Rabu, 11 November 2015

ISU BAHASA : Bahasa Rojak Jejas Kemurnian Bahasa


Oleh : Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@mediaprima.com.my

Sejak ledakan media sosial kira-kira sedekad lalu, penyalahgunaan bahasa menerusi medium itu makin ketara dan membimbangkan.

Penggunaan bahasa rojak serta istilah dan singkatan ciptaan sendiri makin mendominasi kehidupan masyarakat, sekali gus mengetepikan kepentingan penggunaan bahasa standard terutama dalam kalangan generasi muda terutama pelajar.

Sekilas pandang, penggunaan ‘bahasa cacamarba’ seperti itu tidak akan mencacatkan fungsi dan kemurnian bahasa secara keseluruhannya, namun ia bakal meninggalkan kesan membimbangkan pada jangka panjang.

Jika tidak ditangani dengan kaedah sesuai, dikhuatiri bahasa carcamarba ini akan menenggelamkan fungsi dan peranan bahasa standard dalam kehidupan seharian.

Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Sharil Nizam Sha’ri berkata, peng­gunaan bahasa yang tidak mengikut penggunaan standard bukan saja boleh merosakkan nilai bahasa, malah dikhuatiri menghakis jati diri masyarakat secara perlahan-lahan.

Beliau berkata, fungsi bahasa sebagai medium komunikasi antara fungsi terbesar dalam kehidupan manusia yang membantu individu atau kolektif untuk memahami maksud sesuatu interaksi.

“Penggunaan bahasa carcamarba tanpa meng­ikuti standard memang boleh mencacatcelakan fungsi bahasa sebagai medium komunikasi.

“Walaupun ramai melihat isu penyalahgunaan bahasa di media sosial bukan sesuatu yang serius, ia masih boleh memberi kesan membimbangkan pada jangka panjang.

“Generasi muda yang sebahagian besarnya pelajar menggunakan bahasa ciptaan sendiri yang lintang-pukang ketika berkomunikasi melalui media sosial. Ini boleh memberi kesan jika mereka terikut-ikut menggunakannya dalam peperiksaan penting,” katanya.

Dr Sharil Nizam berkata, ada pihak beranggapan penggunaan bahasa berkenaan dalam media sosial hanya bagi tujuan santai dan tidak perlu diperbesarkan.

“Memang tidak salah jika tujuannya begitu, tapi yang membimbangkan ialah jika ia turut digunakan di luar waktu berkenaan, misalnya sewaktu berinteraksi dalam situasi formal atau bersama-sama orang berkepentingan?

“Kebiasaan yang kerap boleh menyebabkan penggunaan bahasa cacamarba turut terbawa-bawa dalam situasi itu.

“Impaknya, bukan saja kredibiliti bahasa tercalar, malah pengguna dan penerima turut menerima tempias ,” katanya.

Kebimbangan masyarakat mengenai isu ini ada asasnya apabila satu kajian Mercator Research Centre dan The Fryske Academy pada 2014 di Belanda mendapati penggunaan bahasa standard makin merosot dalam kalangan generasi muda.

Menerusi kajian yang dijalankan terhadap 2,000 pelajar berusia 14 hingga 18 tahun mendapati mereka lebih menggemari penggunaan bahasa ringkas terutama dalam aplikasi WhatsApp (95 peratus), Facebook (86 peratus) dan Twitter (76 peratus).

Dr Sharil Nizam berkata, penggunaan bahasa yang tidak menepati piawaian menyebabkan kelangsu­ngan bahasa sukar dipertahankan dan lebih buruk lagi menyebabkan kepupusan perkataan.

“Tidak boleh dinafikan, penggunaan bahasa standard juga perlu selari de­ngan peredaran masa dan pemodenan masyarakat.

“Itu tidak salah, namun soalnya ialah kecenderungan masyarakat yang mempunyai kemahiran mewujudkan bahasa atau perkataan baru sendiri sedangkan kewujudan sesuatu perkataan baru perlu mengikut syarat tertentu sebelum dipersetujui sebulat suara atau diiktiraf oleh badan profesional seperti Dewan Bahasa dan Pustaka,” katanya.

Katanya, prosedur itu perlu dipatuhi kerana hanya cara itu dapat menjamin keutuhan perkataan berkenaan, selain memberi peluang kepada bahasa terus berkembang pada landasan betul.

“Meskipun bahasa bersifat subjektif, peraturan­nya perlu diguna pakai bagi menjamin kualiti perkataan yang ditutur atau digunakan.

“Tidak salah menggunakan bahasa atau perkataan ringkas mengikut pemahaman sendiri tapi perlu ada batas dan syarat.

“Jika kita sendiri tidak mempertahankan penggunaan bahasa standard, dikhuatiri generasi masa depan akan terkapai-kapai kerana bahasa juga mencerminkan siapa dan budaya diri kita sebenarnya,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

1 ulasan:

  1. Sejauh mana Bahasa Melayu kita dimartabatkan. Bahasa yang satu ketika dahulu pernah menjadi 'lingua franca' di seluruh pelusuk Asia ini semakin lama semakin terpinggir dan dilupakan. Hilangnya sesuatu bahasa itu apabila bahasa itu tidak lagi digunakan. Maka hilanglah juga budaya kita yang indah ini.

    BalasPadam