DALAM sistem pendidikan di negara
kita, kebanyakan anak-anak sejak umur 4 atau 5 tahun telah mula mempunyai
hubungan dengan institusi pendidikan.
Setiap hari mereka dihantar ke
sekolah, lengkap dengan buku dan alat tulis serta pakaian seragam mengikuti sesi
persekolahan selama 6 hingga 7 jam sehari.
Itu belum termasuk jadual
pendidikan sampingan yang perlu dihadiri anak-anak, seperti kelas tuisyen,
kelas agama dan mengaji al-Quran, kelas tae kwando, kelas piano, atau kegiatan
kokurikulum.
Kehidupan seharian anak-anak yang
diprogramkan sebegini rupa menunjukkan budaya menimba ilmu yang tidak dapat
disanggah peri pentingnya dalam membentuk manusia yang seimbang nilai rohani,
jasmani, emosi dan inteleknya.
Namun, ada anak-anak yang tidak
melihatnya sebagai sesuatu yang memberikan makna yang besar, sekadar suatu
lumrah yang telah disusun atur oleh ibu bapanya.
Pergi ke sekolah dan menuntut
ilmu sepatutnya bukan sekadar suatu rutin kehidupan harian daripada persepsi
anak-anak, bahkan ia adalah salah satu kewajipan yang mesti dikerjakan oleh
setiap orang Islam.
Ia bertepatan dengan sabda
Rasulullah SAW: " Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap
muslim".Anak-anak perlu difahamkan bahawa menuntut ilmu juga diandaikan
seperti berjuang menegakkan hak diri dan berjihad ke jalan Allah seperti mana
hadis Rasulullah SAW, "Barang siapa keluar untuk mencari ilmu maka ia
berada di jalan Allah sampailah ia kembali" (riwayat at-Tirmizi).
Sebagai ibu bapa pasti ada antara
kita yang pernah diajukan persoalan oleh anak-anak seperti "Ayah, kenapa
saya perlu ke sekolah setiap hari?" atau "Ibu, apa perlunya saya
belajar bersungguh-sungguh? Apa pula agaknya jawapan yang sesuai untuk
diberikan? Adakah mencukupi atau tepat dengan mengatakan kepada anak-anak
bahawa "Kamu mesti belajar untuk lulus peperiksaan dengan cemerlang"
atau "Kalau nak jadi orang yang ada kerja yang elok dan banyak duit,
kenalah pergi ke sekolah dan belajar rajin-rajin."
Jawapan seperti ini ditafsir
sesetengah orang sebagai kurang tepat. Ia menzahirkan trend dalam kalangan ibu
bapa yang nampaknya bersungguh-sungguh mendidik anak-anak melangkahkan kakinya
ke sekolah dengan hanya bermatlamatkan kecemerlangan dalam peperiksaan atau
sebagai batu loncatan untuk berjaya mendapat pekerjaan baik di masa hadapan.
Apabila anak-anak dibudayakan untuk
terlalu mengejar kedudukan nombor satu dalam kelas atau deretan "A"
semaksimum mungkin dalam peperiksaan, ia menjadikan mereka tidak berfikir lebih
jauh daripada tujuan tersebut.
Banyak impak negatif jika usaha
mencari ilmu itu tidak diiringi dengan amalan. Antaranya, anak-anak akan
terfokus untuk mengejar objektif yang ditetapkan oleh ibu bapa dan tertekan
apabila ia tidak menjadi kenyataan.
Rasa takut dan rendah diri akan
wujud jika pencapaian dalam kelas atau keputusan peperiksaan yang diidamkan
oleh ibu apa tidak dapat dicapai. Akan wujud jugalah situasi di mana sesetengah
anak-anak yang kurang berjaya secara akademiknya disisihkan dan dipandang
rendah oleh ibu bapa, keluarga dan masyarakat.
Mereka kemudiannya mencari jalan
singkat dalam memujuk diri yang dicap kurang bijak dengan terbabit dalam
gejala-gejala negatif. Hakikatnya, gagal dalam peperiksaan bukanlah bererti
mereka sudah tewas dan tidak akan mampu mengharungi cabaran kehidupan di masa
mendatang.
Bagi sesetengah anak-anak yang
berjaya pula, ilmu yang ditimba itu tidak diamalkan sebaiknya bahkan ia begitu
rapuh hilang dari ingatan selepas berakhirnya peperiksaan atau pengajian,
semudah hilangnya nota-nota atau buku-buku rujukan dari pandangan mata.
Mungkin juga gejala-gejala
seperti merasuah dan pecah amanah berlaku disebabkan kedangkalan pemikiran
orang yang berilmu dan "kelihatan pandai" tetapi tidak beramal dengan
ilmu yang dipelajarinya.
Inilah antara senario yang biasa
berlaku dalam masyarakat kita. "Roh" ilmu itu tidak benar-benar
meresap di dalam diri sejak usia kecil, kerana ilmu pengetahuan dicari
bersandarkan matlamat-matlamat yang bukanlah salah, tetapi orientasinya kurang
tepat.
Ilmu itu sebenarnya perlu dicari,
dipelajari dan dihayati secara istiqamah. Bak kata pujangga, gersang bumi tanpa
hujan, gersang minda tanpa ilmu, gersang jiwa tanpa amal, gersang hati tanpa
iman.
Sejak kecil lagi, anak-anak perlu
dididik bahawa ilmu pengetahuan bukan hanya untuk dicari dan dipelajari, bahkan
ia diamalkan. Dengan cara itu, dapat meningkatkan darjat hidup manusia di dunia
dan akhirat.
Saidina Ali bin Abi Talib RA ada
berkata: "Bahawasanya yang dikatakan orang alim itu adalah mereka yang
beramal dengan ilmunya dan ilmunya itu pula sesuai dengan amalnya."
Ibu bapa sebagai role-model yang
paling rapat dengan anak-anak wajar memberikan misalan terbaik dalam mendasari
kaedah mengamalkan ilmu yang diperoleh. Contoh paling mudah adalah dalam hal
beramal ibadah misalnya mengajak anak-anak mengerjakan solat pada awal waktu,
rajin melaksanakan puasa sunat serta bertadarus al-Quran bersama-sama.
Dalam hal moral dan tata susila,
ibu bapa wajar menunjukkan contoh pekerti mulia seperti tidak merokok, menjaga
percakapan daripada mengumpat atau menutur kata-kata kesat, menjaga adab-adab
berjiran, dan sebagainya.
Hal-hal yang nampak mudah dan
remeh ini sebenarnya adalah pencetus yang signifikan dalam memperihalkan
pentingnya mengamalkan ilmu yang diperoleh kepada anak-anak.
Ia mampu menjadi pencetus terbaik
bagi mereka menjiwai bidang-bidang ilmu yang akan diterokainya kelak bahkan
memberikan pulangan lebih lumayan dalam membangunkan martabat diri mereka
sendiri, ibu bapa, masyarakat, agama dan negara.
* PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan