesaian itu perlu jika negara serius untuk mencapai hasrat menjadi pusat kecemerlangan pengajian tinggi peringkat antarabangsa menjelang tahun 2020.

"Macam mana kita nak menerima lebih ramai pelajar antarabangsa, kalau pelajar cemerlang kita pun tidak mendapat tempat," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu 18,000 pelajar cemerlang yang gagal mendapat tempat di IPTA walaupun memenuhi syarat.

Pada 15 Julai, Timbalan Menteri Pendidikan II P.Kamalanathan berkata daripada 68,702 pelajar yang memohon program ijazah pertama bagi sesi akademik 2013/2014, hanya 41,573 mendapat tawaran di IPTA.

Sehari kemudian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam twitnya menasihatkan pelajar yang gagal supaya tidak kecewa kerana kerajaan akan membincangkan perkara berkenaan di Kabinet bagi mencari penyelesaian terbaik.

Dalam hal ini, Zakaria berkata  kerajaan perlu menimbang mekanisme tertentu menyediakan tempat secukupnya, antara lain dengan memperuntukkan bantuan kewangan kepada pelajar bagi memasuki institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan.

"Kita kena maklum, selain IPTA ini dah mantap, faktor lain yang menyebabkan pelajar berlumba memasuki IPTA adalah kerana ianya murah berbanding IPTS, tetapi kalau nak serap semua memang tidak boleh.

"Justeru kita harap mereka ini dapat dibantu kerajaan atau mana-mana pihak. Gunakan IPTS yang ada, kita ada 20 IPTA, jumlah IPTS lebih banyak daripada itu.

"Kalau kita mengharap kepada IPTA sahaja memang tidak cukup. Tambahan jika ianya kursus-kursus kritikal," katanya. 

Naib Cansellor Universiti Pendidikan Sultan Idris itu turut menarik perhatian bahawa kerajaan Korea selama ini telah mengamalkan sistem sedemikian, tanpa masalah.

Sementara itu, Zakaria turut berharap operator IPTS seluruh negara dapat memainkan peranan masing-masing membantu kerajaan mencapai sasaran 200,000 pelajar asing belajar di IPT tempatan menjelang 2020.

Tetap positif mengenai peluang 18,000 pelajar itu mendapat tempat di IPT tempatan, ahli majlis Persatuan Kebangsaan IPTS  Bumiputera Malaysia (PKIBM), Prof Emeritus Datuk Abu Azam Md Yassin berkata, jumlah IPTS  tempatan  mencukupi bagi menampung mereka.

Beliau berkata, negara mempunyai dua kali ganda jumlah IPTS bertaraf universiti kolej berbanding IPTA, termasuk yang menawarkan kursus-kursus kritikal.

"Jadi saya tidak rasa ada masalah untuk menampung mereka dalam apa jua kursus termasuk kursus-kursus kritikal. Lagi pun, kebanyakan IPTS tempatan kekurangan pelajar," katanya.

Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej Teknologi Darulnaim itu berkata sama seperti IPTA, IPTS juga mendapat tauliah dan dipantau Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), justeru kualiti pendidikan di IPTS adalah dijamin.

"Cuma IPTA tempatan tempatnya terhad, sebab itu kerajaan mewujudkan IPTS dengan peranan bagi menampung jumlah pelajar yang ramai dalam negara," katanya.

Abu Azam turut menyambut baik cadangan Kementerian Pendidikan untuk meminta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan satu skim bagi membantu meringankan beban pelajar membayar yuran di IPTS. 

Sementara itu, pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia(Page) Datin Noor Azimah Abdul Rahim mahu sistem penilaian peperiksaan dilihat semula berikutan terlalu ramai pelajar mendapat keputusan cemerlang.

"Ianya bagus, cuma terlalu ramai. Kita kena tengok balik sebab kita takut kalau terlalu ramai nanti keputusan mereka tidak ada nilai pula.

"Mungkin perlu kaji balik sebab dulu susah hendak cemerlang. Sekarang ini kita tidak tahu sama ada pelajar kita terlampau ramai yang pandai atau penanda aras penilaian menurun," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan