Isnin, 3 Februari 2014

ISU KEIBUBAPAAN : Didik anak angkat secara berkesan


Oleh : NORSALEHA MOHD SALLEH

APAKAH kasih sayang dan pendidikan agama yang disemai si ibu boleh mengubah perangai buruk anak angkat yang diwarisi daripada genetik keturunannya? Persoalan itu dilontarkan kepada penulis oleh seorang ibu yang memelihara dua anak angkat. Penulis percaya, kerisauan ini dikongsi semua ibu, sama ada anak itu anak angkat atau anak kandungnya sendiri.

Setiap ibu mengimpikan kesempurnaan anak - cantik, kacak, pintar, disayangi ramai. Begitulah harapan dan impian seorang ibu.

Kata orang,  impian semalam kenyataan hari ini. Impian hari ini kenyataan hari esok. Sepanjang pemerhatian dan kajian penulis, setiap anak boleh memiliki sikap dan akhlak mulia tanpa mengira latar belakang ibu bapa mereka. Yang penting si ibu sentiasa berusaha mendidik dan menyemai nilai agama dalam jiwa anak.

Menurut Imam al-Ghazali, sikap dan tingkah laku seseorang dipengaruhi hati dan jiwanya. Seandainya dia memiliki hati bersih dan jiwa damai, tingkah laku yang ditunjukkan pun baik.

Ini menunjukkan pentingnya peranan hati dan jiwa seseorang dalam membentuk tingkah laku.

Ibu yang mahu anaknya berkeperibadian mulia hendaklah berusaha memelihara hati dan jiwa anak daripada dikotori pelbagai faktor yang negatif. Sebenarnya banyak faktor negatif boleh mengotorkan hati anak dan mempengaruhi sikap dan tingkah lakunya ke arah keburukan. 

Televisyen, gajet, telefon pintar, komputer, internet dan rakan sebaya adalah faktor negatif yang boleh mengubah sikap dan tingkah laku anak jika tidak dikawal dengan baik.

Sebenarnya kesibukan ibu bapa serta pengabaian ke atas anak adalah antara faktor utama yang menyebabkan tingkah laku anak menjadi buruk. Kita tidak boleh meletakkan kesalahan dan alasan kepada keturunan dan genetik di atas sikap buruk yang ditunjukkan anak.

Mungkin ya, sikap panas baran itu diwarisi daripada bapanya. Tetapi sikap ini boleh diasuh dan dibimbing menjadi baik sekiranya si anak mendapat perhatian dan kasih sayang daripada kedua orang tua angkatnya atau orang tua kandungnya.

Hari ini, kebanyakan ibu bapa lebih melayan rakan dalam WhatsApp, Facebook, Twitter dan lain-lain saluran daripada melayani karenah anak seperti luahan perasaan, aduan dan perkongsian cerita.

WhatsApp, Facebook, Twitter adalah fitnah yang boleh merosakkan hubungan kita dengan anak. Apa salahnya kita tunaikan dahulu hajat dan keperluan mereka. Dengar dahulu keluhan dan cerita suka duka mereka. Sikap prihatin dan kasih sayang yang ditunjukkan ibu bapa boleh mengubah sikap dan tingkah laku mereka.

Mengubah tingkah laku dan mendidik anak tidak semudah membaca abc. Ia memerlukan keikhlasan, kesungguhan dan kesabaran ketika melayani karenah mereka. Perasaan ibu mesti kuat apabila berhadapan dengan perangai anak yang menyakitkan hati. Mungkin sikap buruk ditunjukkan si anak itu adalah reaksi kepada sikap kita sendiri.

Mahu tidak mahu, si ibu perlu berkomunikasi dan berinteraksi dengan jiwa anak seperti memahami kehendak dan keperluan mereka, berbincang, mendengar pandangan dan cadangan yang diutarakan. Sama-sama membuat keputusan selepas berbincang dengan mereka. Tindakan ini boleh menimbulkan keyakinan diri yang tinggi dalam jiwa anak. Mereka akan berasa dihargai, dikasihi dan disayangi.

Amalan kerohanian memainkan peranan penting dalam melembutkan hati anak. Ia dapat membersihkan dan memelihara jiwa daripada dicemari dengan unsur negatif. Mengabaikan amalan keagamaan dalam kehidupan seharian, mendedahkan anak kepada pengaruh negatif.

Oleh itu, kita perlu menghidupkan amalan solat berjemaah dalam keluarga. Berzikir menyebut nama ALLAH dan membaca al-Quran bersama. Amalan ini boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menimbulkan ketenangan dalam kehidupan berkeluarga. Malah keberkatan dan rahmat ALLAH SWT memayungi mereka yang melakukan amalan secara jemaah dan kolektif ini.

Imam al-Ghazali menegaskan akhlak buruk boleh diubah menjadi baik dengan sentiasa membiasakannya melakukan kebaikan, lantas mengulang-ulang kebaikan itu sehingga menjadi tabiat dan kebiasaannya.

Kembali kepada soalan di atas, sebenarnya jawapan itu ada dalam diri si ibu itu sendiri.

Penulis ialah Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan