Sabtu, 9 Mei 2020

ISU UMUM : Mengubah Cara Berfikir Saat Menghadapi Dugaan Getir



Dr. Mohd. Farid bin Mohd Shahran 

Dugaan yang dihadapi masyarakat manusia akibat arus deras penyebaran virus Covid-19 yang sedang melanda dunia hari ini sememangnya luar biasa. Walaupun dari segi jumlah, virus ini masih belum menyamai penyakit Spanish Influenza seabad lalu yang menjangkiti hampir 500 juta orang, dan dari segi bahaya ia tidak seganas virus e-bola  yang merenggut nyawa 40% dari mereka yang dijangkiti, namun sekiranya kita melihat dari segi kepantasan virus Covid-19 ini merebak dan keluasannya  berkembang, ternyata ia mengatasi kedua-dua penyakit di atas. 

Akibatnya tiada negara di dunia ini yang terlepas dari serangannya, sementara epicentre atau pusat serangan jangkitannya juga boleh berubah dari satu negara ke satu negara lain dengan pantas. Tanpa simpati, jumlahnya terus berkembang pantas setiap hari.

Virus baharu ini juga telah melumpuhkan ekonomi banyak negara, menjadikan usahawan dan saudagar jatuh bangkrap dan meragut nyawa hatta pemimpin, ahli sukan dan selebriti dunia.

Yang juga bahaya, penyebaran virus ini bakal memberi kesan kepada tahap kesihatan jiwa manusia yang sememangnya telah tergugat dengan pelbagai faktor kerumitan hidup. Hari ini, apabila hampir keseluruhan penduduk dunia dipaksa untuk tinggal di rumah, dibatas pergerakan, dijarakkan hubungan dan dinafikan kebebasan yang selama ini menjadi sebahagian dari fitrah kehidupan, pastinya akan menambah  tekanan kepada ketenteraman jiwa manusia.

Sekiranya mereka yang tinggal di rumahpun kadangkala ada yang menunjukkan maklum balas yang menggambarkan tekanan perasaan, bayangkan apa yang dilalui oleh pesakit Covid-19 sendiri dan juga petugas perubatan dan barisan hadapan (frontliners) yang terpaksa diasingkan dengan segala peralatan yang mencengkam dan menyesakkan jiwa dan raga.

Tidak hairanlah kajian di Wuhan Cina misalnya  menunjukkan bahawa terdapat penambahan kes tekanan mental yang tinggi selepas bermulanya penyebaran virus Covid-19.  Begitu juga berita seorang state minister sebuah negara Eropah membunuh diri akibat tertekan dengan kesan wabak ini terhadap negaranya beberapa minggu yang lalu juga membuktikan suasana ini.

Bagi mengatasi persoalan tekanan jiwa ini mungkin kita memerlukan sedikit ‘game changer’ atau perubahan dari segi berfikir bagi menghadapi cabaran di tahap ini. Sekurang-kurangnya ada tiga bentuk perubahan cara berfikir yang boleh diambil  saat kita menghadapi saat getir ini.

Pertama, dengan mengubah sudut pandang kita dalam menanggapi keseluruhan cabaran serangan virus ini dengan melihatnya sebagai salah satu babak kecil dalam rantaian kehidupan panjang insan yang Tuhan jadikan keseluruhannya dengan hikmah “untuk menguji siapa diantara kamu yang lebih baik amalannya.” (al-Mulk, ayat 2). Ayat ini menjelaskan bahawa hakikat keseluruhan kehidupan ini Allah jadikan sebagai ujian kepada manusia.

Sama seperti keadaan apabila kita sedang mengambil ujian atau peperiksaan ketika berada di sekolah atau universiti, pasti ada soalan-soalan peperiksaan yang lebih sukar berbanding yang lain. Maka anggaplah dugaan Covid-19 ini sebagai sebahagian dari soalan-soalan yang sukar dalam ‘peperiksaan’ yang kita sedang lalui. Insha’ Allah, sekiranya kita benar-benar berikhtiyar mengelakkannya, sabar, tenang dan tawakkal dalam menghadapi dugaan covid-19 ini, maka kita sebenarnya telah berjaya menyelesaikan soalan sukar dalam peperiksaan dengan jayanya.

Perubahan kedua yang boleh dilakukan ialah dengan mengubah perhatian kita kepada perkara yang lebih kekal dalam kehidupan. Dugaan penyakit, sebagaimana dugaan-dugaan lain dalam kehidupan, adalah sebahagian dari perkara-perkara yang mendatang dalam kehidupan. Ia datang dalam tempoh tertentu, ia juga akan meninggalkan kita apabila sampai tempoh tertentu. Mungkin ia mengambil sedikit masa, akan tetapi masih lagi bersifat sementara.

Namun sebagai yang diajar oleh akidah Islam ada perkara-perkara yang lebih kekal dan mutlak dalam kehidupan yang sememangnya kita perlu tumpukan sentiasa tanpa kecuali seperti Ketuhanan dan Hari Kemudian. Dengan kembali menumpukan perhatian kepada perkara yang kekal, perkara sementara yang mendatang tidak akan menguasai dan menekan perasaan kita. Lebih-lebih lagi apabila kita yakin bahawa perkara yang berubah itu sendiri berada dalam kekuasaan  Yang Maha Kekal tersebut.

Justeru, ingatan kita yang berterusan kepada Tuhan Yang Maha Kekal dan keyakinan bahawa Dialah yang Maha Berkuasa menyelamatkan kita dari segala penyakit bakal menjadikan jiwa lebih tenang, sebagaimana yang diingatkan oleh al-Qur’an, “Sesungguhnya dengan mengingati Allah akan menenangkan jiwa.” (al-Ra’d, ayat 28).

Perubahan pemikiran ketiga ialah dengan mengubah tumpuan kita kepada pendalaman ilmu-ilmu yang dapat menyakinkan jiwa terhadap nilai-nilai abadi dalam kehidupan seperti ilmu agama dan akhlak. Ilmu-ilmu agama dan akhlak adalah contoh ilmu yang mengajar kita mengenai sifat-sifat keutamaan (fadha’il) yang bakal membina jiwa keinsanan dengan lebih kuat. Contohnya sifat-sifat mahmudah seperti mujahadah, ikhtiyar, sabar, redha, tawakkal, syukur dan lain-lain.

Pastinya dengan mengetahui dan berusaha menanamkan sifat-sifat ini ke dalam diri, ia akan membantu kita menghadapi cabaran wabak ini dengan lebih kuat. Pastinya sifat-sifat ini harus difahami dengan seimbang terutama antara aspek ikhtiyar dan kesungguhan dalam menghadapi dan menjauhi penyakit dengan aspek penerimaan dan keredhaan kita dalam menghadapi ketentuan Allah.     
Ternyata ketiga-tiga perkara di atas merupakan perkara yang tidak begitu sukar untuk dilakukan semasa pergerakan terbatas ini. Ini kerana ia adalah perkara dalaman yang bersifat ruhaniyah dan akliyah dan tidak memerlukan banyak  pergerakan. Untuk mereka yang telah sedia kuat pegangan akidah dan mantap nilai-nilai akhlakiyah, perkara-perkara yang disebutkan di atas adalah sebagai satu ingatan yang perlu diulang dalam diri melalui tazkirah dan muhasabah diri.

Sumber : http : //www.ikim.gov.my//

Tiada ulasan:

Catat Komen