Khamis, 23 Julai 2009

KEPENTINGAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA

Perkasa bahasa, perkasa ilmu

TANGGAL 8 Julai 2009 menjadi tarikh bersejarah dalam senario sistem pendidikan di negara kita. Pada hari tersebut, Menteri Pelajaran , Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012.

Pengumuman ini menjadi klimaks kepada polemik isu PPSMI ini yang berlarutan sejak pelaksanaannya. Pihak kerajaan membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kajian ilmiah, pandangan ilmuwan serta umum dan realiti pelaksanaan dasar.

Sebagai remaja, situasi yang berlaku ini seharusnya menyedarkan kita tentang kepentingan menguasai pelbagai bahasa. Sebagai rakyat Malaysia, bahasa Melayu perlu kita martabatkan, tetapi bahasa lain juga perlu dikuasai demi meluaskan skop pergaulan dan membina jambatan untuk meneroka gudang ilmu daripada bahasa lain.

Memartabatkan Bahasa Melayu

Mengapa bahasa Melayu perlu dimartabatkan? Ini kerana bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi yang dipersetujui semua pihak dalam asas pembentukan negara Malaysia. Bahasa Melayu merupakan bahasa perpaduan, yang diharapkan berhasil menyatukan seluruh masyarakat Malaysia yang berbilang etnik dan budaya.

Terdapat lebih daripada 2,000 istilah dalam bahasa Melayu yang berasal daripada bahasa Arab, seperti rahmat, insan, solat dan sebagainya. Bermakna apabila seseorang itu menguasai bahasa Melayu, secara tidak langsung ia dapat memahami asas maksud 2,000 perkataan Bahasa Arab yang terkait dengan ajaran Islam.

Hubungan bahasa Melayu dengan ajaran Islam terkait menerusi istilah-istilah berkenaan dan ia merupakan satu warisan yang amat berharga untuk kita. Memahami istilah-istilah tersebut seharusnya memudahkan kita memahami asas ajaran Islam dan menghayatinya.

Sebagai contoh, perkataan akhlak berasal daripada bahasa Arab yang merujuk kepada adab, budi, pekerti dan perangai. Dalam bahasa Inggeris, secara umumnya akhlak ditafsirkan sebagai morality. Tetapi sebenarnya terdapat perbezaan maksud di antara kedua-duanya.

Perkataan akhlak mempunyai konotasi berbeza yakni berlandaskan perspektif Islam. Hal ini berbeza dengan maksud morality yang bersandarkan kepada nilai-nilai atau pegangan masyarakat setempat.

Tetapi kewujudan perkataan akhlak dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu sudah sedia difahami justeru kayu ukur yang kita gunakan dalam mencirikan akhlak seseorang secara tanpa kita sedari adalah berpandukan nilai keislaman itu sendiri.

Kepentingan Bahasa Inggeris

Bahasa Inggeris sememangnya diguna pakai secara meluas dalam semua bidang, tidak hanya dalam sains dan teknologi. Terdapat rujukan keilmuan dalam bahasa Inggeris bagi pelbagai bidang yang lain juga umpamanya undang-undang, ekonomi dan sains kemanusiaan.

Justeru fokus pengajaran bahasa Inggeris tidak sepatutnya terhad demi bidang sains dan teknologi semata-mata. Pokoknya, asas kemahiran berbahas Inggeris itu perlu diberi perhatian terlebih dahulu demi mendidik pelajar mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Terdapat banyak istilah dalam bahasa Inggeris yang diguna pakai dalam perisian komputer dan di Internet. Justeru tidak dinafikan bahawa pemahaman istilah-istilah yang digunakan adalah perlu demi memudahkan generasi muda menguasai bidang teknologi maklumat.

Tetapi golongan kanak-kanak dan remaja sebenarnya mempunyai upaya mempelajari istilah baru dengan cepat terutamanya apabila mereka didedahkan secara langsung kepada sumber pengajaran berkaitan dan diberi peluang untuk menerokainya.

Sebagai contoh, dengan mewujudkan akses untuk pelajar menggunakan komputer dan Internet, para pelajar akan tertarik untuk menggunakannya dan meneroka perisian yang ada. Melalui penggunaan berterusan, secara automatik pelajar akan terbiasa dengan istilah-istilah yang digunakan serta maksudnya.

Apa yang penting ialah kemudahan untuk mengakses komputer dan internet itu perlu ditambahkan demi membolehkan lebih ramai pelajar khasnya di luar bandar agar mereka juga tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi maklumat.

Harapan Semua

Kita percaya bahawa polemik PPSMI ini didasari oleh keinginan semua pihak untuk melihat remaja negara kita hari ini hebat penguasaan bahasa Melayunya, bahasa Inggerisnya, bahasa ibundanya atau mungkin juga bahasa-bahasa lain.

Tentunya melalui penguasaan pelbagai bahasa, diharapkan para remaja dapat sama-sama memacu kemajuan untuk diri, bangsa, agama dan negara, dan pada masa yang sama memperkasa jati diri dan sahsiah yang dimiliki.

Keputusan kerajaan untuk menyemak kembali dasar PPSMI serta pelaksanaannya berdasarkan penilaian terperinci merupakan satu langkah yang patut dipuji. Impak pelaksanaan dasar ini seharusnya dapat ditelaah dan diambil pengajaran demi membentuk sistem pendidikan negara yang lebih mapan dan bersepadu.

Ibarat Membina Menara

Mungkin hari ini kita bermula semula dari bawah untuk menanam pasak bahasa dengan acuan baru. Tetapi pasak ini bukan sebarang utuh, bukan sebarang tegak, tetapi utuh dan tegak demi menjadi menara setinggi Gunung Fiji.

Mengapa sebanding Gunung Fuji, kerana pada sekitarnya didiami oleh satu bangsa berteladan, yang perkasa reka terbangnya, tetapi tetap unggul bersama bahasa miliknya.

Panahan suria globalisasi bukan untuk mencairkan, tetapi menuntut teduhan, olahan, tapisan agar manfaat cahayanya tetap mampu menerangi. Ribut teknologi bukan untuk membadai, tetapi menjadi kayu ukur sejauh mana kekuatan pasak yang terbina.

Itulah aspirasi kita terhadap bahasa. Manfaat ilmu menerusi bahasa lain ingin kita gapai, dan seterusnya kita semai serta suburi pada bahasa sendiri.

Semoga buah keilmuan yang terhasil dapat dinikmati dan dapat juga disebarkan pada semaian bahasa lain demi manfaat bersama dan martabat bahasa.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

ISU FILEM TEMPATAN

Filem tempatan perlu ada nilai tanggungjawab kemasyarakatan

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

LAPORAN akhbar sebelum ini menyebut kerajaan mungkin mengharamkan filem atau drama tempatan yang memaparkan aksi lumba haram dan mat rempit. Bagaimanapun, tidak dipastikan lagi sama ada pengharaman itu akan dilakukan atau tidak.

Tetapi yang pasti, banyak filem seumpamanya di layar perak sehingga mencetuskan polemik orang ramai sama ada wajar atau tidak mengeluarkan filem, yang akhirnya menjadi ikutan remaja masa kini.

Kita tertanya-tanya mengapa filem seperti Anak Bapa, Musang Berjanggut, Anakku Sazali, Semerah Padi, Antara Dua Darjat dan Hang Jebat berjaya mendapat tempat di hati peminat filem Melayu dan menjadi box office.

Filem arahan Tan Sri P Ramlee itu sebenarnya ada mesej tersendiri yang kebanyakannya menghukum orang yang bersalah sebagai pengajaran kepada masyarakat umum, bukan mengangkat martabat perilaku seperti mat rempit.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata filem Melayu tidak boleh menjadi naskhah hiburan semata-mata atau komoditi perniagaan kerana filem turut berperanan menyebar elemen kebaikan supaya menjadi contoh.

Katanya, filem yang sangat besar pengaruhnya perlu bertanggungjawab mengangkat nilai identiti budaya masyarakat Melayu, memperkukuhkan apa yang kurang dan menguatkan kembali yang lemah.

"Itu yang hilang dalam kebanyakan filem dihasilkan hari ini kerana rata-rata hanya membangkitkan isu tetapi tidak menyediakan jawapan atau cadangan kepada cara menyelesaikan masalah diketengahkan.

"Filem perlu ada nilai tanggungjawab yang dipandu oleh matlamat utama kenapa isu dalam filem itu dibangkitkan serta apa jalan penyelesaiannya supaya akhirnya nanti penonton memperoleh kebaikan daripadanya," katanya.

Beliau yang pernah mencetuskan idea filem menjadi perutusan melalui pembentangan kertas kerja bertajuk 'Filem sebagai al-Risalah' menemukan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian supaya penonton mendapat manfaat daripada industri filem negara.

Justeru, filem Melayu perlu mempunyai elemen tradisi dan Islam serta lima ciri membentuk pemikiran filem iaitu kualiti ilmu, susila, minda, kerja atau tanggungjawab dan pimpinan. Filem Melayu yang diatur sebagai seni dan hiburan tetap ada matlamat membangunkan identiti, moral dan akhlak masyarakat.

Abu Hassan berkata, filem seperti Anakku Sazali, Semerah Padi, Antara Dua Darjat dan Hang Jebat berjaya mendapat tempat di hati peminat filem Melayu dan menjadi box office kerana filem itu memiliki ciri menepati fungsi 'Filem sebagai al-Risalah'.

Beliau berkata, masyarakat inginkan penyelesaian atau melihat yang bersalah menerima hukuman mereka dan hasrat itu berjaya ditonjolkan dalam filem karya P Ramlee, menjadikan ia naskhah yang tidak jemu ditonton hingga sekarang.

Disebabkan tiada kualiti ilmu katanya, filem Melayu yang ada sekarang memberi gambaran seolah-olah masyarakat hari ini tidak ada perkara besar hendak difikirkan, pada hal tanggungjawab dan pimpinan dalam maksud filem cuba membentuk pengaruh untuk masyarakat lebih berani serta progresif.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mengeluarkan garis panduan tertentu untuk diikuti pengeluar filem.

Bagaimanapun, baru-baru ini Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan arahan untuk mengharamkan sesebuah filem atau drama televisyen keluaran produksi tempatan yang mengandungi adegan lumba haram atau aksi mat rempit.

Ahad lalu, laporan muka depan akhbar Sunday Times menyatakan peraturan baru oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengharamkan aksi mat rempit serta lelaki memakai baju perempuan dalam filem dan drama.

Arahan itu berikutan surat dihantar Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengharamkan perkataan mat rempit serta adegan lumba haram dan aktiviti membabitkan mat rempit dalam filem dan drama.

Apabila menteri kata tidak ada, kesimpulan yang boleh dibuat ialah tiada isu pengharaman aksi mat rempit atau pondan dalam filem dan drama. Persoalan kedua boleh dikemukakan, macam mana isu itu boleh timbul jika tidak ada asas kepada usaha mengharamkan perkara terbabit.

Tambahan pula dalam keadaan sekarang, setiap hari ada saja berita menggemparkan yang memerlukan pihak berkuasa mengambil tindakan pantas, pastinya isu mat rempit dan bohsia jika boleh tidak menambahkan pening kepala.

Apa pun rentetan kenyataan demi kenyataan mengenai gejala sosial yang membimbangkan itu dan sehingga kini belum ada kaedah berkesan mengatasinya, isu dibangkitkan wajar mendapat pertimbangan semua pihak.

Di sebalik keghairahan penerbit filem dan drama menghasilkan cerita memaparkan masalah melanda masyarakat terutama belia hari ini, sebenarnya banyak pihak yang gusar dengan tindakan itu.

Alasan diberi penerbit atau pengarah bahawa isu yang dijadikan jalan cerita bertujuan memahami golongan mat rempit, pondan dan bohsia juga mengundang rasa tidak puas hati pihak yang tidak bersetuju dengan pembikinan filem seumpama itu.

Ada pihak berpendapat apa yang dilakukan seperti menjadikan kumpulan berkenaan sebagai tajuk filem yang menggegarkan perasaan seolah-olah memuliakan mereka sedangkan kehadiran mat rempit bukan saja mengganggu ketenangan masyarakat, malah menyalahi norma serta fitrah kejadian manusia.

Persoalan yang mungkin terlupa untuk ditanya oleh mereka yang terbabit dalam penghasilan filem seumpama itu ialah bagaimana jika apa yang didedahkan tidak menghasilkan keputusan diharapkan, sebaliknya keadaan semakin tidak terkawal.

Itulah susahnya apabila nilai komersial mengatasi kesedaran tanggungjawab sosial atau fardu kifayah kerana kebanyakan kita suka menganggap untuk fardu kifayah ini biar orang lain saja yang buat, kita tak payah.

Namun, bagi orang filem, mereka juga sebenarnya mempunyai tanggungjawab besar membentuk corak kehidupan orang di luar sana kerana semua mengakui kuasa televisyen dan layar perak mempengaruhi minda penonton.

Justeru, ada pihak mengharapkan supaya penayangan aksi mat rempit, pondan, bohsia dan terbaru ingin dipopularkan iaitu kumpulan gay, diharamkan.

Tujuannya, supaya kumpulan yang kini dinaikkan martabat serta diagungkan melalui filem sedar bahawa sudah tiba masanya jalan cerita hidup mereka diubah kerana tiada gunanya menjadi duri dalam daging, denyut sakitnya terus mengganggu selagi duri tidak dikeluarkan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Budayakan konsep kebersihan tandas

Oleh DR. IRFAN MOHAMAD

RASA tidak puas hati Timbalan Perdana Menteri terhadap mutu kebersihan tandas awam memang tepat. Ketika ini, 30 peratus daripada 16,990 tandas awam milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan swasta masih di tahap gred C dan D.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan perkara itu ketika perasmian Kempen Kebersihan Awam Bagi Menangani Influenza. Walaupun objektif kempen itu secara spesifik disebut sebagai sebahagian daripada 10 langkah menangani penularan wabak H1N1, pelaksanaannya bakal mendatangkan faedah lebih meluas. Ia berdasarkan peranan tandas yang begitu besar dalam mempengaruhi tahap kesihatan secara khususnya dan taraf kehidupan masyarakat Malaysia secara amnya.

Keadaan tandas awam boleh menjadi ukuran kepada pelancong asing mengenai tahap kebersihan keseluruhan rakyat Malaysia. Bagaimanapun, agak sukar untuk membudayakan penjagaan kebersihan tandas dalam kalangan masyarakat.

Puncanya boleh dibahagikan kepada sikap pengguna, kekerapan penyelengaraan dan prasarana yang tidak sempurna.

Sikap kebanyakan pengguna ialah apa sahaja yang berlabel awam maka akan ada orang lain yang menjaga dan menguruskannya. Apatah lagi jika memasuki tandas awam berbayar.

Selagi sikap ini tidak diubah, maka selama itulah masalah kebersihan tandas menjadi "penyakit kronik" masyarakat kita.

Kekerapan penyelenggaraan adalah bergantung kepada kadar turn-over pengguna di sesuatu lokasi. Misalnya, di kawasan perhentian bas ekspres, kekerapan pembersihan pada waktu puncak seharusnya digandakan. Faktor ini jugalah yang menjadikan kenapa kebanyakan tandas awam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R)lebih bersih. Ia kerana kekerapan penyelengaraan yang bergantung kepada keperluan.

Keadaan prasarana yang tidak sempurna memudaratkan lagi senario kebersihan tandas. Kes-kes di mana pam tidak dapat berfungsi, bekalan air tidak mencukupi, kebocoran daripada tempat takungan air yang menyebabkan air sentiasa menitis dan menitik ke atas pengguna menyebabkan wujud rasa kurang selesa.

Dalam keadaan yang lebih parah, ada juga dalam kalangan pengguna yang masih menggunakan prasarana yang tidak sempurna ini walaupun dilabel sebagai 'tandas rosak'.

Ini mungkin salah tetapi ada ketikanya masalah 'tandas rosak' itu tidak diatasi oleh penyelia perkhidmatan dalam tempoh yang lama. Label 'tandas rosak' seharusnya hanya bersifat sementara dan tindakan membaikinya harus segera diambil untuk mengelakkan rasa kurang selesa di kalangan pengguna.

Pihak Majlis Perbandaran sememangnya telah lama cuba meletakkan imej tandas awam ditempat yang lebih baik. Pelbagai usaha dijalankan baik berbentuk penilaian dari semasa ke semasa mahupun kempen-kempen. Antaranya ialah Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah yang mengeluarkan laporan bulanan pemeriksaan tandas awam yang mengklasifikasikan prestasi dalam kategori cemerlang, baik, memuaskan atau kotor.

Pengemaskinian data itu mungkin boleh dilakukan dengan lebih terkini dan dicontohi oleh PBT lain. Rasanya tahap kebersihan tandas jug aperlu melalui KPI sebagai tanda aras pencapaian pelaksanaan usaha sesebuah PBT.

Kemudahan tandas awam diwujudkan selaras dengan tujuan memudahkan orang awam yang sentiasa memerlukannya. Namun seringkali tahap kebersihannya menjadi igauan ngeri pengguna terutamanya pelancong asing yang sudah terbiasa dengan keadaan tandas awam yang bersih dan kering di tempat mereka.

Maka janganlah dibiarkan keadaan tandas awam yang buruk imejnya memalitkan kekotoran yang mampu mencemarkan nama negara di mata dunia.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Rabu, 22 Julai 2009

SEPOTONG SAJAK DARI LIDAH LUKA

Kerana gusar yang terbukti tersasar
lahirlah sepotong sajak dari lidah luka
yang kalian sedang tatap sekarang ini.

Masih kuingat, juga pastinya kau
kerana gusar yang terbukti tersasar
perlahan-lahan bahasa ibuku diusir
dari kamar ilmu dan lembar buku
anak-anakku dan anak-anakmu jua
kekok menyebut angka satu
lantas menjumpai formula baru
yang pasti bukan lagi dari lidah
ibuku.

Telingaku terus disumbatkan helah
saat gema suara-suara lunak
menjadi saksi betapa bahasa ibuku
masih bernyawa!


Sahrunizam Abdul Talib
Angsana Puisi Bera

ISU PEMINJAM WANG HARAM (AH LONG)

Polis diarah 'hubungi ah long'


HISHAMMUDDIN Tun Hussein diiringi Ismail Omar (dua dari kanan) dan Ahmad Zubir Murshid (kanan) melihat bilik operasi CCTV balai polis baru di Ara Damansara, Petaling Jaya, semalam.


PETALING JAYA 21 Julai - Tindakan ah long yang menjadikan iklan dalam akhbar dan tempat awam untuk menarik minat golongan peminjam, mungkin tidak lagi berkesan selepas ini.

Ini disebabkan, polis kini berusaha membanteras kegiatan pinjaman wang secara haram itu melalui pelbagai cara yang lebih tegas.

Antara langkah tersebut, semua Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah akan menghubungi nombor yang terdapat pada iklan sindiket ah long.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, melalui tindakan itu, kegiatan ah long dapat dikesan di peringkat akar umbi dan disekat daripada terus 'merebak'.

Beliau pada masa yang sama meminta akhbar supaya tidak lagi menyiarkan nombor yang mempunyai kaitan dengan ah long.

"Sekiranya gagal berbuat demikian, kita terpaksa bertindak ke atas mereka kerana bersekongkol dengan kumpulan ini (ah long)," tegasnya pada sidang akhbar selepas merasmikan balai polis baru di Ara Damansara di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid.

Beliau berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 193 kes berhubung jenayah membabitkan ah long dilaporkan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 128 kes dilaporkan oleh sama ada ahli keluarga mangsa, jiran atau polis manakala selebihnya oleh mangsa sendiri," ujarnya.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, mangsa berketurunan Melayu mendahului senarai itu dengan 111 laporan diikuti Cina (57 kes) dan India (20 kes).

Lain-lain bangsa dan warga asing, katanya, masing-masing mencatatkan empat dan satu kes.

Bagi pecahan negeri pula, beliau berkata, Johor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 49 kes, diikuti Selangor 42 kes; Melaka (24), Negeri Sembilan (16), Terengganu (15) dan Kuala Lumpur (10).

"Pahang, Kedah dan Perak masing-masing mencatatkan sembilan kes. Pulau Pinang pula menerima empat kes, Kelantan, Sabah dan Sarawak pula masing-masing dua kes manakala tiada kes dilaporkan di Perlis," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pekerja swasta dan mereka yang berkerja sendiri mendahului senarai mangsa ah long dengan masing-masing 75 kes.

Kakitangan awam pula katanya, mencatatkan sebanyak 48 kes diikuti penganggur 20 kes.

Pada masa yang sama beliau berkata, polis sudah mula bertindak membeku aset termasuk rumah dan akaun terhadap mana-mana ah long yang terlibat dengan kegiatan penggubahan wang haram.

Berhubung perkara itu, beliau berkata, setakat ini, polis sedang menyiasat lima lelaki berhubung kes ah long.

"Polis sedang melakukan siasatan lanjut termasuk menyiasat aset, jumlah dan nilai akaun kesemua lelaki berkenaan," katanya.

Katanya, tindakan itu adalah termaktub di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Gerhana matahari tanda kebesaran Tuhan

Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar
rencanabh@bharian.com.my

ORANG ramai menggunakan negatif filem untuk melihat fenomena gerhana matahari separa dari Masjid Negara pada 26 Januari lalu.

Umat Islam kena elak perbuatan tahyul ketika fenomena alam

MASYARAKAT Islam dinasihatkan tidak melakukan perkara khurafat yang boleh melanggar akidah Islam apabila berlaku gerhana matahari. Fenomena gerhana matahari separa itu akan dapat dilihat terutama di kawasan utara Semenanjung Malaysia khususnya Kangar, Perlis mulai jam 8.23 pagi ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata ramai yang masih mengaitkan kepercayaan salah termasuk kelahiran dan kematian dengan gerhana matahari dan khurafat itu perlu dihentikan kerana ia menyebabkan syirik kepada Allah.

"Gerhana matahari perlu dilihat sebagai satu lagi kejadian yang membuktikan kebesaran Allah yang berkuasa ke atas makhluknya termasuk menentukan peraturannya.

"Apa yang perlu dilakukan masyarakat Islam, selain melihat keagungan Allah itu ialah mereka hendaklah mensyukuri melalui solat sunat gerhana matahari diikuti dengan khutbah khas seperti yang dilakukan Rasulullah SAW ketika fenomena itu berlaku pada tahun 8 Hijrah," katanya ketika dihubungi.

Rakyat Malaysia boleh melihat gerhana matahari penuh itu hari ini dengan melayari laman web yang membuat siaran langsung secara webcasting seperti www.exploratorium.edu/eclipse/2009/index.html, www.saros.org/index.html, www.live-eclipse.org dan www.eclipse-tv.com.

GERHANA hampir 70 peratus menutupi matahari berlaku di Kuala Lumpur pada 4 petang hingga jam 7 malam pada 26 Januari 2008.

Gerhana matahari separa yang sukar dilihat dengan mata kasar, akan berlangsung selama lebih sejam iaitu bermula 8.23 pagi dan berakhir pada 9.48 pagi.

Jamil Khir berkata, fenomena yang berlaku hari ini, amatlah besar hikmatnya, supaya manusia memerhatikan kebesaran Allah. Bulan, matahari dan cakerawala lain, sentiasa sujud dan bertasbih kepada Allah.

"Oleh itu, manusia yang lebih sempurna sifatnya, hendaklah sentiasa mengingati Allah, apatah lagi ketika gerhana matahari. Umat Islam disunatkan mengadakan solat sunat gerhana matahari dan khutbah khas. Manusia hendaklah sedar bahawa nikmat matahari kurniaan Allah boleh ambil kembali pada bila-bila masa," katanya.

Sebahagian wilayah dari India sehingga Shanghai, China dan Jepun akan bergelap hampir enam minit, berikutan fenomena gerhana matahari penuh yang berlaku pagi ini, yang dianggap gerhana paling lama bagi abad ke-21. Bagaimanapun, Malaysia yang pernah mengalami gerhana matahari penuh di Kudat Sabah pada November 1995, dan beberapa negara lain di Asia, sebaliknya hanya mengalami gerhana matahari separa.

Menurut Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia, Terengganu, melalui laman webnya, www.falak.udm.edu.my, penduduk negara ini hanya berpeluang menyaksikan gerhana itu dalam fasa separa dalam peratus maksimum yang kecil antara tiga peratus hingga 18 peratus saja.

Gerhana matahari separa berlaku selepas waktu Subuh, namun ia semakin jelas dari jam 8.24 pagi sehingga 9.56 pagi ini. Gerhana matahari terjadi apabila bulan yang sedang mengelilingi bumi lalu bersetentangan dengan bumi dan matahari.

Bayangnya yang terkena pada permukaan bumi membentuk gerhana. Fenomena ini sebenarnya jarang berlaku dengan kemungkinan hanya sekali atau dua kali dalam setahun kalendar. Kali terakhir negara mengalami gerhana matahari ialah pada 26 Januari lalu.

Gerhana matahari terbahagi kepada empat jenis, iaitu gerhana penuh, gerhana annulus (cincin), gerhana hibrid (penuh dan cincin) dan gerhana separa (sebahagian). Gerhana separa merujuk peringkat awal atau akhir suatu gerhana matahari, atau bahagian bumi yang masih dapat melihat gerhana, tetapi tidak akan dapat melihat gerhana matahari fasa penuh atau cincin.

Dilaporkan, masyarakat Jepun bakal meraikan gerhana penuh dengan percikan bunga api, manakala di India, wanita hamil tidak dibenarkan keluar rumah bagi mengelak cahaya halimunan matahari dan pelbagai tahyul berkaitan gerhana matahari.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui khutbah online menyatakan masyarakat Islam perlu melihat fenomena ini secara positif sebagai memperlihatkan kekuasaan Allah yang memperlihatkan matahari yang bercahaya secara tiba-tiba menjadi gelap, kemudian bercahaya semula.

Kehebatan kekuasaan Allah mampu mengubah segala-galanya di langit dan bumi pada bila-bila masa dan tidak ada satu kuasa lain yang dapat menyekat qada dan qadar-Nya.

Allah berfirman dalam al-Quran menjelaskan bahawa perubahan yang berlaku terhadap matahari dan bulan itu adalah di bawah tadbir-Nya. Oleh itu sujudlah kepada Allah yang mengawal selia dan menyelenggara terbit dan terbenam matahari serta bulan.

Firman-Nya yang bermaksud: "Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari, tidak juga bulan dan sujudlah kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah." (Surah al-Fussilat, ayat 37)

Catatan sejarah Islam memperlihatkan gerhana matahari berlaku pada 10 Rabiulawal tahun kelapan Hijrah. Kebetulan gerhana matahari itu berlaku sewaktu kematian putera Baginda SAW, iaitu Ibrahim ketika usianya baru 70 hari.

Maka Rasulullah SAW pun bersabda yang bermaksud: "Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah. Allah menakutkan hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang daripada kalangan manusia. Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu." (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abi Mas'ud al-Ansari)

Sesungguhnya berlakunya gerhana matahari atau bulan memang menjadi tanda kebesaran Allah dan supaya manusia bersyukur terhadap-Nya tanpa mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun.

Imam an-Nasaie meriwayatkan, Saidatina Aishah berkata: "Dan sesungguhnya sudah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan orang ramai sambil memuji Allah dan sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tingkat kualiti guru untuk hasilkan pelajar cemerlang

PENJELASAN Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung beberapa isu pendidikan semalam perlu dilihat dalam konteks positif demi pembangunan dan kemajuan negara.

Dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan, perubahan demi perubahan diperlukan. Apa yang penting, ia perlu menjurus kepada peningkatan.

Kerajaan kini sedang menggembleng usaha untuk melakukan anjakan daripada sistem pendidikan berasaskan peperiksaan kepada sistem berorientasikan penaksiran yang lebih menyeluruh. Ini bermakna, kita mahu menghasilkan pelajar yang cemerlang secara keseluruhan.

Ia bagi memastikan pelajar kita akan lebih bersifat kompleks dan kompetitif dalam era globalisasi selain diakui keupayaan mereka apabila memasuki pasaran kerja nanti.

Kerajaan bagaimanapun turut sedar bahawa usaha melahirkan pelajar cemerlang dalam semua aspek memerlukan komitmen padu para guru.

Selain dasar-dasar yang dikenal pasti berkesan untuk meningkatkan mutu pendidikan negara, tenaga pengajar merupakan satu lagi aset utama untuk memastikan dasar berkenaan direalisasikan dengan jaya.

Guru berkualiti merupakan satu keperluan mendesak dalam melahirkan pelajar cemerlang. Maka cadangan kerajaan untuk melipatgandakan usaha melahirkan lebih ramai guru berkualiti dan mencukupi sangat kena pada masanya.

Masalah kekurangan guru berkualiti atau kurang berpengalaman lebih ketara di kawasan pedalaman. Ini kerana kebanyakan guru yang dihantar ke sana biasanya terdiri daripada mereka yang baru menamatkan kursus perguruan.

Golongan ini biasanya pasrah untuk dihantar ke mana sahaja bagi menggantikan rakan seperjuangan yang sudah bergelar 'senior'.

Maka wujudlah fenomena guru-guru muda yang kurang berpengalaman memenuhi kuota guru di pedalaman.

Mungkin tidak adil jika dikatakan mereka kurang berkualiti tetapi jika dibandingkan dengan rakan-rakan di bandar, mereka berdepan dengan pelbagai kekurangan.

Dalam usaha ke arah pelaksanaan dasar "memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuhkan bahasa Inggeris" yang akan bermula pada 2012 nanti, kualiti guru sangat penting untuk dititikberatkan.

Tanpa guru berkualiti, tahap penghasilan pelajar pasti akan tetap di takuk lama. Tidak guna mempunyai fizikal sekolah yang gah sekiranya diisi oleh guru-guru tanpa kualiti.

Dan yang pasti kualiti bukan sahaja diukur daripada segi kecemerlangan guru ketika menjalani kursus perguruan tetapi perlu diukur berdasarkan komitmen mereka dari semasa ke semasa.

Jangan lagi ada fenomena menjadi guru hanya untuk makan gaji. Atau masih wujud guru yang tidak lagi bersemangat dan berada dalam zon selesa atau pun lebih parah, pada tahap beku.

Bagi mengelakkan semua itu berlaku, pastikan wujud pemantauan berterusan untuk memastikan golongan guru seperti ini hanya tinggal sejarah.

Kita mahu generasi guru semasa dan akan datang terdiri daripada mereka yang benarbenar komited dengan tugas dan sedar akan tanggungjawab yang diamanahkan.

Keputusan kerajaan untuk memantapkan kepimpinan sekolah tanpa berlandaskan kekananan juga merupakan satu pendekatan menarik dalam usaha memastikan kualiti.

Proses pelantikan berdasarkan komitmen, bakat dan kualiti dinamik amat sesuai dalam usaha memastikan daya saing berterusan.

Langkah-langkah kerajaan ini akan berjaya sekiranya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua warga pendidik dan sokongan pihak lain termasuk ibu bapa.

Apa pun kita berharap usaha murni kerajaan ini tidak disalahtafsirkan oleh pihakpihak tertentu sebagai modal politik.

Seperti kata Muhyiddin, pendidikan adalah sesuatu yang cukup besar untuk dipolitikkan. Oleh itu, jangan ada pihak yang cuba memperjudikan nasib anak bangsa demi meraih sokongan serta undi rakyat.

Sumber : http://www.utusan.com.my/