Rabu, 10 Ogos 2016

ISU SOSIAL : Membasmi kemiskinan ilmu


Oleh : ROHAMI SHAFIE 

KHAMIS lalu, penulis berkesempatan meng­hadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Kebangsaan Darulaman Heights (SKDH), Jitra, Kedah. Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum yang juga Timbalan Menteri Pertahanan. Semasa menyampaikan ucapannya, beliau banyak menekankan kepentingan ilmu untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan generasi muda yang adalah pemimpin pelapis masa hadapan. Selain peranan guru untuk mendidik generasi muda, peranan ibu bapa juga cukup penting dalam membim­bing ­generasi muda ke jalan yang benar. Dengan kata lain, pendidikan untuk anak-anak perlu bermula dari rumah.

Malangnya, kita lihat masih ramai ibu bapa yang tidak ambil peduli akan kepentingan ilmu dalam mendidik anak-anak. Kepentingan ilmu ini bukan bermaksud setakat memperoleh kecemerlangan akademik semata-mata tetapi juga membentuk akhlak mulia dalam kala­ngan generasi muda. Sikap tidak ambil peduli sebahagian ibu bapa ­menyebabkan anak-anak muda terjebak dengan pelbagai masalah sosial, misalnya merempit, penagihan dadah dan gengsterisme.

Ambil contoh paling mudah masalah merempit yang sampai sekarang tidak dapat ditangani dengan baik. Ada dalam kalangan ibu bapa sendiri yang membuka peluang kepada anak-anak mereka dengan memberi kebenaran menunggang motosikal tanpa lesen. Walhal, anak-anak muda ini masih perlu dipantau agar tidak memudaratkan diri sendiri dan juga orang lain. Itu belum termasuk dalam hal penagihan dadah yang banyak melibatkan golongan lelaki muda.

Mengikut statistik terbaharu Jabatan Perangkaan, bilangan lelaki di Malaysia lebih ramai berbanding perempuan tetapi rata-rata pelajar lelaki amat kurang kelihatan di menara gading berbanding perempuan. Umum mengetahui di manakah sebenarnya mereka ini berada akibat daripada pelbagai masalah sosial yang saban hari semakin parah. Sehingga sekarang masih belum ada jalan penyelesaian secara menyeluruh untuk menangani isu ini. Dalam hal ini, semua pihak perlu memainkan peranan terutamanya ibu bapa yang tidak boleh sesekali melepaskan tanggungjawab mereka kepada guru.

Anak-anak kecil perlu diberikan ilmu secukupnya, selain mendidik mereka menghayati ilmu yang disampaikan agar ber­akhlak mulia. Sesuatu yang malang sekali apabila ibu bapa hanya mengharapkan guru untuk mendidik anak-anak mereka agar berakhlak mulia. Hal ini berlaku kerana mereka terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing sehingga terlupa menjalankan tanggungjawab dalam memberi ilmu yang mencukupi kepada anak masing-masing.

Selain itu, ilmu juga boleh diperoleh di mana-mana sahaja termasuklah bersahabat de­ngan golongan ilmuwan yang tidak hanya berada di sekolah mahupun di menara gading. Alhamdulillah, sepanjang penulis menjadi pensyarah, penulis berpeluang berjumpa dengan ramai ilmuwan yang berada di luar menara ­gading. Mereka ini berjihad membasmi kemiskinan ilmu dengan cara sendiri. Kesempatan berbincang dengan ilmuwan di luar menara gading telah membangkitkan ke­sedaran kepada penulis betapa banyak lagi ilmu yang perlu dicari. Dengan kata lain, tiada siapa boleh mendabik dada dengan penuh bangga bahawa dirinya sahaja cukup hebat dengan ilmu yang ada walhal ramai lagi ­ilmuwan yang merendah diri tetapi banyak jasanya kepada umat Islam itu sendiri.

Mereka ini bukanlah golongan yang asyik mengkritik orang lain, kononnya orang lain sahaja yang tidak betul dan diri mereka sahaja yang mahir dalam semua bidang. Kita boleh lihat bagaimana media sosial digunakan oleh segelintir golongan untuk menonjolkan diri masing-masing sehingga menyebabkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat boleh terjejas dengan ketara. Ada antara mereka yang sanggup menghabiskan masa dengan berhujah berjela-jela agar panda­ngan mereka didengari.

Cara sebegini amat berbeza sama sekali berbanding ilmuwan-ilmuwan yang penulis temui sepanjang menjalankan penyelidikan perakaunan Islam bersama-sama dengan rakan penyelidik lain. Mereka ini bukan setakat merendah diri tetapi juga menghormati pandangan orang lain meskipun diketahui ilmu mereka ini cukup tinggi ber­banding orang lain. Jauh sekali mengkritik semberono tanpa asas yang kukuh sehingga menonjolkan sifat riak seolah-olah hanya diri sendiri sahaja yang cukup berilmu berbanding orang lain.

Sebab itulah ilmu yang diperoleh oleh mereka dihayati dengan begitu tawaduk dan hasilnya di­terjemahkan melalui akhlak mulia yang memberi manfaat besar kepada orang lain. Mereka ini amat menghayati betapa ilmu itu datangnya daripada Allah SWT. Lantaran itu, penghayatan mereka ke atas ilmu yang diperoleh membolehkan ramai anak-anak murid yang dilahirkan dengan akhlak yang mulia yang mana anak-anak murid mereka ini berkeupayaan meneruskan ke­sinambungan kecemerlangan warisan ilmu yang ditinggalkan oleh mereka.

Apa yang berlaku kini, masyarakat terus dibuai de­ngan pelbagai penyakit sosial yang berteraskan hiburan dan wang semata-mata sehinggakan mem­belakangkan akhlak mulia berasaskan penghayatan ilmu. Lebih-lebih lagi dengan pelbagai ancaman terbaru disebarkan oleh musuh-musuh Islam seperti fahaman liberalisme dan pluralisme.

Ditambah dengan perbalahan antara umat Islam terutamanya melibatkan pemimpin-pemimpin Islam memudahkan lagi kerja musuh-musuh Islam melemahkan umat Islam itu sendiri. Adakah kita sedar hakikat ini? Atau buat-buat tidak sedar kerana terus-menerus mementingkan diri sendiri melebihi kemaslahatan umat Islam? Sebab itulah dalam hal ini, mahu tidak mahu, umat Islam itu sendiri perlu segera bangkit membasmi kemiskinan ilmu agar dapat diterjemahkan dalam bentuk akhlak yang mulia bagi membangunkan umat yang kuat dan disegani di mana-mana sahaja mereka berada.


PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

1 ulasan: