Ahad, 18 Mei 2014

ISU PENDIDIKAN : Kejayaan murid kebahagiaan guru


Oleh : Mohamad Abdullah

KISAH sumbangan dan pengorbanan guru bukanlah baharu. Malah setiap kita ada cerita tersendiri. Ada guru yang diingati dan ada guru yang kita cuba jauhkan diri kerana pelbagai sebab antaranya segan, malu dan mungkin ada kenangan yang kekal dalam ingatan.

Ketika di sekolah rendah, seorang guru sementara dan masih muda mengubah keseluruhan sudut pandang penulis terhadap buku dan ilmu. Sebagai anak kampung di pedalaman negeri Kedah, buku bukanlah mudah diperoleh  pada tahun 70-an.

Guru ini yang tinggal di pekan berhampiran setiap minggu membelikan akhbar Utusan Pelajar terbitan Utusan Melayu yang popular ketika itu dan Dewan Pelajar, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) saban bulan. Malah, guru ini juga memberi peluang kepada penulis untuk membaca buku-buku baharu yang tiba di perpustakaan yang selalunya lebih banyak disimpan daripada dihayati oleh para pelajar di kampung.

Peluang inilah yang membentuk penulis berminat dengan buku dan menghayati dunia luas bagi seorang anak miskin. Sesekali dibawanya pulang ke rumah sebagai seorang anak untuk melihat keluarganya yang sebahagian besar berjaya dalam hidup sebagai satu sumber inspirasi.

Perwatakan lembut dan keibuan serta sering membimbing, menegur dan memberikan peluang dengan kasih sayang kekal dalam ingatan penulis sehinggalah guru ini meninggal dunia beberapa tahun lalu, yang hubungan akrab itu kekal biarpun setelah penulis bekerja.

Kisah ini bukanlah luar biasa. Namun inilah antara cebisan pengaruh guru dalam kehidupan kita seharian terutamanya dalam kalangan mereka yang sangat komi­ted dengan tugas dan tanggungjawabnya.

Guru-guru berupaya mencetuskan satu sudut pandang hidup yang dipegang dan kekal dalam kehidupan kita dengan cara tersendiri. Mungkin ketika itu bukan atas nama inovasi dan kreativiti, tetapi atas nama keikhlasan dan kasih sayang yang ditunjukkan melalui tindakan dan cara yang berbeza dalam membentuk pemikiran baharu.

Lihat sahaja guru-guru bersara yang berada di sekeliling kita, yang dengan bangga bercerita tentang kejayaan pelajarnya. Kejayaan pelajar adalah kepuasan luar biasa bagi diri mereka.

"Kebanyakan kami guru lama berkhid­mat dengan penuh dedikasi dan melihat tugas guru sebagai amanah besar yang walaupun gaji tidak seberapa pada tahun 60-an dan 70-an, tetapi puas apabila melihat murid-murid mencapai kejayaan, malah sebahagiannya rasa malu untuk berdepan jika masih melakukan perkara-perkara yang tidak disenangi guru seperti merokok," cerita Allahyarham Datuk Abdul Razak Abdul Hamid, salah seorang yang terselamat dalam Tragedi Hiroshima kepada penulis.

Hari ini, zaman telah jauh berubah. Pe­ranan guru-guru bukan sahaja mengajar malah juga sebagai fasilitator dan pembim­bing sekali gus rakan luar biasa kepada pelajar, di sekolah rendah mahupun menengah.

Tepat sekali apabila tema ‘Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi’ digunakan untuk sambutan Hari Guru 2014 yang sewajarnya dikekalkan untuk beberapa tahun ini.

Guru bukan sahaja membuka ruang fikir dan perubahan set minda anak-anak hari ini, malah perlu mencetuskan kaedah, pengalaman dan inovasi baharu dalam mendidik dan membawa mereka ke mercu kejayaan. Sekali gus perlu berusaha bersama-sama menggerakkan kreativiti untuk membuka pemikiran baharu yang lebih bebas selaras dengan perkembangan teknologi dan lebuh raya maklumat masa kini.

Guru bukan lagi meluahkan apa yang ada dalam buku teks atau semata-mata melihat kepada kurikulum untuk dihabiskan tetapi seharusnya berupaya menggerakkan pemikiran-pemikiran yang dapat membo­lehkan anak-anak muda kita bermain de­ngan inovasi dan kreativiti ke arah menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menyeronokkan.

Mereka perlu mampu menarik para pelajar ke sekolah dan melihat sekolah sebagai syurga untuk bereksperimen dengan pemikiran dalam sains dan teknologi mahupun sastera dan budaya yang sepatutnya berjalan seiring.

Setiap kita terhutang budi kepada guru dan menghargai apa yang telah dilakukan mereka untuk menjayakan proses pendidikan negara. Walaupun terdapat dalam kalangan guru yang merungut tentang bebanan tugas yang dipikul, namun jika mereka cinta akan profesion dan kejayaan anak bangsa, maka tekanan itu mampu bertukar menjadi keseronokan.

Malah tentunya lebih bahagia jika bekas pelajar dan murid dapat sesekali kembali bersalaman dan memberikan penghargaan kepada guru dan sekolah di mana kita bermula.

Jika setiap kita dapat menghantar satu kad ucapan penghargaan berserta sebuah buku untuk perpustakaan sekolah saban tahun pada sambutan Hari Guru, tentunya sekolah-sekolah kita akan meriah dengan buku-buku untuk kegunaan anak-anak yang ada sekarang ini di samping membahagiakan hati seorang guru. Lalu akan hilanglah penat lelah dan tekanan yang dihadapi selama ini.

Selamat Hari Guru!

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen