Oleh : Ruhaiza Rusmin dan Ihsan
Noorzali
Akhirnya ‘sengketa’ dan kemelut
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) berakhir apabila Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa sistem baru ini tidak lagi membebankan
golongan pendidik.
Dengan memberi kelebihan kepada
guru untuk menggunakan inisiatif sendiri menyimpan data selain mempelbagaikan
lagi mekanisme demi mempertingkatkan prestasi pelajar, penambahbaikan itu
dilihat sudah berada di landasan betul.
Apatah lagi, menerusi penambahbaikan
itu, guru diberi ruang untuk mencorakkan proses pengajaran dan pembelajaran
(P&P), ia dianggap usaha proaktif melahirkan pelajar yang mempunyai
keupayaan berfikir aras tinggi.
Pensyarah Fakulti Pendidikan dan
Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim Profesor
Dr Othman Lebar berkata, dengan penambahbaikan itu diharap mampu memberi
kelebihan kepada guru untuk lebih fokus menjalankan tugas hakiki.
Menurutnya, walaupun PBS diakui
sistem yang baik, bebanan yang terpaksa ditanggung guru sebelum ini mengganggu
proses P&P, sekali gus menyebabkan konflik dan tekanan.
“Dengan mengurangkan bebanan
guru sehingga 80 peratus menerusi penambahbaikan PBS akan banyak memberi
kelebihan kepada golongan itu menjalankan tugasan mengajar dan mendidik.
“Proses P&P bukan mudah
kerana guru bukan saja perlu meneliti perkembangan pelajar, malah
mempelbagaikan mekanisme sesuai bagi memastikan penyampaian ilmu dapat
disampaikan dengan tepat.
“Justeru, pengurangan bebanan
guru untuk mengisi data PBS seperti sebelum ini diharap mampu melonjakkan lagi
rasa komited mereka untuk menjalankan tugas selain meredakan emosi yang
bercelaru sebelum ini,” katanya.
Tiga penambahbaikan yang
dilaksanakan ialah memberi ruang kepada guru menilai sendiri prestasi pelajar,
memerhati perkembangan pelajar melalui P&P dan mentaksir pencapaian pelajar.
Ia menjadi ukuran bagi menentukan
tahap pencapaian sebenar pelajar yang merangkumi empat komponen pentaksiran
iaitu Pentaksiran Sekolah (PS); Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan
Kokurikulum (PAJSK); Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Pusat (PP).
Beliau berkata, dengan memberi
kepercayaan kepada guru untuk menilai prestasi dan perkembangan pelajar, guru
dapat mengetahui standard pengetahuan juga kemampuan pelajar secara individu.
“Bermakna guru boleh melaksanakan
kebebasan bagaimana mahu menjadikan proses pembelajaran itu mampu diikuti
pelajar yang mempunyai pelbagai kemampuan berbeza.
“Guru boleh menggunakan mekanisme
ujian bertulis kertas dan pensel, alat bantuan mengajar dan mekanisme lain
seperti kajian kes dan projek.
“Mereka bebas menggunakan apa jua
cara dalam proses P&P kerana secara dasarnya PBS memberi kebebasan kepada
guru,” katanya mengakui penambahbaikan itu juga seharusnya dimanfaatkan guru
untuk menjadi lebih kreatif.
“Ketiadaan tekanan memasukkan
data setiap hari membolehkan guru mengambil peluang ini untuk menjadi lebih
kreatif sesuai dengan taraf mereka sebagai guru alaf baru.
“Penambahbaikan ini besar
manfaatnya kepada golongan itu biarpun memasukkan data menggunakan kaedah
manual adalah perkara hakiki dilakukan guru sejak dulu.
“Jangan pula selepas
penambahbaikan ini ada rungutan guru yang mengatakan diri masih terbeban
dengan tanggungjawab menulis dalam buku rekod,” katanya.
Ditanya sama ada penambahbaikan
dilakukan itu boleh merencatkan usaha dilakukan KPM untuk melahirkan pelajar
holistik secara menyeluruh selain guru berdedikasi, katanya ia menjadikan
sistem pembelajaran dan pendidikan lebih fokus.
Katanya, keupayaan PBS yang
diperakui serta sudah banyak dilaksanakan di negara maju membuktikan sistem itu
relevan untuk diaplikasikan.
“PBS boleh dikatakan sebagai
memberi kuasa autonomi kepada guru untuk melaksanakan proses P&P.
“Ia juga anjakan daripada sistem
peperiksaan berorentasikan akademik semata-mata yang digunakan sebelum ini.
“PBS mencakupi keseluruhan
keperluan untuk melahirkan pelajar yang berupaya bersaing selain mempunyai
tahap pemikiran tinggi seperti berfikir dan menyelesaikan masalah,” katanya.
Bagaimanapun, PBS katanya masih
mempunyai kelemahan akibat faktor manusia, teknikal dan kualiti ujian.
“Ini tidak dapat dielakkan.
Misalnya, guru memberi penilaian pelajar yang baik kerana faktor peribadi
sedangkan pelajar itu tidak mencapai keupayaan sebenar.
“Perlu diingat, PBS adalah sistem
untuk menyokong pembelajaran dan menghargai perbezaan keupayaan pelajar.
“Sebab itu, sebarang tindakan
tidak profesional dalam kalangan guru boleh menjejaskan matlamat PBS,” katanya.
Beliau juga menyarankan agar
pentaksiran dilakukan bukan saja dilakukan dalam kalangan guru, malah diberikan
kepada pelajar sendiri.
“Pendapat saya, ini baru adil
kerana kedua-dua pihak iaitu yang mentafsir serta ditafsir boleh mengetahui
kelebihan dan kekurangan masing-masing.
“Peluang memperbaiki kelemahan
terbuka lebih luas dan seimbang,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan