Ahad, 20 April 2014

ISU KENEGARAAN : Perpaduan nasional proses panjang, mencabar


Oleh : Mohd Ayop Abd Razid

Perpaduan adalah isu yang sentiasa diberikan perhatian serius oleh kerajaan. Tanpa perpaduan yang kukuh akan memungkinkan berlakunya konflik perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian hidup masyarakat dan keselamatan, seterusnya kemajuan dan pembangunan negara.

Perhatian dan usaha serius ke arah perpaduan kaum di negara ini boleh dikatakan bermula selepas tercetusnya tragedi 13 Mei 1969. Peristiwa hitam itu mendorong kerajaan menubuhkan Majlis Muhibah Negara dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra. Pada 1 Julai 1969, Jabatan Perpaduan Negara ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Apabila Kerajaan berparlimen dipulihkan semula, Majlis Muhibah Negara digantikan dengan Majlis Perpaduan Negara (MPN) pada 23 Februari 1971. MPN kemudian ditukarkan kepada Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dengan ahlinya seramai 51 orang. Ia ditadbirkan bersama oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Pejabat Muhibah Negara.

Pada l Januari 1972, Jabatan Perpaduan Negara dan Pejabat Muhibah Negara digabungkan dan dijadikan Kementerian Perpaduan Negara.

Selepas Pilihan Raya Umum 1974, Kementerian Perpaduan Negara bertukar nama menjadi Lembaga Perpaduan Negara. Sebuah badan penasihat turut dibentuk, iaitu Panel Penasihat Lembaga Perpaduan Negara yang asalnya ialah Lembaga Perpaduan Negara. Penubuhannya dilancarkan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak (Allahyarham) pada 28 Oktober 1974.

Panel Penasihat itu ditubuhkan untuk membincangkan masalah perpaduan secara telus dan objektif supaya timbul idea baharu bagi menghapuskan perasaan perkauman dan mengelakkan daripada timbulnya konflik dan konfrontasi antara kaum. Pada tahun 2004, Jabatan Perpaduan Negara dikenali sebagai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Ia adalah bukti kerajaan begitu komited untuk membina sebuah negara Malaysia yang bersatu padu.

Matlamat bina perpaduan kaum

Membina masyarakat Malaysia yang bersatu bukan usaha mudah kerana pelbagai ranjau harus dibersihkan supaya jalan ke arah perpaduan dicapai. Polisi ‘pecah dan perintah’ yang dilaksanakan penjajah telah mewujudkan keadaan masyarakat yang bercampur tetapi tidak bersatu.

Keadaan itu boleh mengundang bencana kepada negara jika tidak dicari jalan penyelesaian jitu.

Justeru, peristiwa 13 Mei telah mendorong negara melaksanakan ‘kejuruteraan sosial’ dengan penekanan segala dasar dan agenda kerajaan bermatlamatkan membina perpaduan kaum.

Hakikatnya, perpaduan kaum adalah faktor penting dalam menentukan kestabilan sosiopolitik dan sosioekonomi negara. Ia tidak boleh dicapai dalam bentuk hubungan ‘fungsional’ semata-mata tetapi lebih penting dari itu ia menuntut hubungan ‘empatetik’ yang mendalam antara kaum.

Hubungan ‘fungsional’ tidak sukar dipraktikkan kerana sekadar perhubungan harian di tempat kerja atau premis jual beli. Sebaliknya, hubungan ‘empatetik’ adalah hubungan yang sukar dibina. Namun, ia tidak mustahil jika kita melihat merentasi tembok perkauman.

Kita mungkin dapat bertolak ansur dalam beberapa perkara tetapi sukar untuk membina hubungan ‘empatetik’ antara kaum jika masing-masing kekal dalam tembok perkauman yang tebal. Ia menuntut kita menghapuskan ego dan sentimen perkauman.

Semak kembali kelemahan

Memang selama ini konsep masyarakat majmuk kita difahami dalam kerangka konsep Furnival yang memperakukan perbezaan nilai, norma, budaya dan adat resam sesuatu kaum minoriti sehingga toleransi dalam konsep pluralisme yang diutarakan Furnival itu menjadi antara sebab kepada benih perkauman kekal bertapak. Akhirnya, ia tetap menjadi penghalang kepada usaha memperkasakan perpaduan kaum melalui pelbagai dasar dan program.

Memang pada permukaannya kelihatan ia memberikan impak positif kepada perpaduan kaum di negara ini. Namun, hakikatnya, ia gagal tetapi bukan kegagalan sepenuhnya. Lantas apa yang perlu dilakukan ialah menyemak kembali kelemahan yang ada supaya langkah memperbaiki dapat dilaksanakan.

Saya kira gagasan 1Malaysia yang menekankan kita melihat sesuatu itu merentasi tembok perkauman dengan menekankan elemen penerimaan dan empati boleh menjadi landasan memperbaikinya. Sayangnya, konsep dan gagasan itu disalahertikan dan dipolitikkan sehingga kebaikannya dilupakan.

Kesannya, perpaduan tetap menjadi isu sehingga kerajaan terpaksa menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) pada November tahun lalu. MKPN mempunyai hasrat murni, iaitu menyediakan pelan bertindak cadangan penyatuan nasional yang boleh direalisasikan bagi memperkukuh kembali perpaduan antara kaum di negara ini.

Justeru, kita berharap MKPN dapat meneliti isu ini dengan mendalam dari semua sudut secara berani, telus dan jujur, termasuk mengkaji kesan aliran pendidikan berasaskan kaum.

Memang cabarannya cukup besar seperti pernah disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa perpaduan nasional adalah proses panjang dan cabarannya besar sebab negara kita terlalu kompleks, tetapi ia bukan penghalang. Kesudahannya, perpaduan nasional akan berpunca daripada minda kita sendiri.

Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen