السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Selasa, 13 Oktober 2009
KETIKA DITIMPA MUSIBAH DAN BALA BENCANA......apa tindakan kita?
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
ISU GEMPA BUMI DUNIA
![]() |
| PASUKAN menyelamat bertungkus-lumus mencari mereka yang terselamat dan mengeluarkan mayat dari runtuhan bangunan dalam gempa yang melanda Padang, Indonesia, baru-baru ini. |
KEADAAN di sekeliling Suci Refikawulan Sari tunggang-langgang dengan sisa runtuhan bangunan. Dia terpaksa merangkak di sebalik besi dan debu bagi mencari ruang yang membolehkan dia bernafas.
Terhimpit selama 48 jam, kakinya tersepit antara bongkah konkrit dan satu-satunya cara untuk melawan kesakitan adalah dengan memikirkan tentang bayi lelakinya yang berusia 14 bulan.
"Saya beritahu diri saya, saya perlu terus hidup. Saya ingin lihat anak saya membesar menjadi insan berguna,'' kata ibu dan guru berusia 25 tahun itu.
Suci, merupakan salah seorang daripada dua mangsa yang berjaya ditarik keluar daripada sisa runtuhan Sekolah Pragoya di Padang selepas bangunan itu roboh berikutan gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang menggegar Padang pada 30 September lalu.
Turut selamat adalah seorang pelajarnya, Ratna Kurnia Sari, 20.
Suci dan Ratna sangat bertuah kerana mereka terselamat dalam bencana alam yang sering menggegar Indonesia, tidak seperti 704 mangsa lain yang disahkan maut.
Gempa kuat yang berlaku pada pukul 5.16 petang waktu tempatan (6.16 petang waktu Malaysia), 53 kilometer ke barat laut bandar Padang itu turut mengakibatkan lebih 4,000 mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Sehari sebelumnya, satu gempa berukuran 8.0 skala Richter mencetuskan tsunami setinggi 7.5 meter di Samoa, American Samoa dan Tonga di Kepulauan Pasifik yang mengorbankan 177 nyawa.
Dunia beberapa hari kemudian terus digegarkan dengan beberapa siri gempa termasuk di Mexico beberapa hari selepas itu yang berukuran 5.6 pada skala Richter, diikuti di Taiwan serta Filipina masing-masing dengan kekuatan 6.3 pada skala Richter dan 6.5 skala Richter pada 4 Oktober lalu. Fiji turut digegarkan pada 3 Oktober dengan kekuatan 5.9 skala Richter dan bumi California sehari sebelum itu menerima gegaran dengan kekuatan 4.7 pada skala Richter.
Bagaimanapun, menurut pakar geologi, gempa bumi di Indonesia tidak mempengaruhi gegaran yang melanda negara-negara di Pasifik Selatan.
Melihatkan kepada skala gempa serta bencana itu yang sering menggegar negara jiran Indonesia, timbul persoalan mungkinkah akan berlaku gempa lebih besar yang menyamai kejadian pada 2004 yang turut mencetuskan tsunami dan mengakibatkan lebih 220,000 mangsa terbunuh di negara-negara sekitar Lautan Hindi, terutama di Acheh, Indonesia?
Saintis sebelum ini pernah mengeluarkan amaran bahawa Padang merupakan satu lokasi yang berpotensi berlaku gempa ekoran kedudukannya yang berhampiran garis sesar dan selepas gempa pada 30 September lalu, saintis meramalkan, satu gempa lebih besar mungkin akan menggegar Padang lagi.
Pakar geologi Institut Teknologi California, Kerry Sieh memberitahu bahawa Padang terletak antara dua garisan sesar yang tinggi dengan aktiviti seismik.
Saintis menyatakan bahawa gempa besar di wilayah itu berlaku disebabkan geseran plat Indo-Australia dan plat tektonik Eurasia yang bergerak menghala satu sama lain pada kadar sehingga enam sentimeter setiap tahun.
Berikutan tekanan ke atas garis sesar di Padang, satu gempa besar dengan kekuatan lebih 8.8 pada skala Richter disertai tsunami setinggi lima meter diramal berlaku di lokasi yang sama pada masa depan.
Kemungkinan berlakunya bencana itu diletakkan pada kadar 100 peratus. Walaupun tarikh gempa itu tidak dapat dijangka, yang pasti gempa lebih besar pastinya akan menyebabkan jumlah korban dan kerosakan yang lebih tinggi.
Perkara itu diakui pakar geologi Danny Hilman Natawidjaja daripada Institut Sains Indonesia yang menyatakan bahawa tekanan yang sedang membina di garis sesar ekoran siri gegaran boleh mencetuskan gempa lebih kuat jika dibandingkan dengan yang menggegar Padang pada 30 September lalu.
Beliau yang mengkaji garis sesar Mentawai berhampiran Sumatera selama 12 tahun percaya gempa yang bakal berlaku itu 30 kali lebih besar berbanding yang menggegar di Padang baru-baru ini.
Biarpun penyelidikan sains tidak dapat menentukan bilakah gempa itu akan berlaku, saintis berpendapat ia boleh terjadi pada bila-bila masa, mungkin esok, beberapa bulan atau tahun lagi, tetapi agak mengejutkan jika ia tidak berlaku dalam tempoh 10 tahun dari sekarang.
Berdasarkan kerosakan serta kemusnahan berskala besar akibat gempa di Padang, pihak berkuasa wilayah itu dilihat jelas tidak bersedia menghadapi bencana berkenaan yang mengakibatkan lebih 180,000 bangunan runtuh.
Indonesia yang menempatkan hampir 150 gunung berapi daratan dan dasar laut juga maklum negaranya yang terletak di Lingkaran Api Pasifik sering berhadapan bencana gempa, namun usaha bagi meminimumkan impak akibat gempa itu tidak dilakukan republik tersebut.
Misalnya, pakar geologi meramalkan Gunung Merapi antara sempadan Jawa Tengah dan Yogyakarta, dijangka meletus pada bila-bila masa. Kali terakhir Gunung Merapi meletus ialah pada Mei 2006 dan letusan itu memberi impak besar apabila 5,000 penduduk sekitar dipindahkan.
Biarpun pakar-pakar geologi mendesak kerajaan menyediakan peruntukan bagi membina bangunan yang tahan dengan impak gempa serta membesarkan jalan raya di Padang bagi memudahkan penduduk menyelamatkan diri semasa bencana berlaku, kerajaan seolah-olah tidak memandang perkara itu sebagai penting.
Apakah kerajaan Indonesia di bawah pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mempunyai persepsi bahawa adalah tidak berbaloi untuk membuat pelaburan besar bagi membina fasiliti dan bangunan-bangunan yang tahan impak gempa kerana ramalan gempa bumi yang dibuat biasanya tidak tepat dan berubah-ubah.
Bukan sahaja gempa, Indonesia terutamanya di Sumatera Barat boleh dianggap sebagai pusat bencana di rantau Asia Tenggara kerana ia turut menempatkan beratus-ratus gunung berapi di samping kejadian tanah runtuh yang selalu berlaku.
Dengan mengambil kira wilayah itu sebagai pusat bencana, kerajaan seharusnya memberi tumpuan lebih terutama dalam memastikan kesejahteraan serta melindungi rakyatnya daripada bencana alam.
Namun apakah punca kerajaan enggan berbuat demikian? Mungkinkah masalah jenayah rasuah yang sering diperkatakan di Indonesia merencatkan usaha kerajaan dalam menyalurkan peruntukan khas untuk rakyat dalam menghadapi bencana?
Selain faktor kegagalan menyalurkan peruntukan oleh kerajaan untuk membina bangunan atau rumah yang lebih tahan gegaran, kerosakan serta kematian yang besar akibat gempa juga harus diletakkan kepada sistem amaran gempa yang gagal memberi amaran kepada penduduk supaya bersiap sedia menghadapi bencana tersebut.
Selepas tsunami 2004 yang mengorbankan 168,000 mangsa di Indonesia sahaja, sistem amaran bencana nampaknya lebih menumpukan kepada ramalan tsunami dan bukannya jangkaan kemungkinan berlakunya gempa.
Mungkin terlepas pandang, seharusnya tumpuan sama diberikan kepada ramalan gempa dan letupan gunung berapi kerana ia boleh mencetuskan tsunami selain boleh membawa kepada krisis kemanusiaan akibat bencana seperti krisis kekurangan bekalan makanan atau penyebaran penyakit berjangkit.
Sumber : http: //www.utusan.com.my/
ISU GEMPA BUMI DUNIA
KRONOLOGI GEMPA DAN TSUNAMI DUNIA30 September 2009
Satu gempa bumi 7.6 pada skala Richter menggegar Padang di pulau Sumatera, Indonesia. Seramai 704 mangsa mati dan sehingga 4,000 terperangkap di bawah runtuhan. Gegaran sekuat 7.0 pada skala Richter menggegar bahagian selatan Sumatera beberapa jam kemudian.
29 September 2009
Tsunami besar tercetus ekoran gempa 8.0 skala Richter di Samoa dan American Samoa, membunuh sekurang-kurangnya 177 orang di wilayah itu, sementara beratus-ratus yang lain dilaporkan hilang. Tsunami turut melanda Tonga.
2 September 2009
Gempa 7.0 skala Richter menggegar Tasikmalaya, pulau Jawa, mengorbankan 123 orang dan mencetuskan tanah runtuh.
6 April 2009
Hampir 300 maut di bandar L'Aquila, Itali apabila gempa 5.8 pada skala Richter melanda.
29 Oktober 2008
Barat daya Pakistan digegar gempa 6.4 skala Richter, menyebabkan sehingga 300 penduduk meninggal dunia dan berpuluh ribu yang lain hilang tempat tinggal.
12 Mei 2008
Gempa 8.0 skala Richter menggegar Sichuan, barat daya China. Lebih 87,000 maut atau hilang.
3 Februari 2008
Satu gempa dengan magnitud 6.1 pada skala Richter menggegar timur Congo dan barat Rwanda, membunuh 45 orang dan menyebabkan ribuan yang lain hilang tempat tinggal.
2 April 2007
Lebih 50 nyawa maut, sementara ribuan yang lain hilang tempat tinggal selepas gempa bermagnitud 8.0 skala Richter melanda Kepulauan Solomon dan menyebabkan tsunami.
6 Mac 2007
Gempa berukuran 6.3 pada skala Richter menggegar pulau Sumatera, merobohkan bangunan dan mengorbankan sekurang-kurangnya 70 orang.
17 Julai 2006
Sekurang-kurangnya 596 maut, lebih 9,500 cedera dan 74,000 yang lain hilang tempat tinggal setelah gempa dasar laut sekuat 7.7 skala Richter melanda pulau Jawa dan mencetuskan tsunami.
27 Mei 2006
Wilayah Yogyakarya dilanda gempa 6.3 skala Richter, mengorbankan 6,000 mangsa dan menyebabkan 1.5 juta penduduk hilang tempat tinggal.
8 Oktober 2005
Satu gempa 7.6 pada skala Richter membunuh lebih 75,000 orang, kebanyakannya di bahagian sempadan di Pakistan Utara dan wilayah Kashmir. Seramai 3.5 juta hilang terpaksa dipindahkan.
28 Mac 2005
Sekurang-kurangnya 900 maut apabila gempa dengan magnitud 8.6 pada skala Richter menggegar pulau Nias, Sumatera.
26 Disember 2004
Gempa dasar laut sekuat 9.1 skala Richter dari pantai pulau Sumatera mencetuskan tsunami yang membunuh 220,000 mangsa di sekitar Lautan Hindi termasuk 168,000 nyawa di Acheh, Indonesia.
26 Disember 2003
Gempa kuat 6.7 pada skala Richter menggegar bandar Bam, Iraq, mengakibatkan sekurang-kurangnya 31,884 maut dan mencederakan 18,000 yang lain.
26 Januari 2001
Gujarat di barat India digegar gempa kuat, mengorbankan 25,000 orang dan 166,000 mangsa cedera. - AFP
Sumber : http: //www.utusan.com.my/
Bahasa Malaysia: Sopan-Santun, Keindahan Dan Perpaduan
Kerajaan mengisytiharkan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan untuk meningkatkan kesedaran bagi kepentingan Bahasa Kebangsaan sebagai alat memupuk perpaduan. Berikut ialah bahagian pertama daripada dua siri rencana mengenainya.
KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Bagi peminat filem klasik P. Ramlee, pasti masih segar dalam ingatan mereka satu adegan di dalam filem 'Seniman Bujang Lapok' di mana seorang jaga Benggali di studio filem Melayu Jalan Ampas, Singapura menegur Sudin kerana menggunakan bahasa yang agak kurang sopan bila bertanya tentang kekosongan kerja.
Watak utama, Ramlee, kemudian memarahi Sudin kerana mengajukan pertanyaan dengan cara kurang manis, sambil berkata "bahasa menunjukkan bangsa" dan orang Melayu memang terkenal dengan kesopanan dan kelembutan keperibadian mereka.
"Saya kira filem itu mahu menyampaikan mesej bahawa penggunaaan perkataan yang sopan adalah penting untuk memupuk dan mempraktikkan perpaduan, nilai murni serta kesopanan.
"Penggunaan bahasa yang sopan dan hormat adalah penting sama ada dalam pertuturan atau bertulis. Bahasa itu akan mencerminkan kesopanan masyarakat yang menggunakannya," kata pengurus industri hiburan Abdul Rahim Abdul Hamid.
Kata beliau apa yang P. Ramlee mahu sampaikan ialah masyarakat semestinya menggunakan bahasa yang sopan dalam komunikasi harian dan umum akan menghormati bangsa itu dan begitulah sebaliknya.
"Hormat terhadap sesuatu masyarakat terbit dari cara mereka menggunakan bahasa mereka," kata beliau.
Bagaimanapun, dengan adanya usaha untuk memperkukuh penggunaan Bahasa Malaysia dalam kalangan semua kaum di negara ini, bahasa-bahasa kaum lain tidaklah harus dipinggirkan.
Bagi ahli akademik Yahya Che Amat, Bahasa Kebangsaan ialah alat penting untuk memupuk perpaduan dan ini berkait rapat dengan konsep 1Malaysia yang diutarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
"Mereka mungkin datang dari pelbagai kumpulan etnik, budaya, kepercayaan dan ideologi politik tetapi mereka akan tetap bersatu di bawah satu bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia".
Menurut Yahya, rakyat Malaysia perlu mempunyai jati diri serta semangat sayangkan Bahasa Malaysia kerana rasa cinta dan kebanggaan terhadap bahasa kebangsaan mempamerkan lambang patriotisme.
"Oleh itu, perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini boleh disemai dengan menggunakan satu bahasa, iaitu Bahasa Malaysia seperti yang digarapkan dalam gagasan 1Malaysia," kata beliau.
Tetapi dalam usaha menjadikan Bahasa Malaysia sebagai satu daripada bahasa utama di dunia, bahasa ibunda etnik lain juga tidak harus dipinggirkan, tambah beliau.
KEDUDUKAN BAHASA MELAYU
Umum juga mengalu-alukan langkah kerajaan menjadikan bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan.
Aktivis sosial Fatimah Mansur berkata ini memang sesuai dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini.
"Bahasa Melayu (Bahasa Malaysia) ialah Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub di dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1967, juga di bawah Seksyen 5 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959.
"Ia juga selari dengan konsep 1Malaysia yang mempromosikan perpaduan - Satu Negara, Satu Bangsa, Satu Suara yang diabadikan dalam gagasan 1Malaysia", kata Fatimah.
Menurut beliau semua Akta itu mengutamakan kepada penggunaan dan kepentingan bahasa kebangsaan dalam membentuk bangsa Malaysia.
Pensyarah dalam bidang perubatan Dr K. Ling bersetuju dengan pandangan ini.
"Saya telah merawat ramai pesakit daripada pelbagai golongan etnik dan yang datang dari jauh seperti dari Sabah dan Sarawak. Bila saya bertanya dan bercakap dalam Bahasa Inggeris, tak ramai yang faham. Dalam banyak kes, komunikasi cara sebegini adalah sukar dan tidak lancar.
"Berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia lebih senang. Adalah baik jika kita menggunakan Bahasa Malaysia kerana ia membolehkan semua kaum berinteraksi antara satu sama lain. Bahasa Malaysia ialah bahasa untuk semua", kata beliau.
BAHASA ADALAH JIWA BANGSA
Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam ucapan beliau ketika melancarkan sambutan peringkat kebangsaan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 di Stadium Perpaduan di Petra Jaya, Kuching pada 6 okt lepas, berkata kerajaan mempunyai objektif membentuk satu Bangsa Malaysia yang bangga dengan Bahasa Malaysia sebagai identiti mereka.
"Mereka mestilah fasih dan bersedia untuk meletakkan kedudukan yang sesuai selain daripada bersedia mempromosinya (Bahasa Malaysia) di mana saja mereka berada," kata beliau.
Mulai tahun depan, semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan telah diarahkan untuk melaksanakan program Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang bulan Oktober.
Menurut Muhyidin, aktiviti serta komunikasi Bahasa Kebangsaan akan dipertingkat dalam kalangan ramai.
Tema bagi sambutan tahun ini ialah "Bahasa Jiwa Bangsa" yang juga merupakan moto Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak ditubuhkan pada tahun 1956.
-- BERNAMA
H1N1: Ibu bapa mesti pantau kesihatan anak ambil SPM
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan meminta ibu bapa atau penjaga supaya memantau tahap kesihatan anak-anak mereka yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mulai 19 November depan di seluruh negara.Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata jika pelajar yang mengambil SPM menunjukkan gejala penyakit serupa influenza (ILI), mereka perlu segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.
"Selain itu, ibu bapa atau penjaga juga dikehendaki memaklumkan kepada pihak sekolah tentang kesihatan anak masing-masing supaya tindakan yang bersesuaian dapat diambil oleh pihak sekolah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kementerian Kesihatan turut meminta kerjasama petugas yang mengawasi peperiksaan SPM supaya mengasingkan pelajar yang mempunyai gejala ILI daripada pelajar yang sihat.
"Pelajar yang mempunyai gejala ILI dikehendaki memakai topeng muka dan hidung bagi mengelak jangkitan kepada pelajar lain," katanya.
Dr Mohd Ismail juga berkata, seramai 152 pesakit baru ILI sudah dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 146 pesakit kes itu dibenarkan keluar hospital hari ini.
Beliau berkata, jumlah semasa kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara sehingga hari ini ialah 666 orang dengan 27 pesakit adalah kes influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal.
"Daripada 27 pesakit Influenza A (H1N1) yang menerima rawatan di hospital, sebanyak lapan kes atau 30 peratus sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.
Menurutnya, jumlah kematian akibat H1N1 di negara ini masih kekal 77 orang.
Kementerian Kesihatan juga mengingatkan orang ramai bahawa penularan wabak Influenza A (H1N1) masih aktif dalam komuniti walaupun ia menunjukkan pengurangan kebelakangan ini.
Sumber : Bernama
Isnin, 12 Oktober 2009
Bencana alam, peringatan kepada manusia

PADA minggu lepas, dunia dikejutkan dengan beberapa peristiwa gempa bumi, tsunami dan taufan kencang di beberapa tempat berlainan di seluruh pelosok dunia yang berlaku hampir-hampir serentak.
Antaranya termasuklah gempa bumi di Padang, Indonesia dan beberapa kawasan di Pasifik Selatan (seperti Kepulauan Vanuatu dan Kepulauan Soloman), taufan kencang Ketsana dan Parma melanggar Filipina serta tsunami yang melanda Kepulauan Samoa.
Bagi negara jiran Indonesia, episod gempa di Padang hanyalah sebahagian daripada cerita-cerita musibah alam yang tidak pernah sunyi melanda negara paling banyak gunung berapi itu.
Dari peristiwa letupan Krakatau yang menggegar bumi Sumatera (bunyi letupan direkodkan hingga ke Timur Tengah) lebih satu abad lalu hinggalah selang beberapa tahun terkini yakni tsunami yang melanda Kepulauan Aceh.
Menariknya, ketika berlaku gempa bumi di Padang tempoh hari, negara kita yang sepatutnya terkeluar dari “kawasan merah” Lingkaran Api Pasifik ini turut merasai impaknya dengan beberapa tempat di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Putrajaya dilaporkan dapat merasakan gegaran kecil.
Lingkaran Api Pasifik atau “plat gempa Pasifik” adalah kawasan yang kaya dengan gunung berapi dan terkait dengan pelbagai kejadian gempa di mana sebenarnya Malaysia bukanlah sebahagian dari kawasan tersebut.
Ilmu manusia terlalu tipis
Dari kejadian-kejadian bencana luar biasa yang berturutan ini, saintis-saintis terkemuka serta-merta dituntut untuk melampirkan kefahaman ke seluruh jagat penduduk dunia. Malangnya, tidak ada yang mampu atau dapat memberikan sebarang kefahaman mutlak.
Seorang pakar geologi dunia memberi komentar bahawa adalah mustahil untuk mereka membuat kajian dan kesimpulan yang hampir tepat. Ini kerana, ia memerlukan rekod pola gempa bumi yang beratus tahun dan lengkap – tentunya tidak dipunyai oleh mana-mana manusia sekalipun.
Buat seketika jika kita merenung dan bermuhasabah diri, alangkah ceteknya ilmu kita berbanding Allah SWT! Benar sekali firman Allah di dalam al-Quran Karim yang antara lain bermaksud seandainya manusia dan jin bergabung dan cuba menembusi tujuh petala langit, tidak akan dapat menembusi walau satu lapis pun!
Ternyatalah keagungan Ilahi itu tiada taranya berbanding dengan ilmu manusia yang terbatas. Pengetahuan kita sendiri selama ini yang mana Malaysia sepatutnya selamat dari kesan gegaran gempa bumi, malahan kelihatan tidak boleh terpakai lagi.
Peringatan buat manusia
Sebagai orang Melayu yang dipasak oleh agama Allah, hendaknya kita jangan leka dan selalu-selalu berfikir dan mengambil peringatan daripada kejadian-kejadian alam ini.
Daripada segi saintifik, tentulah kita cuba mencari aspek rasional dan pemahamannya tentang apa yang menyebabkan peristiwa-peristiwa sebegini berlaku. Misalannya seperti penjelasan pergerakan plat tektonik dan lain-lain keterangan.
Namun dari aspek rohaniah, mungkinkah kita harus terfikir yang ia sebahagian daripada peringatan Allah juga buat kita yang kemungkinan terlalu leka dengan nikmat duniawi? Sesungguhnya terdapat 1,001 hikmah di sebalik kejadian dan takdir-Nya jika kita benar-benar mahu berfikir.
Peringatan Allah itu boleh juga berlaku jika kita sendiri melakukan kerosakan pada alam. Tentu ada yang masih ingat beberapa kejadian tanah runtuh di ibu negara seperti Bukit Antarabangsa tidak lama dahulu? Dan ia berlaku gara-gara ketamakan, kerakusan dan sikap ambil mudah manusia terhadap alam.
Demikian pula apabila kita leka tanpa “berjiwa Islam” dan mendambakan sifat-sifat mazmumah seperti rasuah, tidak mengamalkan ibadah dan mentauhidkan-Nya serta pengamalan zina dalam masyarakat. Tanpa perlu ada undangan, akan sampailah “pengajaran halus” dari Yang Maha Esa!
Justeru, ambillah peluang ini untuk memperbaiki diri dan menjadi hambanya yang lebih baik dan bertakwa.
Dalam masa sama, kita jangan lupa tanggungjawab membantu sesama saudara seagama dan sebangsa kita di Padang. Di sebalik segelintir orang kita yang sedikit ‘terluka’ dengan isu tarian Pendet yang dimainkan oleh media Indonesia, jangan kita abaikan nasib sebahagian saudara di Indonesia yang tidak bersetuju dengan tindakan kurang ajar sejumlah kecil rakan-rakan mereka yang mudah dipermainkan sentimen akhbar yang mungkin ada kepentingan dan muslihat tertentu.
Janganlah hendaknya kita dipermainkan rentak “musuh dalam selimut” yang tidak pernah mahu melihat umat Islam bersatu padu dan kembali kepada ajaran-Nya yang mutlak dan hakiki.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan
Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)
Ahad, 11 Oktober 2009
Tingkatkan keyakinan terhadap bahasa Melayu
DUA peristiwa besar berkaitan bahasa Melayu telah berlaku dalam tempoh dua minggu yang lalu. Pertama, di Johor Bahru telah bergema laungan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia dalam Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia. Kedua, di Kuching telah dilancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 dengan tema Bahasa Jiwa Bangsa.
Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu dan seterusnya menjadikannya bahasa dunia perlu bermula dengan niat yang luhur dan tulus. Kita perlu yakin bahawa bermula amal adalah dengan niat. Setiap anggota masyarakat perlu fokus bahawa perjuangan bahasa adalah demi bahasa dan bangsa. Jika dicampuradukkan dengan agenda yang lain, maka akan tercemarlah amal perjuangan itu kelak.
Keadaan inilah yang telah berlaku dalam kalangan masyarakat sehingga memperlihatkan sikap tidak yakin terhadap bahasa Melayu. Sewaktu di Johor Bahru itu, dua kejadian kebetulan sempat dialami oleh penulis. Pertama, terserempak dengan seseorang yang kelihatan seperti tokoh korporat di dalam lif sewaktu menuju tempat persidangan.
Beliau terperanjat dan kagum apabila dimaklumkan bahawa persidangan itu dihadiri oleh beberapa sarjana termasuk dari Rusia, China, dan Jepun yang membentangkan makalah mereka dalam bahasa Melayu.
Kedua, terdengar seseorang merungut bahawa terdapat beberapa tokoh dan pejuang bahasa Melayu tempatan yang banyak menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan mereka.
Kedua-dua kebetulan ini memperlihatkan masalah krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu yang dialami oleh masyarakat negara ini sehingga menimbulkan banyak situasi 'cakap tidak serupa bikin'. Keadaan sedemikian menjadi salah satu punca bahasa Melayu dicemuh dan diperlekeh.
Satu lagi punca hilang keyakinan itu adalah berkaitan dengan cara pengayaan korpus bahasa Melayu yang membabitkan kosa kata dan penciptaan istilah. Dari segi kosa kata, fenomena bahasa rojak seolah-olah menunjukkan bahawa bahasa Melayu itu kekurangan perkataan untuk digunakan sekalipun dalam keadaan yang tidak rasmi.
Satu lagi korpus yang telah dibangunkan dengan begitu dinamik sekali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka khususnya, dan oleh sarjana-sarjana bahasa Melayu amnya ialah dari segi peristilahan.
Walaupun sudah hampir satu juta istilah diwujudkan meliputi semua bidang tamadun dunia dan teknologi terkini, masyarakat pengguna masih gagal memanfaatkannya sehingga timbulnya dasar PPSMI dahulu.
Namun demikian kini kedengaran pula suara-suara sumbang mengatakan bahawa kekayaan istilah bahasa Melayu itu adalah hasil pinjaman bahasa Inggeris. Mereka tidak tahu bahawa bahasa Inggeris yang hendak diagung-agungkan itu meminjam lebih 60 peratus bahasa Latin.
Dengan penangguhan pemansuhan PPSMI ke tahun 2012, masa yang ada ini hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya oleh agensi bahasa, sarjana bahasa, dan masyarakat negara ini untuk membina semula keyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa dunia sekali gus.
Persidangan di Johor Bahru itu mencatatkan rekod kewujudan 129 pusat yang menawarkan pengajian bahasa Melayu di seluruh dunia. Semuanya menanti untuk mengeksploitasi kekayaan khazanah bahasa Melayu yang tidak disedari oleh masyarakat penuturnya sendiri.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan,
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia
Sumber : http: //www.utusan.com.my/
