KENYATAAN Profesor Diraja Ungku
Aziz Ungku Abdul Hamid mengenai bahasa Melayu amat menarik untuk direnungkan.
Kata beliau - Malang sekali bahasa Melayu ketika ini dikira bahasa rojak.
Seolah-olah tidak punyai keperibadian sendiri sama seperti budaya kita.
Bahasa adalah alat komunikasi dan
pengucapan. Ia mempunyai etos yang menghubungkan manusia dengan manusia dan
juga budaya.
Bahasa jiwa bangsa menggambarkan
sesuatu bahasa yang tidak saja diamal dan dihayati tetapi terkandung makna yang
menghubungkan pemikiran dan hati.
Bahasa Melayu di Malaysia telah
wujud ratusan tahun bersama kehadiran bangsa Melayu dan mengukir sejarah,
tradisi dan budayanya. Apabila orang Cina dan India datang ke Tanah Melayu
mereka menuturkan bahasa Melayu Peranakan sehingga digelar bahasa Cina dan
India Peranakan.
Bahasa Melayu pada waktu itu
walaupun sifatnya Peranakan tetapi menjadi bahasa perhubungan dan pengucapan
dan mampu membina asas perpaduan.
Selepas merdeka, bahasa Melayu ditempatkan dalam sistem pendidikan
yang membolehkan ia dipelajari secara tertib dengan pemahaman terhadap nahu dan
ayat sehingga ia menjadi baku dalam sebutan.
Di suatu tahap bahasa Melayu
menjadi bahasa ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT) dan mampu melahirkan
ramai graduan dalam pelbagai lapangan dan menyumbang kepada kemajuan negara.
Cabaran globalisasi menyebabkan
bahasa Inggeris mula dominan di IPT dan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
diperkenalkan untuk mengukuhkan subjek Sains dan Matematik.
PPSMI kemudiannya digantikan
dengan strategi Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris
(MBMMBI) iaitu memartabat bahasa Melayu dan memperkasa bahasa Inggeris.
Pendekatan bilingual ini bertujuan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu
dan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia.
Strategi ini adalah sesuatu yang
bijaksana. Memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, penyelidikan dan
pengkaryaan mampu menjadikan bahasa ini berperanan di pentas dunia. Lebih 300
pengucap bahasa ini di rantau Asia Tenggara dan dengan pertumbuhan IPT yang
pesat membolehkan pelajar luar negara mempelajarinya.
Ia menuntut keberanian dalam
kalangan pembuat dasar menjadikan bahasa Melayu wajib dipelajari oleh setiap
warganegara Malaysia secara baku dan ditawarkan kepada pelajar-pelajar luar
negara.
Dalam tradisi Islam, ilmuwan
Islam menguasai banyak bahasa sebagai sumber mendapatkan ilmu. Al-Biruni
mempelajari bahasa Hindu di India dan menjadikan bahasa itu sebagai alat
menguasai ilmu seperti matematik, perubatan dan astronomi.
Bahasa Melayu tidak dapat
mengelak dairpada meminjam bahasa lain terutama dalam bidang sains dan
teknologi. Tetapi ia mestilah dalam struktur kebahasaan yang betul dan
penggunaan kosa kata yang bertepatan.
Keupayaan bahasa Melayu menjadi
bahasa sains dan teknologi membolehkan kemajuan berlaku dan kemampuan bersaing
terbina. Terbukti kemajuan negara Barat seperti Perancis dan Jerman menggunakan
bahasa ibundanya dan kemajuan Jepun, Cina dan Korea menggunakan bahasa
ibundanya seimbang dengan apa yang berlaku di kalangan pengguna bahasa
Inggeris.
Mempelajari bahasa Cina umpamanya
tidak salah asal sahaja penguasaan bahasa Melayu diutamakan. Bangsa Cina bakal
bangun sebagai sebuah kuasa besar suatu ketika nanti. Mempelajarinya adalah
persiapan untuk mempelajari ilmunya terutama dalam bidang siber.
Dalam konteks Malaysia penggunaan
bahasa Melayu tidak harus diremehkan. Dasar ini ada dalam sistem pendidikan
tidak pula meremehkan bahasa Inggeris dan memperleceh bahasa sukuan.
Lebih-lebih lagi bahasa Melayu
secara Perlembagaan adalah bahasa rasmi dan dalam pendidikan adalah bahasa
pengantar. Ia menjadi asas kepada perpaduan negara.
Jangan biarkan bahasa Melayu
menjadi bahasa rojak akibat pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
yang boleh menjejas kebakuan bahasa ini.
Kebakuan dalam perhubungan,
percakapan dan pengkaryaan amat penting diperkukuh supaya bahasa Melayu mampu
tampil sebagai bahasa ilmu, sains dan teknologi.
Tekad politik dan perpaduan yang
tinggi amat diperlukan untuk mencapai cita-cita ini. Isu bahasa tidak harus
menjadi gelanggang kelompok cauvinis
yang menajamkan lagi masalah kaum di sini.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan