Rabu, 6 Januari 2010

Rasa cinta mampu jayakan matlamat perkasa bahasa Melayu

BAHASA JIWA BANGSA, demikian ungkapan yang acap kali kedengaran setiap kali kita membincangkan perihal bahasa. Sudah terlalu banyak langkah dan usaha diambil, namun entah di mana silapnya, hasrat memartabatkan bahasa Melayu dan meletakkan kedudukannya di persada sepatutnya belum kesampaian. Daripada acara penggalakkan sehinggalah penguatkuasaan peraturan, semuanya sudah dilakukan, tetapi taraf bahasa Melayu seolah-olah kian terpinggir di bumi sendiri. Kepesatan ledakan teknologi dan himpitan pensejagatan dijadikan alasan mengapa ia semakin lesu. Pelbagai macam hujah diberikan untuk menghalalkan kita mengetepikannya. Dakwaan kononnya ia ketinggalan, miskin perbendaharaan kata, tandus irama, malah kuno dilemparkan untuk membolehkan ia diperkotak-katikkan tanpa sekelumit pun rasa bersalah. Paling menyedihkan, semakin ramai kini menganggap bahasa Melayu tidak canggih. Alangkah sedihnya jika satu hari nanti ada antara kita yang malu menuturkannya. Kita sendiri tidak pasti dari mana munculnya tanggapan sebegitu kerana sebenarnya, bahasa Melayu berada pada kedudukan keenam paling luas digunakan di dunia selepas bahasa Cina, Inggeris, Perancis, Rusia dan India. Hakikat itu, sekali gus menyangkal apa saja dakwaan yang cuba memperlekehkan bahasa Melayu. Ia sebaliknya, memberi gambaran jelas bahawa ia mesti terus diperkasa demi memastikannya dapat terus tersebar luas.

Dalam menjayakan matlamat membela, memulihara dan memperkasa bahasa Melayu, perkara paling penting yang harus dihayati ialah rasa kecintaan terhadapnya. Kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan saja tidak cukup untuk menjamin ia didaulatkan. Bahasa ialah perantara perhubungan dalam ketamadunan, maka sudah tentulah kelangsungan hidupnya bergantung kepada penggunaan. Jika terbit keinsafan dalam sanubari kita untuk mendalami keindahan dan kelebihan bahasa Melayu serta menggunakannya dalam urusan seharian, separuh daripada perjuangan ke arah itu sudah pun tercapai. Sebenarnya, tiada cacat celanya bahasa Melayu, sebaliknya yang bermasalah ialah diri kita sendiri yang sering memandang rendah terhadapnya. Janganlah sampai dalam perkara membabitkan bahasa Melayu pun kita terpaksa menunggu orang asing menyanjungnya terlebih dulu baru kita mahu berbuat yang sama. Budaya ikut-ikutan dalam mengiktiraf kelebihan kita seperti ini harus dikikis. Natijah budaya ikut-ikutan itulah yang menyebabkan kita hari ini tidak segan silu memperkecilkan bahasa Melayu dan mengaitkannya dengan bermacam-macam tanggapan buruk. Memang dasar, perundangan dan penguatkuasaan membantu usaha mendaulatkan bahasa Melayu, tetapi ia hanya penyebab sampingan saja. Jaminan sebenarnya perlu datang dalam diri setiap daripada kita yang mempunyai jiwa sebagai bangsa yang mencintai bahasanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Selasa, 5 Januari 2010

KEMBAR tiga seronok ke sekolah


Murid Tahun Satu yang juga kembar tiga (dari kiri) Muhammad Taj Najmie Mohd Tajeri, Muhammad Taj Imran dan Muhammad Taj Daniel tekun ketika sesi pembelajaran pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Senawang, Seremban, semalam. Seramai 397 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan di sekolah itu.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Bahasa Melayu ke-6 dunia

KUALA LUMPUR - "Pandangan bahawa menggunakan Bahasa Melayu itu kononnya kurang sofistikated harus dikikis kerana ia berada di tahap keenam paling luas digunakan di dunia selepas bahasa Cina, Inggeris, Perancis, Rusia dan India", kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Kita harus kikis pandangan dan amalan bahawa menggunakan Bahasa Melayu itu kononnya kurang sofistikated kerana sebenarnya bukan begitu.

Ia seharusnya menjadi bahasa pengantar, bahasa perpaduan, bahasa tamadun dan bahasa pentadbiran,” katanya pada sidang akhbar selepas menjadi tetamu dalam wacana eksklusif bersama Radio Klasik Nasional di Angkasapuri semalam.

Rais berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu menjadi saluran utama mempopularkan penggunaan Bahasa Melayu manakala media swasta harus mempertingkatkan penggunaannya.

“Kementerian sangat berharap agar penggunaan dan populariti Bahasa Melayu dapat ditingkatkan dan RTM perlu menjadi saluran utama untuk memajukan dasar ini,” katanya.

Rais berkata, penggunaan Bahasa Melayu oleh RTM agak membanggakan tetapi penggunaannya belum menyeluruh terutamanya oleh stesen televisyen dan radio swasta.

“Saya harus tegur sedikit pencapaian oleh pihak swasta, yakni stesen-stesen radio dan TV, kadangkala bak kata orang tua, terlangsung nak wangi lalu hangit.

Mereka menyebut sesuatu perkataan secara terlalu bersandiwara, tidak seperti seharusnya didengar. Misalnya perkataan ‘dan’. Ramai juruhebah yang menyebutnya dengan bunyi yang berbeza seperti tidak menggambarkan orang Melayu yang menuturkannya,” katanya.

Rais berkata, kementerian akan terus memantau perkara-perkara seperti ini tetapi apa yang penting juruhebah swasta perlu cintakan bahasa dan yakin bahasa Melayu merupakan bahasa komunikasi yang terbaik dan banyak digunakan di nusantara.

Beliau juga mengingatkan kakitangan kerajaan dan swasta tidak menggunakan perkataan ‘next’ dalam pembentangan sebaliknya digantikan dengan perkataan ‘seterusnya’.

Katanya, setiap kakitangan juga seharusnya tidak menggunakan bahasa asing sekiranya istilah itu terdapat dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu.

Ditanya apakah kementerian mempunyai pendekatan daripada segi penguatkuasaan undang-undang terhadap kesalahan penggunaan bahasa Rais berkata: “Sebenarnya tidak perlu penguatkuasaan dalam soal bahasa, kita tak perlu pegang satu rotan dalam soal Bahasa Melayu. Ia mesti timbul dari dalam.”

Bagi kesalahan bahasa dalam bidang pengiklanan, Rais berkata, kementerian boleh menggunakan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu jika mereka menggunakan istilah yang salah perlu diperbetulkan sahaja bukannya mengenakan denda.

Penggunaannya bukanlah satu kesalahan tetapi ia menjurus kepada sesuatu yang lebih baik. Jika masih nak gunakan bahasa Inggeris, itu terserah. Tetapi jika lebih ramai masyarakat mengamalkan prinsip-prinsip pembahasaan yang baik bagi bahasa Melayu, maka ia akan menjadi lebih indah, sebaliknya jika terlampau banyak bahasa Inggeris di dalamnya, lama kelamaan bahasa Melayu dan identiti kemelayuan akan hilang,” katanya.

Rais berkata, beliau yakin penggunaan blog sebagai media untuk menjatuhkan orang lain akan luput dan ditolak tidak lama lagi.

Beliau mengumpamakan blog sedemikian seumpama bunga yang sedang berkembang dan harumnya akan hanya dihidu seketika di mana selepas layu ianya akan ditolak.

“Saya yakin berblog secara yang ada hari ini (menjatuhkan orang lain) ia akan luput. Lama kelamaan orang tak akan baca lagi. Ini semacam satu bunga yang kembang yang hiduan baunya yang semerbak yang dihidu sementara, lepas busuk orang tidak akan meminatinya lagi sebab sudah letih dengan bauan itu hari-hari,” katanya. - Bernama

Isnin, 4 Januari 2010

SMS, laman sembang internet ancaman kepada bahasa

Oleh Hariyati Ariffin

Budaya meringkas perkataan, ayat boleh mengubah makna serta berlaku salah tafsir maklumat

KEWUJUDAN media baru khususnya khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman sembang maya (chatting) menggabungkan teknologi internet, audio visual dan telefon, memberi kemudahan kepada masyarakat pelbagai lapisan untuk berinteraksi dan menyampaikan maklumat serta memudahkan kehidupan seharian mereka.

Namun, ia tidak dapat lari daripada disalahgunakan segelintir masyarakat sehingga menyebabkan berlakunya jenayah siber yang secara tidak langsung merendahkan maruah budaya, bahasa dan jati diri serta pembinaan negara bangsa kerana ketaksuban terhadap ciptaan ajaib di alaf ini.

Dalam penulisan, SMS dan laman sembang maya adalah tergolong dalam media baru yang dikatakan menjadi cara hidup paling popular masyarakat kini untuk berinteraksi dan bersosial, yang boleh dilakukan di mana-mana saja.

SMS misalnya, tidak dinafikan sebagai medium yang bukan saja cepat, malah mudah dan amat senang untuk menyampaikan maklumat. Ia menjadi budaya baru masyarakat masa kini tidak kira yang tua atau muda.

Namun, kita terlepas pandang mengenai isu bahasa, khususnya di negara kita yang digunakan dalam menyampaikan maklumat berkenaan. Jika dilihat dan dikaji secara serius dari segi penggunaan bahasanya, ia merosakkan kemurnian bahasa sehingga ada kalanya apabila ayat yang terlalu diminimumkan itu dihantar melalui SMS menjadi kurang difahami atau disalah tafsirkan maksudnya.

Satu kajian kes yang diambil di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (FKPM UiTM) mengenai salah tafsir menerima maklumat SMS daripada seorang pensyarah sehingga menyebabkan pelajar tidak menghadiri kelas. Pelajar menghantar SMS kepada pensyarah mengenai kelas pada hari berkenaan. SMSnya berbunyi begini: "Encik, ari ni ada kelas di DK 2 kan jam 8 pagi'. Jawapan pensyarah selalunya pendek dan berbunyi begini: Ya btl"

Tafsiran yang dibuat pelajar mengenai SMS itu ialah 'Ya, kelas tu batal', sedangkan maksud pensyarah ialah beliau mengiyakan soalan pelajar tadi. Dengan tafsiran kelas dibatalkan, akhirnya apabila pensyarah datang kelas jam 8 pagi, seorang pelajar pun tiada dalam kelas kerana SMS disampaikan pada semua rakan sekelas, mengatakan pensyarah membatalkan kelas pada hari itu.

Banyak kes mengenai salah tafsir SMS ini. Namun keghairahan menggunakan SMS sebagai aliran berkomunikasi kini untuk menyampaikan maklumat dan pesanan menyebabkan masyarakat tidak berapa menghiraukan masalah yang bakal timbul kerana kesilapan tafsir atau maknanya.

Pensyarah Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya, Siti Rohana Mohd Thani berkata SMS secara terang merosakkan penggunaan bahasa bukan saja daripada segi ejaan, malah sudut nahu dan terminologi bahasa itu sendiri.

Beliau berkata, daripada sudut bahasa umpamanya ejaan aku menjadi ko, pergi dipendekkan menjadi 'g' saja, puan di tulis 'pn', pun juga 'pn'. Banyak lagi perkataan yang dieja secara ringkas dan mengelirukan. Malah ada juga perkataan dipendekkan yang hanya difahami di kalangan golongan tertentu.

Siti Rohana berkata, walaupun secara umumnya ayat pendek dan akronim yang dicipta `pakar' bahasa, SMS sudah diterima pakai umum, namun keterbiasaan menulis secara ringkas dan pendek akan membuat masyarakat, khususnya pelajar dan murid tidak mahir mengeja sesuatu perkataan dengan betul.

Bukan itu saja, katanya, masyarakat juga menjadi kurang mahir untuk menulis. Jika ia menjadi budaya yang diterima pakai semua golongan, beliau bimbang golongan pelajar dan murid, khususnya terpengaruh menulis dalam bentuk SMS dalam kerja sekolah dan tugasan di universiti. Lebih membimbangkan jika bahasa SMS menular pula kepada penulisan rasmi.

Beliau berkata, adalah penting masyarakat mengagungkan bahasa dan menggunakan bahasa lisan dan penulisan dengan betul kerana bahasa adalah jiwa bangsa dan bila kita lalai mengenai maruah bahasa yang menjadi kebanggaan bangsa, kita akan lupa asal usul kita.

"Pepatah ada mengatakan 'bahasa menunjukkan bangsa' dan apabila rosak bahasa itu rosaklah juga bangsanya. Jika gejala ini tidak dibendung dan tidak dipandang serius pihak tertentu, khususnya Dewan Bahasa Pustaka dan kementerian berkaitan. Jika tidak, umumnya malas menulis dan tidak akan berminat dalam bidang penulisan lagi dan tidak mustahil bahasa mungkin tidak lagi dipandang sebagai sesuatu nilai budaya dan akan terus tenggelam menjadi sebuah sejarah saja," katanya.

Sementara itu dalam kertas kerja bertajuk 'Perkembangan Pesat Media Alternatif: Cabaran dan Ancaman Dalam Pembentukan dan Pemupukan Jati Diri' yang ditulis Mohd Yusof Othman dari Institut Islam Hadari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan, bahasa bukan sekadar alat untuk berkomunikasi, malah ia jauh daripada itu.

Mohd Yusof berpendapat bahasa adalah pembentuk budaya, pembangunan citra, pembina sahsiah diri dan jati diri. Kertas kerja itu juga menyentuh bahawa media alternatif atau media baru ini tidak dinafikan amat penting dalam membentuk perspektif dan minda masyarakat awam, tetapi sekiranya ia tidak dilaksanakan dengan penuh berhemah dan penuh amanah serta kejujuran demi menyampaikan maklumat, ia akan menjana lebih banyak kemusnahan daripada kebaikan.

Dalam kaitan yang sama Dr Rahmat Ghazali, pensyarah Kewartawanan FKPM, UiTM Shah Alam bersetuju SMS atau yang dipanggil ayat dan perkataan kontot ini secara terang merosakkan kemurnian bahasa Melayu.

Beliau mengambil contoh perkataan 'Assalammualaikum' yang di pendekkan menjadi 'Ass' dan 'Salam'. Jika dilihat secara maknanya ia sudah lari daripada maksud sebenar. Selain itu perkataan dari sudut maknanya juga mencemar kemuliaan agama.

Namun begitu beliau berkata perkataan 'Ass' dan 'salam' adalah perkataan pendek bagi 'assalammualaikum' dan nampak kurang sesuai dari segi maknanya. Namun yang jelasnya ia diterima pakai masyarakat kini khususnya dalam bahasa SMS dan laman sembang maya.

Seperti Rohana, Dr Rahmat juga bersetuju bahawa kebimbangan pendidik dan pengkaji bahasa sekarang ialah penularan gaya menulis SMS dan 'chatting' dalam penulisan rasmi khususnya kepada pelajar dan murid. Beliau berkata kebiasaan menggunakan perkataan pendek dan akronim di dalam SMS memungkinkan ia menular dalam penulisan khas terutama dalam tugasan dan kerja sekolah pelajar.

Sebagai pensyarah kewartawanan beliau juga amat bimbang fenomena memendekkan ayat ini menular di kalangan pelajar dalam bidang penulisan yang secara langsung akan mengurangkan kualiti penulisan dan kecekapan mengeja.

Menyentuh mengenai laman sembang maya pula Dr Rahmat, berkata laman sembang maya amat membebaskan penulisan sosial dengan erti kata lain kebebasan untuk menulis apa saja dalam ruang sembang maya itu tanpa ada tapisan.

Katanya, aspek penulisan sosial ini dilihat amat tidak sihat jika bahasa dan cara berkomunikasi melalui maya terlalu bebas membicarakan pelbagai persoalan tanpa had. Amat ketara ialah perbincangan mengenai seks yang terlalu bebas dalam ruang sembang maya serta penggunaan perkataan kurang manis yang menjadi kebiasaan kepada pengguna laman sembang maya.

Dr Rahmat juga berpendapat penulisan sosial ini secara tidak langsung akan mengundang pada gejala kurang sihat yang berleluasa seperti seks bebas, pergaulan bebas dan masalah pembuangan anak. Katanya, rata-rata penyembang di dalam laman sembang maya ini, menggunakan laman itu untuk bersosial dan tidak mustahil segelintir cuba mengambil kesempatan terhadap laman ini untuk tujuan tertentu.

Beliau berkata, kajian yang dibuat seorang pelajar kewartawanan FKPM UiTM Shah Alam mengenai laman sembang maya dalam Yahoo messenger mendapati ada satu trend ketara terhadap eksploitasi seks dalam ruang itu.

Katanya, ruang sembang dan laman bersosial seperti Friendster, facebook, adalah wadah pengiklanan untuk mengiklankan diri dan lebih bersifat menawarkan diri untuk tujuan tidak sihat seperti seks. Beliau berkata daripada kajian itu mendapati 62 peratus penyembang adalah lelaki yang memberi nombor telefon untuk dihubungi bagi tujuan bersosial dan selebihnya adalah perempuan.

Dr Rahmat juga berkata kajian itu mendapati 45 peratus chatters atau penyembang suka membicarakan mengenai seks.

Kesimpulannya, tidak dinafikan kemunculan media baru khususnya SMS dan laman sembang maya membawa satu fenomena baru dalam cara berkomunikasi. Kemudahan ini membolehkan manusia semakin bebas membicarakan pelbagai isu dan mudah untuk disampaikan dalam waktu yang singkat dan memberi manfaat kepada masyarakat untuk bersosial dengan lebih mudah.

Natijahnya kesan daripada teknologi baru yang disalahgunakan ini bukan saja menggadaikan maruah bahasa tetapi juga menjatuhkan harga diri bangsa Melayu

Oleh itu, sudah tiba masanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Pendidikan dan kepemimpinan tertinggi duduk semeja membincangkan mengenai kes terpencil yang menjadi akar umbi kepada jenayah siber, merosakkan bahasa, penyalahgunaan media baru dan masalah lain yang boleh menjurus kepada masalah pembinaan jati diri dan pembinaan negara bangsa.

Penulis ialah pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Sabtu, 2 Januari 2010

MENCARI KEBERKATAN MASA

Minda Dr.Maza

Menjelang tahun baru, ramai yang menyambutnya. Sama ada hari pertama Januari ataupun Muharam, Islam tidak pernah menetapkan sambutan khusus buat tahun baru. Tiada ibadat khas sempena tahun baru seperti solat tahun baru, atau puasa tahun baru.

Ya, tidak menjadi masalah jika manusia ingin menyiapkan diri mereka menghadapi tahun baru. Mungkin mereka ingin menetapkan sasaran, perancangan dan idaman. Jika perancangan itu untuk kebaikan, seseorang akan memperolehi pahala. Begitulah sebaliknya. Jika tahun baru tidak datang pun, waktu dan hari tetap terus berputar dan tiada bezanya antara tahun lepas dan tahun ini. Ia terus berjalan seperti biasa sehingga sampai detik ia berhenti. Umur setiap kita akan terus bertambah, sama ada menjelang tahun baru ataupun tidak. Jika tidak bertambah tahun, ia bertambah bulan. Jika tidak bertambah bulan, ia bertambah hari. Jika tidak bertambah hari, ia bertambah jam dan minit dan akan terus meningkat ke hari, bulan dan tahun.

Sementara perhentian iaitu kematian, tidak pula kita tahu waktunya yang tepat. Namun yang pasti apabila ia sampai, tidak dilewatkan walaupun sesaat jua. Kita hamba Tuhan di persada masa.

Ya, hari dan waktu akan terus datang dan pergi. Jika jam, matahari dan bulan berhenti, masa tetap berjalan. Tiada makhluk yang dapat menghalang kedatangan waktu dan hari. Demikian tiada siapa pun yang dapat menahan ia pergi. Sama ada manusia menunggu untuk menyambut kedatangannya atau tidak mempedulikannya, ia tetap menjelang.

Demikian juga, waktu dan hari akan terus pergi sekalipun kita menyayanginya dan mengharapkan ia terus tunggu. Entah berapa banyak diari yang dicatatkan, entah berapa banyak sanjungan yang diberikan, entah berapa banyak kejian yang dilontarkan, dengan berlalunya waktu, ia menjadi sejarah dan kenangan.

Maka, entah berapa ramai manusia yang dipuji semalamnya, dilupai pada hari ini. Entah berapa ramai yang diperlekehkan semalam, disanjung pula pada hari ini. Berapa ramai mereka yang bongkak dan sombong semalam, hari ini berbicara bagaikan pengemis yang merintih simpati.

Demikian juga, entah berapa ramai yang diketepikan semalam, mungkin berkuasa atau diangkat pada hari ini. Wajah-wajah yang dahulunya comel dan cantik boleh berubah menjadi sughul dan masam. Tempat yang hening dan indah juga boleh bertukar menjadi sungul dan usang. Pemuda yang gagah akan bertukar menjadi orang tua yang mengah. Gadis yang cantik akan bertukar menjadi nenek. Perjalanan waktu dan masa adalah keajaiban ciptaan Tuhan.

Ramai orang lupa bahawa masa itu adalah makhluk Allah. Kita diciptakan dan diletakkan dalam perjalanan makhluk masa ini. Masa itu tiada siapa yang dapat menongkah pusingannya. Ia merubah segala-gala. Dari yang tiada kepada ada. Dari yang ada kepada tiada. Tiada siapa yang mampu menghalangnya melainkan Tuhan yang menciptakannya. Masa mengubah kita.

Mengubah anggapan manusia sesama mereka. Ia mengubah perasaan dan rasa. Ia mengubah benci dan cinta. Ia mengubah gembira dan duka. Namun waktu tidak boleh mengubah hakikat sesuatu di sisi Allah. Di sisi Allah, insan yang mulia tetap mulia walaupun manusia menghinanya.

HARTA

Insan yang keji tetap keji, walaupun manusia memberikannya kuasa dan harta. Seorang raja atau sultan yang meraikan hari jadi setiap kali menjelang musimnya dengan menganugerahkan darjat dan pangkat kepada orang lain, belum tentu dia sendiri mendapat darjat dan pangkat yang tinggi di sisi Allah.

Mungkin belanja hari jadinya itu akan menjadi beban kepadanya pada hari akhirat kelak; dari mana wang itu datang dan bagaimana ia digunakan? Seorang miskin di ceruk yang terpencil, mungkin tiada siapa yang mengambil tahu hari lahirnya dan tiada pula anugerah atau hadiah yang diperolehi. Namun, itu bukan tanda kehinaan buatnya. Bahkan jika dia hamba Allah yang baik, umurnya dan waktunya dilimpahi pahala dan keberkatan.

Ya, waktu dan masa akan terus menjelang, mengejar sang raja, juga mengejar si miskin yang tiada apa-apa. Mengejar kita semua untuk sampai ke perhentian masing-masing. Apabila sampai ke detik penghabisan, kita bertemu Tuhan. Ketika itu yang dinilai adalah hakikat yang sebenar, antara insan yang beruntung dan insan yang rugi.

Untuk itu Allah bersumpah dengan masa dan mengingatkan kita, siapa yang untung dan siapa yang rugi.

Firman Allah dalam Surah al-'Asr: (maksudnya) Demi masa! Sesungguhnya insan itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah al-'Asr 1-3).

Demikian Tuhan Pencipta masa memutuskan bahawa insan yang hidup dalam sistem masa ini akan kerugian. Apa yang dapat menyelamatkan mereka adalah apabila mereka penuhi ciri-ciri yang disebutkan; iman, amal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.

Ertinya, hidup bukan sekadar beriman dan beramal, tetapi hendaklah memperjuangkan tuntutan iman dan amal dengan melakukan peringatan, dakwah, seruan kepada kebenaran dan kesabaran. Kebenaran yang diajar oleh Allah dan rasul-Nya dan sabar dalam membahterai perjuangan kebenaran itu.

Jika sebahagian pengkaji cuba memahami dan membuktikan apa yang disebut oleh Albert Einstein dan Isaac Newton tentang teori kerelatifan masa (relativity of time), Islam pula telah lama memperkatakan tentang keberkatan umur dan waktu. Mereka yang meterialis barangkali tidak dapat berfikir bagaimana mungkin masa seseorang insan dengan seorang yang lain berbeza.

Bagaimana mungkin sejam si A lebih panjang daripada sejam si B?. Mereka kehairanan dan pemikiran materialistik memang tidak dapat menerima hal ini.

Dalam Islam ada istilah berkat atau barakah. Al-Quran berulang-ulang menyebut tentang keberkatan. Antaranya firman: (maksudnya) Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka keberkatan-keberkatan dari langit dan bumi. (Surah al-A'raf, 96). Allah perintahkan Nabi Nuh: (maksudnya) Dan berdoalah: Wahai Tuhanku, Turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat. (Surah al-Mukminun 29). Kata Nabi Isa: (maksudnya) Allah menjadikan aku ini diberkati di mana sahaja aku berada... (Surah Maryam, 31).

Apakah itu berkat atau barakah dalam bahasa Arab? Asal perkataan barakah ialah bertambah atau berkembang. Juga boleh bermaksud berkekalan. Al-Asfahani (meninggal 425H) menyatakan ia bermaksud kelangsungan kebaikan ilahi kepada sesuatu. (Al-Asfahani, Mufradat Alfaz al-Quran m.s 119, Damsyik: Dar al-Qalam).

Maka barakah adalah penambahan atau kelangsung kebaikan atau kurniaan Allah kepada sesuatu. Jika Allah berkati masa kita bererti berlaku penambahan dan kebaikan. Maka sejam yang diberkati tentu berbeza dengan sejam yang tidak diberkati. Setahun yang diberkati tentu berbeza dengan setahun yang tidak diberkati. Insan-insan yang berkhidmat untuk kemaslahatan manusia, Allah berkati umur mereka. Hasil yang dikeluarkan dan jasa ditaburkan kadang-kala tidak dapat dilakukan oleh orang lain walaupun jika berikan masa yang berganda.

Kita tidak boleh mengubah masa, tetapi kita boleh menjadi masa itu berkat dengan doa dan usaha-usaha yang ikhlas dan baik. Untuk merentasi kehidupan dan belantara masa banyak perkara kita tidak dapat duga. Kita mungkin merancang dengan perancangan yang hebat, tapi siapa yang dapat menjamin ia akan terjadi seperti yang dirancangkan.

RANCANGAN

Berapa banyak rancangan buruk orang kepada kita, Allah tukar ia menjadi keuntungan dan kebaikan. Betapa banyak rancangan yang hebat, Allah tukar ia menjadi kerdil. Dunia ini bukan kita sahaja yang hidup. Berbagai rupa dugaan dan kerenah manusia yang lain.

Saya yang daif ini sejak sekian lamanya amat tersentuh dengan doa Nabi SAW Ya Haiyyu, Ya Qayyum, dengan rahmat-Mu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani). Telah saya kongsi ia dengan pembaca dulu. Doa ini sering menjadi teman di sepanjang waktu.

Di setiap kesempatan yang mulia, saya lafazkannya. Saya kira saudara pembaca juga demikian. Menjelang tahu baru, moga Allah memberkati umur kita dan membantu segala urusan kita. Kita tidak boleh menongkah masa. Kita tidak boleh menghalang putaran masa. Kita tidak boleh menghentikan masa. Kita tidak boleh keluar dari sistem masa. Kita tidak boleh mengembalikan masa. Namun kita boleh memohon kepada Allah agar masa kita diberkati.

Sumber :http://www.utusan.com.my/

Jumaat, 1 Januari 2010

KEGEMILANGAN TULISAN JAWI PERLU DIKEMBALIKAN

Oleh Mohamad Sofee Razak

TULISAN Jawi adalah lambang jati diri, citra dan keunggulan umat Melayu. Peranan dan jasa agung dimainkan tulisan Jawi sebenarnya bermula sejak ia menjadi penyebar maklumat dan pendapat paling utama sejak puluhan tahun lalu. Cuma kebelakangan ini tulisan Jawi diketepikan peranan dan kehebatannya
.

Kehadiran kitab Jawi muktabar seperti Sayr as-Salikin, Sabil al-Muhtadin, Tajul Muluk, Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain dan kemunculan ulama legenda seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri dan Abdul Samad al-Palembangi serta ramai lagi berjaya mendaulatkan tulisan Jawi.

Masyarakat hari ini boleh mengambil iktibar daripada kejayaan ahli fikir Islam terdahulu yang menguasai pelbagai bidang ilmu serta bahasa. Usaha menghidupkan bahasa Melayu berteraskan Jawi perlu dilaksanakan kerana kaitannya dengan bahasa al-Quran (Arab).

Bahasa Melayu berteraskan tulisan Jawi kesan daripada penyebaran Islam yang berlaku di Nusantara suatu ketika dulu akan lenyap dan hilang jika tiada usaha dilakukan dalam memartabatkan semula penggunaannya.

Menurut Azizi Abdullah (2006), daripada perspektif sejarah, tulisan Jawi berasal daripada tulisan Arab dan orang Melayu meminjamnya untuk mengganti tulisan Hindu yang sekian lama digunakan pada awal kemasukan Islam.

Bukti kemasukan itu ialah pada batu nesan makam Sheikh Abdul Qadir ibnu Husin Syah Alam, di Langgar, Alor Setar, Kedah pada 290 Hijrah bersamaan 910 Masihi. Tiga ratus tahun kemudian, timbul pula tanda awal bahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi pada batu bersurat di Terengganu dan diikuti penemuan lain selepas itu. Kemudian ia tersebar luas, digunakan di daerah bahasa Melayu dan daerah bukan bahasa Melayu, termasuk ke Pulau Jawa.

Pejuang tulisan Jawi yang bertanggungjawab memberi nafas baru terhadap tulisan itu ialah ikon umat Melayu iaitu Pendita Za’ba yang mengumpulkan perkataan Melayu sejak 1918 bagi tujuan menyusun sebuah kamus besar.

Hasilnya pada 1931, Za’ba menulis buku Rahsia Tulisan Jawi untuk warisan umat Melayu dan ternyata beliau berjaya meniup semangat tulisan Jawi dari semasa ke semasa. Akhirnya sebuah buku Daftar Ejaan Jawi-Rumi dapat disusun hasil perbincangan dengan beberapa rakan-rakannya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata tulisan atau skrip Jawi sudah sekian lama berperanan sebagai skrip pentadbiran, keagamaan dan budaya sejak berzaman, khususnya zaman Kerajaan Melaka pada awal abad ke-15.

Peranan tulisan Jawi berkembang maju melalui sejarah tanah air dan Kepulauan Melayu (Nusantara) dan berperanan penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat serta perdagangan. Perjanjian penting antara Raja Melayu dengan pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris kesemuanya tertulis dalam skrip Jawi.

Perjanjian antara Sir Stamford Raffles dengan pihak di-Raja Johor, Perjanjian Pangkor 1874, Pengisytiharan Merdeka 1957 antara lain juga tertulis dalam skrip Jawi. Tulisan Jawi pernah melalui zaman gemilang dalam pelbagai kemajuan bersifat sastera, pentadbiran dan perjuangan silam.

Kegemilangan tulisan Jawi perlu dikembalikan semula memandangkan tulisan Jawi antara tulisan dunia yang masih bertahan dan kekal hingga ke hari ini. Tulisan jawi harus mampu bergerak seiringan tulisan perdana lain dan boleh bergerak sendirian segagah dulu.

Kita perlu kewibawaan tulisan jawi asal, yang begitu berjasa kepada perkembangan agama, bangsa dan negara. Kita ingin melihat tulisan jawi kembali menjadi tulisan utama, nadi dan jantung maklumat di negara kita.

Program J-Qaf (Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain) di sekolah rendah di seluruh negara sejak 2005 adalah berita gembira kepada generasi muda untuk mempertahankan warisan agung itu dan tamparan keinsafan kepada generasi lama yang meminggirkan tulisan Jawi sejak sekian lama.

Semoga inisiatif bijak kerajaan menjadi pemangkin perkembangan dan kelangsungan tulisan jawi di Malaysia dan rantau ini. Tulisan Jawi sudah mewarnai sejarah perkembangan Islam dan menjadi tunjang kepada kekuatan intelektual Nusantara yang diakui sarjana tempatan dan Orientalis Barat.

Namun begitu, tanpa komitmen, kesedaran dan sokongan padu orang Melayu sendiri, nasib dan hala tuju tulisan Jawi tidak akan ke mana. Syarikat konglomerat korporat, pertubuhan bukan kerajaan, perpustakaan, parti politik Melayu, sekolah, universiti, kolej, individu dan banyak lagi perlu memainkan peranan dalam usaha menjayakan inisiatif murni ini.

Usaha dan tindakan itu bukanlah komitmen berbentuk sementara atau bermusim tetapi berterusan. Jutawan Melayu harus menggembleng tenaga dan dana menyumbang kepada kelancaran pemeliharaan, penerbitan dan kesinambungan tulisan Jawi di negara kita.

Diharapkan tulisan Jawi akan terus menjadi medan serta wadah perbincangan intelektual dan penggabungan idea serta minda umat Islam dan bukan Islam. Tulisan Jawi juga harus bersedia bersaing dengan tulisan perdana lain dan tidaklah hanya sekadar menjadi tulisan satu bangsa saja.

Tulisan Jawi perlu bangkit dan gemilang seperti dulu kerana tulisan Jawi adalah satu-satu warisan tulisan umat Melayu yang mengangkat wibawa umat di ufuk persada intelektual dan umpama nyawa serta aset warisan terunggul milikan umat Melayu di rantau ini.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Istiqamah, azam sempena tahun baharu 2010

Oleh MARDIANA MAT ISHAK

TAHUN baharu 2010 sudah membuka tirai. Dengan itu, ramai yang sibuk memasang azam masing-masing. Membuka diari hidup baru dan meninggalkan diari hidup yang lama.

Semua orang boleh berazam. Senarailah sebanyak mana sekalipun azam mereka. Satu hakikat yang pasti, semuanya bergantung kepada kekuatan diri mereka untuk terus istiqamah dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Orang yang beristiqamah bermaksud seorang yang gigih tekun dan komited dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan sehingga tercapai matlamat yang telah dirancang.

Islam amat mementingkan istiqamah. Banyak hadis dan ayat al-Quran yang menyebut tentang istiqamah. Dalam konteks istiqamah dalam beribadah, ia merujuk kepada aspek tunduk, patuh, tekun dan taat dalam melaksanakan amal ibadah dalam kehidupan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sufian bin Abdilah, beliau berkata kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, jelaskan kepada saya mengenai Islam, supaya saya tidak perlu lagi bertanyakan kepada orang lain. Baginda menjawab, "(Islam itu adalah) kamu berkata 'Aku beriman kepada Allah dan beristiqamah'."

Ini bermakna, dua fokus utama yang ditekankan oleh hadis ini ialah keimanan kepada Allah dan komited serta konsisten dengan keimanan tersebut.

Kaitan Azam, Matlamat dan Istiqamah

Dalam konteks kehidupan sekarang, ia menuntut kita beristiqamah untuk terus berjaya. Menjadi seorang anak dan pelajar yang berjaya, pekerja yang berjaya, suami dan isteri yang berjaya. Semuanya memerlukan tahap kekuatan dan gerak kerja yang konsisten dan bukan sekerat jalan.

Setiap azam dan matlamat tidak akan dicapai tanpa kehadiran istiqamah. Azam akan menjadi suntikan semangat untuk mencapai matlamat. Maka dengan itu sifat istiqamah iaitu konsisten, tekun dan gigih berusaha perlu ada demi mencapai matlamat yang diimpikan.

Orang yang istiqamah adalah seorang yang mulia. Seperti kata Hamka, "Sebesar-besar karamah adalah memegang istiqamah".

Kalau para Nabi dan Rasul ditugaskan untuk menyampaikan dakwah dan beriman kepada Allah, itu adalah tugas mereka. Mereka terus beristiqamah dalam merealisasikan visi mereka. Hasilnya kita mendapat nikmat Islam dan iman yang kita kecapi kini.

Sebagaimana saranan dan galakan Allah kepada Nabi Muhammad SAW di dalam Surah Hud, ayat 12, "Maka beristiqamahlah engkau sebagaimana engkau diperintahkan."

Prasyarat kekal istiqamah

Untuk kekal konsisten beristiqamah menjadi cabaran untuk setiap orang. Sama ada berjaya atau tidak menyahut cabaran itu, lima aspek ini boleh dijadikan ukuran dan panduan untuk terus kekal beristiqamah seterusnya mencapai impian dan matlamat yang diimpikan setelah menetapkan azam.

1) Kemahuan

Sebanyak manapun azam atau niat yang disenaraikan, tanpa kemahuan yang bersungguh-sungguh, ia tidak akan tercapai. Bak kata pepatah, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".

2) Percaya diri sendiri

Pastikan setiap apa yang direncanakan itu berpijak di bumi yang nyata. Yakin dan percaya pada diri sendiri bahawa kita mampu untuk merealisasikannya.

3) Motivasi

Mencari dan membaca bahan bacaan atau segala bentuk bahan motivasi yang boleh menyuntik semangat untuk terus berjaya agar semangat itu tidak pudar di tengah jalan.

4) Meletakkan tempoh dan masa

Meletakkan sasaran waktu dan tempoh tertentu akan menjadikan seseorang itu berdisiplin dengan kerjanya. Setiap orang mempunyai tanggungjawab yang lebih banyak daripada masa yang mereka ada. Setiap orang mempunyai masa 24 jam sahaja, tidak lebih daripada itu.

Dengan membahagi waktu dengan baik akan menjadikan diri seseorang berbeza dengan yang lain. Jika diperhatikan, Islam juga mendidik umatnya dengan waktu. Syariat sembahyang lima waktu sehari semalam telah mengajar manusia untuk menghormati waktu, sebagaimana pesanan Rasulullah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas'ud tentang sebaik-baik pekerjaan adalah solat pada awal waktu.

5) Fokus

Dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan, anggota dan fikiran perlu bergerak seiringan. Jika anggota sahaja yang bergerak, akan menghasilkan kerja yang berkemungkinan besar tiada kualiti, kerana membuat sesuatu pekerjaan tanpa berfikir.

Sekiranya hanya berfikir dengan otak, tetapi tidak pula digerakkan dengan anggota, kerja langsung tidak akan berjalan. Pusatkan perhatian dan gerak kerja terhadap setiap pekerjaan yang sedang kita lakukan.

Percayalah bahawa walau hanya meletakkan satu atau dua sahaja azam tetapi kita tetap konsisten dalam merealisasikannya, itu adalah lebih baik daripada menyenaraikan sebanyak mungkin azam tetapi langsung tidak kita laksanakan.

Jangan jadi seperti pepatah, "Hangat-hangat tahi ayam", azam yang sama diulang pakai setiap tahun.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Bahasa Al-Quran, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http://utusan.com.my/