Rabu, 19 Ogos 2009

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!



Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


ANTARA KEBERKATAN DALAM RAMADAN IALAH AMALAN BERSAHUR YANG DAPAT MENYIHATKAN BADAN. - Gambar hiasan

TABIR Syaaban hampir berlabuh. Berlalu meninggalkan hari-hari yang penuh berkat dan diberkati. Alhamdulillah, Ramadan pula hampir bertamu bersama keberkatannya yang melimpah ruah dan tidak terhingga.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya dan Maha Berkuasa meletakkan keberkatannya pada apa sahaja perkara yang dikehendaki-Nya. Maka Ramadan telah dipilih-Nya untuk menerima antara curahan terbanyak keberkatan itu untuk diambil manfaat oleh sesiapa yang dipilih untuk mendapatkannya. Sebagai antara ikhtiar kita untuk digolongkan dalam golongan terpilih ini, marilah kita mempersiapkan diri menyambut Ramadan dengan menghimbau kembali makna dan martabat bulan yang mulia ini.

Ramadan itu adalah bulan yang tertinggi darjat dan martabatnya di sisi Islam. Pada bulan inilah Allah memfardukan puasa ke atas kaum muslimin dan dicatatkan sebagai kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Firman Allah SWT dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah :183)

Di bulan Ramadan juga, Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran dan dipilih di antara malamnya suatu malam yang dinamakan lailatul qadar yang mana ia adalah lebih utama daripada seribu bulan. Allah SWT berfirman dengan maksudnya: Di dalam bulan Ramadan itulah diturunkan al Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia... (al-Baqarah: 185)

Kelebihan Ramadan

Mengenai kelebihan bulan Ramadan, terdapat banyak hadis Nabi SAW yang membicarakan tentangnya. Antaranya: "Bulan Ramadan adalah bulan keampunan. Apabila seseorang hamba berpuasa pada permulaan bulan Ramadan, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya hingga akhir bulan tersebut hingga ke Ramadan berikutnya. Bagi hamba tersebut, dibina mahligai yang indah di dalam syurga, pintunya diperbuat dari emas bagi setiap hari dia berpuasa dan 70,000 malaikat memohon keampunan untuknya dari pagi hingga tenggelam matahari".

Bulan Ramadan dikenali dengan 'bulan kesabaran'. Ini kerana pada amalan berpuasa pada bulan ini menuntut kita bersabar menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan perkara yang membawa kepada kurangnya pahala puasanya.
Rasulullah SAW sendiri menamakan bulan Ramadan dengan bulan kesabaran. Dalam satu hadis dari Salman r.a yang diriwayatkan oleh Khuzaimah di dalam Sohihnya bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: "Ia adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga."

Menurut pendapat cendekiawan Islam, sabar boleh dibahagi kepada tiga:
Pertama: Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.
Kedua: Sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.
Ketiga: Sabar dalam menerima takdir Allah SWT yang perit dan menyakitkan.

Kesemua jenis sabar ini terangkum di dalam ibadah puasa, kerana mereka yang berpuasa perlu bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT, bersabar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah iaitu kehendak syahwat dan bersabar menghadapi keperitan rasa lapar, dahaga dan lemah badan kerana melakukan ibadah puasa.

Ramadan juga adalah bulan digandakan amalan kebaikan yang dilakukan. Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: "Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain".

Ramadan adalah bulan yang digandakan segala amal kebaikan. Allah SWT menggandakan ganjaran amalan berpuasa melebihi amalan-amalan yang lain. Maka berpuasa di bulan Ramadan sudah tentu menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding puasa pada bulan lain. Inilah antara kesan kemuliaan bulan Ramadan dan puasa Ramadan yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya.

Ibadah puasa merupakan suatu kefardhuan yang jami', (komprehensif dan merangkumi ibadah-ibadah yang lain) dan ibadah yang kamil (sempurna dan lengkap) kerana melalui puasa seseoraang mampu mengenal kemanisan iman dan ihsan. Intipatinya ialah hati dan roh.
Tujuannya supaya orang yang berpuasa dapat menghayati dan merasai kehidupan golongan soleh yang telah berjaya menyucikan jiwa dan raga, orang-orang yang luhur dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak melakukan kefasiqan, perbalahan, kemaksiatan zahir dan batin.

Ibadah puasa juga merupakan suatu amalan simbolik, menjadi rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya. Lantaran itu, orang yang berpuasa diberi keistimewaan Allah SWT memilih dari senarai carta ibadah-ibadah yang lain untuk disimpan di dalam perbendaharaannya sebagai jaminan untuk dipersilakan masuk ke syurga dan layak bertemu dengan-Nya.

Rasulullah SAW h mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya".

Kerana Allah

Ramai kalangan ahli fikah, ahli sufi dan ulama yang lain membahaskan makna hadis ini dengan lebih terperinci. Di antara huraian mereka yang ialah :

Pertama: Seseorang yang berpuasa akan meninggalkan segala lintasan dan keinginan nafsunya semata-mata kerana Allah SWT. Jika diteliti, perkara demikian tidak terdapat pada ibadah yang lain melainkan di dalam puasa. Misalnya, bagi seseorang yang solat terpaksa meninggalkan keinginan syahwatnya termasuk makan dan minum, namun masanya tidak panjang seperti masa berpuasa. Malah, orang yang hendak mengerjakan solat, makruh mengerjakan solat dalam keadaan dirinya berkeinginan untuk makan.

Oleh itu, disuruh mendahulukan makan daripada solat. Berbeza keadaannya bagi orang yang berpuasa. Dia perlu menahan nafsunya dan keletihan berpuasa sepanjang waktu siang. Bahkan sesetengah negara, ia terpaksa menahan dahaga dan lapar dalam cuaca yang amat panas atau sejuk.
Sekalipun orang yang berpuasa kadang-kala terlalu berkeinginan untuk mendapatkan apa yang diinginkan oleh nafsunya, tetap juga ditinggalkan semata-mata kerana Allah, walaupun perkara tersebut boleh didapati atau dilakukan di tempat yang tidak diketahui oleh seorang manusia pun.
Ini menunjukan tanda keimanannya yang sahih dan benar. Orang yang berpuasa mengetahui bahawa Allah sentiasa melihat perbuatannya, sekali pun ketika berada di tempat yang tersorok atau tersembunyi. Lantaran itu, Allah berfirman selepas itu, maksudnya: "Sesungguhnya dia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku".
Sebahagian salafussoleh berkata: "Berbahagialah orang-orang yang meninggalkan syahwatnya kerana suatu janji ghaib yang tidak dapat dilihatnya".
Apabila seseorang mukmin yang berpuasa itu yakin bahawa Allah meredainya ketika dia meninggalkan syahwatnya demi keredaan Tuhannya, maka dia beroleh kelazatan dengan meninggalkan nafsu syahwatnya lantaran keimanan dan keyakinannya itu. Dia memandang bahawa pahala atau azab yang bakal diperolehinya adalah lebih besar daripada kelazatan tidak berpuasa yang tidak dilihat oleh orang lain. Bahkan, bagi sesetengahnya kebencian melakukan perbuatan yang dimurkai Allah tersebut adalah lebih besar daripada ketakutan terhadap azab seksa akhirat akibat tidak berpuasa.
Oleh kerana inilah, kebanyakan orang yang beriman, sekali pun mungkin terlintas membatalkan puasa Ramadan tanpa sebarang keuzuran, tidak akan melakukannya. Sebabnya, mereka mengetahui bahawa Allah SWT akan murka terhadapnya sekiranya dia berbuka. Inilah tanda keimanan seseorang mukmin.
Maka kelazatannya berpindah kepada perkara yang diredai Allah SWT sekalipun perkara tersebut bertentangan dengan kehendak nafsunya. Malah dia berasa perit untuk melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah, sekali pun perkara itu cocok dengan kehendak syahwatnya.

Kedua: Puasa juga adalah rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Ia tidak dapat dilihat atau ditinjau oleh sesiapa pun melainkan Allah SWT. Sehingga dikatakan bahawa amalan puasa tidak dicatat oleh Malaikat Hafazah (pencatat amalan).

Demikianlah sekelumit kecil daripada kebesaran dan kemuliaan Ramadan yang melayakkannya dianggap sebagai Tamu Agung yang datang berkunjung. Wajiblah bagi kita menyambut, melayan dan menunaikan segala hak tetamu istimewa ini, yang belum tentu akan datang berkunjung lagi dalam hidup kita, dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 18 Ogos 2009

Apa akhirnya nasib bahasa Melayu

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my

TERTARIK membaca saranan Persatuan Penulis Perlis (3P) baru-baru ini supaya istilah bahasa Melayu digunakan semula menggantikan bahasa Malaysia. Perkara itu turut dibangkitkan oleh penulis apabila akhbar ini mahu terus-terusan menggunakan istilah bahasa Malaysia.

Ketika itu ada yang menyanggah - apalah ada pada istilah, bahasa Melayu atau bahasa Malaysia sama saja. Ada juga berpandangan tidak perlu dibangkitkan kerana kelak menambah kekeliruan dan kekalutan di kalangan pencinta bahasa.

Hakikatnya tidak semudah itu isu istilah bahasa Melayu harus dipinggirkan. Ia sangat penting lantaran menyentuh "harta" bangsa Melayu yang dijadikan tunggak dalam Perlembagaan negara.

Jelas disebut dalam Perkara 152(1) - Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan. Justeru tidak perlu dibangkitkan siapa atau kepentingan politik apa yang digunakan untuk mengubah istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia.

Ini kerana tuntutan asal penubuhan negara menggariskan hanya bahasa Melayu menjadi bahasa Kebangsaan - satu tuntutan yang amat kuat kesannya jika dilihat daripada pelbagai sudut.
Tetapi ia tidak lagi dipenuhi sekarang ini. Istilah bahasa Melayu tidak lagi ada kuasanya. Ia diganti dengan istilah bahasa Malaysia yang bersifat majmuk bagi menggambarkan bahasa yang diterima pakai secara meluas oleh rakyat.

Bahasa Melayu kononnya menjadi tidak sesuai dengan kerencaman bangsa di negara ini selain tidak seiringan dengan cita-cita mahu mewujudkan bangsa Malaysia yang selayaknya menggunakan bahasa Malaysia. Kononnya juga apabila disebut bahasa Malaysia, maka dunia luar akan menggambarkan satu bahasa yang digunakan oleh bangsa Malaysia sedangkan hakikatnya tidak begitu.

Penduduk pelbagai kaum masih lekat dengan bahasa ibunda masing-masing. Lebih daripada itu, bahasa ibunda menjadi alat pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah jenis kebangsaan waima muridnya hanya lima orang.

Sedangkan menurut Perlembagaan, bahasa kaum-kaum lain sepatutnya hanya diajar di sekolah dan bukannya menjadi bahasa untuk mengajar. Teras segala-galanya masih bahasa Melayu. Namun bahasa Melayu yang mengaitkan kepentingan bangsanya sebagai pemilik asal negara ini tidak lagi memiliki nilainya.

Sepatutnya apabila disebut bahasa Melayu akan mengingatkan dunia luar bahawa nilai dan kepentingan bangsa Melayu dengan bumi Malaysia sehingga selayaknya bahasa itu dinobatkan sebagai Bahasa Kebangsaan dalam Perlembagaan.

Namun perkembangan semasa tidak menunjukkan pengiktirafan sedemikian rupa. Di kala kaum-kaum lain berbangga kerana susur galur mereka masih dikaitkan dengan bahasa rasmi di sekolah, bahasa Melayu pula semakin luput dan tidak lagi menjadi lambang bangsanya.

Bahasa Malaysia yang kononnya diterima pakai secara rasmi dan meluas (biar pun Perlembagaan tidak dipinda untuk menghalalkannya) akan terus mengambil tempat bahasa Melayu.

Yang membimbangkan, bukan semua yang menggelar diri mereka bangsa Malaysia kelak mahu menggunakan bahasa Malaysia - hanya Melayu yang akan terus menggunakan bahasa Melayu itu.

Maka jadilah dan terbentuklah bangsa Melayu yang bahasanya adalah bahasa Malaysia manakala kaum lain terus bekerja keras mendaulatkan bahasa mereka termasuk dalam menetapkan kriteria untuk memilih pekerja di syarikat.Dan istilah bahasa Melayu hanya ada dalam Perlembagaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SELESEMA BABI (INFLUENZA A H1 N1)

Gelombang ke-2 H1N1 Oktober

Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my

Musim tengkujuh dijangka percepat wabak

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin menghadapi gelombang kedua virus Influenza A (H1N1) pada Oktober, November dan Disember ini kerana musim tengkujuh dijangka mempercepatkan penularan wabak itu.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengarahkan kumpulan pakar kesihatan kementerian melakukan pemantauan rapi dari semasa ke semasa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya bimbang virus berkenaan akan merebak dengan serius pada musim tengkujuh kerana hujan berterusan memudahkan orang ramai, terutama kanak-kanak mendapat selesema.

"Kita khuatir komplikasi (selesema) itu kemudian akan bercampur dengan virus H1N1. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) beberapa hari lalu juga sudah mengingatkan semua negara supaya mengambil langkah sewajarnya bagi menghadapi gelombang kedua H1N1.

"Kita memantau keadaan H1N1 secara serius. Jika kita kesan berlaku gelombang kedua, kementerian akan membuat pengumuman awal supaya rakyat dapat mengambil langkah berjaga-jaga," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penjagaan Kesihatan Asia 2009 di sini, semalam.

Liow berkata, ketika ini Malaysia berada di tahap kecemasan kesihatan kerana angka kematian akibat H1N1 masih di bawah 0.1 peratus.

"Sekiranya kadar kematian disebabkan H1N1 melebihi 0.4 peratus, kementerian dengan segera akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengisytiharkan darurat kesihatan," katanya.

Beliau menjelaskan mengikut panduan WHO, peratusan kematian H1N1 dikira berdasarkan jumlah kes jangkitan dan didarab 20 serta dibahagi jumlah kematian.

Berdasarkan angka korban 64 orang dan 4,425 kes jangkitan sehingga semalam, bermakna
peratusan kematian H1N1 di Malaysia kini hanya sekitar 0.007 peratus.

Mengikut perangkaan Kementerian Kesihatan semalam, 284 pesakit lagi sedang menerima rawatan di hospital manakala 33 pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

Liow berkata, beliau sudah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi semalam berhubung status darurat kesihatan.

"Kerajaan mendapati negara belum di tahap untuk diumumkan darurat kesihatan kerana kadar kematian disebabkan virus H1N1 masih di bawah 0.1 peratus.

"Selain daripada jumlah kematian, kementerian juga perlu mengambil kira perkara lain seperti nasihat pakar kesihatan yang sedang memantau situasi virus ini daripada semasa ke semasa," katanya.

Liow berkata, hanya MKN mempunyai kuasa untuk mengumumkan sama ada negara perlu diisytiharkan darurat kesihatan atau tidak.

Katanya, kementerian juga sudah mengarahkan semua hospital kerajaan dan swasta memberikan ubat antiviral kepada mereka yang didapati menghidap demam secara berterusan selama dua hari.

"Ubat yang sama juga perlu diberikan kepada mereka yang mengalami simptom influenza-like illness (ILI). Doktor perlu bertindak segera bagi membendung virus berkenaan," katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat supaya tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya negara sudah mengumumkan darurat kesihatan.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata, hospital kerajaan masih kekurangan doktor, iaitu hanya 13,902 daripada 24,236 jawatan yang ditawarkan dipenuhi sehingga 31 Jun lalu,

"Bagi doktor gigi pula kita tawarkan 2,549 jawatan, tetapi hanya 1,441 dipenuhi manakala ahli farmasi, jumlah jawatan yang ditawarkan ialah 4,030 dan diisi cuma 2,986. Bagi jawatan jururawat kanan sejumlah 44,897 jawatan ditawarkan dan hanya 39,263 dipenuhi," katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 17 Ogos 2009

ISU SELESEMA BABI (INFLUENZA A H1N1)

SENARAI PERLU DAN JANGAN

Apa yang perlu dilakukan kini? Saya bukan doktor namun beberapa nasihat berikut mungkin boleh difahami dan dihayati sebaiknya, moga kita dapat memanfaatkkanya:-

1. PENYAKIT BERJANGKIT & IMANI QADA' QADAR.

Perkara utama bagi semua umat Islam, jangan sesekali lupa atau ‘terlupa' bahawa semua bakteria, virus atau apa jua makhluk yang membawa mudarat ini terlepas dari kekuasaan Allah swt.

Jikalau kita menelurusi hadis Nabi s.a.w, kita akan dapati anjuran Nabi s.a.w untuk berhati-hati apabila bercampur dengan pesakit kusta dan sopak. Sudah tentu anjuran Nabi itu terpakai buat semua jenis penyakit yang diiktiraf boleh merebak dan ‘berjangkit'.

Hadis berikut amat jelas :-
لا عدوى ولا طيرة ولا هامة قال له رجل : أرأيت البعير يكون به الجرب فتجرب الإبل ، قال : ذاك القدر ، فمن أجرب الأول ؟
Ertinya : Tiada jangkitan, tiada sial dan tiada hammah (satu kepercayaan jahiliyyah iaitu burung yang kononnya tercipta dari tulang mayat dan hidup lalu membawa sial kematian), maka seorang lelaki berkata : Apa pandanganmu jika seekor unta yang mempunyai penyakit lalu terkena unta yang lain?. Nabi menjawab : Itulah taqdir Allah, (cuba fikirkan), dari mana pula yang pertama mendapat penyakitnya? ( Riwayat Ahmad )

Allah swt mengingatkan :-
مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ
Ertinya : Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lohmahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. ( Al-Hadid : 22 )

Berbekalkan ayat dan hadis di atas, Islam mengajar kita agar melihat ketentuan Allah swt sebagai asas, sebelum melihat kepada soal sebab dan musabbab atau sunnatullah (hukum alam).
Walaupun demikian, Nabi s.a.w juga mengingatkan :
فِرَّ من المجذوم فِرارَك من الأسد
Ertinya : Larilah (jauhilah) mereka yang berpenyakit kusta sebagaimana kamu lari dari singa" ( Riwayat Al-Bukhari)

Manakala di dalam sebuah hadis lain :-
لا يُورِد مُمَرَّضٌ على مُصَحٍّ
Ertinya : Janganlah orang yang sakit bercampur dengan mereka yang sihat (Riwayat Muslim)

Mungkin ada yang terfikir wujudnya pertentangan makna di antara hadis berkenaan qadar Allah swt dan saranan menjauhi pesakit berjangkit.

Hakikatnya, tiada kontradiksi di antara satu sama lain, perlu difahami bahawa orang Arab di zaman Jahiliyah percaya tubuh orang sakit akan automatik memberi kesan buruk yang pasti kepada tubuh orang yang sihat tanpa mengira sebarang sebab atau taqdir[1].

Atas sebab itu hadis menyebut hadis pertama, namun dalam masa yang sama tidak menafikan jangkitan dari berlaku. Oleh itu, dalam konteks ketiga-tiga hadis di atas, mesej yang disampaikan oleh baginda Nabi s.a.w adalah :-

· Menafikan kepercayaan silam bahawa tubuh orang sakit PASTI AKAN memudaratkan yang sihat, justeru di dalam Islam, tidak boleh diiktikadkan sedemikian.
· Membetulkan kefahaman semua bahawa hampir setakat mana pun kita dengan mereka yang sakit berjangkit, semua masih tertakluk kepada kekuasaan Allah swt untuk mendatangkan sakit itu kepada kita atau tidak.
· Membetulkan kefahaman ummat bahawa sakit yang mungkin kita alami tidak semestinya datang dari orang sakit yang kita temui. Justeru, jangan mula salah-menyalahkan di antara satu sama lain.

Hasilnya, Islam tidak menafikan wujudnya kebolehjangkitan tetapi hadis itu disebut dalam konteks dan objektif yang disebutkan di atas. Kebolehjangkitan adalah termasuk di dalam perkara sunnatullah (hukum ketetapan alam), cuma umat Islam perlu memahami ia tertakluk di bawah izin Allah swt.

Pastinya, di musim berlakunya perebakan wabak seperti selsema babi ini, tidak mudah untuk mana-mana individu yang terkena dan belum kena untuk meyakini kuasa Allah. Itulah sebenarnya salah satu ujian Allah swt untuk hambaNya, mendatangkan bala sebagai ujian, tapisan iman serta mengingatkan hamba kepada kekuasaan penciptaNya. Hanya mereka yang beriman mampu melakukannya. Semoga kita terdiri dari golongan itu.

2) JANGAN TUDUH SESIAPA SEBAGAI PUNCA

Jangan menuduh sesiapa sebagai penyebab anda terkena selsema ini, jangan juga marah kepada sesiapa. Ini kerana kita tidak akan mampu mengetahui secara pasti dari manakah kita mendapat virus tersebut. Ini kerana virus selsema boleh sahaja datang dari tombol pintu pejabat yang kita pegang, pintu kereta, teksi, mouse computer, key board dan sebagainya. Mungkin terdapat indidivdu lain yang bersin lalu tangannya memegang keyboard, pintu atau berjabat tangan dengan anda sebelum tangannya benar-benar bersih dari virus.

Mungkin sahaja kita ingin meyalahkan seseorang yang bersin di hadapan kita atau duduk di sebelah orang selsema di dalam train atau bas, namun diingatkan sekali lagi, kita sama sekali tidak boleh pasti, kita mendapat selsema dari orang terbabit, besar kemungkinan virus itu telah kita dapati sejak di stesyen bas lagi. Perlu difahami juga, jarak tebaran germ dari seorang yang bersin secara terbuka adalah sekitar 10 kaki jaraknya. Justeru, JANGAN SALAHKAN SESIAPA dan yakinlah ia takdir Allah swt untuk menguji kita.

3. ELAK KELUAR DAN MASUK DARI KAWASAN SESAK DAN WABAK

Elakkan bercampur di temat awam tanpa keperluan yang mendesak dan adalah baik jika dapat sentiasa membersihkan setiap apa yang ingin kita pegang di temat awam. Mungkin sahaja semuanya telah dicemari oleh virus selsema babi tadi dan sedang menunggu orang menyentuhnya sahaja.

Saranan pencegahan ini sesuai dengan hadis di atas dan juga tindakan Nabi yang tidak berjabat tangan dengan seorang lelaki kusta dari rombongan Bani Thaqif di ketika sesi berbai'ah (janji taat setia). Yang mana Nabi saw diriwayatkan berkata yang ertinya : "Pulanglah, kamu telah pun dikira berbai'ah" (Rujuk Sohih Muslim)

Sabda Nabi s.a.w :-
إذا سمعتم بالوباء بأرض فلا تقدموا عليه ، وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تخرجوا فرارا منه
Ertinya : Apabila kamu mendengar terdapat wabak di satu kawasan, janganlah kamu memasukinya, dan apabila kamu wabak berlaku di satu kawasan, kamu pula berada di sana, janganlah kamu keluar dari kawasan tersebut untuk melarikan diri. ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Mungkin akan ada yang tertanya-tanya mengapa dihalang mereka yang sihat untuk kelaur dari kawasan wabak, apakah justifikasi arahan nabi sejak 1400 tahun yang lalu ini. Jawapan diberikan oleh Dr Muhammad Al-Bar (merupakan seorang doktor pakar perubatan dan ahli Majlis Fiqh OIC), beliau menegaskan terdapat individu yang tidak jatuh sakit dengan sesuatu jenis virus, manakala sebahagian lain jatuh sakit. Mungkin sahaja yang keluar ini sihat, tetapi tubuhnya sedang membawa virus dari kawasan wabak, hasilnya, ketibaannya di tempat baru menyebabkan penyebaran berlaku kepada penduduk setempat dan pasti akan ada sebahagian yang boleh jatuh sakit dengan virus tersebut.

Selain itu, kemungkinan juga individu yang sihat ketika keluar itu, belum terkesan lai dengan virus yang berada di dalam tubuhnya. Ini kerana sebahagian virus memerlukan beberapa masa dan tempoh untuk membiak dan mengganggu kesihatan mangsa. Hasil dari semua kemungkinan ini, Nabi s.a.w sejak beribu tahun silam, tanpa ilmu mikrobiologi telah mampu memberikan satu peraturan yang bertepatan dengan penemuan sains. Itulah ilmu yang datang dari pencipta sekalian alam, Allah swt.

Dengan fakta ini, kita tidak akan sama sekali mampu meneka siapa yang menjadi punca pemindahan virus kepada tubuh kita, kerana bukan sahaja individu yang sedang sakit dan selsema sahaja yang berpotensi, malah mereka yang sihat juga terdapat kemungkinan menanggung virus yang sama dan memindahkannya kepada kita melalui sentuhan dan sebagainya. Itulah takdir namanya dan kita diarah untuk berusaha sedaya mungkin dan redha serta sabar apabila diuji.

4) SEKAT DIRI DARIPADA MENJADI PENYEBAR

Jikalau ditakdirkan kita tergolong dari mereka yang sedang diuji dengan selsema babi ini, pastikan sedaya upaya kita tidak menjadi sebab untuk merebaknya virus terbabit di kalangan awam. Justeru itu:

· Tutup mulut dan hidung dengan tisu atau kain semasa bersin.
· Sentiasa basuh tangan selepas memegang hingus, hidung atau selepas bersin di tangan, gunakan sabun atau apa-apa jenis sabun antibakteria.
· Kurangkan berasak-asak di tempat awam, kerana peluang pemindahan virus boleh berlaku dengan lebih besar. Namun takdir Allah mendahului segala-galanya, jika telah ditakdirkan, seseorang yang mengunci diri di dalam gua batu sekalipun pasti akan kena, mungkin melalui virus yang dibawa di atas badan semut yang memasuki gua itu!.

Kesemua tindakan dan usaha pencegahan adalah wajib kita lakukan menurut hukum Islam, kerana menyebabkan kemudaratan kepada orang lain adalah diharamkan.

5) CADANGAN PEMULIHAN : SARANAN DOKTOR DAN USTAZ

Bagi tujuan pemulihan, perkara biasa yang disarankan oleh para doktor adalah :

#Makan vitamin C dengan kadar lebih banyak dari biasa.
#Minum air dengan kuantiti yang banyak, lebih banyak dari biasa.
#Boleh mengambil (kecuali kanak-kanak bawah 5 tahun) ubat demam atau batuk yang biasa atau juga paracetamol dan pain killer seperti ibuprofen untuk melegakan beberapa symptom. (Rujuk doktor anda terlebih dahulu).
#Ambil cuti dan berehat sehingga sembuh.

Ditambah pula dengan nasihat daripada para ilmuwan Islam:

Yakinkan diri dengan kesembuhan, sebutkan kata-kata yang baik untuk diri seperti yakin diri akan sembuh segera dan sebagainya.

Selain itu, jangan pula mencerca dan memaki hamun semasa sakit. Hal ini disarankan melalui hadis :-
لا عدوى ولا طيرة ، ويعجبني الفأل قالوا : وما الفأل ؟ قال : كلمة طيبة
Ertinya : Tiada jangkitan (tanpa izin Allah) dan sial, dan aku suka kepada sikap Al-Fa'l, Sahabat bertanya : "Apakah Al-Fa'l ?"
Nabi menjawab : "Kalimah yang baik (sangka baik untuk sembuh)

Berdoa agar beroleh kesembuhan dan doakan orang lain agar turut kuat dan sembuh dari jangkitan selsema babi ini. Bersangka baik dengan Allah dan serahkan urusan kepada Allah swt. Iaitu jikalau telah terdapat ahli keluarga yang dijangkiti dan amat sukar untuk mengelakan diri dari bercampur dengan mereka.

Diriwiyatkan di dalam sebuah hadis, Nabi meletakkan makan di dalam satu bekas bersama pesakit kusta lalu berkata :-
كلْ باسم الله توكلاً على الله وثقة بالله
Ertinya : Makanlah dengan bacaan Bismillah, bertawakkal kepada Allah dan berikan kepercayaan ( sangka baik) kepada-Nya.
(Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah, namun menurut analisa, hadis ini dinilai lemah)

Jangan sesekali putus asa jika ditimpa penyakit ini.

Firman Allah swt :
وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ
Ertinya : Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa.
Sekadar itulah yang dapat dikongsikan buat masa ini, semoga semua kita dapat menghadapi saat sukar ekonomi dan kesihatan ini dalam keadaan yang jitu dan teguh iman kepada Allah swt.

Akhirnya hayatilah kata nabi ini
عجبا لأمر المؤمن ، إن أمره كله له خير ، وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن ، إن أصابته سراء شكر وكان خيرا له ، وإن أصابته ضراء صبر فكان خيرا له
Ertinya : Hebat dan amat mengkagumkan sifat orang beriman, semua urusannya memberinya kebaikan, dan tiada perolehinya kecuali dia adalah mukmin, iaitu apabila ditimpa kebahagian dia bersyukur, maka ia perolehi kebaikan (hasil syukurnya dia), dan apabila ia ditimpa keburukan, ia sabar dan baginya kebaikan juga (Riwayat Muslim)

Sebarkanlah artikel ini di merata tempat, semoga ramai beroleh manfaat dan terpandu untuk menentukan iman, minda, hati dan sikap yang betul.

Sumber : http : //www.zaharuddin.net/

Sambalewa, Mencolok Mata

Oleh MUHAMMED SALLEHUDIN AMAN

Apabila kita melihat sesuatu perkara seperti gaya pakaian atau perilaku seseorang yang kurang sopan, kita menganggap hal itu sungguh memberi malu kepada kita. Kita mengatakan bahawa gaya pakaian dan perilaku itu menjolok mata. Frasa menjolok mata seolah-olah sudah menjadi satu bentuk bahasa klise.

Tahukah anda, selain rangkaian kata menjolok mata yang sudah klise itu, ada juga frasa lain yang bersinonim dengannya, dan kerap juga digunakan dalam berbahasa? Frasa yang dimaksudkan itu ialah mencolok mata. Agak pelik dan asing juga kepada kita yang tidak pernah mendengar frasa ini. Persoalannya, yang mana satukah antara frasa menjolok mata dan mencolok mata yang paling tepat mendukung maksud memberi malu itu?

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, kata menjolok mempunyai beberapa maksud tertentu. Pertama, menusuk (merodok) sesuatu dengan galah dan lain-lain supaya gugur, atau menusuk sesuatu ke dalam lubang. Makna kedua, memasukkan jari tangan ke dalam lubang hidung, kerongkong, dan lain-lain; dan ketiga, memancing-mancing keterangan dan lain-lain sebagainya daripada orang, mengajuk, atau menduga hati orang. Contoh ayatnya:

1. Tidak ada cara lain selain menjolok buah manggis itu supaya gugur.
2. Ia menjolok lubang itu supaya tikus di dalamnya keluar.
3. Janganlah engkau cuba menjoloknya dengan soalan-soalan yang sama, dia tetap tidak akan membuka rahsianya.

Kata mencolok juga mendukung beberapa makna. Pertama, mencucuk mata. Kedua, (pengertian kiasan) tampak jelas, kelihatan jelas benar; dan makna ketiga ialah membangkitkan marah orang yang melihat, menyakitkan hati, dan memberi malu.

Jadi, antara menjolok mata dengan mencolok mata, yang tepat ialah mencolok mata, iaitu bahasa kiasan yang menyatakan tampak jelas atau kelihatan jelas benar, selain makna membangkitkan kemarahan orang, atau memberi malu. Penggunaan frasa ini dalam ayat adalah seperti yang berikut:

4. Kakitangan sektor awam dilarang memakai pakaian yang mencolok mata semasa bertugas di pejabat.
5. Apabila berlaku peristiwa-peristiwa yang mencolok mata, menyakitkan hati, kita hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala sahaja.

Dalam berbahasa, dapat kita temukan orang menggunakan frasa sambil lewa dan sambalewa. Apakah makna kedua-dua bentuk frasa ini?

Lumrahnya, jika kita mengerjakan sesuatu pekerjaan itu tidak dengan bersungguh-sungguh dikatakan melakukannya sambil lewa sahaja. Sesungguhnya, bukan sambil lewa sahaja kalimat yang dapat diungkapkan untuk maksud yang tersebut itu. Ada kata atau rangkai kata lain yang mendukung maksud yang sama, iaitu sambil lalu dan sambalewa. Frasa sambil lewa dan sambil lalu dieja atau ditulis dalam dua deretan perkataan yang tidak dirangkaikan kerana kedua-duanya kata majmuk; manakala kata sambalewa merupakan bentuk kata tunggal yang tidak dipisahkan ejaannya menjadi *samba lewa.

Jadi, untuk kita menyatakan maksud melakukan sesuatu pekerjaan tanpa bersungguh-sungguh, kita mempunyai tiga pilihan kata/frasa yang dapat saling berganti, iaitu sambil lewa, sambil lalu dan sambalewa.
Contoh penggunaan dalam ayat:

6. Dia sambil lewa sahaja membuat kerja itu.
7. Kakak menjawab pertanyaan adiknya sambil lalu sahaja.
8. Bersawah padi bukanlah suatu pekerjaan yang dapat dibuat sambalewa sahaja.

Kita juga berhadapan dengan satu lagi persoalan bahasa yang lain, iaitu tentang yang manakah ungkapan yang benar antara titik-bengik dengan tetek-bengek? Kedua-dua bentuk perkataan ini sering digunakan orang dalam berbahasa dengan maksud segala perkara yang kecil-kecil dan remeh-temeh atau kurang penting.

Kedua-dua perkataan itu tidak salah ejaannya. Penggunaannya merupakan variasi bahasa sahaja, yakni samalah dengan variasi penyebutan perkataan cincang dengan cencang. Jadi, sama ada perkataan titik-bengik ataupun tetek-bengek, bahawa kedua-duanya sama sahaja maksudnya. Maka. sekali lagi kita mempunyai pilihan untuk menggunakan titik-bengik atau tetek-bengek bagi menyatakan perkara yang remeh-temeh atau kurang penting itu.

Demikian huraian beberapa isu bahasa yang berkaitan dengan kesinoniman perkataan bahasa Melayu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

USAIN BOLT MANUSIA TERPANTAS DI DUNIA



USAIN Bolt dari Jamaica, memenangi perlumbaan akhir 100 meter lelaki akhir mendahului pelari Amerika Syarikat, Tyson Gay dan Asafa Powell (ketiga) di Kejohanan Olahraga Dunia IAAF yang berlangsung di Stadium Olimpik Beijing, Berlin, malam tadi. Usain Bolt berjaya memecahkan rekod baru dunia 9.58 saat membaiki rekod dunianya sendiri sebelum ini 9.69 saat. - Reuters
Nota Hujung:
Manusia terpantas di dunia itu mengurangkan catatan sehingga 0.11s berbanding rekod dunia 9.69s yang dicatat ketika memenang emas pada Sukan Olimpik Beijing setahun lalu, detik yang membawa acara itu ke zon masa yang tidak pernah dibayangkan sebelum kemunculannya dalam acara pecut.

PUASA LINDUNGI MULUT DAN GIGI


oleh Dr. Badiah Baharin

Kelebihan dan keistimewaan Ramadan sering dilihat bersifat kerohanian, tetapi sebenarnya ia juga mempunyai banyak fadilat daripada sudut kesihatan.

Banyak kajian membuktikan berpuasa antara langkah terbaik untuk menurunkan berat badan, kandungan glukosa (gula) dan lemak dalam darah serta tekanan darah tinggi. Malah, Ramadan memberi peluang kepada sistem pencernaan untuk berehat selepas bekerja selama 11 bulan.

Berpuasa juga dapat mempertingkatkan mutu kesihatan mulut serta memupuk tabiat baik ke arah penjagaan gigi dan gusi. Penjagaan kesihatan mulut selalu dipandang remeh sehingga ramai pesakit menanggung kesakitan akibat kerosakan gigi mahupun gusi.

Ramai pesakit mengambil jalan mudah dengan hanya mencabut gigi apabila mengalami kesakitan. Kehilangan satu anugerah Ilahi yang tidak terperi ini bukan mudah dan murah untuk diganti dengan sesuatu yang seumpamanya. Justeru, pencegahan penyakit pergigian selalu ditekankan supaya rawatan masalah membabitkan gigi tidak menjadi rumit.

Perlindungan Gigi Semasa Puasa

Langkah pencegahan sebenarnya boleh diamalkan ketika berpuasa. Contohnya, bagi penyakit karies atau gigi berlubang, kajian menunjukkan apabila manisan dalam bentuk karbohidrat ringkas kerap didedahkan kepada permukaan gigi, kesan pereputan mineral gigi menjadi semakin besar.

Apabila seseorang itu berpuasa, gigi terlindung 14 jam daripada kesan manisan. Ia hanya berlaku ketika berbuka puasa apabila manisan dalam juadah dan makanan mula diambil.

Walaupun kita disunatkan memakan makanan manis seperti tamar atau buah-buahan ketika berbuka, kita perlu ingat supaya sentiasa bersederhana, terutama dalam soal makan.

Memperbanyakkan amal ibadat sunat seperti solat tarawih dan bertadarus sedikit sebanyak dapat mengawal kekerapan umat Islam untuk makan, terutama pengambilan makanan atau minuman manis. Ia dapat mengurangkan kekerapan pendedahan manisan ke atas permukaan gigi dan proses kerosakan gigi.

Elak Rokok

Pengambilan makanan dan minuman manis mesti dikawal ketika berbuka. Bagi perokok, jangan cari rokok sebagai 'pelengkap' berbuka.

Selain menjadi sebab utama kepada lebih 10,000 kematian setahun di negara kita, merokok sebenarnya memberi kesan negatif kepada kesihatan mulut seperti pertukaran warna kepada permukaan gigi dan nafas berbau.

Mengikut kajian, tidak ramai tahu perokok juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat barah mulut dan penyakit gusi (periodontitis). Penyakit gusi mengakibatkan gusi menjadi radang dan kehilangan sokongan gigi pada soketnya.

Kesan sistemik kepada tubuh badan apabila merokok ternyata berkurangan dan perokok berjaya menahan daripada ketagihan nikotin selama 14 jam ketika berpuasa. Perokok sepatutnya mengambil peluang pada Ramadan untuk membentuk hidup lebih positif dengan mengurang atau memberhentikan tabiat merokok.

Kesan berhenti merokok terbukti ada banyak kelebihan daripada segi memulihkan penyakit gusi dan pencegahan barah mulut.

Mulut Berbau

Merokok memberi kesan buruk kepada kesihatan mulut. Masalah mulut berbau adalah perkara biasa ketika berpuasa.

Apabila berpuasa atau berlapar, badan membakar lemak untuk penghasilan tenaga dan ini mengakibatkan pembebasan aseton melalui nafas yang memberi bau kurang menyenangkan.

Mulut juga bertambah kering ketika berpuasa. Bagaimanapun, ia tidak perlu dibimbangkan, malah ia satu kelebihan bagi orang berpuasa sebagaimana disebut dalam hadis diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim : 'Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada harum kasturi.'

Namun mulut tambah berbau dan kurang menyenangkan apabila mulut menjadi terlalu kering, kurang bersih dan memakan makanan berbau ketika berbuka atau bersahur. Mulut kering mengakibatkan sel mati di dalam mulut terkumpul pada permukaan lidah dan gigi menyebabkan mulut berbau.Kebersihan mulut yang tidak baik disebabkan terdapat sisa makanan dan plak yang terkumpul pada permukaan dan celah gigi. Sisa makanan dan plak bertindak balas dengan bakteria dan menghasilkan gas berbau (sulfur).

Makanan seperti rempah-ratus dan bawang putih boleh mengakibatkan mulut berbau jika diambil berlebihan ketika berbuka mahupun bersahur. Justeru, untuk nafas lebih menyenangkan, mengurangkan masalah kerosakan gigi dan meningkatkan kesihatan mulut, amalan berikut boleh membantu:

# Memberus gigi secara menyeluruh dengan lebih efektif sebelum tidur dan selepas bersahur
# Menggunakan flos untuk membuang plak dan sisa makanan antara celah gigi
# Bersihkan gigi palsu dengan baik
# Banyakkan minum air sewaktu berbuka dan bersahur
# Pastikan gigi berlubang ditampal
# Mengawal kuantiti dan kekerapan pengambilan minuman dan makanan manis

Memberus Gigi Amalan Rasulullah SAW

Peluang menambah pahala sentiasa terbuka sepanjang Ramadan apabila kita mengamalkan sunnah Rasulullah SAW iaitu sentiasa bersugi (membersihkan gigi).

Sudah pasti apabila ke masjid untuk menunaikan solat sunat tarawih, bertadarus dan bertahajud pada malam hari, disunatkan memberus gigi sebagai sebahagian penjagaan kebersihan diri sebelum menunaikan ibadat.

Rawatan Gigi

Rawatan gigi boleh dilakukan ketika berpuasa tanpa perlu berbuka jika tiada bahan luar ditelan selain air liur. Pemberian ubat bius setempat juga tidak membatalkan puasa seseorang. Sungguhpun demikian, ramai orang lebih selesa untuk mengelak menerima rawatan pada Ramadan untuk menjaga kesempurnaan puasa mereka.

Namun, kita digalakkan sentiasa memastikan mulut dan gigi dalam keadaan baik sebelum menghampiri Ramadan.

Berjumpa doktor gigi dengan kerap secara tidak langsung memberi kesan penjagaan kesihatan gigi yang baik dan pencegahan penyakit gigi serta mulut.

Semoga Ramadan menjadi tapak latihan untuk kita meningkatkan amal ibadat, di samping memelihara tabiat baik penjagaan kesihatan mulut yang dibentuk sepanjang Ramadan seperti mengawal dan mengehadkan pengambilan makanan dan minuman manis serta membersihkan gigi setiap kali selepas makan dapat diteruskan sepanjang tahun.

Sumber : http: //www.info-kesihatan-anda.blogspot.com/