Jumaat, 6 September 2013

ISU BAHASA : Mengenali bahasa slanga


Oleh : MUHAMMAD DAUD

PERNAHKAH kita mendengar beberapa perkataan digunakan kumpulan tertentu yang tidak kita fahami? Anehnya, ahli kumpulan yang guna perkataan tersebut memahaminya. Bahasa ini dikenali sebagai slanga. Secara ringkasnya, bahasa slanga ialah yang digunakan oleh satu kelompok manusia dan hanya kelompok tersebut memahaminya serta dianggap bahasa tidak rasmi.

Sesuatu kelompok masyarakat itu mempunyai bahasa slanganya sendiri dan hanya kelompok itu yang memahaminya. Bahasa slanga yang digunakan juga berbeza antara satu tempat dengan tempat lain.

Bahasa slanga pada mulanya digunakan oleh pelajar-pelajar universiti kerana persekitaran mereka menyebabkan berkembangnya bahasa ini. Antara contoh bahasa slanga dalam kalangan pelajar universiti seperti yang ditulis oleh Nik Safiah Karim  dalam bukunya ialah ‘snake’ (pensyarah yang tidak memberi soalan peperiksaan kepada mahasiswa seperti dikehendaki), ‘kacang’ (mata pelajaran yang senang), ‘koyak’ (gagal), ‘karipap’ (gred D) dan lain-lain lagi. Selepas pelajar-pelajar universiti, artis-artis rok (rock) juga banyak menyuburkan bahasa slanga. Istilah-istilah seperti ‘tangkap leleh (mengasyikkan), ‘tangkap cintan’ (jatuh cinta), ‘tangkap nangis’ (sedih) dan ‘mengancam’ (hebat) begitu popular. Kumpulan yang ketiga sering dikaitkan dengan bahasa slanga ialah remaja. Antara istilah popular dalam kalangan mereka ialah  ‘mat rempit’ (remaja yang menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya), ‘cun’ (cantik), ‘jambu’ (cantik), ‘balak’ (teman lelaki), ‘pak we’ (teman lelaki), ‘mak we’ (teman wanita), ‘skema’ (terlalu mengikut peraturan), dan lain-lain lagi.

Bahasa slanga yang digunakan berbeza antara satu kumpulan dengan kumpulan lain. Contohnya, ada kumpulan yang menggunakan ‘ayam’, ‘burung’ atau ‘sanggul’ untuk merujuk kepada pelacur.

Bahasa slanga juga telah dikenal pasti wujud dalam bahasa-bahasa lain di dunia seperti bahasa Inggeris, contohnya, ‘whale tail’ iaitu ikatan pinggang berbentuk ‘Y’ pada seluar dalam, dan ‘muffin-top’( bahagian daging daripada pinggang yang terjulur keluar apabila memakai seluar atau skirt yang ketat).

Saya telah berjaya mengesan beberapa bahasa slanga yang digunakan oleh pelajar asrama di sebuah sekolah. Antara perkataan yang digunakan ialah ‘mengisi’ (memukul), ‘relay’ (merokok secara beramai-ramai), ‘pejabat’ (tandas tempat merokok), ‘mengopi’ (meniru dalam peperiksaan), ‘spongebob’ (orang yang mempunyai suara nyaring), ‘tenggiling’ (telefon bimbit), ‘toyol’ (membawa nota dalam peperiksaan) dan ‘loga’ (orang yang berambut keriting). Namun seperti yang dijelaskan sebelum ini, istilah ini kemungkinan berbeza dengan istilah yang digunakan oleh pelajar di asrama sekolah lain.

Beberapa faktor wujudnya bahasa slanga telah dikenal pasti, antaranya untuk menunjukkan identiti kumpulan berkenaan. Faktor-faktor lain ialah tekanan emosi yang dihadapi oleh remaja sama ada dari aspek pelajaran, percintaan dan kewangan menyebabkan bahasa slanga tercipta selain sebagai tujuan berjenaka dengan rakan-rakan mereka. Remaja juga cuba untuk meringkaskan perkataan demi mempercepat sebutan di samping menyatakan sesuatu yang lucah dan abstrak secara tersirat. Bagi sesetengah kumpulan pula, beberapa istilah dicipta untuk mengelakkan kegiatan negatif mereka diketahui orang lain.

Sebagai kesimpulannya, walaupun perkembangan bahasa slanga ini sukar dibendung akibat daripada perkembangan teknologi, namun gejala ini harus dikawal terutama dalam urusan-urusan rasmi agar bahasa Melayu terus terpelihara. Kita bimbang jika bahasa slanga terus berleluasa, kemungkinan besar akan timbul silap faham antara pengguna bahasa Melayu. Marilah sama-sama kita mempertahankan bahasa Melayu. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan