Ahad, 13 Februari 2022

 

MUNAJAT PEPERIKSAAN :

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Kami mohon keampunan Mu, kami mohon kerahmatan Mu, kami mohon taufik dan hidayah Mu ya Allah.

Kau ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa anak didik kami, dosa saudara mara kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru-guru kami dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Permudahkan urusan kami di dunia dan urusan kami di akhirat. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa bersyukur kepada Mu. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa mencintai Mu ya Allah.

Ya Allah, jadikanlah apa yang kami lakukan ini sebagai suatu amal ibadah yang diterima Mu.

Ikhlaskan hati anak didik kami untuk mempelajari ilmu Mu.

Tetapkan niat dihati mereka agar apa yang mereka lakukan ini semata mata kerana Mu dan demi memenangkan agama Mu ya Allah.

Ya Allah, yang Maha Mengetahui,

Kami mohon kepada Mu, permudahkanlah mereka faham apa yang diajar oleh guru-guru mereka ketika mereka berada di dalam kelas mahupun semasa belajar dalam talian di rumah. Lapangkanlah dada mereka untuk menerima ilmu Mu ya Allah.

Mulai minggu hadapan, anak didik kami akan menduduki peperiksaan STPM Penggal Pertama 2022 Ya Allah. Kami mohon kepada Mu ya Allah, bantulah anak anak kami dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi ini ya Allah.

Ya Allah, yang Maha Berkuasa lagi Maha Melindungi,

Peliharalah kesihatan anak didik kami sepanjang menduduki peperiksaan nanti, serta lindungilah mereka daripada sebarang wabak yang memudaratkan.

Permudahkanlah mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti.

Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan,dan jauhilah mereka daripada perasaan resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan. Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan seperti mana skema jawapan.

Ya Allah, yang Maha Kuat lagi Pemilik Hati-Hati ini,

Lembutkanlah hati para pemeriksa yang memeriksa kertas jawapan anak didik kami nanti.

Dorongkanlah hati mereka untuk memberi markah yang lebih baik kepada anak didik kami. Tutuplah matanya daripada melihat kesalahan kecil atas kelalaian dan kealpaan yang anak didik kami lakukan.

Berilah keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan buat anak didik kami. Mudah-mudahan dengan keputusan yang cemerlang ini, mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi, semoga ia sebagai pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba Mu yang soleh dan menghampirkan diri mereka kepada Mu.

Jadikanlah anak didik kami pelajar yang cemerlang ya Allah, cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat. Kami mohon kepada Mu, Kau perbaikilah akhlak anak didik kami.

Jadikanlah mereka pelajar yang cemerlang dan mempunyai sahsiah diri yang baik. Tanamlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buanglah sifat mazmumah dalam diri mereka.

Ya Allah, jadikanlah anak didik kami seorang pemimpin dalam kalangan orang yang bertakwa.

Ya Allah, yang Maha mendengar dan Mengabulkan Doa,

Sesungguhnya, anak  didik kami inilah harapan kami. Kami mahu mereka berjaya dengan cemerlang ya Allah. Kami mahu mereka mengubah nasib keluarga mereka agar mereka bersyukur dan lebih bertaqwa ya Allah. Berikanlah taufik dan hidayah Mu yang berkekalan ya Allah.

Jadikanlah anak didik kami anak yang soleh ya Allah. Yang menyejukkan mata kami memandangnya ya Allah. Jadikanlah anak didik kami ahli syurga Mu ya Allah. Dorongkanlah hati mereka untuk melakukan amalan amalan yang membawa mereka ke syurga Mu ya Allah.

Jauhkanlah dan hindarilah hati mereka daripada melakukan amalan amalan yang membawa mereka ke neraka Mu ya Allah. Tetapkan lah hati mereka untuk menunaikan solat. Janganlah Kau melalaikan mereka dengan perkara perkara yang tidak berfaedah ya Allah.

Kami tidak mampu untuk mengawasi anak didik kami setiap waktu ya Allah. Kami serahkan anak  didik kami untuk berada di bawah penjagaan Mu ketika mereka tidak bersama kami ya Allah. Gerakkanlah hati mereka untuk berada di tempat tempat yang Engkau redhai. Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat-tempat yang Engkau murkai.

Ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,

Perkenankanlah doa-doa kami yang lemah serta selalu berlaku khilaf dan dosa kepada Mu ini. Kami memohon kepada Mu kerana Engkaulah Tuhan kami.

Kami meminta kepada Mu kerana Engkaulah yang menciptakan kami. Kami merayu kepada Mu kerana Engkaulah yang Maha Mengabulkan doa-doa kami ini.

Jika Engkau tidak memakbulkan doa kami ini, siapa lagi yang akan memakbulkannya. Jika Kau tidak mendengar doa kami ini, siapa lagi yang akan mendengarnya. Bantulah kami ya Allah. Ya Rahman. Aamiin, Aamiin Ya Robbul Aalaminn.

1 ulasan: