Jumaat, 22 Januari 2010

Hormati guru anda

Sesi persekolahan baru sahaja bermula. Bagi yang pertama kali melangkah masuk ke alam persekolahan mahupun pelajar lama, semoga tahun 2010 memberi semangat baru buat anda untuk cemerlang dalam pelajaran.

SIKAP menghormati guru adalah amalan mulia dan sangat dituntut.

UNTUK cemerlang dalam pelajaran, insan paling bertanggungjawab membentuk pelajar ke arah itu adalah guru yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar pada setiap masa.

Ilmu yang dicurahkan oleh guru amat penting bagi menjadikan seseorang itu insan berguna pada masa hadapan. Jadi, guru mesti dihormati kerana jasa mereka tidak akan terhitung oleh kita.

Pada asasnya, tugas hakiki seorang guru adalah mengajar di sekolah. Guru mendidik pelajar supaya menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Mereka juga merupakan ibu bapa kedua kepada pelajar memandangkan banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding di rumah.

Pelbagai cara boleh dipraktikkan untuk menghargai jasa guru yang tidak pernah jemu-jemu mencurahkan bakti tanpa mengenal erti jemu.

Guru tidak pernah meminta wang ringgit dan harta sebagai balasan. Cukuplah setiap pelajar menghormati mereka dengan mengucapkan selamat sejahtera apabila berjumpa.

Tidak salah kalau menyapa guru ketika berselisih di luar kawasan sekolah sekalipun.

Dengan cara itu, bukan sahaja dapat menunjukkan sikap menghormati guru, malah dapat mengeratkan lagi hubungan antara mereka demi kebaikan bersama.

Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara menyiapkan kerja sekolah. Mereka mesti menghantar kerja sekolah mengikut masa yang ditetapkan.

Jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan membetulkannya. Dengan ini, pelajar dapat belajar daripada kesilapan.

Sikap dan disiplin diri seorang pelajar di sekolah juga adalah penting. Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara berdisiplin semasa di sekolah.

Secara tidak langsung, ini boleh menjadikan mereka lebih tekun dalam pelajaran dan seterusnya berjaya dalam hidup.

GURU bertanggungjawab mendidik anak bangsa mengenal apa yang baik dan buruk bagi mengharungi masa depan yang lebih bermakna.

Mereka juga perlu mematuhi peraturan sekolah. Sebagai contoh, mereka perlu datang awal ke sekolah dan tidak terlibat dalam gengsterisme, vandalisme, ponteng sekolah, melepak dan lain-lain. Oleh itu, jadilah pelajar yang berdisiplin.

Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru juga sebahagian tanda hormat dan penghargaan seseorang pelajar.

Dengan membuang masa dan membuat bising dalam kelas ketika guru sedang mengajar adalah tindakan yang menunjukkan pelajar tidak menghormati guru.

Jika sikap seperti ini berterusan dan tidak diperbetulkan, ia akan merugikan masa depan pelajar terbabit.

Sebelum terlambat, ubahlah sikap dengan berusaha sebaik mungkin menghormati dan mengenang jasa guru.

Jika di rumah, ibu bapa adalah insan yang perlu disayangi, manakala di sekolah pula guru umpama ibu bapa. Jadi, sebagai pelajar, anda boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru.

Ia boleh dilakukan dengan dengan membawa buku-buku ke bilik guru, selain memberi hadiah tanda ingatan semasa sambutan Hari Guru.

Namun, apa lebih penting guru akan rasa dihargai apabila pelajar dapat meluangkan masa untuk menziarahi mereka ketika terlantar sakit. Mereka akan berasa disayangi dan diingati sepanjang masa.

Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang sanggup membakar diri dan menerangi hidup orang lain.

Lagipun, guru telah berjaya melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Janganlah jadi salah seorang yang merugikan masa depan sendiri. Tepuk dada tanya selera.

Oleh : NUR AISHAH MOHD. AMIN

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

Khamis, 21 Januari 2010

Amalan syura hakis tekanan di tempat kerja

Oleh NOR HARTINI SAARI

SUDAH menjadi lumrah apabila seseorang itu menceburi sesuatu bidang kerjaya, ada sahaja tekanan yang dihadapi. Tekanan seringkali ditakrifkan sebagai desakan, paksaan, atau keadaan menanggung beban yang amat sukar oleh seseorang.

Pelbagai bentuk tekanan yang berlaku misalnya disebabkan oleh kehilangan pekerjaan, kemusnahan harta benda, keruntuhan rumah tangga, kegagalan dalam hidup dan sebagainya. Impak daripada tekanan ini boleh merubah situasi seseorang pekerja itu bergantung kepada tahap sejauh mana ia menghadapi tekanan tersebut.

Sekiranya tekanan dihadapi dengan positif maka jawapannya pasti baik, akan tetapi jika seseorang itu menerima tekanan secara negatif maka ia boleh menjadi punca kepada pelbagai penyakit yang melibatkan emosi terutama penyakit mental yang boleh menyebabkan pekerja itu sukar dikawal. Panas baran, murung, keluh kesah, ketakutan, kesedihan dan hilang tumpuan terhadap kerjaya adalah antara kesan penyakit ini.

Malah kejadian yang melibatkan pembunuhan empat sekeluarga di Gemencheh, Negeri Sembilan baru-baru ini turut dikaitkan dengan tekanan jiwa atau gangguan mental yang dianggap semakin kritikal di negara kita. Statistik daripada Jabatan Psikologi Universiti Malaya menunjukkan sekurang-kurangnya satu daripada sembilan rakyat Malaysia mengalami masalah mental juga amat membimbangkan.

Bahkan juga ditakuti apabila tekanan berada di tahap yang serius, ia akan meningkatkan lagi kes yang melibatkan gangguan emosi dan mental di negara kita. Justeru, penulis berpendapat bagi mengelak tekanan sebegini, segala tugasan yang diberikan kepada pekerja perlulah diteliti kembali agar tidak membebankan atau jauh daripada kemampuan mereka.

Bebanan tugas yang terlalu banyak, mengejar tarikh akhir, mesyuarat di sana dan sini adalah contoh persekitaran kerja yang memberi kesan negatif. Tambahan pula dengan peranan tugas yang kabur dan matlamat kerja yang kurang jelas serta sikap ketua yang sering ikut mood ketika memberi arahan, turut mengundang tekanan di tempat kerja.

Malah apa sahaja yang diminta oleh ketuanya mungkin tidak dapat dilaksanakan dengan baik akibat pekerja itu tidak pasti dengan tugas yang diberikan dan tertekan dengan sikap ketuanya.

Hal ini akan menyebabkan pekerja itu berasa kecewa, rasa rendah diri, putus asa dan hampa, selain berkemungkinan akan terus hilang motivasi diri dan gagal mengawal tekanan yang dihadapi yang akhirnya memberi kesan kepada jiwa.

Apabila tekanan jiwa dihadapi, ia akan memberi impak terhadap kesihatan psikologi seseorang sekiranya ia tidak dikawal dengan metodologi yang tepat.

Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2008, ia menunjukkan kadar masalah mental di negara kita meningkat kepada 15.6 peratus berbanding pada 2007.

Malah berdasarkan kepada statistik tersebut, ditakuti juga penyakit yang disebabkan oleh tekanan ini boleh menyebabkan negara gagal mencapai kecemerlangan dan kesejahteraan hidup yang mana pada akhirnya menjejaskan prestasi kerja sehingga imej dan reputasi kerjaya turut terjejas dan merosot. Apabila prestasi merosot, sudah tentu kurang pengiktirafan atau penghargaan majikan untuk pekerja terbabit yang akhirnya mengakibatkan pekerja tersebut terus dirundung kedukaan dan mengalami tekanan.

Apakah yang harus dilakukan apabila seseorang pekerja itu mengalami tekanan seterusnya membawa kepada masalah emosi? Adakah mereka ini akan disisihkan? Sebagai pekerja Muslim, seseorang itu seharusnya mendalami situasi tekanan lebih-lebih lagi tekanan di tempat kerja supaya ia dapat diterjemahkan kepada sesuatu yang boleh membawa kesejahteraan bukan sahaja kepada diri tetapi juga kepada organisasi.

Dalam konteks agama Islam, bagi mengelak tekanan kepada para pekerja, amalan syura atau bermusyawarah adalah jalan terbaik bagi menjalin hubungan pekerja dan majikan dalam organisasi. Syura merupakan satu bentuk mesyuarat yang mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak bagi mencapai keputusan yang tepat, berkesan dan boleh diterima oleh semua pihak.

Di sini, bermusyawarah bersama ketua berkaitan dengan skop tugas adalah penting agar apa saja yang dilakukan tidak memberi tekanan, tidak timbul rasa tertindas, kecewa dan rasa rendah diri di kalangan mereka serta menganggap organisasi yang dinaungi itu sebagai sebuah keluarga yang mampu bergerak bersama. Dengan penyertaan semua pihak terutama ketua dan pekerja, syura dapat mempereratkan lagi hubungan antara pekerja dan majikan.

Menyedari betapa besarnya manfaat syura, maka amalan syura oleh Rasulullah SAW patut dicontohi. Rasulullah sentiasa bersikap terbuka dalam menerima pandangan bernas daripada para sahabatnya mahupun hamba. Justeru, dengan pelaksanaan sistem syura ini diharapkan semua masalah yang membawa kepada tekanan emosi di tempat kerja hari ini dapat diselesaikan dengan baik.

Di samping itu, sebagai pekerja Muslim, dalam mengawal tekanan diri, eloklah iktikad dalam hati bahawa apa juga yang melanda itu adalah isyarat daripada Allah SWT untuk terus bermuhasabah diri dan memperbanyakkan beristighfar, di samping menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai pegangan, selain membaca, mendengar dan menghayati tafsirnya.

Begitu juga dengan amalan berzikir. Ia merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa sebagaimana jaminan Allah SWT dalam surah ar-Ra'd ayat 28 yang bermaksud: "Ketahuilah dengan 'zikrullah' itu, tenang tenteramlah hati manusia."

Untuk mengelakkan tekanan perasaan maka selalulah berzikir dan berselawat agar hati sentiasa tenang dan tidak gusar. Kita perlu yakin bahawa walau sehebat manapun tekanan yang dialami, pertolongan Allah SWT tetap ada.

Ingatlah, tiada masalah tanpa penyelesaiannya. Oleh itu, kita harus mengkaji dan meneliti sebagaimana setiap penyakit ada penawarnya. Anggaplah apa jua tekanan yang terjadi itu merupakan tiket untuk kita mendekatkan diri dengan Allah SWT dan meningkatkan hubungan sesama manusia dalam organisasi.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 20 Januari 2010

Program pembangunan profesional tingkat martabat, baiki kualiti guru

Oleh Norsayyidatina Che Rozubi
rencanabh@bharian.com.my

PENGUMUMAN Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan sedar wujud keperluan mendesak untuk meningkatkan kualiti guru dengan pesat menerusi program pembangunan profesional yang berterusan adalah berita gembira dan ditunggu-tunggu oleh seluruh warga pendidik di Malaysia. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran itu meniupkan semangat baru untuk warga pendidik memajukan diri mereka.

Antara strategi dirangka untuk memartabatkan profesion perguruan ialah meningkatkan kualiti guru dengan menaikkan taraf semua maktab perguruan kepada institut pendidikan guru yang menawarkan program pada peringkat ijazah. Di samping itu, kementerian akan memperketat syarat pemilihan guru pelatih, menambah baik persekitaran pengajaran, menaikkan imej, menanam harga diri dan semangat tinggi di kalangan guru serta memberi sokongan berterusan kepada profesion perguruan.

Strategi ini juga bertujuan memberi galakan kepada individu yang berkebolehan dan berbakat menyertai profesion perguruan dan melihat bidang ini mempunyai prospek kerjaya menarik. Segala strategi ini dijangka mampu memberi motivasi dan galakan kepada guru untuk lebih bekerja keras dalam menjalankan amanah mendidik anak bangsa yang menjadi pewaris masa depan negara.

Selain itu, Kementerian Pelajaran akan menyediakan banyak peluang peningkatan kerjaya, termasuk peluang kenaikan pangkat kepada guru dan pengetua cemerlang sebagai insentif untuk terus meningkatkan pencapaian, sekali gus membolehkan pengajaran dan pembelajaran lebih baik. Ini seharusnya dilihat sebagai usaha dan perkembangan positif dalam memartabatkan profesion perguruan kerana program pembangunan profesional yang berterusan mensasarkan kepada matlamat mempertingkatkan kompetensi, ilmu pengetahuan serta kebolehan guru.

Profesion perguruan sentiasa dilabelkan sebagai satu kerjaya mudah, tidak mencabar, masa bertugas yang pendek, banyak cuti dan sebagainya. Kenapa kita sering mendengar persatuan perguruan meminta pelbagai tuntutan daripada kerajaan, mengapa kita sering membaca luahan guru yang tidak berpuas hati dengan beban tugas yang pelbagai. Jawapannya cukup mudah kerana guru adalah satu profesion yang dipertanggungjawabkan dengan beban tugas pelbagai. Pengalaman dan pemerhatian mendapati guru bukan saja memainkan peranan untuk mengajar dan mendidik, malah lebih daripada itu.

Guru memainkan peranan yang pelbagai selain penekanan bidang akademik pelajar, guru juga perlu memastikan kokurikulum pelajar juga seiring dengan pencapaian akademik. Itu tidak lagi termasuk tugas pengurusan dan pentadbiran contohnya mesyuarat tidak kira masa termasuk pada hari minggu, mengiringi pelajar untuk projek sekolah ke peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Individu yang terbabit dalam bidang perguruan antara warga Malaysia yang berkebolehan, cemerlang akademik, berkelulusan tinggi, berbakat dan berjaya dalam pelbagai aspek. Namun, mengapa individu yang cemerlang dan menjadi aset berguna ini memilih profesion perguruan berbanding profesion lain yang lebih hebat seperti perubatan, kejuruteraan, perakaunan, perundangan dan sebagainya. Individu ini berjiwa besar dan mencintai anak bangsa dan melihat bidang perguruan sebagai wadah untuk mereka mendidik anak bangsa dengan ilmu dan pengetahuan yang dimiliki.

Walaupun ganjaran dan pendapatan diperoleh tidak memadai dengan tanggungjawab dipikul dan ilmu dimiliki, golongan guru tetap menjalankan amanah diberikan sebaik mungkin. Kenapa tidak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran yang menjadi payung kepada seluruh guru di Malaysia mempertimbangkan sedikit ganjaran atau insentif khas kepada guru untuk menghargai pengorbanan mereka selama ini mendidik dan meluangkan masa tanpa berkira mendidik anak kita sehingga berjaya menjadi manusia berguna.

Guru tidak pernah mengharapkan sebarang ganjaran apabila melihat kejayaan anak kita, cukuplah sekadar sumbangan guru dihargai dan diingati. Namun, masyarakat sering tidak meletakkan guru pada tempat sepatutnya dengan segala penat lelah yang mereka sumbangkan.

Sekiranya profesion perguruan tidak dimartabatkan pada tempat sepatutnya pada hari ini, kesannya pada masa akan datang bidang perguruan tidak lagi dipandang tinggi dan kurang penyertaan golongan profesional kerana ganjaran tidak setimpal dengan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, kemahiran dan ilmu dimiliki mereka.

Ganjaran bukanlah isu utama kepada guru, namun tanggungjawab mereka juga bertambah seiring dengan kemajuan negara dalam membentuk modal insan berkualiti. Oleh itu, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan cadangan untuk memastikan profesion guru di Malaysia mencapai standard kualiti yang diingini, menjadi prospek kerjaya yang menarik, memberi motivasi kepada guru untuk terus menjalankan amanah dan memartabatkan profesion guru di mata masyarakat Malaysia.

Penulis ialah pelajar sarjana Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Segerabak Membaca pecah tradisi

AINON (kiri) dan Izwan (dua dari kiri) di samping sebahagian daripada 100 peserta yang berhubung melalui Facebook bagi menjayakan program Baca@LRT.

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Baca@LRT cetus pembaharuan dan hubungkan peminat dan pembaca tegar

KEMPEN Baca@LRT: Segerabak Membaca di Terminal Putra, Kuala Lumpur, Sabtu lalu, menyaksikan penyertaan lebih 100 peminat buku dan pembaca tegar, sekali gus mencapai sasaran penganjur yang mensasarkan kehadiran 70 peserta selain membuktikan kepentingan internet dalam menghubungkan pelbagai kumpulan sosial pada satu masa.

Ketua Operasinya, Izwan Wahab, berkata penyertaan orang ramai khususnya golongan muda yang membabitkan pelajar universiti, membuktikan semangat memupuk budaya membaca dan celik minda di kalangan masyarakat masih membara, apatah lagi melalui kempen yang dilaksanakan secara santai dan menepati cita rasa orang muda.

“Justeru, kami akan menjadikan program ini sebagai acara bulanan demi memastikan matlamat utama untuk menyemai sikap membaca di tempat awam khususnya di kalangan pengguna tren akan terus kekal. Seperti biasa program ini hanya mengambil masa yang singkat, tetapi pengisiannya sampai kepada masyarakat,” katanya kepada Sastera.

Beliau mendapati kempen yang bermula tepat jam 10 pagi di Terminal Putra Transit Aliran Ringan (LRT) Gombak dan mengambil masa 45 minit sebelum berkumpul di Terminal Putra LRT Kelana Jaya menyaksikan orang ramai yang tidak mengetahui mengenai kempen itu berasa kurang selesa apabila memasuki LRT tanpa bahan bacaan di tangan.

“Jika sebelum ini tabiat membaca buku dalam tren dianggap janggal, saya pasti senario ini pasti berubah. Buktinya, saya diberitahu ada pelajar sekolah yang memohon maaf kerana tidak membawa buku dan rasa bersalah apabila semua orang membaca, manakala ada yang terus menerus memandang SMS seolah-olah membaca sehingga tiba ke destinasi dituju.

“Kita ingin melihat minat membaca di kalangan rakyat subur sehingga menjadikannya sebagai tabiat ketika menaiki LRT, bas dan kereta api seperti yang berlaku di negara maju sejak lama dulu. Pada masa sama, perpustakaan awam perlu diperkasakan agar dapat menarik minat ramai terutama pelajar,” ujarnya.

Pengerusi Kumpulan PTS, Ainon Mohd yang juga penasihat kempen, menganggap kejayaan kempen berkenaan sebagai manifestasi ekonomi baru iaitu kebijaksanaan tiga anak muda menjayakan kempen dengan hanya menggunakan Facebook.

“Kempen ini tidak sekadar menyemai semangat membaca di kalangan masyarakat, malahan mendekatkan pembaca pelbagai latar belakang secara tidak langsung. Kebanyakan yang terbabit dalam kempen ini tidak segan dan kekok ketika berkumpul, bahkan mereka teruja melihat rakan baru yang selama ini bersifat virtual di Facebook,” katanya.

Ainon yakin pembacaan akan membawa masyarakat selangkah ke hadapan, menghubungkan kumpulan sosial, mewujudkan semangat setiakawan dan celik minda, selain meningkatkan kemahiran dalam menghadapi saingan pada peringkat global.

Penulis e-buku, Harlym Yeo, pula menganggap langkah mengadakan kempen Baca@LRT sebagai satu cara untuk menarik generasi muda menjadikan pembacaan sebagai tabiat harian sama ada di rumah atau di tempat awam, bukan sekadar mengisi masa lapang.

“Pendidik dan pustakawan gelisah kerana perpustakaan semakin kurang dijejaki pelajar dan generasi muda. Ini bukan bermakna mereka tidak mencari bahan atau membuat rujukan, tetapi kerana tiada tarikan baru. Mereka lebih cenderung melayari pustaka maya menerusi internet,” katanya.

Harlym melihat program sulung itu berjaya hasil penggunaan Facebook sebagai bahantara utama dalam mendokong gerakan terbabit berbanding sesetengah kempen membaca yang dilaksanakan secara formal dan sukar mendekati generasi muda yang sentiasa inginkan pembaharuan.

Eksekutif Komunikasi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Norhasydah Ayub, berkata fungsi Facebook sebagai wahana sosial yang menjalinkan peminat buku sesuai dengan perkembangan semasa yang menuntut perubahan dalam pelaksanaan kempen membaca.

“Menariknya, program santai ini sehingga bukan saja tidak membataskan genre bahan bacaan yang hendak dibaca, malahan memberi peluang kepada orang ramai dan penerbit buku berkongsi pengalaman dan memperkenalkan bahan bacaan ilmiah kepada mereka,” katanya

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

1,473 calon berjaya sertai KPLI sesi 2010

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

60,000 permohonan diterima kementerian

KUALA LUMPUR: Hanya 1,473 calon daripada kira-kira 60,000 permohonan graduan di seluruh negara, terpilih untuk memasuki Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) Ambilan Januari 2010.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Asariah Mior Shaharuddin, berkata semua calon ditawarkan mengikuti 17 bidang pengajian di 27 Institut Pendidikan Guru (IPG).

Beliau berkata, jumlah kemasukan menurun tetapi mengikut unjuran keperluan sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.

Selain itu katanya, syarat pengambilan turut diperketat dengan menetapkan calon mesti memiliki kelulusan ijazah pengajian yang sesuai dengan kursus.

"Berbanding dulu kementerian tidak menekankan bidang pengkhususan, tetapi sekarang calon yang hendak mengajar Matematik mesti memiliki ijazah dalam bidang itu.

"KPLI menekankan aspek pedagogi, justeru kita berharap calon sudah mendapat ilmu dalam bidang mata pelajaran yang mereka dikehendaki mengajar ketika mengikuti pengajian ijazah sarjana muda.

"Selain itu, kementerian juga membuat penambahbaikan dengan mengambil kira tempat asal calon yang memohon. Sebagai contoh jika kementerian ada keperluan guru untuk Sabah dan Sarawak, kita akan beri keutamaan kepada calon tempatan," katanya.

Katanya selepas mewakili Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom merasmikan Minggu Pengurusan Pelajar Baru KPLI Ambilan Januari 2010 di IPG Kampus Ilmu Khas di sini, semalam.

Katanya, kementerian sedang berusaha meningkatkan jumlah pengambilan calon lelaki bagi menyertai profesion keguruan.

Ketika mengulas dakwaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bahawa ada segelintir guru besar menyalahgunakan kuasa untuk memindahkan guru yang 'tidak sebulu' Asariah berkata, beliau belum mendapat sebarang laporan rasmi tetapi guru terbabit boleh merujuk kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) masing-masing.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Selasa, 19 Januari 2010

Sudut Pidato segarkan idealisme, kepemimpinan mahasiswa

Barrack Obama, antara pemimpin dunia yang petah berpidato.

NEGARA yang hebat dan maju pasti menyiapkan pelapis yang memiliki kekuatan diperlukan untuk melayakkan mereka menggantikan pentadbiran negara suatu hari nanti.

Perkara yang dapat menjamin kepada pembentukan generasi seperti ini pasti melalui keampuhan sistem pendidikan yang senantiasa diperbaiki berdasarkan kesesuaian keadaan semasa di samping penekanan terhadap pembangunan intelek, fizikal, rohani dan psikologi.

Kekuatan yang perlu dimiliki mereka tidak hanya terbatas kepada ilmu yang dimiliki ketika menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) bahkan turut disokong dengan penyertaan dalam aktiviti kemasyarakatan.

Hal ini bukti mereka mampu memimpin rakyat kerana bukan saja memiliki ilmu bahkan mudah bergaul dengan masyarakat iaitu nilai tambah yang wajar ada dalam generasi pelapis.

Mereka tidak lagi hanya pintar mengungkap teori atau falsafah bahkan mahir menterjemahkan kepakaran dengan menyalurkan ilmu kepada masyarakat.

Generasi kini juga perlu diasuh untuk memiliki kematangan berfikir serta mampu mengungkap idea baru dan segar bagi membantu kerajaan serta masyarakat memperbaiki polisi dan sosiopolitik negara.

Hal ini perlu dititikberatkan, justeru mahasiswa sebagai generasi muda dan penuh idealisme ketika melalui proses kematangan, membuat keputusan dan berfikir. Mereka memerlukan platform untuk bersama teman seperjuangan menilai idea bagi memperhalusinya lagi. Keadaan ini membantu mengembangkan idealisme mereka kepada bidang lebih luas dan pelbagai. Idea yang terkumpul selepas perbincangan perlu dipasarkan dalam akhbar dan majalah supaya dinilai dan dikritik selain dijadikan panduan masyarakat.

Evolusi ini andai kerap dilakukan mampu membentuk paradigma berfikir yang segar dan matang dalam persekitaran masyarakat Malaysia. Universiti perlu segera menyedari potensi siswa dengan menyediakan infrastruktur bersesuaian agar perbincangan dapat dilakukan dalam keadaan kondusif dan bermotivasi.

Perbincangan lebih bermakna jika dihadiri pensyarah untuk memperbaiki kekurangan idea. Siswa juga terlalu meminjam kata pemikir terkemuka, sebaliknya mengguna akal bagi mengungkapkan idea yang asli dalam perbincangan.

Kemampuan membentuk idea dan gaya pemikiran tersendiri membolehkan mereka mengasah potensi untuk menjadi pemikir unggul dan bertaraf global hasil keluaran IPT tempatan.

Sudut Pidato mampu menyegarkan idealisme mahasiswa, sekali gus membangkitkan jati diri dan kematangan akal budi untuk membuktikan kesungguhan membantu kerajaan menjayakan pembangunan.

MOHD ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN,
Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Hadiah Sastera Perdana Malaysia bernafas kembali

"Mungkin panel melihat buku itu mengandung catatan penderitaan saya dan rakan yang menerima seksaan mental serta fizikal, sekali gus menjadikannya sebagai karya yang ditulis daripada pengalaman, hati dan perasaan saya," Said Zahari, Tokoh wartawan.

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Pemenang gabungan penulis veteran dan muda selain ada kejutan

HADIAH Sastera Perdana Malaysia (HSPM) Ke-18 di Kuala Lumpur, semalam, memberi 'kejutan' kepada khalayak sastera kerana bukan saja menggabungkan HSPM 2004/2005 dan HSPM 2006/2007, bahkan memperlihatkan penguasaan pengarang baru terutama Kategori Buku.

Malah, ada pengarang yang menganggapnya sebagai kejutan apabila karya mereka diiktiraf dalam HSPM selepas buku sebelumnya tidak berjaya memenangi hadiah sastera paling berprestij di negara ini.


“Adalah aneh sekiranya buku Indonesia berada di pasaran kita, tetapi buku kita sukar untuk menembusi negara jiran dan sekiranya ada halangan bersifat kenegaraan, kita perlu berusaha merentas jalan untuk memasarkannya ke sana,” katanya yang pernah memenangi Anugerah Bakat Muda Seni Teater pada Anugerah Seni Negara 2006.

Kejutan sama turut diterima tokoh wartawan, Said Zahari, apabila autobiografi keduanya, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah: Memoir Said Zahari, mendapat pengiktirafan, meskipun siri pertama triloginya, Meniti Laut Gelora, yang disifatkannya lebih menyeluruh gagal meraih hadiah berkenaan.

“Penghargaan itu menjadi antara dorongan untuk saya menyiapkan siri terakhir dalam trilogi ini dan insya-Allah akan diterbitkan awal tahun depan,” katanya yang kini dilantik sebagai Karyawan Tamu, Universiti Kebangsaan Malaysia

Dua novel Faisal Tehrani dinobatkan panel HSPM Ke-18 untuk mengungguli Kategori Buku Genre Novel melalui Bedar Sukma Bisu yang melayakkannya membawa pulang wang tunai RM10,000 dan Kategori Buku Genre Novel Remaja lewat Manikam Kalbu (RM5,000).

Kepengarangan Faisal turut diiktiraf dalam genre esei, kritikan dan kajian sastera apabila karya ecerannya, Pengabaian Ilmu dalam Karya Sastera, turut dipilih untuk memenangi genre berkenaan, sekali gus melayakkannya menerima wang tunai RM1,000.

HSPM Ke-18 turut memberi kejutan apabila penulis yang secara relatifnya masih muda, Mohd Izuddin Mahamad Nazir atau lebih dikenali sebagai Ilham Hamdani, meraih HSPM 2006/2007 lewat kumpulan cerpen, Mekar Sakura di Mimbar Cinta.

Kemenangan Ilham Hamdani itu sudah tentu mengingatkan khalayak sastera kepada Azman Husin apabila kumpulan cerpennya, Dongeng Pasca Merdeka memenangi HSPM 1998/99 dalam kategori dan genre yang sama.

Genre Kumpulan Drama turut dikuasai pengarang muda apabila Siti Jasmina Ibrahim meraihnya lewat Hikayat Qaziq yang sebelum ini pernah memenangi hadiah pertama Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP Kategori Skrip Drama Pentas pada 2007.

Wartawan Berita Harian, Hassan Omar, pula meneruskan penguasaan pengarang muda apabila novel kanak-kanaknya, Azrul Wira anak Laut memenangi HSPM 2006/2007 Kategori Buku Kanak-kanak Genre Novel dan melayakkannya membawa pulang RM5,000.

Bagaimanapun, pengarang mapan dan sarjana, tetap membuktikan keutuhan karya mereka apabila Prof Dr Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana) memenangi Kategori Kumpulan Esei dan Kritikan Sastera HSPM 2006/2007 melalui Drama Melayu Tradisional Moden dan Pascamoden.

Siti Zaleha Hashim pula memenangi Kategori Kumpulan Puisi, Kristal di Laut Bulan, manakala autobiografi tokoh wartawan, Said Zahari, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah: Memoir Said Zahari diperakukan panel untuk mengungguli kategori berkenaan dan mereka membawa pulang RM10,000.

Tiga cerpen dalam Berita Minggu mencuri tumpuan panel untuk diangkat sebagai Pemenang HSPM 2006/2007 untuk Kategori Eceran Genre Cerpen, iaitu Jerebu dalam Blog Mak Andeh karya Fudzail; Che Soleh Rial (A Rahman CM) dan Lintah (SN Datuk Dr Anwar Ridhwan), masing-masing menerima RM1,000.

Tujuh lagi cerpen yang turut disenaraikan ialah Cinta Puncak Sagarmatha oleh Rozais al-Anamy; Pusaka Cendana (Nisah Haron); Hadiah untuk Cikgu (Jais Sahok); Syair Asahab Mel (Siti Zaleha); Namaku Madam Sara (Muhd Mansur Abdullah); Bila Bulan Muncul (Asmidar Alias) dan Nilai Cinta Kami (Azizi Abdullah).

Kemenangan dalam Genre Puisi turut membabitkan dua puisi yang tersiar dalam Berita Minggu apabila Sumpah Setia Tanjung Piai karya Nisah Haron dan Terlalu (Shapiai Mohd Ramly) memenanginya untuk membawa pulang RM1,000.

Puisi lain yang tersenarai ialah Diamnya Malam karya (Nahmar Jamil); Catatan Panjang tentang Suami Skizo, Isteri Skizofrenia, Wanita Skizofrenik (Zaiton Ajamain); Hujung dan Pangkal (Abizai); Malam Rosiah (SN Datuk (Dr) A Samad Said); Mereka yang Mendaki Maqam Percintaan (Suhaimi Muhammad); Pohon Bahasa Perkasa (Raja Rajeswary Seetha Raman); Sang Pelakon (Nimoiz TY) dan Wanita dan Laut (Mahaya Mohd Yassin).

Selain Faisal Tehrani yang memenangi Genre Esei/Kritikan/Kajian Sastera, hadiah itu dimenangi oleh nama besar dalam dunia akademik dan kritikan sastera, A Wahab Hamzah, Prof Dr Jelani Harun, Prof Madya Dr Siti Hajar Che Man dan Mohamad Saleeh Rahamad.

Secara keseluruhan taburan pemenang dalam HSPM 2005/2006 lebih seimbang dan menyeluruh apabila ada juga karya dalam media massa lain turut dipilih sebagai pemenang, berbanding HSPM 2004/2005 yang dimonopoli majalah terbitan DBP.

Pada masa sama, DBP perlu mengambil tindakan proaktif untuk memastikan ketiadaan pemenang bagi beberapa genre khususnya buku remaja dan kanak-kanak tidak berulang seperti menganjurkan bengkel penulisan atau menyediakan dana penerbitan buku genre berkenaan.

Faisal ketika ditanya mengenai kejayaannya itu, menyifatkan penghargaan itu dapat membangkitkan moral dan memberi motivasi serta dorongan kepadanya untuk berkarya terutama sejak akhir-akhir ini, beliau berasa tersisih dengan kontroversi yang melanda karyanya.

“Alhamdulillah dengan kemenangan dua novel saya itu yang sebelum ini memenangi Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP selepas beberapa buku saya seperti 1515 tidak dinilai dengan mendalam sebelum ini,” katanya kepada Sastera.

Beliau berharap buku yang memenangi HSPM 2006/2007 bukan saja terus diterbit dan dipasarkan dengan lebih meluas, bahkan ia turut dibicarakan pada program sastera.

Sumber : http://www.bharian.com.my/