Khamis, 10 September 2015

ISU BAHASA : Harapkan pagar, pagar makan padi


Oleh : Muhammad Daud

KITA pasti pernah terbaca tentang pendapat yang mengatakan bahawa peribahasa yang sebenar ialah “harapkan pegar, pegar makan padi” bukannya “harapkan pagar, pagar makan padi”.

Penyokong pandangan ini memberikan hujah bahawa telah berlaku kesilapan semasa menterjemah peribahasa ini daripada tulisan Jawi kepada tulisan Rumi, lagipun tidak logik untuk mengharapkan pagar bagi menjaga padi kerana pagar merupakan objek yang tidak hidup.

Lebih logik jika diharapkan pegar iaitu sejenis burung yang memakan padi atau dikenali juga sebagai burung kuang untuk menjaga padi kerana burung pegar ini hidup.

Bagi menilai peribahasa yang sebenar antara dua peribahasa ini, pertama sekali kita perlu melihat sosiobudaya masyarakat Melayu terlebih dahulu.

Masyarakat Melayu yang hidup sebagai petani bekerja keras untuk menanam padi bagi menyara hidup mereka. Pada masa itu, kehidupan mereka seratus-peratus bergantung pada penanaman padi. Adakah logik jika masyarakat Melayu menyerahkan tanggungjawab untuk menjaga padi mereka kepada sejenis burung yang memakan padi?

Bukankah pekerjaan itu dianggap sebagai suatu perbuatan yang sengaja untuk mencari susah.

Berdasarkan kajian tentang sosiobudaya Melayu, peribahasa “harapkan pagar, pagar makan padi” lebih tepat kerana istilah pagar di sini bukan hanya merujuk pagar yang diperbuat daripada kayu-kayu yang dipacak ataupun diperbuat daripada kawat duri tetapi maksudnya lebih luas daripada itu.

Dalam kamus bahasa Indonesia, pagar bermaksud pengawal atau penjaga. Kalau diteliti maksud pagar dalam bahasa Indonesia ini yang merupakan bahasa serumpun kita, semakin kukuhlah pandangan bahawa peribahasa yang sebenar ialah “harapkan pagar, pagar makan padi”.

Maksud peribahasa “harapkan pagar, pagar makan padi” ialah harapan yang diletakkan pada bahu seseorang tetapi akhirnya orang itu pula yang merosakkan. Keyakinan terhadap kebijaksanaan masyarakat Melayu dahulu masih kuat kerana tidak mungkin mereka akan meletakkan harapan untuk menjaga tanaman padi mereka kepada sejenis burung yang memakan padi.

Sebenarnya nenek moyang kita tidak sewenang-wenangnya mencipta peribahasa mengikut kemahuan sendiri kerana peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang khusus.

Peribahasa telah dicipta melalui pemerhatian dan kajian yang teliti. Pemilihan perkataan juga amat sesuai dengan maksud yang hendak disampaikan selain menonjolkan keindahan bahasa Melayu itu sendiri.

Kita dapat menerima peribahasa “harapkan pegar, pegar makan padi” jika maksudnya harapan yang diletakkan pada seseorang yang sudah diketahui kejahatannya kerana lebih relevan dan berkaitan. Konsepnya sama jika kita mengharapkan kucing untuk menjaga ikan kerana sudah pasti ikan itu akan dimakan kucing memandangkan ikan merupakan makanan kucing.

Tidak mungkin masyarakat Melayu menyerahkan kuasa menjaga ikan kepada kucing, mengamanahkan monyet untuk menjaga pisang ataupun meminta kambing bagi menjaga tanaman sirih. Kalau percaya akan haiwan-haiwan ini, tunggulah akibatnya.

Penulis pernah terbaca suatu pesanan daripada orang tua-tua supaya tidak bermalam di rumah perempuan muda bersuamikan orang tua. Pesanan ini jelas menggambarkan sikap berhati-hati masyarakat Melayu untuk mengelakkan perkara yang buruk daripada berlaku. Pemikiran ini jelas menggambarkan bahawa tidak mungkin leluhur kita itu percaya akan pegar untuk menjaga padinya.

Kalau dikaji peribahasa Melayu secara menyeluruh, sebenarnya kita dapat mempelajari jati diri dan imej orang Melayu yang menjadi pendokong kewujudan peribahasa  Melayu. Ciri-ciri yang terkandung dalam peribahasa membolehkan kita mengenali sifat dan perwatakan orang Melayu sejak dahulu lagi.

Orang Melayu sebenarnya suatu bangsa yang tersusun dalam pelbagai bidang sejak dahulu lagi. Kemantapan orang Melayu dari segi politik, ekonomi dan sosial dapat kita kaji dan pelajari melalui kisah-kisah sejarah dan hasil karya lama. Imej itu merupakan imej orang Melayu yang dapat diperhatikan melalui khazanah ciptaan mereka iaitu peribahasa kerana peribahasa itu sendiri merupakan ayat atau kelompok kata yang teratur, ringkas dan padat.

Penulis ialah Munsyi Dewan  dan Guru Cemerlang Bahasa Melayu SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/


1 ulasan: