NEGARA ini kecoh seketika berikutan usaha melaksanakan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terutama melibatkan para guru.
Berikutan bantahan yang diterima,
akhirnya pelaksanaan PBS ditangguhkan di peringkat sekolah rendah dan menengah
seluruh negara bermula 17 Februari lalu untuk mengelakkan kekeliruan terhadap
pelaksanaannya.
Namun ia tidak akan sesekali
dimansuhkan dan bakal dilaksanakan setelah kajian bentuk baharu pelaksanaannya
diumumkan pada 1 April depan.
Untuk mendapatkan kupasan lanjut
wartawan Mingguan Malaysia, KHAIRUNNISA SULAIMAN telah mewawancara Setiausaha
Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, (NUTP), LOK YIM PHENG pada
Jumaat lepas.
Ujar beliau, diharapkan selepas 1
April akan ada satu sistem yang boleh menggantikan sistem sedia ada, yang
betul-betul mantap dan boleh menilai semua pelajar dengan mudah kerana ini amat
penting.
Guru sehingga sekarang masih
fobia dengan sistem sedia ada. Ini memberikan impak negatif dan ada kalangan
guru yang tidak tahan tekanan dan memohon bersara pilihan sebab tidak mahu
meneruskan PBS terutama guru senior yang banyak pengalaman dan kita hilang
kepakaran", katanya.
MINGGUAN : Adakah guru dan kesatuan menentang PBS?
LOK YIM PHENG : Dalam isu
PBS ini kita kena jelas. Saya rasa semua guru dan kesatuan kita tidak menentang
dasar PBS. Guru boleh terima dasar-dasar PBS tetapi mereka tidak boleh terima
di peringkat pelaksanaannya. Peringkat pelaksanaan di mana kita sokong dasar
PBS tetapi sistemnya kita tidak sokong kerana dalam peringkat pelaksanaan yang
melibatkan dan menggerakkan dasar ialah sistem PBS iaitu e-system yang
menggunakan Internet. Masalahnya yang dihadapi oleh guru ialah sistem ini tidak
mantap dan mempunyai banyak masalah. Contohnya apabila guru sudah memasukkan
sehingga 100 orang nama pelajar dan terdapat nama yang silap, mereka tidak
boleh membuat pembetulan. Guru perlu memasukkan semula data kerana semua data
itu telah hilang. Apabila program tidak mantap, ini menjadi masalah kepada guru
kerana program ini sendiri tidak mesra pengguna. Ini yang menjadi kritikan
utama mengenai program ini.
MINGGUAN : Selain masalah program, apa lagi masalah yang boleh dikatakan agak
mencabar guru?
LOK YIM PHENG : Program ini menggunakan Internet tetapi ada
sesetengah sekolah tidak mempunyai kemudahan berkenaan terutama sekolah luar
bandar. Jadi terdapat guru yang terpaksa membeli broadband sendiri untuk
digunakan bagi memasukkan data dalam program PBS. Bagaimanapun masalahnya
program PBS itu sukar untuk ditembusi kerana ia melibatkan 430,000 orang guru
di seluruh negara. Apabila ini berlaku guru terpaksa menunggu lama sebab sistem
tidak menyokong akses yang terlalu banyak. Ini berbeza semasa ujian perintis
yang melibatkan kumpulan kecil tetapi kini ia melibatkan 430,000 orang guru
jadi trafik padat dan sesak.
Guru tidak boleh memproses data
dan mereka mempunyai tarikh akhir menghantar data menyebabkan guru menjadi
tertekan. Selain sistem dan Internet yang menjadi masalah paling serius, guru
juga menghadapi masalah dengan bahan-bahan yang ditetapkan oleh Lembaga
Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk mentaksir pelajar dengan kurikulum yang
berbeza. Kurikulum yang diberikan lebih padat manakala yang perlu ditaksirkan
kurang padat. Ini menyebabkan guru takut tidak sempat menghabiskan semua
kurikulum kerana perlu proses data. Jika guru ikut saranan LPM mereka bimbang
tidak boleh meliputi silibus. Itu satu kebimbangan kalangan guru.
MINGGUAN : Bagaimanakah cara menilai pelajar tanpa peperiksaan?
LOK YIM PHENG : Perlu banyak bukti untuk menilai sebab tiada
peperiksaan. Jadi bagaimana hendak menilai pelajar adalah dengan menggunakan
bukti iaitu item-item subjek misalnya mengajar tumbuhan perlukan banyak sub dan
nilaikan secara sub. Ini menyebabkan ada sekolah yang mula mengadakan bilik
khas menyimpan fail pelajar dan borang bukti. Dan seorang guru yang mengajar
tiga buah kelas perlu mengisi beratus-ratus atau beribu-ribu borang bukti.
Misalnya dalam mata pelajaran Sejarah ada 100 bukti dengan 300 pelajar, guru
kena isi 3,000 bukti dan borang bukti perlu disiapkan cepat (ada tarikh akhir)
dan perlu diisi dari semasa ke semasa. Jadi guru tidak ada masa untuk fokus
kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Itu menyebabkan guru rasa
tertekan.
MINGGUAN : Adakah ini menyebabkan guru menentang PBS?
LOK YIM PHENG : Guru bukan menentang dasar PBS. NUTP telah
memainkan peranan proaktif sejak 2011 apabila isu PBS dikemukakan oleh
guru-guru kepada NUTP. Kita kumpul guru-guru ini dan dengar rintihan mereka dan
kumpul semua maklumat. Apa kita buat ialah semua maklumat berkenaan kita
kemukakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Hasilnya kita dipanggil
mesyuarat dan berbincang dari semasa ke semasa dengan pihak KPM khasnya LPM
mengenai Internet yang sesak, sistem tak boleh akses dan hasilnya mereka
betulkan dari semasa ke semasa. Setakat ini melalui perjumpaan dan
perbincangan, kita berbincang dengan KPM lebih 20 kali sejak 2011 hingga
sekarang untuk memantapkan sistem. Kita juga membuat susulan. Cuma baru-baru
ini pada 8 November 2013 NUTP adakan mesyuarat exco yang terdiri daripada 70
orang pemimpin seluruh Malaysia telah berbahas mengenai isu ini dan mendapati
sistem berkenaan masih belum mantap, banyak gangguan, guru masih tidak boleh
akses, masih pening kepala. Tidak boleh selesai masalah. Jadi kita ambil keputusan
buat sidang akhbar menolak PBS. Apabila kita kata menolak PBS, saya ucap terima
kasih kepada KPM kerana bertindak balas dengan cepat.
Mereka sudah mengeluar surat
pekeliling kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan NUTP menyatakan PBS ditangguhkan sehingga 1 April 2014. Surat berkenaan
bertarikh Disember 2013. Guru tidak perlu berbuat apa-apa sehingga diberitahu. Cuma sedihnya
apabila kita dapat tahu surat pekeliling itu tidak sampai kepada semua guru. Apabila sampai ke sekolah mungkin ada ketua jabatan simpan dan tidak edar kepada
guru menyebabkan ada sekolah-sekolah tertentu, guru masih meneruskan
tugas-tugas memasukkan data, masih isi borang evidence. Ini menimbulkan
kekeliruan.
MINGGUAN : Apakah harapan NUTP selepas 1 April nanti?
LOK YIM PHENG : Harapan kita selepas 1 April akan ada satu sistem
yang boleh menggantikan sistem sedia ada, yang betul-betul mantap dan boleh
menilai semua pelajar dengan mudah. Ini amat penting. Guru sehingga sekarang
masih fobia dengan sistem sedia ada. Ini memberikan impak negatif dan ada
kalangan guru yang tidak tahan tekanan dan memohon bersara pilihan sebab tidak
mahu meneruskan PBS terutama guru senior yang banyak pengalaman dan kita hilang
kepakaran.
KPM ada mengambil tindakan dari
semasa ke semasa untuk memantapkan sistem tetapi bahagian IT mungkin kurang
cekap kerana sampai sekarang masalah masih belum diselesaikan lagi. Jadi kita
tunggu sehingga 1 April. Bila berhenti dalam tiga bulan, tindak balas guru-guru
ialah mereka dapati lebih banyak masa untuk bersama-sama pelajar dan mereka
mengajar seperti biasa, cuma tiada peperiksaan bermakna tiada penilaian. Tetapi
ada sekolah tertentu masih jalankan peperiksaan setengah tahun dan akhir tahun,
mereka masih terikat dengan peperiksaan sebab kita perlu lihat - susah mahu
mengubah sistem peperiksaan.
Walaupun ia akan mengambil masa
tetapi saya yakin ia boleh dilakukan. Misalnya sekarang peperiksaan setengah
tahun dan akhir tahun sudah cukup, tak perlu banyak peperiksaan. Kemudian pada masa
yang sama biar guru fokus lebih banyak pada kelas pengajaran dan bukti perlu
dikurangkan. Yang penting sekali dalam kenyataan akhbar saya katakan bagi masa
sebab itu PBS perlu ditangguhkan tapi mereka tidak jelas.
