Jumaat, 21 Februari 2014

ISU BAHASA : Fungsi simbolik bahasa Melayu


Oleh : DR. AMINUDIN MANSOR

BAHASA Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam bidang pendidikan. Melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan, pada 1981 bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di semua peringkat persekolahan, iaitu darjah satu sekolah rendah hingga tingkatan enam. Kekuatan bahasa Melayu jelas dalam pembinaan `Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara’ yang dilaksanakan sejak dahulu hingga kini.

Mengimbau tahun 1983, semua kursus tahun pertama di universiti tempatan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Seterusnya, Bahasa Melayu telah dijadikan sebagai satu mata pelajaran di semua sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Melalui penggunaan satu bahasa, iaitu bahasa Melayu, perpaduan dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Di peringkat sekolah dan universiti, bahasa Melayu telah berfungsi sebagai bahasa penyalur ilmu pengetahuan dan bahasa perpaduan. Kejayaannya tidak hanya terletak pada kempen tetapi lebih kepada penggunaan dan kecintaan terhadap bahasa Melayu itu sendiri.

Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu mampu mengungkap ilmu-ilmu yang tinggi seperti memperkatakan bidang yang berkaitan dengan sains, ekonomi, perundangan, teknologi maklumat dan bidang-bidang lain yang terdapat dalam dunia moden kini.

Ini jelas dilihat menerusi pelbagai laras yang ditulis dalam bahasa Melayu yang berkaitan dengan bidang-bidang tertentu. Setiap laras mempunyai kosa kata tersendiri yang khusus tentang bidang berkenaan.

Kini terdapat banyak buku akademik yang ditulis dalam bahasa Melayu untuk kegunaan pelajar di institusi pengajian tinggi. Justeru, bahasa Melayu terbukti mampu berfungsi sebagai bahasa ilmu.

Komunikasi merupakan proses pertukaran maklumat antara individu yang terlibat dengan menggunakan sistem simbol, tanda atau tingkah laku yang umum. Oleh itu, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi bererti bahasa ini digunakan sebagai alat untuk membolehkan individu bertukar-tukar maklumat.

Dalam sesebuah komunikasi, bahasa Melayu menjadi bahasa perantara yang penting. Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di Nusantara ini telah berlangsung dalam tempoh yang lama. Hal ini kerana pada masa itu, bahasa Melayu telah menjadi lingua franca, iaitu bahasa perhubungan antara masyarakat yang berlainan bahasa.

Penduduk Tanah Melayu sejak awal lagi terdiri daripada pelbagai kaum dan setiap kaum ini mempunyai bahasa ibunda. Begitu juga dengan masyarakat Melayu sendiri, terdapat pelbagai dialek dan dialek ini hanya boleh difahami dalam lingkungan mereka sendiri.

Bagaimanapun, sebagai lingua franca, bahasa Melayu telah membolehkan masyarakat tanpa mengira dialek atau bahasa ibunda berhubung antara satu sama lain. Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa perhubungan berbanding bahasa lain kerana ia bahasa pertuturan harian sebahagian besar penduduk di Nusantara.

Pada masa sama, sebilangan besar daripada kaum yang terlibat mampu menuturkan bahasa Melayu ini. Hal ini disebabkan bahasa Melayu agak mudah difahami dan dipelajari, khususnya dalam kalangan penutur asing.

Dalam menjalankan fungsi komunikasi ini, penggunaan bahasa Melayu tidak terhad kepada komunikasi lisan dalam situasi tidak formal, tetapi bahasa Melayu juga digunakan dalam bidang pentadbiran dan pemerintahan. Oleh itu, dalam situasi pentadbiran, bahasa Melayu turut digunakan misalnya sebagai bahasa perhubungan di pejabat, surat-menyurat, perbualan telefon dan mesyuarat.

Bahasa Melayu juga mampu menyampaikan perasaan dan fikiran seseorang.

Kajian dan pandangan, Garvin dan Mathiot (1968) memberikan tiga fungsi simbolik bahasa baku iaitu penyatuan, pengasingan dan prestij.

Lantaran itu, fungsi penyatuan ialah bahasa Melayu baku bertindak sebagai alat yang menghubungkan penutur-penutur yang menuturkan berbagai-bagai dialek bahasa yang sama. Ini dapat menyatukan mereka ke dalam satu masyarakat penuturan.

Seterusnya, fungsi pengasingan ialah bahasa Melayu baku bertindak sebagai variasi bahasa yang terasing daripada dialek lain daripada bahasa sama yang dapat melambangkan identiti kebangsaan. Fungsi prestij dapat mewujudkan satu bahasa baku yang menimbulkan perasaan atau semangat megah terhadap negara.

Perancangan bahasa Melayu mestilah diteruskan dengan perancangan menaikkan taraf bahasa sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar. Begitu juga dengan perancangan korpus bahasa yang meliputi pengekodan atau kodifikasi serta pemupukan. Di Malaysia, kodifikasi melibatkan aspek ejaan, peristilahan, sebutan, perkamusan dan tatabahasa.

Jelaslah, di Malaysia, ketiga-tiga fungsi yang tersebut iaitu fungsi penyatuan, pengasingan dan prestij dapat menyatukan penduduk dan memberikan satu identiti bagi masyarakat Malaysia. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan disalurkan menerusi Dasar Pelajaran Kebangsaan dan kini diperkuatkan melalui Pelan pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Oleh itu, semua pihak mestilah berusaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam percakapan harian, penulisan dan komunikasi yang betul, berkesan dan tepat.

Penulis ialah pengamal media / PhD persuratan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/


Tiada ulasan:

Catat Ulasan