Selepas April, harapan kita akan
ada sistem yang betul-betul tidak membebankan guru dan membolehkan guru
menggunakannya dengan mudah sekali. Mula-mula guru tidak merungut. Mereka mahu
mencuba tetapi apabila tidak boleh masuk ke sistem tentu mereka mengadu.
Mula-mula masalah lebih serius tetapi lama-lama nampak kemajuan tetapi kemajuan
itu tidak boleh mengatasi masalah terlalu ramai yang ingin akses masuk. Sistem
mungkin boleh muat untuk 100 orang tetapi kita ada 10,000 sekolah, macam mana
nak muat, itulah masalahnya.
MINGGUAN : Bagaimana dengan pemahaman PBS dalam kalangan guru serta ibu bapa?
LOK YIM PHENG : Satu lagi
yang saya nampak ialah pemahaman PBS. Pencarian maklumat memang ada.
Kadang-kadang pemahaman kumpulan guru berbeza dengan kumpulan lain.
Pemahaman JPN lain, Pusat
Pendidikan Daerah (PPD) pemahamannya lain dan guru faham lain. Malah ibu bapa
lebih kurang faham. Ada juga guru tidak faham dan tidak jelas. Semasa
menghadiri bengkel di Institut Aminuddin Baki pada 17 dan 18 Februari, kami
dapati ada 100 orang guru yang tidak jelas dengan PBS. Tetapi apa yang lebih penting
bukan pemahaman tetapi sistem sedia ada yang perlu dibaiki.
MINGGUAN : Apa pandangan NUTP mengenai demonstrasi yang dilakukan oleh sekumpulan
guru?
LOK YIM PHENG : Kita adalah kesatuan yang berdaftar jadi kita akan
ikut cara terbaik dan kita dalam profesion perguruan. Dalam perkara PBS, KPM
telah berunding dengan kita sejak 2011 dan kita tidak perlu buat demonstrasi
sebab ada surat rasmi menangguhkan PBS dan kita bertindak secara profesional.
NUTP tidak mempolitikkan isu kerana kita beri keutamaan kepada pembangunan
pelajar dan guru. Itu tumpuan kami. Apa yang kita lihat di sini ialah kita
tidak mahu dipengaruhi dengan politik sebab kita lebih fokus untuk dilihat
sebagai guru bertanggungjawab sebagai melahirkan modal insan yang boleh
membangunkan ekonomi negara.
Apa-apa dasar yang boleh memberi
faedah kepada guru dan murid, kita akan sokong 100 peratus manakala dasar yang
kita anggap tidak boleh diteruskan kita akan suarakan tapi suarakan secara
profesional. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh pihak economy monitoring
review, kita dapati sasaran untuk meningkatkan kualiti modal insan kena kembali
kepada guru. Guru mesti berkualiti. Kalau mahukan guru berkualiti bermakna
apa-apa dasar dilakukan itu mesti capai objektif. Semua ini dalam satu. Kita
suarakan apa yang tidak betul. KPM sudah banyak berunding dan paling kerap
dengan NUTP. Tugas kita mengadu dan kemudian berbincang dengan saluran betul.
MINGGUAN : Adakah modul PBS mendatangkan faedah?
LOK YIM PHENG : Kita lihat kepada dua keadaan, modul perlu
dimantapkan. Perlu ada peperiksaan umum, tadi saya kata peperiksaan dua kali
setahun iaitu pertengahan dan akhir tahun. Jadi pelajar pun belajar. Sekarang apabila tiada penilaian secara rasmi, pelajar tidak terikat dengan sesuatu seperti
tiada tanggungjawab. Pelajar akan rileks dan untuk ikat pelajar belajar, perlu
ada penilaian rasmi seperti dua kali peperiksaan setahun. Ibu bapa akan minta
anak belajar dan pelajar takut dan akan fokus belajar. Jika tidak ada
peperiksaan dan hanya penelitian guru, kemungkinan ada guru yang sibuk dan
menulis pemerhatian tidak tepat, yang jadi mangsa pelajar. Pelajar tidak faham,
balik ke rumah tidak belajar dan tiada motivasi. Peperiksaan perlu ada
sekurang-kurangnya dua kali setahun dalam PBS tetapi jangan terlalu kerap.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Moga ada solusi terbaik :)
BalasPadam